Labuan | ||||||
---|---|---|---|---|---|---|
Wilayah Persekutuan Labuan | ||||||
Transkripsi Lain-lain | ||||||
• Jawi | لابوان | |||||
• Cina | 纳闽 | |||||
Dari atas, kiri ke kanan: Kompleks Labuan Taman Kewangan, Tanah Perkuburan Perang Labuan, Lapangan Terbang Labuan, dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan | ||||||
Nama panggilan: Pulau Mutiara Borneo | ||||||
![]() | ||||||
Koordinat: 5°19′13.16″N 115°12′40.42″E / 5.3203222°N 115.2112278°E | ||||||
Negara | Malaysia | |||||
Ibu kota | Bandar Victoria | |||||
Pentadbiran | ||||||
• Jenis | Pemerintahan persekutuan dengan kerajaan tempatan | |||||
• Badan | Perbadanan Labuan | |||||
• Pengerusi | Anifah Aman | |||||
Keluasan | ||||||
• Jumlah | 91 km2 (35 batu persegi) | |||||
Aras tertinggi | 94 m (308 ft) | |||||
Penduduk (2020) | ||||||
• Jumlah | 95,120 | |||||
• Kepadatan | 1,038/km2 (2,690/batu persegi) | |||||
Indeks Pembangunan Manusia | ||||||
• IPM (2023) | 0.843 (tinggi) (ke-3) | |||||
Zon waktu | UTC+8 (MST) | |||||
Kod kawasan | 087 | |||||
Pendaftaran kenderaan | L SL (sebelum menjadi WP) | |||||
Min waktu suria | UTC+06:46:40 | |||||
Laman sesawang | www.pl.gov.my |
Labuan, atau nama rasminya Wilayah Persekutuan Labuan merupakan sebuah Wilayah Persekutuan di Malaysia. Wilayah ini merangkumi keseluruhan pulau Labuan yang mempunyai keluasan 91.64 km2, dan enam pulau kecil di luar perairan negeri Sabah di Malaysia Timur. Pulau Labuan terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, dua jam setengah penerbangan dari Kuala Lumpur, dan sekitar 30 km dari pantai Brunei. Labuan telah diisytihar sebagai pusat kewangan luar pantai pada 1990 dan pelabuhan bebas cukai sejak 1956. Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan". Pusat pentadbiran bagi Labuan ialah Bandar Victoria, yang terkenal sebagai pusat kewangan luar pesisir yang menawarkan perkhidmatan dan perniagaan antarabangsa sejak 1990, serta menjadi hab sokongan luar pesisir bagi aktiviti minyak dan gas serantau.
Sejarah

Empayar British 1846–1848[3][1]
Jajahan Mahkota Labuan 1848–1941[1][4][5]
• Borneo Utara British 1890–1904
• Empayar British 1904–1906
• Negeri-Negeri Selat 1907–1941[6][7]
Empayar Jepun 1942–1945
Jajahan Mahkota Borneo Utara 1946–1963[8]
Malaysia 1963–kini[9]
• Sabah 1963–1984



Selama tiga abad sejak abad ke-15, Pulau Labuan merupakan sebahagian dari Kesultanan Brunei.[1][2] Pada 1775, Labuan telah diduduki sementara oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris setelah kekalahan mereka di Pulau Balambangan. Sultan Omar Ali Saifuddien I, Sultan Brunei cuba mendapatkan sokongan syarikat itu terhadap penceroboh Sulu dengan menawarkan pulau Labuan sebagai alternatif kepada pulau Balambangan, namun syarikat itu sebaliknya cuba menduduki Balambangan buat kali kedua dan gagal. Penawaran semula Labuan oleh baginda Sultan kepada syarikat itu tidak menyebabkan penubuhan mana-mana penempatan tetap British di pulau itu.[10]
Kedatangan semula British
Labuan mula menarik semula perhatian British pada abad ke-19, apabila Kapten Rodney Mundy telah memperoleh pulau itu bagi pihak British melalui Perjanjian Labuan yang dimeterai bersama Sultan Omar Ali Saifuddin II pada 18 Disember 1846.[11] Rodney Mundy telah membawa Pengiran Momin bagi menyaksikan penyerahan pulau itu kepada kerajaan British pada 24 Disember 1846.[12] Beberapa sumber menyatakan bahawa Sultan telah diugut oleh tentera British yang akan menyerang istana Sultan jika baginda enggan menandatangani perjanjian itu, dan terdapat juga sumber lain yang mengatakan bahawa penyerahan pulau itu merupakan ganjaran kepada British atas bantuan mereka memerangi lanun.[3][13][14]
