Puteri Yekaterina Dmitriyevna Golitsyna dengan seekor pug, 1759. | |
| Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing riba atau anjing pangkuan ialah anjing yang cukup kecil untuk dipegang dalam dakapan atau berbaring dengan selesa di atas riba seseorang dan cenderung secara perangai untuk berbuat demikian. Anjing riba bukan baka spesifik, tetapi istilah generik untuk jenis anjing yang bersaiz kecil dan ramah terhadap manusia.
Anjing riba dari segi sejarah telah dibela dalam banyak masyarakat di sekeliling dunia oleh individu dengan sumber untuk menyokong haiwan tidak produktif dan gaya hidup yang membolehkan banyak perhubungan dengan anjing berkenaan. Ia merupakan haiwan pendamping jinak tanpa fungsi kerja selain pendampingan. Analisis genetik mendedahkan bahawa anjing riba ialah antara jenis anjing spesifik terawal yang hidup dengan manusia. Kini, kebanyakan baka anjing riba tergolong dalam kumpulan baka mainan.
Penampilan


Sesetengah anjing riba telah dibiakbakakan untuk saiz kecil ekstrem, seperti keragaman Rusia dan keragaman Mexico yang ditunjukkan di bawah. Secara anatomi, anjing riba menunjukkan perbezaan tersendiri daripada padanan bersaiz penuh. Tengkorak bagi anjing riba Rusia belum matang daripada satu spesimen tahun 1861 (mungkin leluhur kepada bolonka) adalah hampir-hampir sebesar bola tenis meja dan menunjukkan muncung agak pendek dan dahi tinggi. Banyak anjing riba dibiakbakakan untuk mengekalkan trait mirip anak anjing (neoteni) seperti telinga terlipat. Perkadaran tubuh juga mungkin telah berubah, lalu menghasilkan tungkai agak pendek dan kepala lebih besar. Ia juga mungkin mempunyai trait yang menyerupai bayi manusia: saiz dan berat, dahi tinggi, muncung pendek, dan mata agak besar. Walaupun pembiakbakaan terpilih untuk trait sedemikian dapat memberikan kesan memudaratkan pada duktus air mata, kegigian, dan pernafasan, trait sedemikian juga menyebabkan pemilik haiwan peliharaan memperoleh lebih kepuasan daripada hubungan haiwan peliharaan mereka, kerana pemilik haiwan peliharaan mungkin memandang anjing dengan penampilan ini sebagai bayi ganti.[1]
Sejarah
Selain dibela sebagai haiwan peliharaan dan menyediakan kehangatan, anjing riba telah menjadi aksesori fesyen dan lambang status, malah untuk menarik pinjal menjauh daripada pemiliknya.[2]
Kajian genetik terkini oleh Elaine Ostrander mengesahkan bahawa anjing riba Peking, yang dibiakbakakan di China purba untuk muat di dalam lengan jubah lelaki, ialah salah satu baka anjing tertua.[3] Selama berabad-abad, ia hanya dapat dimiliki oleh para anggota Istana Maharaja China. Yang turut serupa purba merupakan leluhur kepada baka moden terier Tibet, Lhasa apso, pug, dan shih tzu.
Dalam buku De Canibus Britannicis yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 1576, pengarang menerangkan anjing riba atau lapdog sebagai se-jenis anjing, "Spaniel Gentle or Comforter". Leluhur kepada baka moden cavalier King Charles spaniel ialah sejenis "Spaniel Gentle" yang dibela oleh kebangsawanan Inggeris pada abad ke-17. Baka moden anjing riba juga termasuk bichon frisé, terier Jepun, anjing Malta, anjing Pomerania, dan terier Yorkshire.
