![]() Seekor spaniel Picardie | ||||||||
Negara asal | Perancis | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Spaniel Picardie[a] ialah satu baka anjing yang dikembangkan di Perancis untuk kegunaan sebagai gundog. Ia berkaitan dengan spaniel biru Picardie dan masih mempunyai banyak keserupaan, tetapi spaniel Picardie ialah yang lebih lama antara kedua-dua baka ini. Ia dianggap sebagai salah satu daripada dua baka spaniel benua terlama dan digemari oleh kebangsawanan Perancis kerana popular untuk perburuan selepas Revolusi Perancis kerana lapis bulu tahan cuacanya yang membolehkannya berburu dalam pelbagai keadaan dan rupa bumi. Walau bagaimanapun, kepopularannya menurun ikutan kemasukan baka-baka anjing pemburu Inggeris pada awal abad ke-20. Sebagai baka yang lebih kecil sedikit daripada seter Inggeris tetapi lebih besar daripada kebanyakan sepupu spanielnya, ia tidak mempunyai isu kesihatan besar tetapi seperti dengan banyak baka dengan telinga berjuntai, ia dapat menjadi terdedah kepada jangkitan telinga.
Sejarah

Spaniel Perancis dan spaniel Picardie diduga[nyatakan menurut siapa?] berakar daripada chien d'oysel yang disebut dalam tulisan Gaston Phoebus.[1] Perburuan semasa tempoh ini di Perancis ialah salah satu sukan kegemaran kebangsawanan dan jenis spaniel Perancis menjadi anjing pemburu kegemaran Kerabat Diraja Perancis. Baka ini dapat dilihat dalam lukisan yang bertarikh dari zaman ini oleh seniman Alexandre-François Desportes dan Jean-Baptiste Oudry. Ia juga merupakan baka anjing pertama yang dimasukkan ke dalam salon.[2][sumber tak boleh dipercayai?]
Baka ini menjadi lebih popular ikutan Revolusi Perancis dan kesannya apabila perburuan tidak lagi terbatas kepada kebangsawanan. Walaupun tersebar di serata Perancis, tumpuan besar terletak di barat laut. Di sana lapis bulu tahan cuaca baka ini menjadikannya sesuai untuk keadaan berhutan dan berpaya. Semasa awal abad ke-19, pemburu British menyeberangi selat untuk berburu di kawasan Perancis barat laut. Orang British membawa anjing pemburu mereka sendiri dan ini menyebabkan perubahan pilihan apabila pemburu Perancis beralih kepada baka Inggeris dan menyebabkan tamparan hebat kepada kewujudan spaniel Picardie.[2] Di samping itu, kemasukan darah daripada seter Inggeris ke dalam populasi spaniel tempatan menghasilkan spaniel biru Picardie.[3]
Pengiktirafan
Epagneul Picard Club dibentuk pada tahun 1921 dan digabungkan dengan Club of Blue Picardy Spaniel pada 28 Julai 1937. Penggabungan lanjut berlangsung pada 21 Mei 1980 apabila kelab-kelab ini bergabung dengan Pont-Audemer Club untuk membentuk Club des Épagneuls de Picardie et de Pont-Audemer ("Kelab Spaniel Picardie dan Spaniel Pont-Audemer").[2][4]
Spaniel Picardie diiktiraf oleh pelbagai kelab dan persatuan kenel termasuk North American Kennel Club,[5] American Rare Breed Association,[6] United Kennel Club,[7] dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Keempat-empat persatuan menggunakan piawaian seperti yang ditetapkan oleh FCI.[8][9] Ia juga diiktiraf oleh Continental Kennel Club,[10] tetapi tidak seperti spaniel biru Picardie yang berkait rapat, ia tidak diiktiraf oleh Canadian Kennel Club.[11]
Perihal
Penampilan

Contoh tipikal baka ini berukuran setinggi 22–24 inci (56–61 cm) pada paras kelasa[12] dengan purata berat 20–25 kilogram (44–55 lb).[2] Baka ini serupa dari segi saiz dengan seter Inggeris, walaupun lebih kecil sedikit.[13] Antara baka jenis spaniel, hanya anjing penuding besar Münster dan Drentsche patrijshond diiktiraf berkemungkinan untuk membesar sehingga saiz lebih besar, dengan Drentsche patrijshond yang berukuran setinggi 21.5–25.5 in (55–65 cm)[14] dan anjing penuding besar Münster yang sedikit lebih kecil dengan julat lebih sempit 23–25 in (58–64 cm).[15]
