Nama lain | Spaniel Rusia | ||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Kesatuan Soviet | ||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Spaniel pemburu Rusia[a] atau hanya spaniel Rusia[b] ialah sejenis spaniel yang pertama dipiawaikan pada tahun 1951 di Kesatuan Soviet selepas Perang Dunia Kedua melalui pembiakbakaan silang kokerspaniel Inggeris, springerspaniel Inggeris, baka spaniel lain. Pada tahun 1951, piawaian spaniel Rusia diterima pakai. Pemilihan anjing untuk pembiakbakaan mula dijalankan menurut syarat. Secara fizikal, ia serupa dengan kokerspaniel, tetapi mempunyai lapis bulu lebih pendek dan lebih ketat dan tubuh lebih panjang. Setelah dikembangkan dan digunakan sebagai anjing pemburu, baka ini tidak menderitai sebarang aduan kesihatan besar selain yang biasanya dikaitkan dengan spaniel. Ia merupakan satu-satu baka gundog yang berasal dari Rusia. Ia digunakan untuk pemburuan burung buruan (unggas rawa, unggas padang, unggas tanah tinggi, dan unggas air) dan kelinci. Baka ini, yang popular in di tanah airnya Rusia, hanya diperkenalkan di luar negara pada tahun 1990-an dan belum diiktiraf oleh mana-mana kelab kenel utama, tetapi sudah diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Rusia.[1]
Perihal
Spaniel Rusia anjing kecil dan tegap dengan lapis bulu pendek, ketat, dan bak sutera dengan jumbai pada telinga dan tungkai.[2][3] Warna dapat berbeza-beza dan dapat termasuk warna padu tanpa tanda-tanda putih, piebald, berbintik, hitam dan sawo matang, dan gabungan.[4] Kepala dan telinga juga biasanya gelap.
Spaniel Rusia menyerupai kokerspaniel Inggeris dengan tubuh yang serupa dengan susur galur padang bagi baka itu namun dengan telinga lebih panjang pada susur galur pertunjukan. Walau bagaimanapun, tubuh spaniel Rusia cenderung lebih panjang daripada tubuh kokerspaniel Inggeris dan baka ini hanya mempunyai satu susur galur dan bukan terpisah kepada susur galur pertunjukan dan susur galur pertunjukan dalam baka sama.[5]
Kedua-dua jantan dan betina baka ini berukuran pada purata seberat 28–40 lb (13–18 kg) dan setinggi sekitar 15–17 inci (38–43 cm) pada paras kelasa.[6] Ini menjadikannya serupa dari segi saiz atau lebih besar sedikit berbanding dengan kokerspaniel Inggeris yang berukuran hampir-hampir seberat 13–14.5 kg (29–32 lb) dan pada purata setinggi 15.5–16 inci (39–41 cm) dengan betina yang lebih kecil sedikit pada 15–15.5 inci (38–39 cm).[7]
Dengan tujuan utama pembiakbakaan sebagai anjing pemburu, matlamatnya adalah untuk menemukan burung, membuat burung itu terbang ke udara, dan kemudian mengutip burung itu menurut perintah selepas pemburu telah menembak buruan itu.[8] Spaniel Rusia sesuai untuk perburuan di tanah rawa, di padang, di hutan cerang, untuk burung serta arnab dan buruan kecil lain.[9] Baka ini juga popular di tanah airnya Rusia kerana saiz kecilnya menjadikannya sesuai untuk dibela di kota sibuk dan mudah diangkut ke tapak perburuan.[10]
Kesihatan
Seperti semua spaniel bertelinga panjang, spaniel Rusian memerlukan pemeriksaan untuk mencegah jangkitan telinga.[11] Baka ini mempunyai kecenderungan terhadap peningkatan berat mudah, yang dapat dicegah dengan mengawal pengambilan makanan.[9] Spaniel Rusia dapat menjadi terdedah kepada alahan makanan, yang biasanya dikenal pasti pada usia antara 1 dengan 5 bulan dengan alergen paling lazim yang merupakan ayam dan lobak merah. Tiada isu kesihatan spesifik baka lain yang diketahui buat masa ini.[9]
Perangai
Ia merupakan baka bertenaga dan bersemangat bebas.[2] Walaupun ia merupakan gundog, ia juga telah dibela sebagai anjing teman kerana sifat santai dan kesetiaannya.[3] Ia merupakan anjing riang dan aktif dan sentiasa bersedia untuk bermain dan bergerak balas terhadap sebarang bentuk perhatian dengan ekor yang bergoyang dengan gembira.[11] Spaniel Rusia mudah dilatih dan dapat menjadi anjing pengawal bagus[6] dan ramah dengan kanak-kanak.[12]
Spaniel Rusia berenang dan menyelam untuk mengutip burung tercedera. Ia digunakan untuk memburu buruan rawa, padang, dan tanah tinggi. Dahulu, baka ini juga diuji untuk penjejakan darah. Spaniel Rusia memiliki naluri dan stamina bagus. Ia dapat digunakan sebagai anjing pengawal. Walau bagaimanapun, perkembangan sengaja bagi kualiti anjing pengawal dipercayai dapat menjejaskan kualiti pemburu anjing berkenaan.