Phalène dan papillon

Phalène ialah bentuk terawal bagi papillon; kemunculan keragaman bertelinga tegak tidak didokumenkan sehingga abad ke-16; pada masa itu, phalène telah digambarkan dalam berbilang lukisan, khususnya dalam potret orang kaya oleh para Pelukis Agung dan anak murid mereka. Belgium, Perancis, Sepanyol, dan Itali kesemuanya telah dikreditkan dengan pewujudan atau perkembangan anjing kupu-kupu. Baka anjing ini kerap muncul dalam potret kerabat diraja Eropah yang dilukis oleh para Pelukis Agung, yang menunjukkan bahawa baka ini digemari sebagai anjing pangkuan seawal abad ke-13. Baka ini tidak lagi dianggap sebagai anjing pangkuan. Baka lasak dan cerdas ini digunakan dalam pelbagai kegiatan, seperti ketangkasan, obe-rythme, dan cani-cross. Kecerdasannya ialah antara yang terbaik daripada semua baka anjing (8/132), yang menempatkannya sebelum sesetengah baka lain yang dianggap amat cerdas, seperti rottweiler dan aussie.
Anjing Peking
Menurut terbitan tahun 1948, Dogs in Britain: A Description of All Native Breeds and Most Foreign Breeds in Britain karya Clifford L. B. Hubbard, anjing Peking lengan (pada zaman Hubbard) ialah versi katik sebenar bagi anjing Peking bersaiz piawai dan juga dikenali sebagai anjing Peking katik. Nama "anjing Peking katik" berasal daripada adat pembawaan anjing kecil ini di dalam lengan baju luas yang dipakai oleh anggota Keluarga Maharaja China. Hubbard menunjukkan bahawa tradisi ini kelihatan bersifat Itali awal berbanding dengan Cina, tetapi penerimaannya oleh Keluarga Maharaja China membawa kepada anjing yang dibiakbakakan sekecil yang mungkin dan kepada amalan yang menyasarkan pembantutan pertumbuhannya: penyuapan anak anjing dengan wain beras, penggendongan anak baru lahir dengan ketat selama berjam-jam pada satu masa, atau peletakan anak anjing di dalam weskot dawai ketat. Amalan ini kelihatannya diharamkan oleh mendiang Maharani Balu Cixi.
Pada zaman Hubbard, istilah "lengan" digunakan di Britain untuk anjing Peking katik yang beratnya tidak melebihi 6–7 paun, kerap kelihatan kira-kira 3–4 paun. Mai Mai milik Puan Flander hanya berukuran seberat lebih sedikit daripada 4 paun dan ramai pembiak baka lain telah membiakbakakan anjing katik sebenar dengan saiz serupa. Hubbard mencatatkan bahawa anjing katik kadang-kadang muncul dalam perinduk yang dibiakbakakan daripada anjing Peking bersaiz penuh dan dipamerkan dalam kelas untuk anjing yang lebih ringan daripada 7 paun dalam pertunjukan anjing utama di Britain. Pada masa itu, anjing Peking lengan mempunyai pengikut ramai dan warna paling popular merupakan krim dan putih.
Anjing Chihuahua
Anjing Chihuahua ialah salah satu baka anjing riba terkecil. Ia dinamai sempena negeri Chihuahua di Mexico, kerana itu ialah calon tempat asal anjing itu. Ia masyhur kerana telinga runcing besar, salakan bernada tinggi, dan saiz kecil. Anjing Chihuahua biasanya lebih ringan daripada 6.6 paun (3.0 kg) dan biasanya setinggi 6–9 inci (15–23 sentimeter). Seperti banyak anjing kenit, anjing Chihuahua memerlukan pelatihan dan sosialisasi wajar untuk mengelakkan tingkah laku pertahanan yang tidak diingini.[4] Anjing Chihuahua menikmati masa berkualiti di pangkuan orang kegemaran dan, jika diuruskan dengan betul oleh pemilik berdedikasi, anjing Chihuahua dapat menyesuaikan diri terhadap persekitaran isi rumah dengan mudah.[4]
Anjing Pomerania
Anjing Pomerania ialah anjing riba tergebu, mempunyai lapis bulu ganda, dan cenderung untuk menjadi anjing ramah seorang. Anjing Pomerania mempunyai lapis bulu salin bulu tidak hipoalergenik dengan warna hitam, putih, hitam dan sawo matang, merah, biru, jingga, perang, dan kelabu. Anjing Pomerania dinamai sempena rantau Pomerania di Eropah Tengah, yang terpisah di antara Jerman dengan Poland.