Antara sebab utama penyerahan Labuan kepada British ialah keinginan British untuk membina pengkalan tentera laut bagi melindungi kepentingan komersial mereka di rantau ini dan menyekat kegiatan lanun di Laut China Selatan.[1][15][16] British juga mempercayai bahawa Labuan akan menjadi sebuah pulau seperti Singapura.[17] Pada 1848, Labuan telah menjadi sebuah jajahan Mahkota dengan James Brooke sebagai gabenor pertamanya.[1][4][5][18] Pada 1849, Syarikat Kepulauan Timur (Eastern Archipelago Company) menjadi antara syarikat pertama British yang cuba mengeksploitasi deposit arang batu pulau itu, namun tidak lama kemudian mereka terlibat dalam pertikaian dengan James Brooke.[19][1][20][21] Menyedari Labuan bukanlah aset komersial yang hebat dan strategik, pentadbiran pulau itu telah diserahkan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada 1890.[22][23] Syarikat itu kemudiannya tidak dapat mengurus Labuan dengan baik, bahkan pada 1904, pulau itu dicadangkan untuk diserahkan semula kepada Brunei.[24] Pada 1894, British telah membina kabel komunikasi bawah laut bagi menghubungkan komunikasi pulau itu dengan Borneo Utara, Singapura dan Hong Kong buat kali pertama.[25] Menjelang 30 Oktober 1906, kerajaan British telah bercadang untuk memasukkan Labuan ke dalam Negeri-Negeri Selat, di mana cadangan itu mula berkuat kuasa pada 1 Januari 1907.[6][7]
Pendudukan Jepun

Sewaktu Perang Dunia Kedua, Labuan telah diduduki oleh Jepun dari 3 Januari 1942 hingga Jun 1945 dan berada di bawah kawalan unit Tentera Jepun ke-37 yang mengawal Borneo Utara.[26] Pulau itu telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran tentera Jepun dan ditukar namanya kepada Pulau Maida (前田島 [Maeda-shima]) sempena nama Komander tentera Jepun di Borneo, Marquis Toshinari Maeda.[1][27] Jepun juga telah membangunkan Labuan dan Teluk Brunei sebagai pengkalan tentera laut apabila serangan balas tentera Berikat makin hampir.[12]
Pembebasan Borneo oleh tentera Berikat bermula pada 10 Jun 1945 apabila tentera Australia mula melancarkan serangan di bawah nama kod Operasi Oboe Six, di mana Labuan menjadi objektif utama untuk dirampas semula dari Jepun.[28] Divisyen 9 tentera Australia telah melancarkan serangan dengan bantuan serangan dari udara dan pengeboman di laut sehingga penawanan lapangan terbang Labuan.[29][30] Sebahagian besar pulau itu termasuklah bandar Victoria telah berada di bawah kawalan tentera Berikat dalam tempoh empat hari selepas pendaratan pada 10 Jun.[28] Pada 9 September 1945, Leftenan Jeneral Jepun, Masao Baba telah menyerah diri secara rasminya di kawasan yang kini dikenali sebagai Tugu Penyerahan Jepun (Surrender Point) berdekatan dengan pantai Layang-Layang, dan beliau telah di bawa ke ibu pejabat Divisyen 9 di pulau itu bagi menandatangani dokumen penyerahan.[31]
Kemerdekaan
Selepas penyerahan Jepun, nama Labuan telah dikembalikan oleh British dan pentadbiran pulau itu telah digantikan dengan Pentadbiran Tentera British. Pada 15 Julai 1946, pentadbiran Tentera British telah dimansuhkan dan Labuan seterusnya dimasukkan ke dalam Jajahan Mahkota Borneo Utara yang baru ditubuhkan. Pada 31 Ogos 1963, Borneo Utara telah mendapat hak berkerajaan sendiri dan menyertai persekutuan baharu, Malaysia pada 16 September 1963 sebagai negeri Sabah.[1][8]
Pada tahun 1984, kerajaan Sabah telah menyerahkan Labuan kepada kerajaan Persekutuan bagi menjadikannya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. Hal ini dilakukan bagi menjadikannya sebuah pusat kewangan luar pesisir.[9] Pada 16 April 1984, Labuan secara rasminya menjadi Wilayah Persekutuan kedua Malaysia selepas Kuala Lumpur. Pada tahun 1990, Labuan telah diisytihar sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa dan zon perdagangan bebas.[32]
Kerajaan
Labuan merupakan salah sebuah Wilayah Persekutuan di Malaysia. Pulau ini ditadbir oleh kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan, sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Perbadanan Labuan merupakan kerajaan tempatan bagi pulau ini dan diketuai oleh seorang pengerusi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pentadbiran Labuan. Labuan mempunyai seorang perwakilan di Dewan Negara dan seorang di Dewan Rakyat. Ahli Dewan Negara bagi Labuan yang terkini ialah Anifah Aman dari Parti Cinta Sabah, merupakan senator pertama yang bukan penduduk Labuan. Perwakilan Labuan di Dewan Rakyat pula ialah Suhaili Abdul Rahman dari Perikatan Nasional. Secara lazimnya, ahli Parlimen bagi Labuan akan dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan.
