
Baka anjing ialah jenis khusus anjing yang sengaja dibiakbakakan oleh manusia untuk melaksanakan tugas spesifik, seperti penggembalaan, perburuan, dan penjagaan. Anjing ialah mamalia paling beragam di Bumi, dengan pemilihan buatan yang menghasilkan lebih daripada 360 baka yang diiktiraf di peringkat global.[1] Baka-baka ini memiliki trait berlainan yang berkaitan dengan morfologi, yang termasuk saiz dan rupa bentuk tubuh, fenotip ekor, jenis bulu, dll., tetapi kesemuanya hanya satu spesies anjing. Trait-trait tingkah lakunya termasuk penjagaan, penggembalaan, dan perburuan dan trait-trait keperibadian pula adalah seperti tingkah laku hipersosial, kegalakan, dan agresi. Kebanyakan baka diterbitkan daripada bilangan kecil bagi pengasas dalam tempoh 200 tahun terkini. Sebagai hasil daripada kebolehsuaiannya terhadap banyak persekitaran dan kebolehbiakannya untuk keperluan manusia, kini, anjing ialah spesies karnivor terbanyak dan tersebar di seluruh dunia.[2]
Baka anjing setekalnya menghasilkan trait fizikal, pergerakan, dan perangai yang dikembangkan selama berdekad-dekad pembiakbakaan terpilih. Untuk setiap baka yang diiktiraf, kelab kenel dan pejabat pendaftaran baka biasanya menyelenggarakan dan menerbitkan piawaian baka yang merupakan perihal bertulis tentang spesimen unggul bagi baka berkenaan.[3][4][5] Kegunaan lain istilah "baka" apabila merujuk anjing termasuk baka tulen, baka silang, baka kacuk, dan baka semula jadi.[6]
Sebelum pemiawaian baka anjing, terdapat banyak jenis anjing berlainan yang ditakrifkan oleh fungsi unik sendiri. Banyak istilah berlainan digunakan untuk memerihalkan anjing, seperti baka, strain, jenis, ragam, dan varieti. Menjelang penghujung era Victoria, masyarakat telah berubah dan demikian juga peranan anjing. Bentuk diberi peranan lebih menonjol berbanding dengan fungsi.[7] Jenis atau baka anjing berlainan dikembangkan oleh pembiak baka yang ingin mentakrifkan ciri spesifik dan ciri yang diingini pada anjing mereka. Istilah "baka anjing", yang didorong oleh pertunjukan anjing dan kumpulan yang menganjurkannya, membawa maksud baharu sepenuhnya. Pertandingan pertunjukan anjing termasuk pemenang terbaik dalam baka dan baka tulen banyak menang.[7] Piawaian baka ialah sebab bahawa baka muncul dan, dengan piawaian tersebut, terdapat ciri kekunci, termasuk bentuk, fungsi, dan kesesuaian untuk tujuan. The Kennel Club di United Kingdom diasaskan pada tahun 1873 dan merupakan kelab kenel dan pejabat pendaftaran baka kebangsaan pertama di dunia.[8] Persekutuan Kinologi Antarabangsa diasaskan pada tahun 1911 sebagai pertubuhan sedunia. Objektifnya adalah untuk membawa keseragaman global kepada pembiakbakaan, pameran, dan penghakiman anjing baka tulen. Pertubuhan ini kini mempunyai 99 buah negara anggota. Menurut Big Think, lebih daripada 40% daripada jumlah baka anjing di dunia berasal dari United Kingdom, Perancis, dan Jerman. Pernyataan lebih kurang berbunyi: "Great Britain dan Perancis merupakan titik permulaan untuk minat kepada anjing, sambil masing-masing negara mempunyai 57 baka berdaftar. Jerman tidak ketinggalan jauh, dengan 47 baka. Ketiga-tiga negara ini sahaja mewakili lebih daripada 40% daripada semua baka anjing yang diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa."[9]

Baka anjing pertama


Pada tahun 2017, sebuah kajian menunjukkan bahawa, pada 9,000 tahun lalu, anjing bela jinak hadir di tempat yang kini merupakan Pulau Zhokhov, Siberia timur laut Artik, yang bersambung dengan tanah besar pada masa itu. Anjing tersebut dibiakbakakan secara terpilih sama ada sebagai anjing kereta luncur salji atau sebagai anjing pemburu, yang mengimplikasikan bahawa piawaian anjing kereta luncur salji dan piawaian anjing pemburu wujud pada masa itu. Saiz maksimum optimum untuk anjing kereta luncur salji ialah 20–25 kg (44–55 lb) berdasarkan pentermokawalaturan dan anjing kereta luncur salji purba adalah seberat 16–25 kg (35–55 lb). Piawaian sama telah ditemukan pada tinggalan-tinggalan anjing kereta luncur salji dari rantau ini pada 2,000 tahun lalu dan dalam piawaian baka husky Siberia moden. Anjing lain adalah lebih besar dengan berat 30 kilogram (66 lb) dan kelihatan seperti anjing yang telah disilangkan dengan serigala dan digunakan untuk pemburuan beruang kutub.[10]
Pada antara 3,000 dengan 4,000 tahun lalu, jenis anjing grehaun digambarkan pada tembikar dan lukisan di Mesir dan di Asia Barat. Anjing jenis mastif dibela untuk penjagaan dan perburuan dan anjing bertungkai pendek juga dibiakbakakan.[11] Kebanyakan baka anjing moden merupakan hasil amalan pembiakbakaan terkawal pada era Victoria (1830–1900)[12][13] dan pendokumenan tepat bagi pedigri dengan pengasasan English Kennel Club ("Kelab Kennel Inggeris") pada tahun 1873 sebagai ajukan pejabat pendaftaran buku pembaka lain untuk lembu dan kuda.[14]
Bukti genetik

Anjing bela jinak ialah spesies pertama, dan satu-satunya karnivor besar, yang telah dibelajinakkan. Anjing-anjing pertama sememangnya mirip serigala, tetapi perubahan fenotip yang bertepatan dengan pencapahan genetik anjing–serigala tidak diketahui.[15] Anjing ialah mamalia paling beragam di Bumi dengan kira-kira 450 baka anjing yang diiktiraf di peringkat global.[2] Pada era Victoria, pemilihan arahan manusia mengembangkan baka anjing moden, yang menghasilkan pelbagai fenotip.[15] Kebanyakan baka diterbitkan daripada bilangan kecil bagi pengasas dalam tempoh 200 tahun terkini[15][2] dan, sejak itu, anjing telah mengalami perubahan fenotip cepat dan dibentuk menjadi baka moden kini kerana pemilihan buatan yang dikenakan oleh manusia. Baka-baka ini dapat berbeza-beza dari segi saiz dan berat daripada pudel cawan teh seberat 0.46 kg (1.0 lb) kepada mastif gergasi seberat 90 kg (200 lb). Perkadaran tengkorak, tubuh, dan anggota berbeza dengan ketara sesama baka, sambil anjing menunjukkan lebih banyak kepelbagaian fenotip berbanding dengan yang terdapat dalam keseluruhan order karnivor. Baka-baka ini memiliki trait berlainan yang berkaitan dengan morfologi, yang termasuk saiz tubuh, rupa bentuk tengkorak, fenotip ekor, jenis bulu, dan warna.[15] Perbezaan saiz telah diatributkan kepada suatu varian lncRNA di kawasan IGF1 yang bangkit pada serigala dari latitud utara pada sekitar 53,000 tahun lalu dan ditetapkan secara semula jadi dan seterusnya oleh pemilihan manusia.[16] Trait-trait tingkah lakunya termasuk penjagaan, penggembalaan, perburuan,[15] pengutipan, dan pengesanan bau. Trait-trait keperibadian pula termasuk tingkah laku hipersosial, kegalakan, dan agresi,[2] yang menunjukkan kepelbagaian fungsian dan kepelbagaian tingkah laku bagi anjing.[15] Hasilnya, kini, anjing ialah spesies karnivor terbanyak dan tersebar di seluruh dunia.[2] Contoh paling ketara bagi persebaran ini ialah baka moden zuriat Eropah yang banyak semasa era Victoria.[17]
