Luak Tanah Mengandung | |
---|---|
Negara | Malaysia |
Institusi adat | Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan |
Luak Tanah Mengandung (Jawi: لواق تانه مڠاندوڠ) ialah kumpulan luak yang melingkungi wilayah diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Luak-luak ini bernaung di bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pemimpin luak-luak ini bergelar Penghulu. Luak Tanah Mengandung terdiri daripada luak Ineh, luak Gunung Pasir, luak Terachi, luak Jempol dan luak Ulu Muar. Luak Tanah Mengandung merupakan serambi bagi Luak Berundang, di mana menjadi tempat persinggahan Dato' Undang sebelum ke Seri Menanti menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.[1]
Sejarah Luak Tanah Mengandung
Luak Tanah Mengandung yang berpusat di Seri Menanti adalah gabungan Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Ineh. Setiap luak ini dikenali sebagai penghulu yang dibantu oleh Dato'-Dato' Lembaga. Kelima-lima luak ini diletakkan di bawah naungan payung Tuanku.
Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli diadakan setiap 3 tahun dan di atas perkenan Kebawah Duli Tuanku. Kelima-lima Penghulu Luak akan hadir di Istana Besar Seri Menanti untuk mengadap DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi menyatakan dan mengulangi ikrar taat setia kepada Kebawah Duli Tuanku. Istiadat ini mencerminkan keluhuran taat setia rakyat kepada Raja dan kedaulatan Raja sebagai ketua pemerintah.
Peranan Penghulu Luak Tanah Mengandung
Penghulu Luak Tanah Mengandung bertanggungjawab menjaga keharmonian anak-anak buah dalam pentadbiran Adat Perpatih seperti penjagaan tanah pusaka adat dan program-program adat. Mereka juga perlu mentadbir perlaksanaan adat di luak masing-masing dengan dibantu oleh Dato'-Dato' Lembaga Suku Nan 12 yang dilantik oleh kalangan 12 suku di dalam luak. Dalam memperkukuhkan institusi kepimpinan Adat Perpatih, Penghulu Luak membuat pengesahan perlantikan dan pengisytiharan Dato' Lembaga dan memastikan semua pemegang pesaka adat seperti buapak, besar waris dan ibu soko setiap suku mempunyai penyandang.
Disamping itu, masalah-masalah seperti penyalahgunaan adat, salah laku Dato'-Dato' Lembaga, tanah pusaka adat dan sebagainya akan dibawa ke pengetahuan Penghulu Luak untuk penyelesaian. Penghulu Luak Tanah Mengandung juga berperanan sebagai penasihat dalam pentadbiran daerah untuk memperkasakan Adat Perpatih.
Penyandang semasa Penghulu Luak Tanah Mengandung
1) Penghulu Luak Ineh : Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh, Mohammad Ariff Sidek
2) Penghulu Luak Gunung Pasir : Dato' Orang Kaya Mempasir Setiawan, Hanizam Haji Harun
3) Penghulu Luak Terachi : Dato' Anjah Pahlawan Orang Kaya Lela Setiawan, Mohamad Nasir bin Haji Nordin
4) Penghulu Luak Jempol : Dato’ Lela Putra Setiawan, Mazri Mansol
5) Penghulu Luak Ulu Muar : Dato' Setia Maharaja Lela Pahlawan, Haji Mansor Yusof
Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli
Istiadat ini diadakan setiap 3 tahun dan di atas perkenan Kebawah Duli Tuanku. Istiadat ini bermula dengan Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran. Selepas Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran dizahirkan, ia akan diteruskan dengan Istiadat Bersiram. Pada hari ketiga itu berlangsungnya Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli serta Istiadat Menurunkan dan Menyimpan Alat Kebesaran.
Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran
Istiadat hari pertama merupakan Istiadat Letak Kerja iaitu pembuka kepada Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung.
Diketuai oleh Orang Empat Istana dan Dato Setia Bijaya, istiadat ini dimulakan dengan Pengawai 99 Istana membawa Alat Kebesaran memasuki ke Istana Besar Seri Menanti.
Orang Empat Istana seterusnya menyembah sila YAM Tunku ke Istiadat Menepung Tawar dan Pemeriksaan Alat Kebesaran. Acara ini disusuli dengan bacaan doa daripada Imam Besar Masjid Diraja Tuanku Munawir, Abdul Rahman Ibrahim.
Alat kebesaran tersebut diarak keluar dan dipasangkan di Halaman Utama Istana. Pengawai 99 Istana membuka empat payung kuning serentak dan tiga das meriam dilepaskan sebagai simbolik Istiadat ini sempurna dilaksanakan.[2]
Istiadat Bersiram
Istiadat Bersiram merupakan pengisian bagi hari kedua Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat dari istana ke Panca Persada menaiki Takhta Rencana yang ditarik oleh Pegawai 99 Istana.
Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin berkata, berbeza dengan istiadat hari pertama yang dijalankan dengan penuh beradat, istiadat hari kedua dilakukan dengan kehadiran rakyat jelata.
Beliau berkata, istimewanya Istiadat Bersiram adalah kerana ia hanya dilakukan pada tiga istiadat tertentu.
“Istiadat Bersiram ini sebenarnya hanya berlaku tiga kali sahaja iaitu ketika Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ditabalkan, pada Istiadat Penghulu Luak Menghadap dan juga majlis perkahwinan anak-anak baginda.