Berikut merupakan senarai pengerusi Perbadanan Labuan sejak tahun 2001.
Nama | Mula | Tamat |
---|---|---|
Othman Mohd Rijal | 2001 | 2003 |
Suhaili Abdul Rahman | 2003 | 2008 |
Ahmad Phesal Talib | 2008 | 2011 |
Yussof Mahal | 2011 | 2013 |
Rozman Isli | 2013 | 2018 |
Amir Hussein | 2019 | 2021 |
Bashir Alias | 2021 | 2023 |
Anifah Aman | 2023 | kini |
Pecahan pentadbiran
Labuan secara pentadbirannya dibahagikan kepada Bandar Victoria dan 27 kampung,[33] di mana setiap kampung diketuai oleh seorang ketua kampung:
- Bukit Kalam
- Durian Tunjung
- Tanjung Aru
- Pohon Batu
- Batu Arang
- Patau-Patau 2
- Belukut
- Sungai Keling
- Sungai Bedaun / Sungai Sembilang
- Layang-Layangan
- Sungai Labu
- Pantai
- Gersik / Saguking / Jawa / Parit
- Sungai Buton
- Kilan / Kilan Pulau Akar
- Lajau
- Rancha-Rancha
- Nagalang / Kerupang
- Bebuloh
- Sungai Lada
- Lubok Temiang
- Sungai Bangat
- Sungai Miri / Pagar
- Patau-Patau 1
- Batu Manikar
- Bukit Kuda
- Ganggarak / Merinding
Keselamatan
Keselamatan Labuan merupakan tanggungjawab kerajaan Persekutuan, dengan kapal peronda tentera laut, garison, dan pasukan tentera udara yang berpangkalan di pulau itu. Kewaspadaan pengawal pantai, kastam dan eksais tempatan menyumbang kepada pengekalan reputasi dan status Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa dan zon perdagangan bebas.
Geografi


Wilayah Persekutuan Labuan terdiri daripada Pulau Labuan, iaitu pulau utama dengan keluasan 91.64 kilometer persegi dan enam pulau kecil yang lain di sekitarnya iaitu Pulau Papan, Pulau Daat, Pulau Burong, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar. Pulau-pulau itu terletak lapan kilometer di luar pantai Borneo, bersebelahan dengan negeri Sabah dan terletak di utara negara Brunei, di pinggir utara Teluk Brunei berhadapan dengan Laut China Selatan. Bentuk muka bumi Labuan kebanyakannya merupakan kawasan rata dan beralun, dengan titik tertingginya terletak di Bukit Kubong yang hanya berketinggian 94 meter.
Labuan mempunyai iklim hutan hujan tropika tanpa musim kemarau. Sepanjang setahun, suhu kebiasannnya berbeza dari 25 hingga 32 °C (77 to 90 °F) dan jarang sekali di bawah 24 °C (75 °F) atau di atas 33 °C (91 °F). Musim panas berlangsung dari April hingga Jun dengan purata suhu tinggi harian melebihi 31 °C (88 °F). Musim sejuk pula berlangsung dari Januari ke Februari puraha suhu tinggi harian kurang daripada 30 °C (86 °F).[34] Stesen kaji cuaca bagi Labuan terletak di Lapangan Terbang Labuan.
Daripada kesemua hari dengan kerpasan yang diperhatikan di Labuan, 60% daripadanya diselangi dengan ribut petir. Ia kebiasaannya berlaku sangat kerap pada bulan Oktober. Kadar kelembapan relatif di Labuan pula berkisar antara 63% (sederhana lembap) hingga 96% (sangat lembap) dalam masa setahun, jarang sekali menurun di bawah 53% dan mencapai setinggi 100%.
