Negeri Sembilan
Nogori Sombilan, Nismilan | |
---|---|
Negeri Sembilan Darul Khusus نݢري سمبيلن دار الخصوص | |
Transkripsi Lain | |
• Jawi | نڬري سمبيلن |
• Mandarin | 森美兰 (Ringkas) 森美蘭 (Tradisional) |
• Tamil | நெகிரி செம்பிலான் Nekiri Cempilāṉ (Transliterasi) |
Nama panggilan: Negeri Beradat | |
Lagu: Berkatlah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan برکتله يڠ دڤرتوان بسر نݢري سمبيلن Bless the Great Ruler of Negeri Sembilan | |
Koordinat: 2°45′N 102°15′E / 2.750°N 102.250°EKoordinat: 2°45′N 102°15′E / 2.750°N 102.250°E | |
Ibu negeri | Seremban |
Bandar diraja | Seri Menanti |
Pengasasan | 1773 |
Penubuhan rasmi | 1895 |
Dinamakan bersempena | Sembilan buah negeri atau luak |
Pentadbiran | |
• Jenis | Pemerintahan beraja berperlembagaan elektif dan demokrasi berparlimen |
• Raja | DYMM Yang di-Pertuan Besar dan |
• Menteri Besar | Aminuddin Harun |
Keluasan | |
• Jumlah | 6,686 km2 (2,581 batu persegi) |
Penduduk (2020) | |
• Jumlah | 1,199,974 |
Poskod | 70xxx sehingga 73xxx |
Kod ISO 3166 | ISO 3166-2:MY-05 |
Huruf plat kenderaan | N |
Laman sesawang | www |
Negeri Sembilan (sebutan dalam loghat tempatan: Nogori Sombilan, Nismilan; Jawi: نڬري سمبيلن) juga dikenali sebagai Negeri Sembilan Darul Khusus ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan Selangor di sebelah utara, Pahang di sebelah timur, Johor di sebelah tenggara dan Melaka di sebelah selatan.[1]
Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri beriklim khatulistiwa. Kawasan tanah tingginya merupakan sebahagian daripada sistem pergunungan Banjaran Titiwangsa, dengan Gunung Besar Hantu sebagai titik tertinggi. Jajaran utama banjaran ini juga berakhir di sini, lebih tepatnya di Tampin di bahagian selatan negeri tersebut.
Ibu negerinya Seremban. Bandar dirajanya ialah Seri Menanti yang terletak di dalam daerah Kuala Pilah. Bandar-bandar utama yang lain termasuklah Port Dickson, Kuala Pilah, Nilai, dan Bahau.
Sektor-sektor pertanian, pengilangan dan perkhidmatan menyumbang kepada ekonomi Negeri Sembilan. Daerah Seremban dan Daerah Port Dickson merupakan hab ekonomi utama negeri ini, dengan kedua-duanya membentuk koridor Lembah Wawasan Malaysia.
Masyarakat yang bermukim pada sembilan luak seperti Johol, Jelebu, Klang, Sungei Ujong, Naning, Rembau, Jelai, Segamat dan Pasir Besar membentuk sebuah konfederasi yang memberi nama kepada negeri tersebut. Selanjutnya sebagai penyatuan masyarakat maka diangkatlah seorang raja yang pada awalnya mereka minta dari Yang Dipertuan Pagarruyung.[2]
Berbeza dengan sistem beraja di negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan mengamalkan sistem beraja elektif dan prinsip koregensi (pemerintahan bersama). Pemerintahnya dikenali sebagai Yang di-Pertuan Besar atau juga dikenali sebagai Yamtuan Besar dan memerintah bersama Dato'-Dato' Undang serta Tunku Besar Tampin iaitu pemerintah luak berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Baginda dipilih dan dilantik melalui musyawarah Dato'- Dato' Undang yang mentadbir empat Luak terbesar iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol, dan Rembau, daripada kerabat-kerabat lelaki yang sah daripada Wangsa Pagaruyung, dengan putera-putera Yamtuan terdahulu yang masih hidup didahulukan dalam pertimbangan tetapi tidak menjadi wajib untuk diundi, menjadikannya salah satu daripada sistem beraja yang lebih demokratik. Tambahan lagi, Negeri Sembilan juga mengamalkan sistem raja berperlembagaan sepertimana negeri-negeri Melayu beraja lain.
Etimologi dan sejarah
Nama Negeri Sembilan dipercayai diperoleh daripada sembilan kawasan petempatan atau "nagari" yang didiami oleh perantau Minangkabau (kini dikenali sebagai luak). Sembilan luak[3] tersebut ialah Segamat (sebahagian kawasan kini di daerah-daerah Tampin dan Jempol, Negeri Sembilan dan daerah-daerah Segamat dan Tangkak di Johor), Naning (kini menjadi sebahagian dari daerah-daerah Alor Gajah dan Jasin, Melaka), Rembau, Sungai Ujong (kini merangkumi daerah-daerah Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan; sebahagian kecil kini merangkumi Hulu Langat, Selangor), Johol (terdiri daripada daerah-daerah Tampin, Kuala Pilah dan Jempol, Negeri Sembilan), Jelebu, Ulu Pahang (sebahagian kawasan daerah-daerah Jelebu dan Jempol, Negeri Sembilan dan daerah Bera, Pahang), Jelai (kini merangkumi hampir keseluruhan daerah Kuala Pilah dan daerah Jempol, Negeri Sembilan) dan Kelang (kini merangkumi daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dan daerah-daerah Sepang dan Kuala Langat, Selangor). Saiz Negeri Sembilan kini lebih kecil berbanding saiz asal Negeri Sembilan.
Sebelum kedatangan orang Minangkabau, daerah-daerah Negeri Sembilan telah pun mempunyai penduduk asli dari kumpulan Melayu-Proto. Menurut cerita tempatan, penduduk awal Negeri Sembilan ialah orang asli atau juga disebut ‘orang darat’. Kegiatan seharian mereka ialah berburu, memungut hasil hutan dan bercucuk tanam khususnya padi bukit. Mereka duduk secara berkelompok kecil dan diketuai oleh seorang ketua bergelar ‘Batin’. Mereka mengamalkan kepercayaan animisme’.12 Ketua bagi setiap daerah ini mereka dikenali sebagai Batin.
Penduduk awal Negeri Sembilan
Petempatan manusia terawal di Negeri Sembilan diyakini terletak di Gua Pelangi, sebuah gua batu kapur terletak berhampiran Simpang Pertang di daerah Jelebu, di mana terdapat beberapa artifak berupa alat batu dan sisa makanan yang dianggarkan berusia lebih 14,000 tahun berdasarkan pentarikhan radiokarbon ditemui dalam kerja ekskavasi di kawasan tersebut yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia.
