![]() Seekor spaniel Saint-Usuge | |
Negara asal | Perancis |
---|---|
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Spaniel Saint-Usuge[a] ialah satu baka spaniel yang berasal dari rantau Bresse di Perancis.[b] Baka ini mempunyai asal usul yang bertarikh kembali sekurang-kurangnya ke abad ke-16, tetapi hampir pupus menjelang penghujung Perang Dunia Kedua. Melalui usaha Paderi Robert Billard, baka ini dibangkitkan semula semasa separuh kedua abad ke-20; kelab baka kebangsaannya diasaskan pada tahun 1990. Baka ini diiktiraf oleh Société Centrale Canine (Kelab Kenel Perancis) pada tahun 2003.
Sejarah
Sejarah baka ini dapat dijejak ke abad ke-16, namun, menjelang pertengahan abad ke-20, ia hampir pupus. Ikutan Perang Dunia Kedua, Robert Billard, iaitu seorang paderi, diberi sebuah paroki di Saône-et-Loire di rantau Bresse di Perancis. Biliard ialah seorang pemburu giat dan mula mencari anjing pemburu sesuai. Beliau diberitahu tentang baka anjing tempatan yang dikenali sebagai "épagneul de Saint-Usuge" dan menghubungi Société Centrale Canine untuk menyiasat perkara yang berlaku kepada baka ini.[3]
Paderi Billard mendapati bahawa catatan terakhir bagi spaniel Saint-Usuge adalah dalam pertunjukan anjing pada tahun 1936 di bandar Louhans yang berdekatan dan beliau menemukan piawaian baka daripada pertunjukan itu. Beliau terus melawat para pemburu di paroki beliau sehingga menemukan seekor anjing yang memadani perihal baka, iaitu seekor betina bernama Poupette.[3]
Pada tahun 1950, beliau menemukan seekor spaniel jantan bernama Dick, yang merupakan anak jantan kepada Braco, iaitu anjing yang memenangi best in show dalam pertunjukan pada tahun 1936. Beliau terus mencari anjing jantan lain di sekeliling rantau ini untuk disertakan dalam pembinaan semula baka ini. Pada tahun 1962, seekor anjing penuding kecil Münster betina bernama Bianca von der Rumerburg digunakan dalam program pembiakbakaan dan dipilih kerana piawaian baka itu paling dekat menyerupai piawaian spaniel Saint-Usuge. Pada tahun 1980, kerja pembinaan semula baka ini diserahkan kepada Serge Bey, seorang penyokong pemuliharaan tempatan. Program pembiakbakaan Paderi Billard membiakbakakan hampir 250 ekor anjing dalam tempoh 33 tahun.[3]
Kelab baka kebangsaan untuk Perancis didirikan pada tahun 1990 dan dikenali sebagai Club de l'Épagneul de Saint-Usuge ("Kelab Spaniel Saint-Usuge"). Société Centrale Canine mengiktiraf spaniel Saint-Usuge pada 8 Januari 2003[3] dan menempatkannya dalam Kumpulan 7 dengan spaniel benua lain.[4] Walaupun baka ini tidak diiktiraf sepenuhnya oleh American Kennel Club,[5] ia tersenarai sebagai baka dalam skim pemulihan haiwan pendamping kelab itu.[6]
Perihal
Ia merupakan baka penuding kecil Perancis[7] yang berukuran setinggi 16–21 inci (41–53 cm) pada paras kelasa menurut piawaian baka.[8] Ia mempunyai penampilan tipikal spaniel, dengan telinga yang terletak di bawah garis mata yang mempunyai jumbai yang cukup panjang untuk mencecah hujung hidung. Tubuhnya patut cukup berotot dengan dada lebar dan dalam. Satu-satunya warna yang terdapat pada lapis bulu ialah perang, tetapi lapis bulunya mungkin mempunyai tanda-tanda putih termasuk "bintang" putih pada dahi, yang hilang pada sesetengah anjing sebaik lapis bulu dewasa tumbuh.[8] Selain telinga; ekor, bahu, dan dada juga patut berjumbai dengan bulu. Ekor spaniel Saint-Usuge langsung tidak terpotong dan patut berukuran panjang dan melengkung.[7][8]
Perangai
Seperti yang diperihalkan oleh kelab baka Perancis sebagai anjing yang mudah untuk dilatih, ia merupakan baka patuh, ghairah, dan penyayang.[8] Di padang, ia sesuai untuk pelbagai rupa bumi, termasuk paya, air, dan gumpung; buruan yang merupakan kekhususan baka ini termasuk unggas air dan woodcock.[7]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: سڤانيئل سين-اوسوج; Perancis: épagneul de Saint-Usuge; bahasa Inggeris: Saint-Usuge spaniel
- ^ Komun Saint-Usuge: nama Usuge untuk Eusebius ialah varian tempatan[1] yang tidak tertampil dalam A Dictionary of Christian Biography, Literature, Sects and Doctrines.[2]
Rujukan
- ^ Siraud, Pierre Marie (1892). Dictionnaire des lieux habités du département de Saône-et-Loire [Kamus Tempat Berpenghuni di Jabatan Saône-et-Loire] (dalam bahasa Perancis). m/s. 41.
- ^ Smith, William; Wace, Henry. A Dictionary of Christian Biography, Literature, Sects and Doctrines [Kamus Biografi, Kesusasteraan, Mazhab, dan Doktrin Kristian] (dalam bahasa Inggeris).
- ^ a b c d "De l'Abbé Billard à Serge Bey..." [Daripada Abbé Billard hingga Serge Bey...] (dalam bahasa Perancis). Club de l'Épagneul de Saint-Usuge. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Disember 2010. Dicapai pada 28 Mac 2024.
- ^ "EPAGNEUL DE ST USUGE" [SPANIEL SAINT-USUGE] (PDF) (dalam bahasa Perancis). Société Centrale Canine. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 5 Mac 2005. Dicapai pada 28 Mac 2024.
- ^ "Breeds" [Baka] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Januari 2011. Dicapai pada 28 Mac 2024.
- ^ "Enrollment" [Enrolmen] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Disember 2012. Dicapai pada 22 Mac 2025.
- ^ a b c "Rassenbeschreibung" [Perihal baka] (dalam bahasa Jerman). Club Suisse de l'Epagneul Breton. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Jun 2011. Dicapai pada 28 Mac 2024.
- ^ a b c d "Standard Morphologique" [Piawaian Morfologi] (dalam bahasa Perancis). Club de l'Épagneul de Saint-Usuge. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Disember 2010. Dicapai pada 28 Mac 2024.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Spaniel Saint-Usuge |
- "Accueil" [Laman] (dalam bahasa Perancis). Club de l'Épagneul de Saint-Usuge. Dicapai pada 21 Ogos 2013.