Data iklim untuk Labuan (Lapangan Terbang Labuan) (1991–2020 normal, ekstrem 1930–kini) | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Rekod tinggi suhu, °C (°F) | 34.0 (93.2) |
35.3 (95.5) |
36.4 (97.5) |
36.6 (97.9) |
35.7 (96.3) |
34.9 (94.8) |
34.4 (93.9) |
35.0 (95.0) |
34.2 (93.6) |
34.3 (93.7) |
34.7 (94.5) |
34.4 (93.9) |
36.6 (97.9) |
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) | 30.4 (86.7) |
30.6 (87.1) |
31.6 (88.9) |
32.1 (89.8) |
32.1 (89.8) |
31.7 (89.1) |
31.5 (88.7) |
31.6 (88.9) |
31.4 (88.5) |
31.0 (87.8) |
31.1 (88.0) |
30.8 (87.4) |
31.3 (88.3) |
Purata suhu harian, °C (°F) | 27.3 (81.1) |
27.2 (81.0) |
27.7 (81.9) |
28.3 (82.9) |
28.4 (83.1) |
28.1 (82.6) |
27.9 (82.2) |
28.0 (82.4) |
27.8 (82.0) |
27.5 (81.5) |
27.6 (81.7) |
27.5 (81.5) |
27.8 (82.0) |
Purata minimum suhu harian, °C (°F) | 24.9 (76.8) |
24.9 (76.8) |
25.1 (77.2) |
25.4 (77.7) |
25.6 (78.1) |
25.2 (77.4) |
25.0 (77.0) |
25.1 (77.2) |
24.9 (76.8) |
24.7 (76.5) |
24.8 (76.6) |
24.9 (76.8) |
25 (77) |
Rekod rendah suhu, °C (°F) | 21.3 (70.3) |
21.1 (70.0) |
20.8 (69.4) |
21.7 (71.1) |
20.4 (68.7) |
20.0 (68.0) |
19.3 (66.7) |
21.2 (70.2) |
21.0 (69.8) |
21.5 (70.7) |
21.9 (71.4) |
21.8 (71.2) |
19.3 (66.7) |
Purata kerpasan, mm (inci) | 222.8 (8.77) |
105.2 (4.14) |
124.4 (4.90) |
216.5 (8.52) |
267.0 (10.51) |
312.1 (12.29) |
299.3 (11.78) |
311.1 (12.25) |
332.9 (13.11) |
427.5 (16.83) |
364.8 (14.36) |
336.4 (13.24) |
3,320 (130.7) |
Purata bilangan hari kerpasan (≥ 1.0 mm) | 11.0 | 7.1 | 9.0 | 12.4 | 14.4 | 14.5 | 14.0 | 13.3 | 15.4 | 18.4 | 17.4 | 15.3 | 162.2 |
Purata kelembapan relatif (%) (at 14:00) | 73 | 74 | 71 | 70 | 71 | 69 | 69 | 70 | 70 | 72 | 73 | 73 | 71 |
Purata bulanan jangka masa sinaran matahari | 202.6 | 199.8 | 248.2 | 250.3 | 243.1 | 214.9 | 220.5 | 222.3 | 195.6 | 206.0 | 209.7 | 214.4 | 2,627.4 |
Sumber 1: Pertubuhan Meteorologi Dunia[35]
Deutscher Wetterdienst (humidity, 1939–1966)[36] | |||||||||||||
Sumber 2: Meteo Climat (record highs and lows)[37] |
Ekonomi

Ekonomi Labuan berkembang pusat dengan sumber minyak dan gas yang luas serta perkhidmatan pelaburan dan perbankan antarabangsa. Ekonomi Labuan sebahagian besarnya berorientasikan import-eksport. Hampir semua komoditinya seperti minyak mentah, metanol, besi panas berbriket (HBI), gas, tepung, makanan haiwan, hasil laut dan jubin seramik dieksport ke Semenanjung Malaysia dan luar negara. Bahan mentah, alat ganti dan peralatan untuk kegunaan industri serta produk pengguna pula diimport. Pada tahun 2004, jumlah nilai perdagangan luar Labuan mencecah RM 11.8 bilion berbanding hanya RM 5 bilion pada tahun 1995 untuk lebihan dagangan bersih sebanyak RM 5.1 bilion. Antara rakan perdagangan utamanya ialah Semenanjung Malaysia, Sarawak, India dan Korea Selatan. 65 peratus daripada jumlah eksportnya terdiri daripada hasil berasaskan gas dan petroleum.[38]
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Labuan dianggarkan berjumlah RM 3.63 bilion pada tahun 2012 dengan kadar pertumbuhan 5.8 peratus. KDNK per kapita Labuan pula berjumlah RM 39,682 dengan jumlah pekerjaan mencecah 39,800. Sektor ekonomi utama di Labuan ialah sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang 94.6 peratus daripada jumlah KDNK wilayah. Sektor perkhidmatan ini sebahagian besarnya terdiri daripada perkhidmatan perniagaan, insurans, hartanah dan kewangan manakala sektor pembuatan pula terdiri daripada industri minyak dan gas.[39]
Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah diwujudkan sebagai satu-satunya hab kewangan luar pesisir Malaysia pada Oktober 1990 dan beroperasi di bawah nama Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan (IOFC). Pada masa itu, ia ditubuhkan untuk mengukuhkan sumbangan perkhidmatan kewangan kepada KDNK Malaysia serta membangunkan pulau dan kawasan sekitarnya. Bidang kuasa yang diselia oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LOFSA) menawarkan faedah seperti cukai 3 peratus atas keputusan bersih yang diaudit atau kadar rata RM 20,000 kepada syarikat perdagangan, kos operasi yang rendah, kawalan pertukaran liberal dan pelbagai kelebihan lain termasuklah pembekal perkhidmatan yang sedia ada, berpengalaman dan profesional. Pada tahun 2010, tanggapan "luar pesisir" telah dikecualikan daripada kesemua statut Labuan kerana tekanan dunia terhadap kawasan perlindungan cukai dan luar pesisir.