Dalam Zaman Sakai antara tahun 1450 hingga 1600 Masihi, terdapat empat buah negeri Sakai iaitu Klang, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol. Kesemua daerah ini terletak di bawah naungan Kerajaan Melayu Melaka dan kemudiannya kerajaan Johor-Riau-Pahang. Pada tahun 1450 Masihi daerah Kelang mempunyai seorang Penghulu bernama Tun Perak. Manakala Sungai Ujong diketuai oleh Tun Tukal[4].
Sekitar abad ke-16 Masihi, orang Minangkabau dari Sumatera datang dan mendiami di kawasan pesisir pantai yang terletak di selatan Negeri Sembilan (Sungai Linggi). Orang Minangkabau membawa dan memperkenalkan amalan dan adat mereka iaitu adat Perpatih. Sejak itu mereka memperkenalkan sistem sosial, politik, ekonomi dan agama kepada masyarakat orang asal. Mereka membawa sistem adat yang berteraskan kepada jurai sebelah ibu, atau ‘matrilineal’. Dalam tempoh di antara abad ke-17, 18 dan 19 Masihi, orang Minangkabau bergerak atau merantau lebih dalam lagi ke kawasan pedalaman Negeri Sembilan[4].
Kedatangan perantau Minangkabau telah menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara masyarakat Minangkabau dengan orang asli[4]. Daripada percampuran ini telah mewujudkan suku Biduanda. Pembesar tempatan yang menjadi Undang dan Penghulu—ketua bagi luak-luak yang lebih kecil—akan dipilih daripada suku Biduanda. Masyarakat Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau seperti Tanah Datar dan Payakumbuh.
Pembentukan awal Negeri Sembilan
Zaman pembentukan Negeri Sembilan dipercayai berlaku di antara tahun 1640 hingga 1760. Tempoh tersebut ialah ruang untuk orang Minangkabau menyatukan sembilan negeri yang mereka kuasai. Bermula tahun 1639, kerajaan Johor menjalinkan kerjasama erat dengan Belanda. Ketika itu Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil II. Kerjasama Johor-Belanda adalah bertujuan untuk menjatuhkan kekuasaan Portugis di Melaka. Kerajaan Johor mula menjalinkan hubungan baik dengan orang Minangkabau di pedalaman Melaka dan mula memasukkan Negeri Sembilan di bawah naungan mereka.
Pada tahun 1705, pembesar Minangkabau di Naning iaitu Penghulu Naning menerima pengiktirafan dan gelaran dari Sultan Johor yang turut dipersetujui oleh pihak Belanda. Pada tahun yang sama, Rembau juga mendapat pengiktirafan melalui pengurniaan cap mohor dan gelaran ‘Bendahara Seri Maharaja’. Beberapa tahun selepas itu, Dato’ Bandar Sungai Ujong juga menerima pengiktirafan yang sama dari Johor. Pada tahun 1760, Penghulu Jelebu, Dato’ Moyang Salleh menerima cap mohor dan gelaran Sultan Jelebu daripada Sultan Riau, Sultan Abdul Jalil Muadzam Syah. Begitu juga Inas yang turut menerima pengiktirafan yang sama. Orang Minangkabau juga dipercayai terus mengukuhkan kedudukan mereka di Inas, Johol, Gemencheh, Terachi, Gunung Pasir, Jempol dan Ulu Muar. Kekacauan politik yang dihadapi oleh kerajaan Johor di antara tahun 1700 hingga 1760 Masihi telah menyebabkan Johor menganugerahkan cap mohor dan gelaran bagi mendapatkan sokongan daripada orang Minangkabau. Bagaimanapun, kelemahan kerajaan Johor telah menyebabkan berlakunya peningkatan populasi penghijrah Minangkabau di Negeri Sembilan[4].
Ekoran kemeruduman zaman kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang pada kurun ke-18, yang diserang Bugis, memaksa masyarakat Minangkabau mencari perlindungan daripada tanah air mereka. Pemerintah Minangkabau, Sultan Abdul Jalil Pagaruyung menghantar puteranya, Raja Mahmud untuk memimpin masyarakat. Apabila baginda tiba, baginda mendapati seorang lagi kerabat, Raja Khatib telah terlebih dahulu mengisytiharkan diri sebagai pemerintah. Raja Mahmud kemudiannya mengisytiharkan perang terhadap Raja Khatib dan kemudiannya menjadi pemerintah bagi Negeri Sembilan, memakai gelaran Raja Melewar. Sultan Johor mengesahkan kedudukan Raja Melewar sebagai pemerintah dengan memberikan gelaran Yamtuan Seri Menanti pada 1773.
Negeri Sembilan semasa pemerintahan Raja Melewar, meliputi kawasan yang lebih besar daripada sempadan Negeri Sembilan moden sekarang. Sembilan luak asal pada 1773 yang telah membentuk nama Negeri Sembilan ialah Sungai Ujong, Jelebu, Rembau, Johol, Jelai, Ulu Pahang, Naning, Segamat dan Klang. Kemudiannya, empat luak telah dimasukkan ke negeri-negeri jiran pada kurun ke-19. Naning telah diserap ke dalam pentadbiran Melaka, Negeri-negeri Selat pada 1832 berikutan kekalahan Dol Said dalam Perang Naning; Ulu Pahang telah bertukar menjadi daerah Bera di Pahang; Segamat menjadi sebahagian daripada Johor dan Klang menjadi daerah Kuala Langat dan Sepang di Selangor.
Setelah kemangkatan Raja Melewar, berlakunya siri pertelingkahan dalam proses mendapatkan pengganti. Untuk tempoh yang lama, pembesar tempatan menjemput pemerintah Minangkabau di Sumatera sebagai Yamtuan Besar. Walau bagaimanapun, persaingan kepentingan dalam menyokong calon berbeza kadangkala menyebabkan ketidakstabilan dan perang dingin. Yamtuan Besar hanya berkuasa di kawasan Seri Menanti dan luak-luak yang di sekitarnya sahaja, manakala luak-luak yang besar dipimpin oleh Undang yang membentuk kerajaan sendiri.