Sebuah kajian genetik mengenal pasti 51 kawasan bagi genom anjing yang dikaitkan dengan variasi fenotip sesama baka bagi 57 trait yang dikaji, yang termasuk rupa bentuk dan saiz tubuh, tengkorak, gigi, dan tulang panjang. Terdapat tiga lokus trait kuantitatif yang menjelaskan kebanyakan variasi fenotip. Penunjuk bagi pemilihan terkini ditunjukkan oleh banyak kawasan daripada 51 kawasan genomik yang dikaitkan dengan trait-trait yang mentakrifkan baka, yang termasuk saiz tubuh, ciri lapis bulu, dan keterkelepaian telinga.[18]
| ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kladogram bagi sembilan baka yang mencapah secara genetik daripada yang lain[19] |
Baka anjing purba
"Baka purba" ialah istilah yang dahulu terpakai, tetapi tidak lagi digunakan untuk kumpulan khusus baka anjing oleh American Kennel Club.[13][20] Baka-baka ini dirujuk sebagai baka "purba", berbanding dengan baka moden, kerana menurut sejarah terdapat kepercayaan bahawa asal usul baka tersebut bertarikh kembali lebih daripada 500 tahun dahulu.
Pada tahun 2004, sebuah kajian meneliti mikrosatelit bagi 414 ekor anjing baka tulen yang mewakili 85 baka. Kajian mendapati bahawa baka anjing sangat berbeza secara genetik sehingga 99% daripada jumlah anjing individu dapat ditetapkan dengan betul kepada baka masing-masing berdasarkan genotip masing-masing, yang menunjukkan bahawa halangan pembiakbakaan (pembiakbakaan tulen) telah membawa kepada unit genetik berlainan. Kajian mengenal pasti 9 baka yang dapat diwakili pada dahan pokok filogenetik yang dikelompokkan bersama-sama dengan sokongan statistik kuat dan dapat dipisahkan daripada baka lain dengan asal usul moden di Eropah. 9 baka ini telah dirujuk sebagai "baka purba". Kajian mendapati bahawa anjing pemburu firaun dan anjing pemburu Ibiza tidak setua seperti yang pernah dipercayai; sebaliknya, kedua-dua ini telah diwujudkan semula daripada gabungan baka lain; dan bahawa anjing pemburu elk Norway berkelompok dengan anjing Eropah lain walaupun terdapat laporan tentang asal usul langsung di Skandinavia yang bertarikh kembali 5,000 tahun lalu.[19]
Jenis anjing

Jenis anjing ialah kategori luas bagi anjing yang berdasarkan bentuk, fungsi atau gaya kerja, zuriat, atau penampilan. Sebaliknya, baka anjing moden merupakan piawaian baka khusus, yang mengongsi set bersama ciri boleh waris, yang ditentukan oleh kelab kenel yang mengiktiraf baka berkenaan.
Penyebaran baka anjing moden sukar diselesaikan kerana kebanyakannya merupakan hasil daripada amalan pembiakbakaan terkawal era Victoria (1830–1900).[12][13] Pada tahun 2010, sebuah kajian meneliti 48,000 polimorfisme nukleotida tunggal yang memberikan liputan seluruh genom bagi 912 ekor anjing yang mewakili 85 baka.[21]
Kajian itu mendapati gugusan genetik berlainan dalam anjing moden yang sebahagian besarnya sepadan dengan fenotip atau fungsi. Ini termasuk baka spits, anjing mainan, spaniel, baka mirip mastif, terier kecil, anjing pengutip, anjing gembala, anjing pemburu bau, dan anjing pemburu penglihatan. Terdapat 17 baka yang bercanggah dengan fenotip atau fungsi dan ini dianggap sebagai hasil penyilangan sesetengah fenotip lain. Seperti dalam kajian tahun 2004 yang mendapati bahawa 9 "baka purba" berbeza secara genetik, kajian itu mendapati 13 baka yang berbeza secara genetik daripada baka moden: basenji, saluki, anjing pemburu Afghan, anjing Samoyed, anjing Kanaan, anjing menyanyi New Guinea, dingo, cau-cau, shar pei China, anjing Akita, malamut Alaska, husky Siberia, dan anjing Eskimo Amerika.[21]
Kajian mendapati bahawa terdapat tiga kelompok yang disokong dengan baik yang sangat mencapah dan berbeza daripada anjing bela jinak moden:[21]
- kelompok Asia (dingo, anjing menyanyi New Guinea, cau-cau, anjing Akita, dan shar pei)
- kelompok Timur Tengah (anjing pemburu Afghan dan saluki)
- kelompok utara (malamut Alaska dan husky Siberia)
Buku-buku terawal dalam bahasa Inggeris yang menyebut bilangan jenis anjing adalah daripada "Cynegetica" (karya perburuan), iaitu, The Art of Venery (1327) oleh Twiti (Twici), iaitu sebuah karangan yang menerangkan perburuan dengan limer (jenis anjing pemburu darah bercawak); kawanan running hound, yang termasuk barcelets dan brachetz (kedua-duanya anjing pemburu bau); dan anjing pemburu penglihatan dan grehaun.[22] Yang lebih ketara dalam mencatatkan kegunaan dan perihal pelbagai jenis anjing ialah The Master of Game (sekitar 1406) karya Edward dari York,[23][24] iaitu sebuah karangan yang memerihalkan anjing dan kerjanya, seperti alaunt, grehaun, pack scent hound, spaniel, dan mastif, yang digunakan oleh golongan istimewa dan golongan kaya untuk tujuan perburuan. The Master of Game ialah gabungan Art of Venery yang terdahulu dan karangan perburuan Perancis Livre de chasse karya Gaston Phoebus (sekitar 1387).[25] The Book of Saint Albans, yang diterbitkan pada tahun 1486,[26][27] iaitu sebuah buku "sekolah" tentang hawking, perburuan, memancing, dan ilmu jata, yang diatributkan kepada Juliana Berners (Barnes), menyenaraikan anjing pada zaman itu terutamanya mengikut fungsi: "Yang pertama ada greyhound, bastard, mongrel, mastiff, limer, spaniel, rache (anjing pemburu bau bersaiz kecil hingga sederhana), kennet (anjing pemburu kecil), terrier, butcher's hound, dung-heap dog, trundel tail (anjing riba?), dan cur bertelinga mencucuk, dan anak anjing wanita kecil yang mengusir pinjal dan pelbagai jenis kecil."