Sejak penubuhannya, bidang kuasa ini telah berkembang menjadi pangkalan bagi lebih daripada 4,800 syarikat luar pesisir dan 68 bank berlesen. Ia juga mempunyai lebih 370 yayasan berdaftar, 100 perkongsian dan 63 amanah berlesen.[40] Labuan IBFC sedang memulakan strategi pertumbuhan yang agresif untuk menjadi pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa utama di rantau Asia Pasifik.
Sektor perniagaan Labuan tertumpu pada lima teras iaitu syarikat induk luar pesisir, insurans kaptif, struktur kewangan Islam patuh Syariah, dana awam dan swasta serta pengurusan kekayaan. Kedudukan Labuan IBFC dipertingkatkan lagi dengan pelancaran inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia pada Ogos 2006.
Demografi
Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1991 | 54,241 | — |
2000 | 70,871 | +30.7% |
2010 | 83,920 | +18.4% |
2020 | 95,120 | +13.3% |
Sumber: [41] |
Taburan etnik di Labuan (2020)[42]
Menurut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Labuan mempunyai penduduk berjumlah 95,120 orang, dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 0.67 peratus pada tahun 2021. Labuan merupakan wilayah keempat terpadat di Malaysia, dengan kadar kepadatan penduduk mencecah 1,034 orang perkilometer persegi. Kadar kelahiran kasar bagi Labuan dicatatkan sebanyak 17 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk, manakala kadar kematian kasar direkodkan sebanyak tiga kematian per 1,000 penduduk. 11.4 peratus daripada jumlah penduduk Labuan merupakan bukan warganegara, merupakan peratusan yang tertinggi antara Wilayah Persekutuan yang lain.[41]
Sebahagian besar penduduk Labuan merupakan masyarakat Bumiputera, yang tergolong dalam 76.4 peratus daripada jumlah penduduk. Masyarakat Bumiputera ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan majoriti, orang beretnik Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan Lundayeh serta beberapa golongan masyarakat Bumiputera lain seperti Iban, Bidayuh dan Melanau. Masyarakat Melayu di Labuan kebanyakannya berketurunan Melayu Brunei atau ada juga yang berketurunan Kedayan. Penduduk Labuan juga terdiri daripada masyarakat bukan Bumiputera, majoritinya merupakan penduduk berbangsa Cina dan sebilangan kecil berketurunan India dan lain-lain. Sebahagian besar penduduk berbangsa Cina di Labuan merupakan orang Hoklo, dan terdapat juga ramai orang Hakka, kebanyakannya berasal atau berketurunan dari Sabah.
Kaum/ Etnik | Populasi 2020[42] | |
---|---|---|
Jumlah | % | |
Melayu | 23,640 | 24.9% |
Kadazan-Dusun | 9,408 | 9.9% |
Bajau | 6,866 | 7.2% |
Murut | 1,265 | 1.3% |
Iban | 1,153 | 1.2% |
Bumiputera lain | 30,339 | 32.0% |
Cina | 9,843 | 10.3% |
India | 891 | 0.9% |
Lain-lain | 883 | 0.9% |
Bukan warganegara | 10,832 | 11.4% |
Agama
Islam ialah agama rasmi bagi persekutuan Malaysia, termasuklah Wilayah Persekutuan. Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi, namun agama lain juga boleh diamalkan oleh penduduk. Penduduk beragama Islam merupakan majoriti di Labuan, yang mewakili lebih 77 peratus daripada jumlah penduduk. Penganut agama Islam di Labuan majoritinya terdiri daripada beberapa etnik Bumiputera Muslim seperti Melayu, Bajau dan Kedayan. Kristian merupakan agama kedua terbesar di Labuan, di mana hampir 14 peratus penduduk menganut agama itu. Penganut Kristian di Labuan kebanyakannya terdiri daripada orang Kadazan-Dusun dan juga kelompok signifikan lain seperti masyarakat berbangsa Cina. Penganut agama Buddha pula mewakili lapan peratus daripada jumlah penduduk, majoritinya merupakan penduduk berbangsa Cina. Terdapat juga beberapa agama lain yang merupakan minoriti, antaranya termasuklah agama Hindu, Sikh, Taoisme, Konfusianisme dan agama rakyat Cina, serta ada juga yang tidak beragama.[41]
Pembangunan dan kemudahan

Tidak seperti Wilayah Persekutuan yang lain, pembangunan infrastruktur awam di Labuan agak kurang membangun. Landskap pulau ini dicirikan dengan campuran bangunan lama dan kemajuan seni bina moden yang terhad. Projek infrastruktur utama seperti pembangunan rangkaian jalan dan sistem pengangkutan awam di Labuan kurang meluas, sehingga menyebabkan masalah trafik yang signifikan terutamanya pada waktu puncak. Labuan mempunyai rangkaian jalan raya dengan panjang berjumlah 274.7 kilometer, terdiri daripada jalan persekutuan sepanjang 142 kilometer dan jalan negeri sepanjang 132 kilometer. Antara jalan utama di Labuan ialah Laluan Persekutuan 700 yang menghubungkan kawasan-kawasan di utara dan selatan pulau ini.