“Jadi acara ini memang istimewa kerana bukan boleh disaksikan selalu dan hanya tiga tahun sekali ketika berlangsung Istiadat Penghulu Luak Menghadap seperti ini,”katanya.
Perarakan itu dimulakan dengan lapan das tembakan meriam sehingga tuanku berdua naik ke Panca Persada dengan Istiadat Bersiram bermula di situ, manakala lapan das tembakan lagi dilepaskan apabila upacara itu selesai. Upacara kemudian dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu membawa Cepu Bedak Limau dan menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di hadapan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani sebelum Orang Empat Istana mengelilingi pasangan diraja berkenaan sebanyak tujuh kali.
Istiadat itu dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja, kenamaan kerajaan serta masyarakat sekitar pelbagai peringkat umur yang turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah di negeri tanah beradat itu.
Serentak dengan itu, pertunjukan pencak silat, persembahan caklempong dengan lagu ‘Raja Bersiram’ serta tarian piring diadakan sebelum baginda berdua berangkat pulang ke istana.
Keberangkatan pulang baginda dimulakan dengan paluan rebana, dikuti lapan das tembakan meriam mengikut perkiraan yang ditentukan sehingga Takhta Rencana membawa baginda berdua tiba ke Istana Besar Seri Menanti.[3] [4]
Istiadat Mengadap dan Menjunjung Duli
Upacara kemuncak Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali ini diadakan dengan penuh tradisi bermula dengan perarakan masuk Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung bersama pembesarnya serta peralatan kebesaran luak masing-masing bermula dari pintu gerbang utama Istana Besar Seri Menanti menuju dalam istana.
Istiadat ini dimulakan dengan rombongan luak mengikut giliran yang telah ditetapkan adat, iaitu dimulakan dengan luak terkanan. Rombongan luak ini diketuai oleh Penghulu Luak masing-masing dengan aturan seperti berikut :
i. Luak Ulu Muar, diketuai oleh Dato’ Setia Maharaja Lela Pahlawan.
ii. Luak Jempol, diketuai oleh Dato' Lela Putra Setiawan
iii. Luak Terachi, diketuai oleh Dato' Anjah Pahlawan Orang Kaya Lela Setiawan.
iv. Luak Gunung Pasir, diketuai oleh Dato' Orang Kaya Mempasir Setiawan.
v. Luak Ineh, diketuai oleh Dato' Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh.
Istiadat tersebut diteruskan dengan Datuk Penghulu Luak mengambil tempat duduk masing-masing di atas Seri Raja Di Muda berhadapan singgahsana kemudian ia disusuli keberangkatan masuk baginda berdua diiringi YAM Putera Yang Empat dengan iringan irama Raja Berangkat, dimainkan kumpulan cak lempong.
Sejurus baginda berdua berangkat ke Balairong istana, istiadat tersebut disusuli dengan 11 das tembakan meriam. Kebawah Duli Tuanku berdua bersemayam di atas singgahsana diapit di bawah YAM Tunku Besar Seri Menanti dan Tunku Muda Serting, sementara YAM Tunku Laxamana dan Tunku Panglima Besar duduk di sebelah kiri. Usai bacaan doa oleh YB Sohibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Seri Amar Diraja mengisytiharkan Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli dizahirkan.
Istiadat menjunjung duli dan lafaz taat setia diketuai oleh Penghulu Luak masing-masing bermula dengan Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Ineh.
Istiadat diakhiri dengan Titah Ucapan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz bertitah istiadat tersebut signifikan dalam mencerminkan keluhuran taat setia rakyat kepada raja dan kedaulatan raja sebagai payung pemerintahan, yang bersesuaian dengan perbilangan adat.
Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali pertama diadakan pada 29 April 1898 semasa pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan supaya diadakan setiap tiga tahun.[5]
YAM Tunku Besar Seri Menanti berangkat ke Istiadat Menurunkan dan Menyimpan Alat Kebesaran. Apabila kuncupnya payung kebesaran, bermakna tamatlah Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli. Istiadat menyimpan alat kebesaran tersebut disaksikan YAM Tunku Besar Seri Menanti dan tiga das tembakan meriam dilepaskan sebagai pelengkap istiadat kemuncak itu.
Rujukan
- ^ Nor Rafizah Haji Abd Wahab (1994). Adat Perpatih : Struktur Organisasi, Sistem Sosial dan Perlantikan Undang (PDF). Kertas Projek Sarjana Muda Undang-Undang. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. m/s. 19.
- ^ Shuhada Abdul Kadir. "Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli bermula hari ini". astroawani.com (dalam bahasa Melayu). Astro AWANI. Dicapai pada 17 November 2023.CS1 maint: uses authors parameter (link) CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ Korporat SUKNS (18 November 2023). "Istiadat Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli disempurnakan Tuanku Muhriz". www.ns.gov.my. Dicapai pada 18 November 2023.CS1 maint: uses authors parameter (link)
- ^ Shuhada Abdul Kadir (18 November 2023). "Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani berkenan jalani Istiadat Bersiram di Istana Besar Seri Menanti". astroawani.com. Astro AWANI. Dicapai pada 18 November 2023.CS1 maint: uses authors parameter (link)
- ^ Korporat SUKNS (19 November 2023). "Logo khas pemerintahan Negeri Sembilan ke 250 tahun dilancarkan". www.ns.gov.my. Dicapai pada 19 November 2023.CS1 maint: uses authors parameter (link)