Baka basal
Sebuah kajian pada tahun 2012 meneliti 49,000 polimorfisme nukleotida tunggal yang memberikan liputan seluruh genom bagi 1,375 ekor anjing yang mewakili 35 baka, 19 ekor serigala, dan tunjuk tanda genetik terbitan terdahulu daripada baka lain, yang memberikan sejumlah 121 baka yang diliputi. Kajian itu mendapati perpisahan genetik mendalam antara serigala Dunia Lama dengan serigala Dunia Baru dan mengesahkan pencapahan genetik bagi 13 baka daripada sebuah kajian tahun 2010 (anjing Akita, basenji, cau-cau, dingo, anjing Eskimo Amerika, husky Siberia, anjing Kanaan, malamut Alaska, anjing menyanyi New Guinea, anjing pemburu Afghan, saluki, anjing Samoyed, shar pei), serta tiga lagi baka: anjing Eurasia, shiba inu, spits Finland. Kajian itu merujuk 16 baka ini sebagai baka basal ("dasar"), berbanding dengan baka purba, kerana baka-baka ini mempamerkan pencapahan genetik tetapi bukan kesemuanya menurut sejarah dianggap sebagai "baka purba".[28]
Kajian tahun 2012 mendapati bahawa baka moden hanya muncul pada abad ke-19 dan bahawa dakwaan tentang kepurbaan baka-baka moden ini berdasarkan hanya sedikit bukti sejarah atau empirikal atau tidak berdasarkan bukti sejarah atau empirikal sama sekali. Kajian itu menunjukkan bahawa sepanjang sejarah, populasi anjing global mengalami banyak episod pempelbagaian dan penghomogenan, dengan setiap pusingan yang selanjutnya mengurangkan kuasa data genetik yang diterbitkan daripada baka moden untuk membantu untuk menginferenskan sejarah awal masing-masing.[28]
Daripada baka-baka basal, anjing Eskimo Amerika dan anjing Eurasia merupakan hasil sangat terkini daripada pembiakbakaan silang baka basal lain. Kebanyakan baka basal telah menghibrid dengan zuriat lain pada masa silam. Jika zuriat lain tersebut merupakan baka basal lain, maka tunjuk tanda genetik basal kekal. Gabungan introgresi dan penjejalan populasi terdahulu mencadangkan bahawa baka basal mempunyai hanya sedikit hubungan genetik atau tidak mempunyai hubungan genetik dengan populasi leluhur masing-masing dan bahawa kedistingtifan genetik masing-masing tidak memaksudkan warisan purba. Baka-baka ini adalah distingtif berbanding dengan baka moden kerana warisan genetik bagi baka moden telah menjadi kabur oleh sebab percampuran dan baka-baka basal kebanyakannya telah mengelakkan percampuran dengan baka-baka moden kerana halangan geografi atau halangan budaya.[28]
Penyelidikan perubatan
Memandangkan anjing ialah subspesies tetapi baka-bakanya merupakan unit genetik tersendiri dan, oleh sebab hanya baka tertentu mengongsi jenis kanser sama dengan manusia, perbezaan gen pada baka berlainan mungkin berguna dalam penyelidikan perubatan manusia.[29]
Perangai baka
Pada tahun 2014, sebuah kajian menunjukkan bahawa sesetengah perangai baka, seperti keresahan atau ketakutan, mungkin terpaut dengan mutasi gen. Perangai lain mungkin disebabkan oleh legasi zuriat 'purba'.[30]
Baka
Baka tulen

Kelab kenel
Kumpulan pemilik yang mempunyai anjing sebaka dan mempunyai minat dalam pembiakbakaan anjing dapat membentuk kelab kenel kebangsaan. Kelab kenel menyelenggarakan piawaian baka, merekodkan pedigri dalam daftar baka (atau buku pembaka), dan mengeluarkan peraturan untuk pertunjukan anjing pengakuran dan percubaan serta akreditasi hakim. Mereka kerap berperanan sebagai daftar, yang merupakan senarai anjing baka tulen dewasa dan senarai perinduk anak anjing yang dilahirkan oleh induk baka tulen.
Baka anjing diwakili oleh bilangan individu mencukupi untuk memindahkan ciri-ciri spesifiknya secara stabil dari generasi ke generasi. Anjing daripada baka sama mempunyai ciri-ciri serupa bagi penampilan dan tingkah laku, terutamanya kerana berasal daripada set leluhur terpilih yang mempunyai ciri-ciri sama.[31] Anjing daripada baka spesifik membiak dengan benar, iaitu menghasilkan anak yang sangat serupa dengan induk. Anjing individu dikenal pasti sebagai anggota bagi sesuatu baka melalui bukti keleluhuran, dengan menggunakan analisis genetik atau rekod keleluhuran bertulis. Tanpa bukti sedemikian, pengenalpastian bagi sesuatu baka spesifik tidak boleh dipercayai.[32] Rekod sedemikian, yang dipanggil buku pembaka, boleh diselenggarakan oleh individu, kelab, atau pertubuhan lain.
Kelab kenel menyediakan pengiktirafan bagi baka anjing berlainan, tetapi terdapat banyak kelab bebas dengan piawaian berlainan dan kadang-kadang tidak tekal dan mereka tidak perlu menerapkan piawaian saintifik. Empat keragaman anjing gembala Belgium diiktiraf sebagai empat baka berlainan oleh New Zealand Kennel Club.[33] Selanjutnya, sesetengah kelompok anjing yang jelas-jelas mengongsi set ciri tegar dan keturunan berdokumen daripada ternakan asasi yang diketahui mungkin masih tidak diiktiraf oleh sesetengah kelab sebagai baka. Sebagai contoh, feist ialah anjing pemburu yang diternak di Amerika Syarikat Selatan untuk pemburuan haiwan kecil. Feist mempunyai set ciri tekal yang membezakannya dengan pasti daripada jenis anjing dan baka anjing lain. Walau bagaimanapun, United Kennel Club mengiktiraf satu baka feist, iaitu treeing feist, sementara American Kennel Club tidak mengiktiraf mana-mana baka feist.