Antara hab pengangkutan utama yang menghubungkan pulau Labuan dengan tanah besar Borneo ialah perkhidmatan feri dan bot. Terdapat perkhidmatan feri dari Kota Kinabalu dan Menumbok di Sabah serta dari Terminal Feri Serasa di Brunei. Terdapat juga perkhidmatan bot ekspres dari Sipitang di Sabah serta Lawas dan Limbang di Sarawak yang menawarkan perjalanan yang lebih cepat. Terminal Feri Antarabangsa Labuan merupakan hab pengangkutan air utama di pulau ini. Labuan turut mempunyai sebuah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Labuan yang dikendalikan oleh Malaysia Airports. Lapangan terbang ini menawarkan perkhidmatan penerbangan penumpang ke Miri, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Perkhidmatan penerbangan ini disediakan oleh syarikat penerbangan AirAsia, Malaysia Airlines dan MASwings.
Sehingga kini, tiada perkhidmatan pengangkutan darat yang dibangunkan bagi menghubungkan pulau Labuan dengan tanah besar Borneo. Terdapat cadangan bagi membina sebuah jambatan dari pulau itu ke Menumbok, Sabah yang mula diperkenalkan sekitar 1990-an. Namun, projek itu telah menghadapi banyak kelewatan dan tidak dapat diteruskan kerana kajian kebolehlaksanaan projek yang telah lapuk dan perlu dikemas kini bagi memastikan projek itu dapat berjalan dengan lancar.
Sektor pendidikan di Labuan berada di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Terdapat sebanyak 27 sekolah kerajaan di Labuan, terdiri daripada 17 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah. Daripada 17 sekolah rendah, 15 daripadanya merupakan sekolah kebangsaan dan dua lagi merupakan sekolah jenis kebangsaan (Cina). Sekolah menengah pula terdiri daripada lapan sekolah menengah kebangsaan, sebuah Sekolah Berasrama Penuh iaitu SM Sains Labuan dan sebuah kolej vokasional iaitu Kolej Vokasional Labuan. Selain sekolah kerajaan, terdapat juga 10 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah agama yang berada di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan. Labuan turut mempunyai tiga buah sekolah swasta, terdiri daripada sebuah sekolah rendah, sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah antarabangsa.[42]
Labuan juga menempatkan beberapa institusi pendidikan tinggi yang terdiri daripada universiti dan kolej awam serta kolej matrikulasi. Antara universiti awam yang terdapat di Labuan ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan. Selain universiti, terdapat juga Institut Latihan Perindustrian Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan.
Sektor penjagaan kesihatan di Labuan pula dikelola oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Terdapat hanya sebuah hospital di Labuan, iaitu Hospital Labuan yang berkapasiti 122 katil. Namun, Labuan juga mempunyai dua klinik kesihatan, sebuah klinik komuniti dan 10 klinik desa yang terletak di serata pulau dan menyediakan pemeriksaan dan rawatan kesihatan awal kepada penduduk tempatan.
Lihat juga
Nota kaki
- ^ a b c d e f g h i Stephen R. Evans; Abdul Rahman Zainal; Rod Wong Khet Ngee (1996). The History of Labuan Island (Victoria Island) (PDF). Calendar Print Pte Ltd. ISBN 981-00-7764-5. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 1 Julai 2013.
- ^ a b R. W. McColl (1 Januari 2005). Encyclopedia of World Geography. Infobase Publishing. m/s. 123–. ISBN 978-0-8160-7229-3.
