Nama lain | Anjing besar Münster Münsterländer besar | ||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Jerman | ||||||||||||||
| |||||||||||||||
| |||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing penuding besar Münster,[a] anjing besar Münster, atau münsterländer besar[b] ialah satu baka anjing penuding benua Jerman moden jenis spaniel. Ia berasal dari Westfalia dan Sachsen Hilir dan dinamai sempena rantau Münsterland di Westfalia utara.
Ia mengongsi asal usul sama dengan anjing penuding berbulu panjang Jerman dan diasaskan sebagai baka terpisah apabila persatuan baka menyingkirkan pewarnaan hitam putih daripada piawaian bakanya.[1] Sebuah persatuan baka baharu untuk anjing penuding hitam putih berbulu panjang dimulakan pada tahun 1919 dan baka baharu ini diiktiraf pada tahun 1922. Ia diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1954.[2]
Sejarah
Baka anjing penuding dari Eropah kesemuanya diterbitkan daripada anjing penuding lama Sepanyol yang kini pupus, yang tersebar melalui Perancis dan Negeri-Negeri Pamah dan mencapai wangsa-wangsa kepengiranan di dunia berbahasa Jerman.[3]:2[4] Di sana, ia pada mulanya digunakan dalam pemburuan burung dengan jaring atau falkon dan kemudian oleh pemburu bersenjata api.[4] Anjing burung juga dibawa dari England; Carl von Heppe , dalam karya beliau Aufrichtiger Lehrprinz pada tahun 1751, menerangkan ini sebagai anjing yang lebih tinggi dan lebih kuat berbanding dengan jenis tempatan.[5]:523[6]:17 Pada abad kesembilan belas, bilangan besar anjing jenis anjing penuding Burgos dibawa ke Jerman.[3]:5 Pada bahagian awal abad itu, populasi campuran terhasil tidak mempunyai nama spesifik – anjing tersebut dipanggil Hühnerhunde ("anjing burung") atau Jagdhunde ("anjing pemburu").[5]:523
Pada tahun 1878, pada pertunjukan anjing tahunan oleh Verein zur Veredelung der Hunderassen ("Persatuan untuk Penghalusan Baka Anjing") di Frankfurt am Main, terdapat persetujuan bahawa piawaian baka untuk anjing-anjing Jerman bakal diasaskan pada pertunjukan yang akan diadakan di Hanover pada tahun 1879; piawaian untuk kedua-dua anjing penuding berbulu pendek Jerman dan anjing penuding berbulu panjang Jerman diperkenalkan pada tahun itu.[5]:606 Walaupun anjing hitam putih didokumenkan dalam lukisan-lukisan tentang Hühnerhunde lama,[7] anjing dengan pewarnaan ini pada mulanya dikecualikan daripada piawaian anjing penuding berbulu panjang Jerman kerana dianggap sebagai petanda pasti bagi pembiakbakaan silang dengan seter Inggeris. Anjing hitam putih kemudian diizinkan untuk didaftarkan, sehingga hitam putih disingkirkan secara muktamad daripada piawaian pada tahun 1908[5]:610 atau tahun 1909.[4]
Pada tahun 1919, sebuah persatuan baka, iaitu Verein für die Reinzucht des langhaarigen schwarz-weißen Münsterländer Vorstehhundes ("Persatuan untuk Pembiakbakaan Tulen Anjing Penuding Hitam Putih Berbulu Panjang Münster"), dibentuk di Haltern di Münsterland oleh para pembiak baka bagi anjing penuding hitam putih berbulu panjang ini, yang untuknya nama großer Münsterländer Vorstehhund ("anjing penuding besar Münster") dipilih, oleh sebab kebanyakannya terdapat di Westfalia atau di Sachsen Hilir.[5]:610[4] Senarai lapan puluh tiga ekor haiwan pengasas sesuai dirangka dan diterbitkan dalam buku pembaka pertama untuk baka baharu ini pada tahun 1922.[5]:610 Baka ini diiktiraf secara rasmi oleh Delegierte-Kommission ("Suruhanjaya Wakil") pada tahun sama.[8]
Ia diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1954;[2] ia diiktiraf oleh The Kennel Club di Great Britain pada tahun 1971[9] dan oleh American Kennel Club pada tahun 2023.[10]
Dalam tempoh lima belas tahun dari tahun 2009 hingga tahun 2023, angka tahunan bagi pendaftaran baharu di Jerman berubah-ubah daripada 241 hingga 452, dengan purata sekitar 336, atau hanya lebih sedikit daripada 0.4% daripada jumlah pendaftaran pada tempoh itu.[11]
Ciri
Münsterländer besar patut atletik, cerdas, mengagumkan, dan anggun dari segi penampilan. Tubuhnya patut sama panjang dengan ketinggiannya pada paras kelasa. Anjing ini patut berotot tanpa menjadi besar. Gaya jalannya patut gemalai dan anjal.