Seseekor anjing disebut sebagai anjing baka tulen jika kedua-dua induknya merupakan anjing baka tulen dan jika anjing berkenaan memenuhi piawaian baka. American Kennel Club mengizinkan anjing baka kacuk untuk ditunjukkan tetapi dengan syarat bahawa haiwan berkenaan telah dikembiri atau dineuterkan, bukan hibrid serigala, dan tidak layak untuk Program Khidmat Ternakan Asasi AKC atau Penyenaraian Alternatif Baka Tulen AKC (PAL).[34]
Di Kanada, Akta Pedigri Haiwan membentangkan piawaian ketat untuk pendokumenan bagi perkara yang dipanggil "baka ber-evolusi".[35][36]
Piawaian baka
Piawaian baka untuk setiap baka anjing ialah perihal terperinci tentang penampilan dan tingkah laku bagi anjing unggul bagi baka berkenaan.[37] Yang termasuk dalam perihal piawaian baka merupakan aspek yang boleh diperhatikan secara luaran bagi penampilan dan tingkah laku yang dianggap oleh kelab baka sebagai aspek terpenting untuk baka berkenaan dan perincian yang boleh diperhatikan secara luaran bagi penampilan atau perangai yang dianggap oleh kelab baka sebagai perincian yang tidak boleh diterima (dipanggil kecacatan). Sebagai tambahan, kebanyakan piawaian baka menyertakan seksyen sejarah, yang memerihalkan tempat asal dan kerja asli yang dilakukan oleh baka berkenaan atau jenis leluhurnya.
Pejabat pendaftaran utama
Anjing dengan piawaian baka boleh diterima masuk ke dalam sebuah pejabat pendaftaran atau lebih daripada sebuah pejabat pendaftaran utama (kelab kenel) baka anjing, termasuk The Kennel Club (1873, United Kingdom), American Kennel Club (1884), New Zealand Kennel Club (1886), Canadian Kennel Club (1888), United Kennel Club (1898), United Kennel Clubs International (UCI, Jerman 1976), Australian National Kennel Council (1958), dan pejabat pendaftaran baka lain. Baka anjing beriktiraf dikelaskan mengikut kumpulan, seperti Hound, Terier, Pekerja, Gembala, Sukan, Bukan Sukan, Mainan, dan Lain-lain; sesetengah kumpulan boleh selanjutnya dibahagikan oleh sesetengah pejabat pendaftaran.[38] Sesetengah baka diuruskan oleh pertubuhan bebas, cth. collie sempadan oleh International Sheep Dog Society (ISDS).
Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) bukanlah pejabat pendaftaran baka dan tidak mengeluarkan pedigri atau menyimpan alamat untuk pembiak baka.[39] Ini ialah pertubuhan anjing global dengan anggota dan rakan kongsi kontrak (satu anggota bagi setiap negara) yang menganjurkan pertunjukan pengakuran antarabangsa, ujian pekerja/perburuan/penggembalaan, dan pelbagai acara lain. Hasil keputusan diserahkan kepada FCI untuk pemprosesan, kelulusan, dan pengiktirafan antarabangsa. Setiap anggota dan rakan kongsi kontrak mengeluarkan dan menyelenggarakan pedigri masing-masing dan piawaian baka masing-masing dan melatih hakim masing-masing. FCI memastikan bahawa setiap anggota saling mengiktiraf pedigri dan hakim daripada semua anggota FCI.[40]
Isu kesihatan
Anjing baka tulen mempunyai lebih banyak masalah kesihatan berbanding dengan anjing baka kacuk dan memerlukan lebih banyak lawatan veterinar[41] serta cenderung untuk mempunyai kelanjutan usia lebih rendah.[42][43] Sememangnya, kajian telah melaporkan jangka hayat yang lebih pendek sebanyak antara satu dengan hampir dua tahun.[44][45] Yang ketara juga, baka anjing dengan muka rata dan hidung pendek mengalami kesukaran pernafasan,[46] masalah mata, dan isu kesihatan lain.[47]
Senarai baka tulen
- Rujuk: Senarai baka anjing
Persekutuan Kinologi Antarabangsa ialah pertubuhan global dengan 98 anggota dan rakan kongsi kontrak (satu anggota bagi setiap negara) yang mengiktiraf 356 baka tulen.[40]
Baka silang
Baka silang anjing ialah hasil pengawanan dua baka berlainan.[48] "Anjing pereka" menjadi fesyen pada lewat abad ke-20.[49][50] Baka silang anjing merupakan gabungan zuriat anjing bela jinak; ini dibezakan daripada hibrid canid, yang merupakan silangan antara spesies sesama spesies Canis (serigala, koyote, jakal, dll.). Hibrid canid ketara termasuk coydog, coywolf, hibrid dingo–anjing, hibrid jakal–anjing, dan anjing serigala.[51][52][53][54]
Dari segi sejarah, silangan sesama anjing pelbagai jenis lebih diterima baik pada masa apabila baka tulen moden (berdasarkan prinsip eugenik) belum wujud.[55][56] Sesetengah anjing baka silang, yang diwujudkan dengan membiakbakakan dua ekor anjing baka tulen daripada baka berlainan, mungkin mempunyai kelebihan heterosis, atau kecergasan baka silang. Kelebihan ini dapat beransur-ansur dicairkan apabila dua baka silang dibiakbakakan dalam percubaan untuk mewujudkan baka, lalu menyempitkan takungan gen. Cara terbaik untuk terus memanfaatkan kecergasan baka silang adalah daripada pembiakbakaan anjing berkeleluhuran baka tulen, kerana kecergasan ini biasanya terlihat hanya pada silangan generasi pertama daripada dua ekor haiwan baka tulen daripada baka berasingan, sekali gus memanfaatkan kepelbagaian genetik.[57][58]
Baka kacuk
Anjing baka kacuk ialah anjing yang tidak tergolong dalam salah satu baka yang diiktiraf secara rasmi tetapi dapat menjadi campuran antara dua baka dan bukan hasil pembiakbakaan sengaja.[59]
Di Amerika Syarikat, istilah mixed-breed ("baka bercampur", "baka kacuk") ialah sinonim yang lebih digemari berbanding dengan mongrel ("koyok", "anjing kacuk") sesama khalayak yang ingin mengelakkan konotasi negatif yang dikaitkan dengan istilah mongrel.[60] Implikasi bahawa anjing sedemikian mesti merupakan campuran daripada baka bertakrif mungkin berpunca daripada pemahaman songsang tentang asal usul baka anjing. Anjing baka tulen, sebahagian besarnya, telah diwujudkan secara buatan daripada populasi yang membiak secara rawak oleh pembiakbakaan terpilih oleh manusia dengan tujuan untuk meningkatkan ciri fizikal, ciri tingkah laku, atau ciri perangai yang diingini. Anjing yang bukan baka tulen bukan semestinya campuran daripada baka bertakrif sedemikian.[61] Oleh itu, dalam kalangan sesetengah pakar dan peminat anjing sedemikian, mongrel ("koyok", "anjing kacuk") masih menjadi istilah pilihan.[62][63][64][65]
Baka semula jadi
Baka semula jadi bangkit seiring dengan masa sebagai gerak balas kepada persekitaran khusus dan dalam pengasingan daripada populasi lain bagi spesies berkenaan.[66] Persekitaran ini termasuk manusia tetapi dengan sedikit pembiakbakaan terpilih oleh manusia atau tanpa pembiakbakaan terpilih oleh manusia.[67]
Senarai
Lihat juga
Rujukan
- ^ Parker, Heidi G.; Dreger, Dayna Lee; Rimbault, Maud; Davis, Brian W.; Mullen, Alexandra B.; Carpintero-Ramirez, Gretchen; Ostrander, Elaine Ann (25 April 2017). "Genomic Analyses Reveal the Influence of Geographic Origin, Migration, and Hybridization on Modern Dog Breed Development" [Analisis-analisis Genomik Mendedahkan Pengaruh Asal Usul Geografi, Migrasi, dan Penghibridan terhadap Perkembangan Baka Anjing Moden]. Cell Reports (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 19 (4): 697–708. doi:10.1016/j.celrep.2017.03.079. ISSN 2211-1247. PMC 5492993. PMID 28445722. S2CID 4572878.