Sejarah
Spaniel Rusia ialah gundog Rusia termuda. Ia berasal kebanyakannya daripada kokerspaniel Inggeris dan springerspaniel Inggeris.[10] Baka yang dikenali sebagai spaniel Rusia telah disebut seawal tahun 1891 di New Zealand.[13]
Spaniel tercatat pertama di Rusia ialah seekor kokerspaniel hitam yang dimiliki oleh penggemar perburuan Knyaz Agung Nikolay Nikolayevich menghampiri penghujung abad ke-19. Oleh sebab hubungan bangsawan beliau, spaniel daripada pelbagai baka diimport ke Sankt-Peterburg dan ke Moscow. Sesetengah anjing ini digunakan untuk perburuan, tetapi spaniel lebih kecil tidak begitu berguna dalam pemburuan burung Rusia kerana keadaan cuaca dan rupa bumi. Mulai permulaan abad ke-20, pembiakbakaan terpilih bermula untuk spaniel bertungkai lebih panjang; khususnya dengan mengimport springerspaniel untuk mewujudkan spaniel Rusia yang agak kacuk.[10]
Menjelang lewat tahun 1930-an, terdapat satu keragaman spaniel di Moscow, di Leningrad, dan di Sverdlovsk yang tidak memadai sebarang piawaian baka spaniel spesifik, tetapi belum dipiawaikan menjadi spaniel Rusia moden. Pembiakbakaan bertujuan selepas Perang Dunia Kedua membawa kepada piawaian asli spaniel Rusia pada tahun 1951.[14] Piawaian semakan lanjut dikeluarkan pada tahun 1966 dan tahun 2000.[14]
Kepopularan baka ini di Rusia meningkat selepas awal tahun 1990-an, dengan pertunjukan anjing Moscow tahunan sejak masa itu yang menyertakan antara 120 dengan 131 ekor spaniel Rusia, yang melayakkan baka ini sebagai salah satu baka paling popular, bersama-sama dengan seter Ireland. Pada tahun 2002, Russian Spaniel Club didirikan di Amerika Syarikat untuk meningkatkan pengetahuan tentang baka ini di luar Rusia dan untuk membolehkan pemilik mendaftarkan anjing mereka.[10]
Pengiktirafan antarabangsa
Walaupun tidak diiktiraf oleh mana-mana kelab kenel utama, spaniel Rusia diiktiraf oleh Continental Kennel Club,[2] Persekutuan Kinologi Antarabangsa, North American Kennel Club, and Universal Kennel Club International.[15] Untuk pengiktirafan oleh The Kennel Club, suatu baka disyaratkan untuk memohon dengan nama dan alamat pemilik/pengimport di United Kingdom, bilangan anjing yang dibiakbakakan di United Kingdom, salinan pedigri anjing United Kingdom - sekurang-kurangnya tiga generasi, ia mesti diiktiraf di negara asalnya, dan statistik tentang angka pendaftaran di negara itu, statistik tentang kemasukan dalam pertunjukan di negara itu dan di peringkat antarabangsa, sebarang keadaan kesihatan terwaris, masa penutupan pejabatan pendaftaran baka, piawaian dari negara asal, dan sejarah ringkas dan perincian sebarang kegiatan kerja.[16]
Untuk diiktiraf sepenuhnya oleh American Kennel Club, ia mesti mula-mula bertanding dalam Kelas Lain-lain. Syarat-syarat untuk bertanding dalam kelas itu ialah menunjukkan angka pengikut dengan minimum 100 orang anggota aktif dalam sebuah kelab baka kebangsaan, populasi sebanyak 300 hingga 400 ekor anjing, dengan pedigri generasi ketiga, dan semua anjing dalam pedigri itu mesti sebaka, taburan merentasi dua puluh buah negeri atau lebih, dan piawaian baka mesti disemak dan diluluskan oleh AKC. Buat masa ini, terdapat lima baka anjing dalam Kelas Lain-lain AKC yang merupakan dogue Bordeaux, anjing pemburu rakun Redbone, seter merah dan putih Ireland, buhund Norway, dan Anjing gembala Pyrénées. Tempoh tipikal dalam kelas itu ialah satu hingga tiga tahun dan kelab kebangsaan baka berkenaan mesti mengadakan seminar, pertunjukan, dan bengkel hakim sebelum diiktiraf sepenuhnya.[17]
Catatan
- ^ Jawi: سڤانيئل ڤمبورو روسيا ; Rusia: ру́сский охо́тничий спание́ль, rumi: rússkij oxótničij spaniɛ́lʹ ; bahasa Inggeris: Russian hunting spaniel