Pembentukan Negeri Sembilan moden
Pembentukan Negeri Sembilan yang ada sekarang ialah berasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1887. Perjanjian tersebut dimeterai di antara Gabenor Negeri-negeri Selat dengan Yang di-Pertuan Seri Menanti, Penghulu-penghulu luak kawasan ini hingga membentuk sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan. Satu lagi perjanjian telah dibuat pada tahun 1898 di antara Yang di-Pertuan Seri Menanti iaitu Tuanku Muhammad dengan Dato’-Dato’ Undang Yang Empat kerana melantik baginda sebagai ketua pemerintah bagi seluruh Negeri Sembilan yang bergelar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada 1874, British telah mencampur tangan dalam pertikaian kepimpinan di Sungai Ujong bagi menjaga kepentingan ekonomi British, dan meletakkan kepimpinan di bawah kawalan Residen British. Selepas Sungai Ujong, ia diikuti oleh Jelebu pada 1883 dan Rembau pada 1887. Pembentukan Negeri Sembilan moden bermula pada 1889, apabila kepimpinan Seri Menanti di bawah Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah bergabung dengan kepimpinan dari Tampin dan Rembau bagi membentuk Konfederasi Seri Menanti sebagai sebuah entiti tunggal. Pemimpin dari Sungai Ujong dan Jelebu turut menyertai persekutuan ini pada 1895, akhirnya membentuk Negeri Sembilan dengan sempadan yang baharu sebagaimana sekarang.[5] Martin Lister dilantik menjadi Residen British pertama dan Negeri Sembilan menyertai pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun yang sama.
Negeri Sembilan mengalami pendudukan Jepun dalam Perang Dunia II antara tahun 1942 dan 1945, bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan menjadi sebuah negeri Malaysia pada tahun 1963.
Kependudukan dan demografi
Anggaran jumlah penduduk di Negeri Sembilan pada tahun 2020[6] adalah sebanyak 1,199,974 orang dengan kepadatan penduduk 180 orang perkilometer persegi.
Dari segi komposisi kaum, Bumiputera mencatatkan 716,421 orang. Diikuti kaum Cina sebanyak 248,456 orang dan kaum India sebanyak 161,633 orang. Bagi kaum lain mencatatkan 5,719 orang. Sebanyak 94.4 peratus penduduk merupakan warganegara manakala selebihnya merupakan warganegara asing.
Penduduk
Negeri Sembilan mempunyai tujuh buah daerah. Daerah Seremban menjadi salah satu bandar yang menjadi pilihan dan tumpuan penduduk tinggal kerana lokasinya hampir dengan Lembah Klang dan sebahagian daripada kawasan Kuala Lumpur Raya. Hampir 70 peratus penduduk tinggal di bandar.
# | Daerah | Penduduk 2010 | Penduduk 2020[6] |
---|---|---|---|
1 | Daerah Seremban | 555,935 | 692,407 |
2 | Daerah Jempol | 116,576 | 127,181 |
3 | Daerah Port Dickson | 115,361 | 128,657 |
4 | Daerah Tampin | 84,889 | 88,101 |
5 | Daerah Kuala Pilah | 66,092 | 70,324 |
6 | Daerah Rembau | 43,011 | 47,278 |
7 | Daerah Jelebu | 39,200 | 46,026 |
Agama dan Kepercayaan
Dalam bancian pada tahun 2020, kependudukan Negeri Sembilan terdiri daripada 62.6% orang Islam, 19.9% Buddha, 13.1% Hindu, 2.6% Kristian, 1% agama yang tidak diketahui atau tidak beragama dan 0.9% mengikuti agama-agama lain.[6]
Majoriti orang Islam terdiri daripada kaum Melayu dan beberapa kaum lain. Masyarakat Cina majoriti beragama Buddha manakala masyarakat India majoriti beragama Hindu. Masyarakat bumiputera lain pula majoriti tidak beragama, beragama Kristian dan Islam.
Geografi
Seperti kebanyakan negeri pantai barat, Negeri Sembilan mempunyai pesisiran pantai menghadap Selat Melaka. Negeri ini bersempadan dengan Selangor di bahagian utara, Pahang di bahagian timur dan Melaka serta Johor di bahagian selatan. Bandaraya Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak kira-kira 60 km dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.
Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya (Seremban, Port Dickson, Jelebu, daerah Rembau, Tampin, Kuala Pilah, dan Jempol) meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Kawasan ini terdiri daripada lembah-lembah dan dataran yang begitu indah mata memandang dalam dakapan alunan bukit-bukau dan pergunungan disebabkan oleh kerana lokasinya terletak di unjuran penghujung selatan Banjaran Titiwangsa, dengan Gunung Besar Hantu (1,462 m) sebagai kemuncak tertinggi. Dengan keseluruhan jajaran utama banjaran ini berakhir di Tampin, ia bertindak sebagai sempadan semula jadi antara Negeri Sembilan barat (Port Dickson, Seremban dan Rembau) dan Negeri Sembilan timur (Kuala Pilah, Jempol, Tampin, dan Jelebu),[7]selain menjadi legeh bagi empat lembangan sungai, iaitu lembangan-lembangan Sungai Langat dan Sungai Linggi di sebelah barat; dan Sungai Muar dan Sungai Pahang di sebelah timur. Sungai Linggi dan Sungai Muar merupakan dua sungai utama yang menjadi sumber air utama oleh keseluruhan penduduk Negeri Sembilan.[8]
Berhampiran dengan Gunung Besar Hantu ialah Gunung Nuang yang berketinggian 1,494 meter, menandakan titik paling utara negeri ini, berdekatan dengan titik pertemuan dengan Selangor dan Pahang. Ia merupakan puncak ketiga tertinggi di Selangor. Di sebelah selatan pula, Gunung Ledang, sebuah gunung terpencil berketinggian 1,276 meter menandakan titik pertemuan antara negeri ini dengan negeri-negeri Melaka dan Johor, di mana ia merupakan puncak tertinggi di Johor.
Pemerintahan dan politik
Perlembagaan
Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan telah berkuat kuasa pada 26 Mac 1959. Ia dibahagikan kepada dua bahagian. Perlembagaan ini menyatakan bahawa bentuk pemerintahan negeri ini ialah Raja Berperlembagaan dan satu-satunya raja yang dilantik melalui pemilihan. Sistem ini sebahagiannya menjadi asas bagi sistem beraja di peringkat persekutuan Malaysia.
Pemerintah
Daripada keturunan leluhur Yamtuan Radin ibni Raja Lenggang. |
Perlembagaan negeri menyatakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau dan Tunku Besar Tampin diberi kuasa eksekutif negeri, menjadi ketua kepada agama Islam dan sumber kepada segala kehormatan dan keadulatan negeri. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang terkini ialah Tuanku Muhriz.
Tidak seperti pemerintah diraja negeri-negeri di Malaysia, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih oleh ketua luak. Ketua bagi luak digelar Undang. Hanya empat Undang yang mempunyai hak untuk memilih pengganti Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Mereka ialah Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, dan Undang Rembau.
Undang tidak boleh menjadi calon bagi pemilihan ini, dan mereka perlu memilih pemerintah bercirikan seorang lelaki, beragama Islam dan merupakan pewaris keturunan Raja Radin ibni Raja Lenggang. Gelaran rasmi bagi pemerintah-pemerintah negeri ialah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Teramat Mulia Undang Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Undang Jelebu, Yang Teramat Mulia Undang Johol, Yang Teramat Mulia Undang Rembau dan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin dan mereka memegang jawatan tersebut sepanjang hidup, kecuali sebab-sebab tertentu seperti pemecatan dan peletakan jawatan.