- ^ a b c d e Ostrander, Elaine Ann; Wang, Guodong; Larson, Greger John; vonHoldt, Bridgett Marie; Davis, Brian W.; Jagannathan, Vidhya; Hitte, Christophe; Wayne, Robert Keith; Zhang, Yaping (10 April 2019). "Dog10K: an international sequencing effort to advance studies of canine domestication, phenotypes and health" [Dog10K: usaha penjujukan antarabangsa untuk memajukan kajian tentang pembelajinakan, fenotip, dan kesihatan anjing]. National Science Review (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 6 (4): 810–824. doi:10.1093/nsr/nwz049. ISSN 2053-714X. PMC 6776107. PMID 31598383. S2CID 145828748.
- ^ "Dog Breeds" [Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ Irion, Dawn N.; Schaffer, Alison L.; Famula, Thomas Richard; Eggleston-Stott, M. L.; Hughes, Shayne S.; Pedersen, Niels C. (1 Januari 2003). Ostrander, Elaine Ann (penyunting). "Analysis of Genetic Variation in 28 Dog Breed Populations With 100 Microsatellite Markers" [Analisis Variasi Genetik dalam 28 Populasi Baka Anjing dengan 100 Penanda Mikrosatelit]. Journal of Heredity (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 94 (1): 81–87. doi:10.1093/jhered/esg004. ISSN 1465-7333. PMID 12692167. S2CID 7146717.
- ^ "About breed standards" [Tentang piawaian baka] (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Dogs and Dog" (dalam bahasa Inggeris). Dogs and Dog. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ a b Worboys, Michael (13 April 2019). "The history of dog breeds" [Sejarah baka anjing] (dalam bahasa Inggeris). The Week. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Ogos 2019. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "History of The Kennel Club" [Sejarah The Kennel Club] (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ Jacobs, Frank (19 Mac 2018). "Over 40% of the world's dog breeds come from these 3 countries" [Lebih daripada 40% daripada semua baka anjing di dunia berasal dari 3 negara ini] (dalam bahasa Inggeris). Big Think. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ Pitulʹko, Vladimir Viktorovich; Kasparov, Aleksey Kasparovich (8 Mei 2017). "Archaeological dogs from the Early Holocene Zhokhov site in the Eastern Siberian Arctic" [Anjing-anjing arkeologi dari tapak Zhokhov Holosen Awal di Artik Siberia Timur]. Journal of Archaeological Science: Reports (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 13: 491–515. Bibcode:2017JArSR..13..491P. doi:10.1016/j.jasrep.2017.04.003. ISSN 2352-4103. S2CID 135387142.
- ^ Clutton-Brock, Juliet (1995). "Origins of the dog: domestication and early history" [Asal usul anjing: pembelajinakan dan sejarah awal]. Dalam Serpell, James Andrew (penyunting). The Domestic Dog: Its Evolution, Behaviour and Interactions with People [Anjing Bela Jinak: Evolusi, Tingkah Laku, dan Interaksinya dengan Orang] (dalam bahasa Inggeris). Cambridge, United Kingdom: Cambridge University Press. m/s. 16–20. ISBN 9780521425377. OCLC 32272650.
- ^ a b Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). The Atlas of Dog Breeds of the World [Atlas Baka Anjing di Dunia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-5). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 912. ISBN 9780793812844. OCLC 32596861.
- ^ a b c American Kennel Club (31 Januari 2006). The Complete Dog Book [Buku Anjing Lengkap] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-20). New York, New York, Amerika Syarikat: Random House Publishing. ISBN 9780345476265. OCLC 416234912.
- ^ Rogers Clark, Anne; Brace, Andrew H., penyunting (10 November 1995). The International Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Antarabangsa tentang Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Renée Sporre-Willes. (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 8. ISBN 9780876056240. OCLC 32697706.
In the strictest sense, dog breeds date back only to the last couple of decades of the nineteenth century, or to more recent decades in this (the twentieth) century but distinct types of dogs have existed centuries earlier.
- ^ a b c d e f Freedman, Adam H.; Wayne, Robert Keith (Februari 2017). "Deciphering the Origin of Dogs: From Fossils to Genomes" [Mentafsirkan Asal Usul Anjing: Daripada Fosil hingga Genom]. Annual Review of Animal Biosciences (dalam bahasa Inggeris). Annual Reviews. 5: 281–307. doi:10.1146/annurev-animal-022114-110937. ISSN 2165-8110. PMID 27912242. S2CID 26721918.
- ^ Plassais, Jocelyn; vonHoldt, Bridgett Marie; Parker, Heidi G.; Carmagnini, Alberto; Dubos, Nicolas; Papa, Ilenia; Bévant, Kevin; Derrien, Thomas; Hennelly, Lauren Mae; Whitaker, Dustin Thad; Harris, Alexander C.; Hogan, Andrew N.; Huson, Heather Jay; Zaibert, Victor Fedorovich; Linderholm, Anna; Haile, James Seymour; Fest, Thierry; Habib, Bilal; Sacks, Benjamin N.; Benecke, Norbert; Outram, Alan Keith; Sablin, Mikhail Valerievich; Germonpré, Mietje B.; Larson, Greger John; Frantz, Laurent Alain François; Ostrander, Elaine Ann (27 Januari 2022). "Natural and human-driven selection of a single non-coding body size variant in ancient and modern canids" [Pemilihan semula jadi dan pemilihan dorongan manusia bagi satu varian saiz badan bukan pengekodan tunggal pada canid purba dan canid moden]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 32 (4): 889–897.e9. Bibcode:2022CBio...32E.889P. doi:10.1016/j.cub.2021.12.036. ISSN 0960-9822. PMC 8891063 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 35090588 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 246387681 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Frantz, Laurent Alain François; Bradley, Daniel G.; Larson, Greger John; Orlando, Ludovic (7 April 2020). "Animal domestication in the era of ancient genomics" [Pembelajinakan haiwan pada era genomik purba]. Nature Reviews Genetics (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 21 (8): 449–460. doi:10.1038/s41576-020-0225-0. ISSN 1471-0064. PMID 32265525. S2CID 214809393.