Jantan berdiri setinggi sekitar 60–70 cm (24–28 in) pada paras kelasa, manakala betina pula kurang sekitar 2 cm (0.79 in). Berat badan adalah hampir-hampir 30 kg (66 lb) pada kedua-dua jantina.[12][13]
Lapis bulunya berwarna hitam dan putih dengan bulu sederhana panjang. Oleh sebab sifat gen piebald, jumlah hitam dalam corak lapis bulu setiap anjing sangat berbeza-beza, daripada kebanyakannya putih hingga kebanyakannya hitam. Tanda-tanda hadir sebagai tompok hitam padu, dengan bintik hitam atau hitam kemerah-merahan yang mengisi bulu putih dengan takat kepekatan berbeza-beza. Biasanya, kepalanya kebanyakannya hitam dan hujung ekornya berwarna putih, tanpa mengira taburan hitam dan putih dan kemerah-merahan dan bintik pada selebih tubuh.
Münsterländer besar disertakan dalam sebuah kajian penyelidikan genetik dan kesemuanya adalah homozigot untuk alel sp dalam gen MITF yang menyebabkan tompok piebald.[14]
Lapis bulunya padat namun patut kukuh dan licin berkilat.
Kegunaan
Anjing padang ini mempunyai ciri-ciri ketenangan dan kelembutan dengan kanak-kanak dan menyesuaikan diri dengan baik untuk tinggal di kediaman tuannya. Ciri-ciri serba guna baka ini menyediakan pendamping yang boleh dipercayai untuk semua aspek perburuan.
Ia merupakan gundog serba guna yang digunakan untuk penudingan dan penjejakan dan untuk mencari dan mengutip buruan yang ditembak. Ia bekerja dengan baik di darat dan khususnya di dalam air.[15]:126
Lapis bulu panjang dan tebalnya melindunginya daripada kesejukan dan membolehkannya mencari melalui semak tebal dengan teliti, tetapi akibatnya menjadikannya lebih rentan terhadap gerigis.[16]
Catatan
Rujukan
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing besar Münster |
- ^ "Large Munsterlander History" [Sejarah Anjing Besar Münster] (dalam bahasa Inggeris). Large Munsterlander Association of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2015. Dicapai pada 23 Januari 2024.
- ^ a b "FCI breeds nomenclature: GROSSER MÜNSTERLÄNDER VORSTEHHUND (118)" [Tatanama baka FCI: ANJING PENUDING BESAR MÜNSTER (118)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ a b Parra Pecharromán, David; Méndez Delgado, Rosario Susy; Cañón Ferreras, Francisco Javier; Dunner Boxberger, Helene Susana (30 Januari 2008). "Genetic differentiation in pointing dog breeds inferred from microsatellites and mitochondrial DNA sequence" [Pembezaan genetik pada baka anjing penuding yang diinferenskan daripada mikrosatelit dan jujukan DNA mitokondrion]. Animal Genetics (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 39 (1): 1–7. doi:10.1111/j.1365-2052.2007.01658.x. ISSN 1365-2052. PMID 18254732. S2CID 16719543.