Badan eksekutif
Perlembagaan negeri 1959 telah membolehkan terbentuknya badan eksekutif atau majlis mesyuarat kerajaan negeri. Fungsinya sama sebagaimana kabinet menteri. Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Negeri Sembilan terdiri daripada Menteri Besar sebagai pengerusi dan sembilan orang anggota yang lain. Menteri Besar dan anggota yang lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar daripada kalangan anggota dewan undangan negeri. Menteri Besar yang terkini ialah Aminuddin Harun.
Badan perundangan
Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan yang menggunakan sistem satu dewan yang mempunyai 36 kerusi, mempunyai anggota yang digelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bersidang di Bangunan Dewan Undangan Negeri yang ikonik di Seremban. Negeri Sembilan mengamalkan sistem Westminster yang mana ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dilantik dalam kalangan ahli dewan undangan negeri. Pembubaran Dewan Undangan Negeri yang akan mengakibatkan berlakunya pilihan raya negeri, memerlukan keizinan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
.
Gabungan | Pemimpin | Status | Jumlah wakil | ||
---|---|---|---|---|---|
Pilihan raya 2018 | Semasa | ||||
Pakatan Harapan | Aminuddin Harun | Parti Pemerintah | 20 | 20 | |
Barisan Nasional | Mohamad Hassan | Pembangkang | 16 | 16 | |
Jumlah | 36 | 36 | |||
Majoriti kerajaan | 4 | 4 |
Kerajaan tempatan
Di Negeri Sembilan, terdapat tujuh buah pihak berkuasa tempatan (atau kerajaan tempatan). Sebuah pihak berkuasa tempatan telah mencapai taraf bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Seremban. Dua buah pihak berkuasa tempatan bertaraf perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Perbandaran Jempol, manakala empat lagi bertaraf majlis daerah iaitu Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Jelebu, Majlis Daerah Tampin dan Majlis Daerah Rembau.
Setiap pihak berkuasa tempatan diketuai oleh seorang Datuk Bandar bagi Bandaraya, atau Yang Dipertua bagi yang bukan bertaraf bandar raya. Ketua-ketua ini dilantik untuk tempoh dua tahun, manakala ahli majlis pula dilantik untuk setahun tempoh perkhidmatan.[9] Tiada pilihan raya bagi kerajaan tempatan di Negeri Sembilan sejak kali terakhir diadakan pada 1965.
Negeri Sembilan juga dibahagikan kepada tujuh daerah pentadbiran, iaitu Jelebu (جلبو), Jempol (جمڨول), Seremban (سرمبن), Kuala Pilah (كوالا ڨيله), Rembau (رمباو), Port Dickson (ڨورت ديكسون), dan Tampin (تمڨين). Setiap daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah yang merupakan penjawat awam. Pentadbiran daerah melibatkan pentadbiran tanah di daerah-daerah, berbeza dengan pihak berkuasa tempatan yang menyelenggara pembangunan dan kemajuan bandar dan pekan.[10]
Pentadbiran adat
Pentadbiran adat pula dibahagikan kepada empat kategori luak, iaitu Luak Berundang, Luak Tampin, Luak Tanah Mengandung dan Luak Beradat[11]. Luak Berundang ialah luak yang diketuai oleh Undang Yang Empat, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.
Wilayah Adat Tampin atau Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin.
Luak Tanah Mengandung ialah luak yang melingkungi wilayah diraja Seri Menanti dan diketuai oleh Penghulu Luak yang bernaung di bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Gunung Pasir, Ineh, Jempol, Terachi dan Ulu Muar.
Luak Beradat pula ialah luak-luak kecil yang mempunyai ketua masing-masing iaitu Gemencheh, Air Kuning dan Linggi. Luak Gemencheh yang diketuai Dato’ Penghulu Pesaka Gemencheh dan Luak Air Kuning yang diketuai Dato’ Penghulu Pesaka Air Kuning bernaung di bawah Undang Luak Johol, manakala Linggi yang diketuai oleh Dato' Muda Linggi, bernaung di bawah Undang Luak Sungai Ujong.
Badan kehakiman
Mahkamah tertinggi di Malaysia ialah Mahkamah Persekutuan diikuti dengan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Mahkamah Rendah pula terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. Di Negeri Sembilan, selama 72 tahun Mahkamah Tinggi mendiami pejabat lama yang terletak di Jalan Dato' Hamzah dan Mahkamah Sesyen dan Majistret terletak di Jalan Campbell iaitu sejak tahun 1932 hingga tahun 2004[12].
Ketika awal penubuhan Mahkamah Negeri Sembilan, Tanah Melayu masih lagi diperintah oleh kerajaan British sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Hampir keseluruhan Pegawai Perundangan ialah pegawai berketurunan Inggeris, dan hanya selepas tahun 1950-an barulah seorang dua pegawai dari Tanah Melayu dilantik sebagai Presiden (Hakim)[12].
Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2 telah dibina dan mula digunakan pada tahun 2005. Ia menempatkan semula Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban. Reka bentuk kompleks ini berasaskan ciri-ciri Minangkabau. Kompleks tersebut kini menjadi pusat mahkamah di Negeri Sembilan dan bertukar nama kepada Mahkamah Negeri Sembilan mulai tahun 2011. Bangunan mahkamah lama di Jalan Campbell telah diambil alih menjadi Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, manakala bangunan mahkamah di Jalan Dato' Hamzah pula diambil alih oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan[12].
Hubungan luar negeri
Negeri Sembilan tidak mempunyai konsulat khusus yang ditempat di negeri tersebut. Disebabkan faktor sejarah adat dan kebudayaan, Seremban telah menjadi bandar kembar kepada Bukittinggi. Indonesia[13][14] sejak 6 Disember 1986. Hubungan ini meningkatkan pesefahaman budaya dan menjadi tarikan pelancongan antara kedua-dua pihak.
Ekonomi
Sektor pembuatan di Negeri Sembilan menyumbang hampir separuh daripada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK), diikuti oleh sektor perkhidmatan dan pelancongan (40.3%), pertanian (6%), pembinaan (2.2%) dan perlombongan (0.3%). Aktiviti pembuatan termasuk elektrik dan elektronik, tekstil, perabot, bahan kimia, jentera, kerja-kerja logam dan produk getah. Kawasan perindustrian utama ialah Bandar Enstek, Nilai, Bandar Sri Sendayan, Senawang dan Sungai Gadut di Seremban, Tanah Merah di Port Dickson dan Chembong di Rembau. Beberapa syarikat ternama juga mempunyai kilang-kilang di Negeri Sembilan, seperti Kellogg's, Dutch Lady, Ajinomoto dan Coca-Cola di Bandar Enstek; Hino di Bandar Sri Sendayan; Yakult di Seremban 2; Samsung, Onsemi dan NXP Semiconductors di Senawang dan Nestlé di Chembong. Kilang Nestlé Chembong juga merupakan pengeluar Milo yang terbesar di dunia, dan juga pusat kecemerlangan global terbesar syarikat tersebut.