- ^ Boyko, Adam R.; Quignon, Pascale; Li, Lin; Schoenebeck, Jeffrey J.; Degenhardt, Jeremiah Daniel; Lohmueller, Kirk Edward; Zhao, Keyan; Brisbin, Abra Gail; Parker, Heidi G.; vonHoldt, Bridgett Marie; Cargill, Michele; Auton, Adam; Reynolds, Andy; Elkahloun, Abdel G.; Castelhano, Marta Guilherme Pimentel; Mosher, Dana S.; Sutter, Nathan B.; Johnson, Gary Steven; Novembre, John Peter; Hubisz, Melissa J.; Siepel, Adam Charles; Wayne, Robert Keith; Bustamante, Carlos Daniel; Ostrander, Elaine Ann (10 Ogos 2010). Hoekstra, Danielle Elisabeth (penyunting). "A Simple Genetic Architecture Underlies Morphological Variation in Dogs" [Seni Bina Genetik Ringkas Mendasari Variasi Morfologi pada Anjing]. PLOS Biology (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 8 (8): e1000451. doi:10.1371/journal.pbio.1000451. hdl:20.500.11820/9b935342-6da0-421b-9d9d-4b2dd056df51. ISSN 1545-7885. PMC 2919785. PMID 20711490. S2CID 8978781.
- ^ a b Parker, Heidi G.; Kim, Lisa V.; Sutter, Nathan B.; Carlson, Scott M.; Lorentzen, Travis D.; Malek, Tiffany Bedizon; Johnson, Gary Steven; DeFrance, Hawkins B.; Ostrander, Elaine Ann; Kruglyak, Leonid (21 Mei 2004). "Genetic Structure of the Purebred Domestic Dog" [Struktur Genetik Anjing Bela Jinak Baka Tulen]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 304 (5674): 1160–1164. Bibcode:2004Sci...304.1160P. doi:10.1126/science.1097406. ISSN 0036-8075. JSTOR 3836878. PMID 15155949. S2CID 43772173.
- ^ "Groups" [Kumpulan] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 November 2015. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ a b c vonHoldt, Bridgett Marie; Pollinger, John P.; Lohmueller, Kirk Edward; Han, Eunjung Christine; Parker, Heidi G.; Quignon, Pascale; Degenhardt, Jeremiah Daniel; Boyko, Adam R.; Earl, Dent Allan; Auton, Adam; Reynolds, Andy; Bryc, Kasia; Brisbin, Abra Gail; Knowles, James C.; Mosher, Dana S.; Spady, Tyrone C.; Elkahloun, Abdel G.; Geffen, Eli; Pilot, Małgorzata; Jędrzejewski, Włodzimierz; Greco, Claudia; Randi, Ettore; Bannasch, Danika Lynne; Wilton, Alan Norman; Shearman, Jeremy Ross; Musiani, Marco; Cargill, Michele; Jones, Paul Glyn; Qian, Zuwei; Huang, Wei; Ding, Zhaoli; Zhang, Yaping; Bustamante, Carlos Daniel; Ostrander, Elaine Ann; Novembre, John Peter; Wayne, Robert Keith (17 Mac 2010). "Genome-wide SNP and haplotype analyses reveal a rich history underlying dog domestication" [SNP seluruh genom dan analisis haplotip mendedahkan sejarah kaya di sebalik pembelajinakan anjing]. Nature (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 464 (7290): 898–902. Bibcode:2010Natur.464..898V. doi:10.1038/nature08837. hdl:10779/lincoln.24410656. ISSN 1476-4687. PMC 3494089. PMID 20237475. S2CID 1030127.
- ^ Twiti, William (1977). Danielsson, Bror (penyunting). The Art of Hunting: 1327 [Seni Perburuan: 1327] (dalam bahasa Inggeris). Stockholm, Sweden: Almqvist & Wiksell. ISBN 9789122000846. OCLC 3514565.
- ^ dari Norwich, Edward (1904). Baillie Grohamn, William Adolph; Baillie Grohman, Florence Nickalls (penyunting). The Master of Game: The Oldest English Book on Hunting [Tuan Buruan: Buku Inggeris Tertua tentang Perburuan] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Hanson & Co. OCLC 427310689.
- ^ dari Norwich, Edward (1909). Baillie Grohamn, William Adolph; Baillie Grohman, Florence Nickalls (penyunting). The Master of Game: By Edward, Second Duke of York: The Oldest English Book on Hunting [Tuan Buruan: Oleh Edward, Duke York Ke-2: Buku Inggeris Tertua tentang Perburuan] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Chatto & Windus. OCLC 34235465.
- ^ Phoebus, Gaston (1839). Livre de chasse [Buku Perburuan] (dalam bahasa Perancis).
- ^ Berners, Juliana (1975). English Hawking and Hunting in the Boke of St. Albans [Hawking dan Perburuan Inggeris dalam Kitab St. Albans] (dalam bahasa Inggeris). Oxford, United Kingdom: Oxford University Press. ISBN 9780198117155. OCLC 1551729.
- ^ Berners, Juliana (1901). The Boke of Saint Albans [Kitab Santo Albans] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Elliot Stock. OCLC 56034404.
- ^ a b c Larson, Greger John; Karlsson, Elinor Kathryn; Perri, Angela Ray; Webster, Matthew Thomas; Ho, Simon Y. W.; Peters, Joris; Stahl, Peter W.; Piper, Philip John; Lingaas, Frode; Fredholm, Merete; Comstock, Kenine E.; Modiano, Jaime F.; Schelling, Claude; Agoulnik, Alexander I.; Leegwater, Peter A. J.; Dobney, Keith Mark; Vigne, Jean-Denis; Vilà Arbonès, Carles; Andersson, Leif Bertil; Lindblad-Toh, Kerstin (21 Mei 2012). Burger, Joachim (penyunting). "Rethinking dog domestication by integrating genetics, archeology, and biogeography" [Memikirkan pembelajinakan anjing semula dengan menyepadukan genetik, arkeologi, dan biogeografi]. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (dalam bahasa Inggeris). Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat. 109 (23): 8878–8883. Bibcode:2012PNAS..109.8878L. doi:10.1073/pnas.1203005109. hdl:1828/8411. ISSN 1091-6490. JSTOR 41603020. PMC 3384140. PMID 22615366. S2CID 7845853.
