Negara asal | Jerman | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing Eurasia[a] ialah satu baka anjing jenis spits yang berasal dari Jerman melalui pembiakbakaan silang antara spits popular Eropah dengan spits Asia. Ia sangat dikenali sebagai teman hebat yang mengekalkan keperibadian sendiri, mempunyai sikap mengelak orang asing, mempunyai ikatan kuat dengan keluarganya, dan agak mudah dilatih.[1]
Penampilan
Anjing Eurasia ialah anjing jenis spits bersaiz sederhana yang seimbang dan bertubuh baik dengan telinga tajam. Ia terdapat dengan warna berlainan: sawo matang, merah, kelabu serigala, hitam legam, dan hitam dan sawo matang. Semua gabungan warna diizinkan kecuali putih metah, tompok putih atau warna hati. Piawaian Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) mensyaratkan anjing Eurasia untuk memiliki lapis bulu bawah tebal dan rerambut pengawal yang sederhana panjang dan terbentang dengan longgar di serata tubuh, dengan lapis bulu pendek di muncung, di muka, di telinga, dan di tungkai hadapan. Ekornya dan bahagian belakang tungkai hadapan (rumbai) dan tungkai belakangnya (punggung) patut dilitupi bulu panjang. Lapis bulu pada leher anjing Eurasia patut sedikit lebih panjang berbanding dengan yang pada tubuh, tetapi tidak membentuk surai. Baka ini mungkin mempunyai lidah merah jambi, biru-hitam, atau bertompok.
Jantannya setinggi 52–60 sentimeter (20–24 in) pada paras kelasa dan seberat 23–32 kg (51–71 lb) sementara betinanya pula setinggi 48–56 sentimeter (19–22 in) pada paras kelasa dan seberat 18–26 kg (40–57 lb).
Perangai
Anjing Eurasia ialah anjing tenang dan berperangai elok. Ia berjaga-jaga dan berwaspada, namun menjauhi orang asing tanpa menjadi takut atau agresif. Anjing Eurasia membentuk pautan kuat dengan keluarganya. Untuk perkembangan lengkap bagi kualiti-kualiti ini, anjing Eurasia memerlukan interaksi rapat malar dengan keluarganya, digabungkan dengan pelatihan penuh kefahaman, namun tekal. Ia amat sensitif terhadap kata-kata kasar atau disiplin ketat dan berespons dengan paling baik terhadap pengukuhan positif. Anjing Eurasia merupakan gabungan kualiti-kualiti terbaik[2] pada cau-cau, anjing Kees, dan anjing Samoyed, lalu menghasilk baka cerdas penuh hormat.
Anjing Eurasia dibiakbakakan sebagai anjing teman; oleh itu, ia tidak sesuai di persekitaran kenel seperti yang umumnya digunakan untuk anjing khidmat yang terlatih menurut institusi, dan ia juga tidak sesuai untuk stres sosial bagi anjing pekerja seperti anjing tarikan atau anjing penjaga. Anjing Eurasia tidak patut langsung dibataskan hanya di laman, di kenel, di sangkar, atau secara berantai. Ia bakal meratap dan menjadi murung jika sedemikian. Walau dengan batas-batas ini, anjing Eurasia dapat bekerja dengan sangat baik sebagai anjing terapi. Baka ini menikmati semua jenis aktiviti, terutamanya jika aktiviti berkenaan melibatkan keluarganya. Anjing Eurasia adalah tenang dan senyap di ruangan dalaman; di ruangan luaran, ia bersemangat dan menikmati aksi.
-
Anak anjing Eurasia dengan lapis bulu "kelabu serigala"
-
Anjing Eurasia dengan lapis bulu "hitam dan sawo matang"
-
Anjing Eurasia dengan lapis bulu "hitam dan sawo matang"
Sejarah
Anjing Eurasia berasal dari Jerman pada tahun 1960, apabila pengasasnya, Julius Wipfel, bermula bersama dengan Charlotte Baldamus dan kumpulan kecil penggemar untuk menghasilkan baka dengan kualiti-kualiti terbaik pada cau-cau dan spits serigala. Gabungan awal baka-baka ini menghasilkan sesuatu yang mula-mula dipanggil "wolf-chow" dan kemudian, dua belas tahun kemudian, selepas penyilangan dengan anjing Samoyed, dinamai semula "Eurasier" ("[anjing] Eurasia") dan diiktiraf oleh FCI pada tahun 1973. Pemenang Hadiah Nobel Konrad Lorenz menerima seekor anak anjing Eurasia daripada Charlotte Baldamus, bernama Nanette vom Jaegerhof, yang dipanggil oleh beliau "Babett". Beliau berfikir bahawa perwatakannya ialah yang terbaik yang pernah dikenali pada anjing.