Negeri Sembilan secara umumnya merupakan sebuah negeri berasaskan pertanian. Walau bagaimanapun, penubuhan beberapa kawasan industri meningkatkan sektor perkilangan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri. Tambahan lagi, daerah-daerah Seremban dan Port Dickson merupakan sebahagian daripada Lembah Wawasan Malaysia (Malaysia Vision Valley; MVV), sebuah koridor pertumbuhan baharu yang dipelopori melalui kerjasama antara Sime Darby dan kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri pada tahun 2015. Berkeluasan sekitar 1530 km², MVV adalah sebahagian daripada Agenda Pembangunan Nasional, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 yang bertujuan untuk melengkapkan pembangunan yang sedia ada di kawasan Lembah Klang, memberi ruang kepada perluasan kawasan Kuala Lumpur Raya di sebelah selatan dan untuk mengubah Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri maju pada tahun 2045. Setakat tahun ini, MVV kini dikenali sebagai MVV2.0. dan masih dalam proses pembangunan. Sementara itu, daerah-daerah di timur MVV, iaitu daerah-daerah Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jempol bakal dibangunkan sebagai sebuah agropolis untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan pada peringkat negeri dan juga nasional.
Aktiviti pertanian termasuk getah dan kelapa sawit, perladangan, penternakan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kira-kira sebanyak 3,099 kilometer persegi digunakan untuk aktiviti getah dan kelapa sawit.
Kebudayaan
Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan kesenian negerinya seperti Bongai, Caklempong, Randai dan Tari Piring yang dipengaruhi oleh kesenian Minangkabau.
Sejarah
Negeri Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politiknya yang agak unik. Peribahasa "biar mati anak, jangan mati adat" telah menjadi pegangan hidup rakyat yang berketurunan Minangkabau. Adat Perpatih telah wujud di Tanah Melayu sejak kurun ke-14, kekal menjadi adat yang unik di Negeri Sembilan sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan dalam pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita. Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susur galur keturunan seseorang itu ialah "mengikut perut" iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama "suku".
Adat Perpatih
Keunikannya adat ialah berdasarkan kepada sumber adat tersebut dan sistem nasab ibu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Disebabkan itu, ia merupakan peraturan atau undang-undang dalam masyarakat orang Melayu di Negeri Sembilan dan kata-kata yang diungkapkan dalam adat perpatih iaitu "perpatah-pertitih" mempunyai nilai-nilai kesenian yang tinggi. Para sarjana pernah mencatatkan hasil sastera lama Melayu ialah pancaran masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu, perpatah-petitih ini dapat menyingkap tentang pandangan hidup masyarakat Melayu secara umum dan etos Melayu khususnya. Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan semasa ke semasa. Ini boleh dilihat daripada segi politik di mana sistem Yamtuan Besar dan Dato'-dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah institusi Dato' Lembaga dan buapak-buapak. Daripada aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik. Adat ini diamalkan oleh sebahagian negeri iaitu Kuala Pilah termasuk Luak Tanah Mengandung dan Rembau.
Suku dan Perut
Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan yang daripada sebelah ibunya. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu Biduanda (Dondo), Batu Hampar (Tompa), Mungkal (Mungka), Sri Lemak (Solomak), Payakumbuh, Tiga Nenek (Tigo Nenek, Tigo Niniak), Sri Melenggang (Somolenggang), Batu Belang (Batu Bolang), Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka (Anak Melako) dan Tiga Batu (Tigo Batu).
Seseorang yang membuat tafsiran mengenai nilai-nilai yang terdapat dalam adat sehubungan dengan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" ini hanya melihat dari sudut kategori yang keempat di atas sahaja. Pepatah "biar mati anak jangan mati adat" yang menjadi prinsip asas sistem hidup bermasyarakat dalam Adat Perpatih ini sering disalah tafsir bukan sahaja orang biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin Melayu. Semua ini berlaku adalah disebabkan mereka kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut.[15]
Adat-adat lain di Negeri Sembilan
Negeri Sembilan sering dikaitkan sebagai negeri yang mengamalkan Adat Perpatih, hakikatnya, Negeri Sembilan mengamalkan pelbagai jenis adat. Adat Perpatih hanya diamalkan di sebahagian negeri, khususnya di Kuala Pilah (termasuk Luak Tanah Mengandung) dan Rembau. Berikut adat diamalkan mengikut luak di Negeri Sembilan:[16] [17]
Sungai Ujong - Adat Purbakala
- Waris Dato’ Undang berketurunan langsung daripada wangsa Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang
- Penyandang pusaka ditentukan mengikut nasab ibu, diikuti bapa (saka dan baka)
- Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga atau waris mengikut nasab ibu, diikuti bapa (saka dan baka)
- Hanya amalkan sistem waris
- Dato’ Undang mengetuai negeri bersama Yang di-Pertuan Besar
- Dato’ Undang mempunyai kuasa berkeadilan
- Dato’ Lembaga menjaga kawasan/lingkungan/jajahan
- Tua Waris menjaga waris masing-masing
- To’ Buapak menjaga anak buah dalam perut waris
- Tiada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak
- Mempunyai undang-undang bertulis sendiri sejak zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu Undang-undang Sungei Ujong
Jelebu - Adat Purbakala
- Waris Dato’ Undang berketurunan langsung daripada wangsa Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang
- Penyandang pusaka ditentukan mengikut nasab ibu
- Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga mengikut nasab ibu
- Ada sistem waris dan sistem bersuku-suku
- Dato’ Undang menjaga negeri bersama Yang di-Pertuan Besar
- Dato’ Undang mempunyai kuasa berkeadilan
- Dato’ Lembaga Waris Bersalasilah/Waris Negeri dan Waris Berundang menjaga waris
- Dato’ Lembaga Yang Tiga dan Dato’ Lembaga Kurnia menjaga suku
- To’ Buapak menjaga anak buah dalam perut waris/suku
- Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan
- Mempunyai undang-undang bertulis sendiri dikenali Kanun Adat Jelebu yang diwarisi daripada Dato’ Undang Jelebu pertama, Dato’ Moyang Salleh. Mengandungi empat fasal iaitu:
1. Pertama mencabut, kedua bertanam, sah sekata, berkerapatan Dato'-dato' Yang Delapan. Kata bercari kepade Lembaga Yang Tiga iaitu Dato' Cincang, Dato' Mengerang dan Dato' Senara.