- ^ Cadieu, Edouard; Ostrander, Elaine Ann (1 November 2007). "Canine Genetics Offers New Mechanisms for the Study of Human Cancer" [Genetik Anjing Menawarkan Mekanisme Baharu untuk Kajian Kanser Manusia]. Cancer Epidemiology, Biomarkers & Prevention (dalam bahasa Inggeris). American Association for Cancer Research. 16 (11): 2181–2183. doi:10.1158/1055-9965.EPI-07-2667. ISSN 1538-7755. PMID 17982116. S2CID 28325634.
- ^ Serpell, James Andrew; Duffy, Deborah L. (6 Mac 2014). "Dog Breeds and Their Behavior" [Baka Anjing dan Tingkah Lakunya]. Dalam Horowitz, Alexandra (penyunting). Domestic Dog Cognition and Behavior: The Scientific Study of Canis familiaris [Kognisi dan Tingkah Laku Anjing Bela Jinak: Kajian Saintifik Canis familiaris] (dalam bahasa Inggeris). Heidelberg, Jerman: Springer Science+Business Media. m/s. 31–57. doi:10.1007/978-3-642-53994-7_2. ISBN 9783642539930. OCLC 866931394.
- ^ Seranne, Ann (3 Disember 2004). The Joy of Breeding Your Own Show Dog [Keriangan Pembiakbakaan Anjing Pertunjukan Sendiri] (dalam bahasa Inggeris) (ed. semakan). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780764573026. OCLC 55948058.
- ^ Marmer, Lynn (1984). "THE NEW BREED OF MUNICIPAL DOG CONTROL LAWS: ARE THEY CONSTITUTIONAL?" [BAKA BAHARU UNDANG-UNDANG KAWALAN ANJING PERBANDARAN: BERPERLEMBAGAANKAH ITU?] (dalam bahasa Inggeris). grapevine.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Mei 2008. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
The court found it was impossible to identify the breed of an unregistered dog.
- ^ "STANDARDS OF THE BREEDS: GROUP 5 - WORKING" [PIAWAIAN BAKA: KUMPULAN 5 - PEKERJA] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). New Zealand Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 23 Januari 2016. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "What Is AKC Canine Partners™?" [Apakah Canine Partners™ AKC?] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Animal Pedigree Act" [Akta Pedigri Haiwan] (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Kehakiman. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Julai 2012. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Animal Pedigree Act - Secretary's manual" [Akta Pedigri Haiwan - Panduan setiausaha] (dalam bahasa Inggeris). Pertanian dan Agromakanan Kanada. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Glossary" [Glosari] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Oktober 2015. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "List of Breeds by Group" [Senarai Baka mengikut Kumpulan] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Main activities of the FCI Secretariat" [Kegiatan utama Sekretariat FCI] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ a b "Presentation of our organisation" [Perbentangan organisasi kami] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ Egenvall, Agneta; Hedhammar, Åke; Bonnett, Brenda N.; Olson, Pekka (29 April 2000). "Gender, age, breed and distribution of morbidity and mortality in insured dogs in Sweden during 1995 and 1996" [Jantina, usia, baka, dan taburan bagi morbiditi dan mortaliti pada anjing insured di Sweden semasa tahun 1995 dan tahun 1996]. Veterinary Record (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 146 (18): 519–525. doi:10.1136/vr.146.18.519. ISSN 2042-7670. PMID 11321213. S2CID 24303176.
- ^ Bonnett, Brenda N.; Egenvall, Agneta; Olson, Pekka; Hedhammar, Åke (12 Julai 1997). "Mortality in insured Swedish dogs: rates and causes of death in various breeds" [Mortaliti pada anjing insured Sweden: kadar dan punca kematian pada pelbagai baka]. Veterinary Record (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 141 (2): 40–44. doi:10.1136/vr.141.2.40. ISSN 2042-7670. PMID 9253830. S2CID 9721674.
- ^ Proschowsky, Helle Friis; Rugbjerg, Helene; Ersbøll, Annette Kjær (21 Februari 2003). "Mortality of purebred and mixed-breed dogs in Denmark" [Mortaliti anjing baka tulen dan baka kacuk di Denmark]. Preventive Veterinary Medicine (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 58 (1–2): 63–74. doi:10.1016/S0167-5877(03)00010-2. ISSN 1873-1716. PMID 12628771. S2CID 23724185.
- ^ O'Neill, Dan Gerard; Church, David B.; McGreevy, Paul Damien; Thomson, Peter Campbell; Brodbelt, David C. (25 September 2013). "Longevity and mortality of owned dogs in England" [Kelanjutan usia dan mortaliti anjing berpemilik di England]. The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 198 (3): 638–643. doi:10.1016/j.tvjl.2013.09.020. ISSN 1532-2971. PMID 24206631. S2CID 13103255.
- ^ Patronek, Gary J.; Waters, David J.; Glickman, Lawrence T. (1 Mei 1997). "Comparative Longevity of Pet Dogs and Humans: Implications for Gerontology Research" [Kelanjutan Usia Perbandingan bagi Anjing Peliharaan dan Manusia: Implikasi untuk Penyelidikan Gerontologi]. The Journals of Gerontology, Series A (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 52A (3): B171–B178. doi:10.1093/gerona/52A.3.B171. ISSN 1758-535X. PMID 9158552. S2CID 25402845.
- ^ "Why this dog needed surgery to breathe" [Sebabnya anjing ini perlukan pembedahan untuk bernafas] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 21 September 2016. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Vets warn people against buying 'flat-faced' dogs" [Doktor haiwan beri amaran supaya tidak beli anjing 'bermuka rata'] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. 21 September 2016. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "cross-breed". Oxford Dictionaries (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Julai 2012. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ Weir, Malcolm; Buzhardt, Lynn. "Designer Dog Breeds" [Baka Anjing Pereka] (dalam bahasa Inggeris). VCA Animal Hospitals. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ "Which is the Best Dog Breeds in Indian Climate?" [Yang Manakah Baka Anjing Terbaik dalam Iklim India?] (dalam bahasa Inggeris). Show Quality Dogs. 30 Oktober 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 September 2020. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
- ^ Bennett, Laura (10 Disember 2007). "Pet Industry Trends for 2008" [Trend Industri Haiwan Peliharaan untuk Tahun 2008] (dalam bahasa Inggeris). Small Business Trends. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Julai 2008. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
[...] 2008 will see the rapid growth of the puppy farm hybrid to take advantage of the inflated prices people are paying for these dogs.
- ^ Patterson, Melissa (23 Julai 2008). "Not all cute and cuddly in land of 'designer dogs,' humane society says" [Bukan semata-mata comel dan sedap dipeluk di negeri 'anjing pereka', kata persatuan perikemanusiaan] (dalam bahasa Inggeris). Chicago Tribune. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Oktober 2008. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
hybrid puppies—the offspring of two purebreds—often go for more money than purebreds, which can range from $200 to $2,000 per dog.