Kini, para pembiak baka tidak beretika kadang-kadang mencuba untuk menyamarkan kacukan anjing Kees dengan cau-cau sebagai anjing Eurasia. Walaupun kacukan itu serupa secara genetik, anjing berkenaan tidak boleh dikelaskan sebagai anjing Eurasia.
Baka anjing Eurasia diiktiraf oleh Canadian Kennel Club (CKC) pada tahun 1995 sebagai anggota Kumpulan 3 (Anjing Pekerja).
The Kennel Club mengumumkan pada Disember 2012 bahawa berkuat kuasa mulai 1 April 2013, baka anjing Eurasia dipindahkan daripada daftar import kepada daftar baka.[3]
Kesihatan
Anjing Eurasia pada umumnya ialah anjing sihat, walau takungan gen kecil pada tahun-tahun awal baka ini telah membawa kepada sesetengah penyakit keturunan yang terlihat kadang-kadang. Isu-isu yang diketahui termasuk displasia pinggul, tempurung lutut terkehel, dan hipotiroidisme, serta kecelaruan kelopak mata dan bulu mata seperti distikia, entropion, dan ektropion.[4][5][6]
Para pembiak baka pemuliharaan beretika sewajarnya menjalankan ujian kesihatan berpatutan serta memperoleh gelaran untuk ternakan pembiakbakaan mereka dalam pengakuran dan sukan prestasi, yang bersama-sama menunjukkan bahawa mereka merupakan wakil baka baik yang menetapkan tanda aras untuk kesihatan, perangai, dan penampilan. Syarat pengujian kesihatan patut termasuk skor OFA untuk pinggul, siku, tempurung lutut, mata, kegigian, kecacatan bentuk mirip Dandy–Walker, dan hipotiroiditis autoimun. Ternakan pembiakbakaan patut diuji untuk hipotiroidisme sekurang-kurangnya setiap dua tahun atau sebaik sebarang gejala mula muncul. Walaupun hipotiroidisme dapat dikawal dengan ubat-ubatan, anjing yang didiagnosis dengan hipotiroidisme tidak patut dibiakbakakan.
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ ايوراسيا ; Jerman: Eurasier ; bahasa Inggeris: Eurasian dog; eurasian
Rujukan
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing Eurasia |
- ^ Schuyler, Wendy. "Eurasier" [Anjing Eurasia]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 September 2024.
- ^ "Eurasier - Price, Temperament, Life span" [Anjing Eurasia - Harga, Perangai, Jangka Hayat]. Dogbreedslist (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Januari 2019. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Eurasier moves from imported to breed register" [Anjing Eurasia berpindah daripada daftar import kepada daftar baka] (dalam bahasa Inggeris). Dog World (surat khabar). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mac 2016. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Suomen Eurasier Kerho ry.: Terveys" [Kelab Anjing Eurasia Finland: Kesihatan] (dalam bahasa Finland). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Zuchtgemeinschaft für Eurasier e.V.: The known hereditary defects in Eurasiers" [Komuniti Pembiakbakaan untuk Anjing Eurasia: Kecacatan keturunan yang diketahui pada anjing Eurasia] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 6 April 2010. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Health | Eurasier Club of Canada" [Kesihatan | Eurasier Club of Canada] (dalam bahasa Inggeris).
- Alfred Mueller, Origins and History of Eurasiers (dalam bahasa Inggeris), 2003.
- Annelie Feder et al., Eurasier heute (dalam bahasa Jerman).
- Wipfel, Julius (2003). Eurasier – Entstehung, Entwicklung, Gegenwart [Anjing Eurasia: Asal Usul, Perkembangan, Kehadiran] (dalam bahasa Jerman). Glattbach, Jerman: Vorbeck. ISBN 9783980711739. OCLC 76528521.