Pincer katik
Pincer katik, singkatannya pin min, ialah satu baka kecil anjing yang berasal dari Jerman. Leluhur terawal baka ini mungkin termasuk pincer Jerman yang dikacukkan dengan grehaun Itali dan dachshund.
Shih tzu
Shih tzu ialah salah satu baka tertua yang akarnya dijejak kembali ke Tibet dan ke China; di sana, ia dibiakbakakan untuk menyerupai singa. Ia sebaik-baiknya dalam julat berat 9–16 paun (4.1–7.3 kg).
Baka pupus

Anjing riba Rusia dan anjing riba Mexico merupakan jenis anjing kecil dari Rusia dan Mexico masing-masing. Anjing riba Mexico yang belum matang dapat menjadi sekecil hamster emas. Semasa abad ke-19, ada trend untuk memasang spesimen yang belum matang agar kelihatan seperti dewasa, lalu memberikan gambaran palsu tentang saiz dewasa:[5]
[terjemahan]: Yang sangat terkenit dalam keluarga Anjing ialah Anjing Riba Mexico, makhluk yang sangat halus dari segi ukurannya sehingga kelihatan hampir kedongengan bagi mereka yang belum pernah melihat haiwan ini sendiri. Salah seekor anjing peliharaan kecil ini dapat dilihat di Muzium British dan sentiasa menarik banyak perhatian daripada pengunjung. Sesungguhnya, jika ia tidak berada di tempat yang begitu bermaruah, ia pada umumnya akan digolongkan dengan duyung, ular terbang, dan biri-biri Tartar, sebagai contoh mengagumkan bagi hasil kerja pintar. Ia betul-betul seperti Anjing mainan wul putih yang duduk di atas sepasang apar, dan apabila ditekan mengeluarkan bunyi tidak jelas, bertujuan untuk melakukan tugas untuk salakan anjing sesungguhnya. Untuk berkata bahawa ia tidak lebih besar daripada mainan ini adalah tidak benar sama sekali, kerana saya telah melihat di tingkap kedai banyak Anjing mainan yang melebihi saiz Anjing Riba Mexico yang sebenarnya.
— The Illustrated Natural History (Mammalia) karya Rev. John George Wood, 1853
Lihat juga
Rujukan
- ^ Archer, John (Julai 1997). "Why do people love their pets?" [Mengapa orang menyayangi haiwan peliharaan mereka?]. Evolution and Human Behavior (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 18 (4): 237–259. doi:10.1016/S0162-3095(99)80001-4. ISSN 1879-0607. S2CID 53681385.
- ^ Felton, Bruce; Fowler, Mark (1994). "Fashion and Grooming" [Fesyen dan Pendandanan]. The Best, Worst & Most Unusual [Yang Terbaik, Terburuk, dan Paling Luar Biasa] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Galahad Books. m/s. 538. ISBN 9780883658611. OCLC 30799855.
- ^ Ostrander, Elaine Ann (September 2007). "Genetics and the Shape of Dogs: Studying the new sequence of the canine genome shows how tiny genetic changes can create enormous variation within a single species" [Genetik dan Rupa Bentuk Anjing: Pengajian jujukan baharu genom anjing menunjukkan betapa kenitnya perubahan genetik dapat mewujudkan variasi besar dalam satu spesies tunggal]. American Scientist (dalam bahasa Inggeris). Sigma Xi. 95 (5): 406–413. doi:10.1511/2007.67.406 (Tidak aktif 21 Oktober 2025). ISSN 0003-0996. JSTOR 27859026. S2CID 123029417.CS1 maint: DOI inactive as of 2025 (link)
- ^ a b "Chihuahua" [Anjing Chihuahua] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 21 Oktober 2025.
- ^ Wood, John George (1859). The Illustrated Natural History [Sejarah Semula Jadi Berilustrasi] (dalam bahasa Inggeris). 1. London, United Kingdom: Routledge, Warne & Routledge. m/s. 277–278. OCLC 1046530202.