- ^ "Hounded out: Fur and loathing in the dog world" [Hounded out: Bulu dan kebencian di dunia anjing] (dalam bahasa Inggeris). The Independent. 8 Mac 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Februari 2011. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
In fact, the stampede to acquire one has become so furious that puppies now sell for as much as £2,000.
- ^ "Designer Dogs are the Rage!!" [Anjing Pereka Perkara Hangat!!] (dalam bahasa Inggeris). DesignerDoggies.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2008. Dicapai pada 5 Ogos 2025.
For instance, the Beagle is one of the lowest priced purebred dogs, yet the Puggle often sells for much more than the purebred Pug.
- ^ Brandow, Michael (3 Februari 2015). A Matter of Breeding: A Biting History of Pedigree Dogs dan How the Quest for Status Has Harmed Man's Best Friend [Persoalan Pembiakbakaan: Sejarah Menggigit tentang Anjing Pedigri dan Cara PenCarian Status Telah Memudaratkan Sahabat Baik Manusia] (dalam bahasa Inggeris). Boston, Massachussetts, Amerika Syarikat: Beacon Press. ISBN 9780807033432. OCLC 889426101.
- ^ Walsh, John Henry (1859). The Dog in Health and Disease [Kesihatan dan Penyakit Anjing] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Longman, Green, Longman and Roberts. OCLC 23099747.
- ^ Csányi, Vilmos (12 Januari 2005). If Dogs Could Talk: Exploring the Canine Mind [Andai Anjing Mampu Berbicara: Menerokai Minda Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Quandt, Richard E. (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: North Point Press. m/s. 285–286. ISBN 9780865476868. OCLC 54803601.
- ^ Birchler, James Arthur; Yao, Hong; Chudalayandi, Sivanandan (29 Ogos 2006). "Unraveling the genetic basis of hybrid vigor" [Mengungkaikan dasar genetik bagi kecergasan hibrid]. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (dalam bahasa Inggeris). Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat. 103 (35): 12597–12598. Bibcode:2006PNAS..10312957B. doi:10.1073/pnas.0605627103. ISSN 1091-6490. JSTOR 30050693. PMC 1559732. PMID 16938847. S2CID 5013076.
- ^ Morris, Desmond (1 September 2008). "Feral dogs" [Anjing jalang]. Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 696–697. ISBN 9781570764103. OCLC 213449602.
The mongrel is not a true breed, but it is certainly a common category of domestic dog. It has been estimated that, worldwide, there are 150 million of them.
- ^ Witiak, Gene (Julai 2004). True Confessions of a Veterinarian: An Unconditional Love Story [Pengakuan Sebenar Seorang Doktor Haiwan: Sebuah Kisah Kasih Tanpa Syarat] (dalam bahasa Inggeris). Centennial, Colorado, Amerika Syarikat: Glenbridge Publishing. m/s. 11. ISBN 9780944435540.
Canines of unknown lineage used to be termed mongrels—how demeaning! Over time, the term 'mixed breed' was preferred.
- ^ Budiansky, Stephen (2 Oktober 2000). The Truth About Dogs: An Inquiry into the Ancestry, Social Conventions, Mental Habits, and Moral Fiber of Canis familiaris [Kebenaran tentang Anjing: Penyelidikan tentang Keleluhuran, Resam Masyarakat, Tabiat Mental, dan Perwatakan Canis familiaris] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Viking Press. m/s. 35. ISBN 9780670892723. OCLC 44084119.
- ^ Riddle, Maxwell (1954). Lovable Mongrel [Anjing Kacuk Mudah Disayangi] (dalam bahasa Inggeris). Fond du Lac, Wisconsin, Amerika Syarikat: All-Pets Books. OCLC 221388841.
- ^ Cooper, Jilly (24 September 1981). Intelligent and Loyal: A Celebration of the Mongrel [Cerdas dan Setia: Meraikan Anjing Kacuk] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). London, United Kingdom: Eyre Methuen. ISBN 9780413480002. OCLC 8344249.
- ^ Patmore, Angela (1985). The Mongrel [Anjing Kacuk] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Hutchinson. ISBN 9780091623913. OCLC 12519794.
- ^ White, Kay; Prents, Andrew (1997). RSPCA Book of the Mongrel [Buku Anjing Kacukan RSPCA] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: HarperCollins. ISBN 9780004133072. OCLC 43150392.
- ^ Sponenberg, D. Phillip (15 Julai 2000). "Genetic Resources and Their Conservation" [Sumber Genetik dan Pemuliharaannya]. Dalam Bowling, Ann T.; Ruvinskiy, Anatoliy Ovseyevich (penyunting). The Genetics of the Horse [Genetik Kuda] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: CAB International. m/s. 392–393. ISBN 9780851994291. OCLC 42771346.
- ^ Coppinger, Raymond Parke; Coppinger, Lorna (27 Mei 2001). "Natural Breeds" [Baka Semula Jadi]. Dogs: A Startling New Understanding of Canine Origin, Behavior & Evolution [Anjing: Pemahaman Baharu Mengejutkan bagi Asal Usul, Tingkah Laku, dan Evolusi Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Scribner. m/s. 85. ISBN 9780684855301. OCLC 45466125.
Natural breeds can arise locally with no human interaction
Bacaan lanjut
- Alderton, David (Ogos 2008). Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. ISBN 9781407524382. OCLC 294848139.
- Coile, D. Caroline (1 April 2005). Encyclopedia of Dog Breeds [Ensiklopedia Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780764157004. OCLC 55886423.
- De Prisco, Andrew; Johnson, James Burris (1997). Kynos-Hundeführer [Pengendali Anjing Kynos] (dalam bahasa Jerman). Diterjemahkan oleh Français, Isabelle; Fleig, Helga (ed. ke-1). Mürlenbach, Jerman: Kynos Verlag. ISBN 9783929545609. OCLC 75759368.
- De Vito, Dominique; Russell-Revesz, Heather; Fornino, Stephanie (2009). World Atlas of Dog Breeds [Atlas Dunia tentang Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-6). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. ISBN 9780793806560. OCLC 262432407.
- Fogle, Bruce (15 Julai 2013). Dennis-Bryan, Kim (penyunting). The Dog Encyclopedia: The Definitive Visual Guide [Ensiklopedia Anjing: Panduan Visual Muktamad] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Ann Baggaley dan Katie John. (ed. berilustrasi). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. ISBN 9781465408440. OCLC 812257274.
- Kister, Kenneth F. (1994). "Judul tidak dikenal pasti". Kister's Best Encyclopedias (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Oryx Press. m/s. 329–330. ISBN 9780897747448.
- Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). The Atlas of Dog Breeds of the World [Atlas Baka Anjing di Dunia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-5). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. ISBN 9780793812844. OCLC 32596861.
Pautan luar
- "FCI breeds nomenclature: Breeds recognised on a definitive basis" [Tatanama baka FCI: Baka yang diiktiraf atas dasar muktamad] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 5 Ogos 2025.