2. Tali adat kepada Menteri, tali pesaka kepada Ombi, sah batal surut lalu Undang kepada warisnya, hidup mati kepada Undang, gemuk berpupuk segar bersiram kepada warisnya.
3. Apabila Waris Ulu Jelebu menjadi Undang, Dato' Raja Balang titian adat, apabila Waris Kemin menjadi Undang, Dato' Maharaja Inda titian adat, apabila Waris Sarin menjadi Undang, Dato' Paduka titian adat (sekarang Dato' Raja Diraja/Dato' Raja Penghulu).
4. Apabila rosak pesaka bertengok kepada Dato' Ombi, apabila rosak adat bertengok kepada Dato' Menteri; patah tumbuh hilang berganti. Ganti hidup berkerelaan, ganti mati berkebulatan
Johol - Adat Benar
- Waris Dato’ Undang berketurunan langsung daripada keluarga Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang
- Penyandang pusaka ditentukan mengikut waris tertua mengikut nasab ibu
- Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga atau waris mengikut nasab ibu
- Ada sistem waris dan ada sistem bersuku-suku
- Dato’ Undang menjaga negeri bersama Yang di-Pertuan Besar
- Dato’ Undang berkuasa selepas mendapat muafakat waris berundang (Dato’ Buapak Waris)
- Ada Dato’ Lembaga menjaga jajahan dan ada juga menjaga suku di dalam jajahan
- Dato’ Buapak Waris menjaga waris berundang dalam adat
- Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan
- Mempunyai undang-undang bertulis sendiri dikenali Teromba Dato’ Johol
Rembau - Adat Perpatih
- Waris Dato’ Undang berketurunan Toh Lela Balang dan Toh Laut Dalam, dua beradik dari suku Minangkabau
- Penyandang pusaka ditentukan mengikut nasab ibu
- Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga mengikut nasab ibu
- Hanya amalkan sistem bersuku-suku
- Dato’ Undang menjaga negeri bersama Yang di-Pertuan Besar
- Dato’ Undang berkuasa selepas mendapat muafakat Dato’ Lembaga Tiang Balai
- Dato’ Lembaga menjaga suku
- To’ Buapak menjaga anak buah dalam perut suku
- Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan
Wilayah Adat Tampin (Adat Melayu - Temenggong dan Perpatih)
- Waris Tunku Besar Tampin berketurunan langsung Syed Syaaban bin Syed Ibrahim al-Qadri mengikut nasab bapa
- Penyandang pusaka Tunku Besar Tampin ditentukan mengikut nasab bapa mulai Tengku Syed Abdul Hamid bin Tengku Syed Syaaban al-Qadri
- Tunku Besar Tampin berkuasa secara berdiri sendiri
- Tunku Besar Tampin boleh menentukan penyandang pusaka Dato’ Penghulu Pesaka mengikut nasab ibu
- Dato’ Lembaga ditentukan mengikut nasab ibu dalam jajahan di wilayah Tampin
- Tunku Besar Tampin amalkan sistem waris bernasabkan bapa dan penyandang pusaka adat lain amalkan sistem bersuku-suku
- Dato’ Penghulu Pesaka menjaga jajahan dan Dato’ Lembaga menjaga suku dalam jajahan di wilayah Tampin
- Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu untuk suku yang berkenaan, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan
Pendidikan
Negeri Sembilan mempunyai beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Kebanyakan pusat institusi pengajian tinggi lebih tertumpu di bandar-bandar utama di Negeri Sembilan. Berikut merupakan beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta:
Institusi pengajian tinggi awam
Nama panjang | Nama pendek | Diasaskan | Lokasi |
---|---|---|---|
Politeknik Port Dickson | PPD | 1990 | Port Dickson |
Universiti Sains Islam Malaysia | USIM | 1998 | Nilai |
Universiti Teknologi MARA | UiTM | 1999 | Kuala Pilah,Seremban,Rembau&Nilai |
Politeknik Nilai | PNS | 2007 | Bandar Enstek, Nilai |
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik | IPG KPT | 2013 | Bandar Enstek, Nilai |
Institusi pengajian tinggi swasta dan kolej universiti
Nama panjang | Nama pendek | Diasaskan | Lokasi |
---|---|---|---|
Kolej Universiti Antarabangsa INTI | INTI-IU | 1998 | Nilai |
Manipal International University[18] | MIU | 2011 | Nilai |
Kolej Antarabangsa Nilai | NU | 1997 | Nilai |
Universiti Mayfield | MFU | 2005 | Bahau |
Kolej Universiti Linton | UCL | 1995 | Mantin |
Malaysia Theological Seminary | STM | 1979 | Seremban |
UCSI International School | UCSI | 1986 | Bandar Springhill |
Kolej Unniversiti Teknologi Islam | UNITI | 1997 | Pasir Panjang, Port Dickson |
Hospital
Berikut merupakan beberapa buah hospital awam dan hospital swasta yang terdapat di Negeri Sembilan:
Hospital Kerajaan
- Hospital Tuanku Jaafar, Seremban
- Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah
- Hospital Port Dickson
- Hospital Tampin
- Hospital Jelebu
- Hospital Jempol
- Hospital Rembau
Hospital Swasta
- Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
- Hospital Pakar Seremban[19]
- Columbia Asia Medical Center - Seremban
- Hospital Pakar Senawang
- Hospital Mawar[20]
- Pusat Perubatan NSCMH
- Columbia Asia Hospital
Makanan
Masakan tradisional Negeri Sembilan terkenal dengan tahap kepedasannya yang tinggi, dengan salah satu daripada bahan-bahan yang digunakan ialah lado api (cili padi), antara jenis cili yang sangat pedas. Selain itu, masakan Negeri Sembilan juga banyak menggunakan kaedah penyalaian, terutamanya pada ayam, daging, dan ikan. Antara hidangan-hidangan yang terkenal termasuklah masak lomak lado api (daging, ikan atau sayur yang dimasak dengan santan yang direncah dengan kunyit dan cili padi), rendang (di mana setiap daerah mempunyai variasinya yang tersendiri, misalnya rendang maman dari Gemencheh di Daerah Tampin), lemang dan apam johol.[21] Kepedasan itu boleh diredakan dengan Jando Pulang, iaitu minuman tradisi yang terdiri daripada air kelapa muda, isi kelapa dan air gula melaka.