- ^ a b Rozan Yunos (7 September 2008). "Loss of Labuan, a former Brunei island". The Brunei Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 April 2014. Dicapai pada 29 April 2014.
- ^ a b "Opening of the New Colony of Labuan". Sydney Daily Advertiser. National Library of Australia. 23 September 1848. Dicapai pada 29 April 2014.
- ^ a b Philip Mathews (28 Februari 2014). Chronicle of Malaysia: Fifty Years of Headline News, 1963–2013. Editions Didier Millet. m/s. 15–. ISBN 978-967-10617-4-9.
- ^ a b Alexander Wood Renton; Maxwell Anderson Robertson; Frederick Pollock; William Bowstead (1908). Encyclopædia of the laws of England with forms and precedents by the most eminent legal authorities. Sweet & Maxwell.
- ^ a b United States. Hydrographic Office (1917). Asiatic Pilot: The coasts of Sumatra and the adjacent straits and islands. Hydrographic office under the authority of the secretary of the navy.
- ^ a b Paul H. Kratoska (2001). South East Asia, Colonial History: Peaceful transitions to independence (1945–1963). Taylor & Francis. m/s. 129–. ISBN 978-0-415-24784-9.
- ^ a b "Laws of Malaysia A585 Constitution (Amendment) (No.2) Act 1984". Government of Malaysia. Department of Veterinary Services. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 April 2014. Dicapai pada 28 April 2014.
- ^ B.A. Hussainmiya, Brunei Revival of 1906 A Popular History, Brunei Press Sdn Bhd, Brunei, 2006, p.xi
- ^ Rodney Mundy; James Brooke (1848). Narrative of events in Borneo and Celebes, down to the occupation of Labuan: from the journals of James Brooke, Rajah of Sarãwak, and governor of Labuan, together with a narrative of the operations of H.M.S. Iris. Murray. m/s. 367–.
- ^ a b Graham Saunders (5 November 2013). A History of Brunei. Routledge. m/s. 78 & 123. ISBN 978-1-136-87394-2.
- ^ B.A. Hussainmiya (2006). Brunei Revival of 1906 (A Popular History) – The Surrender of Labuan and The First Brunei-British Treaty (PDF). Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam; Brunei Press Sdn Bhd. m/s. 12/34. ISBN 99917-32-15-2. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 12 September 2014. Dicapai pada 29 April 2014.
- ^ W. H. Treacher, C.M.G. M.A. Oxon (1891). "British Borneo: Sketches of Brunai, Sarawak, Labuan and North Borneo" (PDF). University of California Libraries. Trinity Theological College. m/s. 12 / Chapter VI. Pages 84–92. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 11 Oktober 2013. Dicapai pada 29 April 2014.
- ^ Henry Keppel (2009). The Expedition to Borneo of H. M. S. Dido: 1843 – 1846. BoD – Books on Demand. m/s. 304–. ISBN 978-3-941842-95-3.
- ^ "The Straits Times, 14 October 1848, Page 3 (Labuan)". National Library Board. 14 Oktober 1848. m/s. 3. Dicapai pada 29 April 2014.
- ^ "The Straits Times, 21 October 1848, Page 3 (Labuan)". National Library Board. 21 Oktober 1848. m/s. 3. Dicapai pada 29 April 2014.
- ^ Rodney Mundy; James Brooke (1848). Narrative of events in Borneo and Celebes, down to the occupation of Labuan: from the journals of James Brooke, Rajah of Sarãwak, and governor of Labuan, together with a narrative of the operations of H.M.S. Iris. Murray. m/s. 367–.
- ^ Phillip Cottrell (25 Mei 2012). Investment Banking in England 1856–1881(Rle Banking and Finance). Routledge. m/s. 211–. ISBN 978-0-415-53020-0.
- ^ Eastern Archipelago Company (1853). The Queen on the Prosecution of Sir James Brooke, K.C.B. Against the Eastern Archipelago Company; Containing the Judgments of the Queen's Bench and the Exchequer Chamber, Together with Two Articles from the "Times" Newspaper, Etc. W. Clowes & Sons. m/s. 9–.
- ^ Eastern Archipelago Company (1853). Annual Report of the Directors of the Eastern Archipelago Company. Eastern Archipelago Company. m/s. 149–.
- ^ James Stuart Olson; Robert Shadle (1996). Historical Dictionary of the British Empire. Greenwood Publishing Group. m/s. 645–. ISBN 978-0-313-29367-2.
- ^ Frans Welman (9 Mac 2017). Borneo Trilogy Volume 1: Sabah. Booksmango. m/s. 162–. ISBN 978-616-245-078-5.