- ^ Jawi: سڤانيئل روسيا ; Rusia: ру́сский спание́ль, rumi: rússkij spaniɛ́lʹ ; bahasa Inggeris: Russian spaniel
Rujukan
- ^ "Piawaian baka Persekutuan Kinologi Rusia" (PDF) (dalam bahasa Rusia). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 6 Julai 2022. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b c "Russian Spaniel" [Spaniel Rusia] (dalam bahasa Inggeris). Continental Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Mei 2012. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b "Russian Spaniel: Russia's Little Gundog" [Spaniel Rusia: Gundog Kecil Rusia] (dalam bahasa Inggeris). WorldlyDogs.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "Russian Spaniel Colors" [Warna Spaniel Rusia]. Spaniel Rusia Sankt-Peterburg (dalam bahasa Rusia). Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Januari 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "Second All-Russia Spaniel Competition" [Pertandingan Spaniel Se-Rusia Kedua]. Spaniel Rusia Moscow (dalam bahasa Rusia). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Oktober 2011. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b Cunliffe, Juliette (2002). The Encyclopedia of Dog Breeds [Ensiklopedia Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. m/s. 347. ISBN 9780752580180. OCLC 59182873.
- ^ "The Cocker Spaniel Club: Breed Standard" [The Cocker Spaniel Club: Piawaian Baka] (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2021. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ Schroeder, Anna F. "Dreaming of a Russian Spaniel Page 2" [Mengimpikan Spaniel Rusia Halaman 2] (dalam bahasa Inggeris). Spaniel Journal. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Jun 2008. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b c "About the Breed" [Tentang Baka]. Russian Spaniel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Disember 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b c d "History of the Breed" [Sejarah Baka]. Russian Spaniel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 14 September 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b "How to distinguish healthy from sick dogs" [Cara untuk membezakan antara anjing sihat dengan anjing sakit] (dalam bahasa Rusia). Kelab Spaniel Pemburu Rusia Novgorod. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Mei 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "Dog Breeds: Russian Spaniel" [Baka Anjing: Spaniel Rusia] (dalam bahasa Inggeris). Hey Dogs!. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Disember 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "Page 3 Advertisements Column 8" [Halaman 3 Lajur Iklan 8]. Evening Post (dalam bahasa Inggeris). Perpustakaan Kebangsaan New Zealand. 21 Disember 1891. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 April 2012. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ a b "Breed Standard" [Piawaian Baka]. Russian Spaniel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Disember 2009. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "Russian Spaniel Standard" [Piawaian Spaniel Rusia] (dalam bahasa Inggeris). Universal Kennel Club International. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Mac 2023. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "Recognition of new breeds" [Pengiktirafan baka baharu] (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Julai 2010. Dicapai pada 22 Mac 2024.
- ^ "What Does it Take to be an AKC Registered Breed?" [Apakah yang Diperlukan untuk Menjadi Baka Berdaftar AKC?] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Ogos 2014. Dicapai pada 22 Mac 2024.