Pengangkutan
Lokasi di Negeri Sembilan
Dari segi fasiliti pengangkutan, Negeri Sembilan mempunyai rangkaian jalan raya sepanjang 3,000 km. Pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan (PLUS) Lebuhraya Utara–Selatan Jajaran Selatan, Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) Lebuhraya Kajang–Seremban, Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) Lebuhraya Seremban–Port Dickson dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) Lebuhraya Utara–Selatan Lingkaran Tengah telah banyak memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya merentasi negeri termasuk ke Negeri Sembilan. Selain itu, sektor pengangkutan awam yang semakin pesat membangun memberi kesan yang positif terhadap masyarakat tempatan terutamanya dalam memberi keselesaan sewaktu melakukan perjalanan. Selain itu, terdapat juga kemudahan rangkaian jalan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar di dalam Negeri Sembilan dengan negeri-negeri di pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan lapangan terbang selain dari negeri Perlis. Walau bagaimanapun, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hanya terletak sejauh 30 minit perjalanan dari bandar Seremban melalui Lebuhraya Utara–Selatan dan Lebuhraya ELITE.
Seremban
Di ibu negeri, Seremban merupakan hab pengangkutan awam bagi Negeri Sembilan. Terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam boleh didapati di pusat bandar serta terdapat banyak pemilikan kenderaan persendirian seperti bas dan kereta api.
Bas
Seremban mempunyai sebuah stesen bas utama iaitu Terminal One yang menghubungkan Seremban dengan bandar-bandar utama di Negeri Sembilan seperti Kuala Pilah, Bahau, Rembau dan Malaysia seperti Alor Setar, Ipoh dan Melaka. Semua syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas berpusat di sini.
Kereta api
Stesen KTM Komuter Seremban ialah salah sebuah stesen komuter untuk Laluan KTM Komuter Seremban.[22] Dahulunya menjadi stesen penamat untuk perkhidmatan KTM Komuter tetapi jajaran aliran telah dipanjangkan menjangkau hingga stesen komuter Pulau Sebang/Tampin. Stesen ini menjadi nadi kepada penduduk Seremban yang bekerja dalam pelbagai sektor di Lembah Klang yang menjadikan komuter sebagai alternatif mengelakkan kesesakan di lebuh raya sekitar Kuala Lumpur pada waktu puncak. Terdapat juga penduduk yang bukan berasal dari kawasan Negeri Sembilan menetap di Seremban namun bekerja di kawasan Lembah Klang seperti dari Selangor dan Kuala Lumpur. Selain itu juga, terdapat lapan buah stesen kereta api yang lain di Negeri Sembilan iaitu Batang Benar, Nilai, Labu, Tiroi, Senawang, Sungai Gadut, dan Rembau. Semua nama stesen yang disebutkan merupakan sebahagian dari perkhidmatan Laluan Seremban.[23]
Gemas
Gemas yang terletak berdekatan dengan sempadan negeri Johor merupakan pertemuan antara laluan pantai barat (Padang Besar-Woodlands) dan laluan pantai timur (Tumpat-Gemas). Stesen Kereta Api Gemas merupakan satu-satunya stesen yang terletak di dalam Daerah Tampin.
Tampin
Tampin berjiran dengan Pulau Sebang, Melaka. Tampin boleh dihubungkan dengan Bandaraya Melaka, Seremban dan Johor Bahru melalui rangkaian jalan persekutuan. Lebuh raya utama tidak melalui daerah Tampin tetapi pengguna boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar melalui Tol Simpang Ampat, Alor Gajah. Stesen kereta api terdekat bagi bandar Tampin ialah Stesen Kereta Api Pulau Sebang/Tampin, Pulau Sebang yang terletak hanya 1 kilometer sahaja dari pusat bandar Tampin.
Senawang
Senawang yang mempunyai kemudahan pengangkutan rel juga dikenali sebagai Senawang halt, merupakan sebuah stesen kereta api yang menyediakan perkhidmatan sebagai perhentian di laluan komuter Batu Caves–Pulau Sebang. Stesen tersebut memulakan perkhidmatannya sejak 14 Mei 2011.
Jenis pengangkutan
Bas
Stesen bas Terminal One di Seremban merupakan pusat tumpuan bas utama di Negeri Sembilan yang menawarkan perkhidmatan bas ekspres harian ke semua bandar dan bandaraya utama di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Terminal One juga menyediakan perkhidmatan bas perbandaran biasa ke Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Bahau dan bandar-bandar lain di negeri tersebut.
Teksi
Teksi juga mudah diperolehi di Stesen Teksi Seremban di Jalan Tuanku Munawir. Dengan mengenakan tambang yang munasabah, seseorang boleh menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke bandar-bandar utama di Negeri Sembilan dan juga ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru.
Keretapi
Seremban dihubungkan ke Kuala Lumpur melalui perkhidmatan tren komuter pantas yang begitu selesa dan berlepas setiap 15 minit (Waktu puncak) dan 45 minit (Luar Waktu Puncak). Seremban juga mudah dihubungkan melalui rangkaian jalan keretapi utama di Semenanjung Malaysia yang menghubungkannya dengan kebanyakan bandar-bandar utama.
Kereta sewa
Kereta sewa boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk membolehkan seseorang memandu ke seluruh pelosok Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang sudah berada di Negeri Sembilan, urusan sewaan kereta boleh dijalankan melalui beberapa agen pelancongan.
Agen pelancongan
Sesetengah agen pelancongan utama mempunyai pejabat tersendiri di bandar Seremban. Lawatan ke seluruh negeri boleh diuruskan melalui hotel-hotel utama.[24]
Media
Televisyen
Saluran televisyen di Negeri Sembilan sebagaimana saluran televisyen di Malaysia yang mempunyai siaran percuma dan siaran berbayar. Siaran percuma disediakan melalui myFreeview dan mempunyai 31 saluran. Perkhidmatan siaran berbayar pula ditawarkan oleh Astro dan Unifi TV. Terdapat pemancar televisyen di Gunung Telapak Buruk untuk meliputi Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson, manakala Rembau, Tampin dan Jempol menerima siaran dari Gunung Ledang.
Cetak
Akhbar-akhbar yang terdapat di Negeri Sembilan antaranya:
- Berita Harian (dalam Bahasa Malaysia)
- Utusan Malaysia (dalam Bahasa Malaysia)
- Kosmo! (dalam Bahasa Malaysia)
- Harian Metro (dalam Bahasa Malaysia)
- Sinar Harian (dalam Bahasa Malaysia)
- New Straits Times (dalam Bahasa Inggeris)
- The Star (dalam Bahasa Inggeris)
- The Malay Mail (dalam Bahasa Inggeris)
- The Sun (dalam Bahasa Inggeris)
- Nanyang Siang Pau (dalam Bahasa Mandarin)
- Sin Chew Jit Poh (dalam Bahasa Mandarin)
- China Press (dalam Bahasa Mandarin)
- Malaysia Nanban (dalam Bahasa Tamil)
- Makkal Osai (dalam Bahasa Tamil)
Radio
Berikut merupakan frekuensi stesen radio yang terdapat di Negeri Sembilan, sama ada dimiliki oleh kerajaan ataupun swasta.