- ^ Marie-Sybille de Vienne (2015). Brunei: From the Age of Commerce to the 21st Century. NUS Press. m/s. 90. ISBN 9789971698188.
- ^ "Staying connected". The Star. 16 Januari 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 April 2014. Dicapai pada 30 April 2014.
- ^ T. A. Edwin Gibson; G. Kingsley Ward (1989). Courage remembered: the story behind the construction and maintenance of the Commonwealth's military cemeteries and memorials of the wars of 1914–1918 and 1939–1945. McClelland & Stewart. ISBN 978-0-7710-8786-8.
- ^ Keat Gin Ooi (October 2004). Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor. ABC-CLIO. ISBN 978-1-57607-770-2.
- ^ a b Stanley Sandler (January 2001). World War II in the Pacific: An Encyclopedia. Taylor & Francis. m/s. 181–182. ISBN 978-0-8153-1883-5.
- ^ James O'Connor (13 Jun 1945). "Australians Swarm Ashore on N-W Borneo Coast". The Morning Bulletin. National Library of Australia. Dicapai pada 30 April 2014.
- ^ Australian Officials (19 Jun 1945). "Capture of Labuan Airstrip in Borneo". The Sydney Morning Herald. National Library of Australia. Dicapai pada 30 April 2014.
- ^ "Surrender Point Memorial, Labuan Island". Department of Veterans' Affairs. 19 November 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mei 2014. Dicapai pada 1 May 2014.
- ^ "Chapter 8: Labuan International Offshore Financial Centre". Bank Negara Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Mei 2014. Dicapai pada 1 Mei 2014.
Labuan was declared as an International Offshore Financial Centre (IOFC) in October 1990 to complement the activities of the domestic financial market in Kuala Lumpur, strengthen the contribution of financial services to Gross National Products of Malaysia as well as develop the island and areas within its vicinity.
- ^ JADUAL PELAKSANAAN PROGRAM KESEDARAN KITAR SEMULA BAGI KAMPUNG-KAMPUNG DI W.P. LABUAN UNTUK TAHUN 2011 Diarkibkan 6 Januari 2014 di archive.today
- ^ "Average Weather for Labuan". WeatherSpark. Dicapai pada 21 Januari 2014.
- ^ "World Meteorological Organization Climate Normals for 1991–2020". Pertubuhan Meteorologi Dunia. Dicapai pada 19 Oktober 2023.
- ^ "Klimatafel von Labuan / Insel Borneo (Kalimantan) / Malaysia" (PDF). Baseline climate means (1961–1990) from stations all over the world (dalam bahasa Jerman). Deutscher Wetterdienst. Dicapai pada 17 October 2016.
- ^ "Station Labuan" (dalam bahasa Perancis). Meteo Climat. Dicapai pada 14 October 2016.
- ^ "Labuan Economy". Pengurusan Pelabuhan Bebas Labuan. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Februari 2014. Dicapai pada 20 Januari 2014.
- ^ "KDNK mengikut negeri, 2005–2012" (PDF) (dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu). Jabatan Perangkaan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 26 November 2013. Dicapai pada 20 Januari 2014.
- ^ "2022 Labuan IBFC Financial Landscape". Exty (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 23 Ogos 2022.
- ^ a b c "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ a b c "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Wilayah Persekutuan Labuan". Jabatan Perangkaan Malaysia. Mei 2022. ISBN 978-967-253-512-6. Dicapai pada 7 Mac 2025.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Labuan |
Kerajaan
- Labuan Corporation
- State Development Office Diarkibkan 2015-09-25 di Wayback Machine
- Labuan Tourism
- Labuan Maps
- Labuan FM - Suara Pesisir Anda Diarkibkan 2007-04-28 di Wayback Machine
Pelancongan
- Labuan - Informasi pelancongan
- http://www.youtube.com/@WildlifeandNatureNorthBorneo - Informasi dan Pengetahuan usaha memperkenalkan Labuan kepada industri pelancongan AviTourism atau EcoTourism serta usaha Konservasi hidupanliar tempatan.
Komuniti
- Labuan Online Community Diarkibkan 2016-05-04 di Wayback Machine
- https://labuaninvisualretrospective.wordpress.com/ - Komuniti Sejarah Tempatan khususnya di Pulau Labuan
- https://labuanislandbirds.wordpress.com/ - Komuniti aktiviti pengamatan burung dan konservasi tempatan
Hiburan
- Labuan Entertainment Center Diarkibkan 2008-05-16 di Wayback Machine
Perbankan
- Association of Banks Labuan Diarkibkan 2007-05-05 di Wayback Machine
Unit Amanah
- ECTrust Diarkibkan 2008-11-21 di Wayback Machine
- ITMC Fiduciary