- ^ a b c d "Großer Münsterländer Vorstehhund/Grosser Münsterländer Vorstehhund" [Anjing Penuding Besar Münster] (dalam bahasa Jerman). Dortmund, Jerman: Verband für das Deutsche Hundewesen. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2024. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ a b c d e f Räber, Hans (1995). Enzyklopädie der Rassehunde: Ursprung, Geschichte, Zuchtziele, Eignung und Verwendung [Ensiklopedia Anjing Baka Tulen: Asal Usul, Sejarah, Matlamat Pembiakbakaan, Kesesuaian, dan Kegunaan] (dalam bahasa Jerman). Stuttgart, Jerman: Franckh-Kosmos. ISBN 9783440067529. OCLC 643163864.
- ^ von Heppe, Carl (1751). Herrn Carl von Heppe, Erb- Lehn- und Gerichtsherrn auf Thalborn, auch Erbherrn zu Reyhershausen [et]c. Sr. Churfürstl. Durchl. in Bayern wirkl. Truchses, aufrichtiger Lehrprinz oder Praktische Abhandlung von dem Leithund, als dem Fundament der edlen Jägerey (dalam bahasa Jerman). Augsburg, Jerman: Lotter. OCLC 311573871.
- ^ Vornholt, Egon; Oelmann, Bruno; Wichmann, Karl (2019). 100 Jahre Große Münsterländer: Chronik des Verbandes Große Münsterländer e.V. [100 Tahun Anjing Besar Münster: Sejarah Verband Große Münsterländer e.V.] (dalam bahasa Jerman). Borken, Jerman: Verband Große Münsterländer e.V.
- ^ "Die Geschichte des Großen Münsterländers" [Sejarah Anjing Besar Münster] (dalam bahasa Jerman). Borken, Jerman: Verband Große Münsterländer. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2024. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ "Large Munsterlander" [Anjing Besar Münster] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Ogos 2024. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ "Large Munsterlander" [Anjing Besar Münster] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Oktober 2024. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ "Welpenstatistik" [Statistik anak anjing] (dalam bahasa Jerman). Dortmund, Jerman: Verband für das Deutsche Hundewesen. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Februari 2024. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ "FCI - Standard Nr. 118 GROSSER MÜNSTERLÄNDER VORSTEHHUND" [Piawaian FCI No. 118 Anjing Penuding Besar Münster] (pdf) (dalam bahasa Jerman). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Mac 2014. Dicapai pada 16 November 2024.
- ^ "FCI-Standard N° 118 GROßER MÜNSTERLÄNDER VORSTEHHUND (Large Munsterlander)" [Piawaian FCI No. 118 Anjing Penuding Besar Münster (Anjing Besar Münster)] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Davis, Peggy. Ditambahi oleh Christina Bailey. Disemak oleh Verband für das Deutsche Hundewesen dan Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Mei 2014. Dicapai pada 16 November 2024.CS1 maint: others (link)
- ^ Schmutz, Sheila M.; Berryere, Tom G.; Dreger, Dayna L. (5 Jun 2009). Galibert, Francis (penyunting). "MITF and White Spotting in Dogs: A Population Study" [MITF dan Tompok-tompok Putih pada Anjing: Kajian Populasi]. Journal of Heredity (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 100 (suppl_1): S66–S74. doi:10.1093/jhered/esp029. ISSN 1465-7333. S2CID 85791787.
- ^ Lehari, Gabriele (2013). 400 Hunderassen von A - Z [400 Baka Anjing daripada A–Z] (dalam bahasa Jerman) (ed. ke-3). Stuttgart, Jerman: Verlag Eugen Ulmer. ISBN 9783800178827.
- ^ Thoms, Jerry (12 Ogos 2013). "Breed Profile: The Large Munsterlander" [Profil Baka: Anjing Besar Münster]. Gun Dog (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2020. Dicapai pada 23 Januari 2024.