Frekuensi | Stesen | Pengendali | Bahasa |
---|---|---|---|
87.9 | Radio Klasik | RTM | Melayu |
88.3 | 8FM | Media Prima Audio | Mandarin, Kantonis |
88.7 | TraXX FM | RTM | Inggeris |
88.9 | goxuan | Astro Radio | Mandarin, Kantonis |
89.7 | Ai FM | RTM | Mandarin, Kantonis, Hokkien |
89.9 | BFM | BFM Media | Inggeris |
90.5 | Minnal FM | RTM | Tamil |
91.1 | Asyik FM | RTM | Semai, Temiar, Jakun, Temuan |
92.6 | Negeri FM | RTM | Melayu |
93.3 | 988 FM | Star Media Radio Group | Mandarin, Kantonis |
94.2 | mix | Astro Radio | Inggeris |
94.8 | Best FM | Suara Johor | Melayu |
95.0 | hitz | Astro Radio | Inggeris |
96.9 | sinar | Astro Radio | Melayu |
97.9 | MELODY | Astro Radio | Mandarin, Kantonis |
98.6 | Fly FM | Media Prima Audio | Inggeris |
99.5 | Hot FM | Media Prima Audio | Melayu |
100.6 | MY | Astro Radio | Mandarin, Kantonis |
101.3 | Buletin FM | Media Prima Audio | Melayu |
101.5 | raaga | Astro Radio | Tamil |
102.7 | Radio IKIM | IKIM | Melayu, Inggeris, Arab |
103.6 | ERA | Astro Radio | Melayu |
104.6 | Lite | Astro Radio | Inggeris |
104.9 | zayan | Astro Radio | Melayu |
106.0 | CITYPlus FM | Ooga X | Mandarin, Kantonis |
107.0 | SURIA | Star Media Radio Group | Melayu |
Lihat juga
- Budaya di Negeri Sembilan
- Pelancongan di Negeri Sembilan
- Pengangkutan di Negeri Sembilan
- Identiti Negeri Sembilan
- Senarai orang dari Negeri Sembilan
Rujukan
- ^ http://maps.google.com/maps?f=q&hl=en&q=Negeri+Sembilan%2C+Malaysia
- ^ de Josselin de Jong, P. E., (1951), Minangkabau and Negri Sembilan, Leiden, The Hague.
- ^ Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 164
- ^ a b c d Rosiswandy bin Mohd Salleh. "Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan" (PDF). Jabatan Muzium Malaysia. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2020-09-30. Dicapai pada 22 Januari 2021.
- ^ "Colonial Reports--annual, Issues 1570-1599". Dicapai pada 9 January 2021.
- ^ a b c "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 3 September 2022.
- ^ Yaakub Idrus. Rumah Melayu Negeri Sembilan: satu analisis seni bina Melayu. Penerbit Fajar Bakti, 1966, m/s. 11. https://malaycivilization.com.my/omeka/files/original/a884b36ae16d4af41735580e8b03038b.pdf
- ^ Yaakub Idrus. Rumah Melayu Negeri Sembilan: satu analisis seni bina Melayu. Penerbit Fajar Bakti, 1966, m/s. 11-12. https://malaycivilization.com.my/omeka/files/original/a884b36ae16d4af41735580e8b03038b.pdf
- ^ "Local government in Malaysia: Types, functions, organisation, members and budget". Penang Monthly. November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-02-26. Dicapai pada 2021-01-22.
- ^ Ganason, Anesh. "Land Administration System in Malaysia: Building Institutional and Organisational Capacity for Coordinating Land Administration between the Federal and State Authorities" (PDF). Universiti Kebangsaan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2021-02-04. Dicapai pada 2021-01-22.
- ^ Korporat SUKNS (1 Disember 2019). "Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menjunjung Duli". Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-23. Dicapai pada 24 Januari 2021.
- ^ a b c "Latar Belakang Mahkamah Malaysia dan Mahkamah Negeri Sembilan". Portal Rasmi Mahkamah Negeri Sembilan. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-28. Dicapai pada 22 Januari 2021.
- ^ Wirani Fadhilah. "Kerjasama Sister City Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia dengan Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia 2011-2017" (PDF). Universitas Komputer Indonesia. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2021-01-22. Dicapai pada 22 Januari 2021.
- ^ "Kota Kembar Kota Bukittinggi". Pemerintahan Kota Bukittinggi. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-10-31. Dicapai pada 22 Januari 2021.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-10-27. Dicapai pada 2014-10-26.
- ^ "Tidak semua luak mengamalkan Adat Perpatih di Negeri Sembilan". Majlis Dato' Lembaga Sungai Ujong. 1 Januari 2024. Dicapai pada 27 Mei 2024.
- ^ "Majlis Dato Lembaga Adat Sungai Ujong". Majlis Dato Lembaga Adat Sungai Ujong. 1 Januari 2024. Dicapai pada 30 Mei 2024.
- ^ Manipal International University Diarkibkan 2017-07-10 di Wayback Machine
- ^ Hospital Pakar Seremban Diarkibkan 2013-08-06 di Wayback Machine
- ^ Hospital Mawar Diarkibkan 2015-01-02 di Wayback Machine
- ^ http://go2travelmalaysia.com/tour_malaysia/ns_historical.htm
- ^ Laluan Batu Caves - Tampin Diarkibkan 2017-03-27 di Wayback Machine.
- ^ "Klang Valley Integrated Transit Map" [Peta Transit Berintegrasi Lembah Klang] (PDF). MyRapid (dalam bahasa Inggeris). Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. 2021. Dicapai pada 20 Februari 2022.
- ^ "Kemudahan pengangkutan di Negeri Sembilan" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2014-11-29. Dicapai pada 2014-11-21.
Pautan luar
- Negeri Sembilan
- Peta-peta berkaitan dengan Negeri Sembilan
- Laman rasmi Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus
Sepang, Selangor Selat Melaka |
Bentong / Bera, Pahang Hulu Langat, Selangor |
Bera, Pahang | ||
Selat Melaka | Bera, Pahang Kuala Rompin, Pahang Segamat, Johor | |||
Negeri Sembilan | ||||
Selat Melaka | Alor Gajah / Jasin, Melaka | Ledang, Johor |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Negeri Sembilan |
Wikibuku mempunyai maklumat lanjut berkenaan topik: Negeri Sembilan |
Wikikembara memiliki panduan pelancongan bagi Negeri Sembilan. |
Wikikamus mempunyai kategori di: Bahasa Melayu Negeri Sembilan |