Baka ini mempunyai tubuh berotot dengan binaan segi empat sama[2] dan kepala berbentuk bujur dengan muncung panjang dan telinga panjang yang tergantung dengan agak rendah.[16] Warna lapis bulunya dapat berbeza-beza daripada coklat, perang berangan, dan putih dengan tanda-tanda berwarna pasir di kepala dan tompok putih atau kelabu pada tungkai.[2] Bulunya lebat dengan sedikit alunan yang membolehkannya bekerja di dalam semak tebal dan juga di dalam air.[17]
Perangai
Spaniel Picardie ialah baka anjing jinak dan gemar bermain dengan kanak-kanak dan menjalin hubungan baik dengan tuannya.[16] Ia diperihalkan mempunyai sifat pergaulan lemah lembut, memiliki perwatakan baik dengan sikap santai, dan agak mudah dilatih.[16] Di Perancis, baka ini digunakan untuk perburuan di kawasan hutan untuk pheasant, dan di paya untuk berkik.[17] Walau bagaimanapun, ia juga dapat digunakan untuk memburu itik, kelinci, dan arnab.[18] Baka ini cemerlang dalam perburuan di rawang dan tidak teragak-agak untuk melompat ke dalam air.[16] Ia juga dapat berfungsi secukupnya sebagai anjing pengutip sekiranya diperlukan.[17] Anjing ini berpuas hati dengan jumlah ruang kecil dan sesuai dengan kehidupan di bandar, tetapi juga menyukai kawasan lapang.[16]
Kesihatan
Spaniel Picardie tidak mempunyai masalah kesihatan keturunan yang diketahui[12] dan mempunyai purata jangka hayat sebanyak 14 tahun.[18] Walau bagaimanapun, sebagai spaniel pemburu, baka ini terdedah kepada jangkitan telinga.[2] Jangkitan ini adalah umum dalam kalangan anjing dengan telinga labuh, termasuk anjing pemburu baset dan baka-baka spaniel lain.[19] Pemberian makanan secara berlebihan kepada spaniel Picardie dapat menyebabkan berat berlebihan.[16]
Galeri
-
Gibbs des Chaumes de Thiérache, spaniel Picardie muda berusia 6 bulan
-
Gibbs des Chaumes de Thiérache, spaniel Picardie muda berusia 6 bulan
-
Gibbs des Chaumes de Thiérache, spaniel Picardie muda berusia 6 bulan
-
Gibbs des Chaumes de Thiérache, spaniel Picardie muda berusia 6 bulan
Catatan
- ^ Jawi: سڤانيئل ڤيکردي; Perancis: épagneul picard; bahasa Inggeris: Picardy spaniel
Rujukan
- ^ Phoebus, Gaston (1854). "Du chien d'oysel et de toute sa nature" [Tentang anjing burung dan segala sifatnya]. La Chasse de Gaston Phoebus comte de Foix [Perburuan Gaston Phoebus Comte Foix] (dalam bahasa Perancis). Paris, Perancis: Bureau du Journal des Chasseurs. m/s. 113–114.
- ^ a b c d e f g "Picardy Spaniel" [Spaniel Picardie] (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 April 2019. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "Blue Picardy Spaniel" [Spaniel biru Picardie] (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Mac 2020. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "Site officiel du Club de l'Epagneul Picard, du Bleu de Picardie et du Pont Audemer" [Tapak rasmi Club de l'Épagneul Picards, du Bleu de Picardie et du Pont Audemer] (dalam bahasa Perancis). Club des Épagneuls Picards, Bleus de Picardie & Pont Audemer. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2011. Dicapai pada 16 Ogos 2013.CS1 maint: unfit URL (link)
- ^ "Recognized Breeds" [Baka Beriktiraf] (dalam bahasa Inggeris). North American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Februari 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "FCI-Standard N° 108 / 25. 09. 1998 / GB: PICARDY SPANIEL (Epagneul picard)" [Piawaian FCI No. 108 / 25 September 1998 / GB: Spaniel Picardie] (dalam bahasa Inggeris). American Rare Breed Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Jun 2011. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "EPAGNEUL PICARD" [SPANIEL PICARDIE] (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Oktober 2009. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "Standard FCI N° 108 EPAGNEUL PICARD" [Piawaian FCI No. 108 Spaniel Picardie] (pdf) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 24 Ogos 2023. Dicapai pada 13 Julai 2024.
- ^ "FCI-Standard N° 108 EPAGNEUL PICARD (Picardy Spaniel)" [Piawaian FCI No. 108 Spaniel Picardie] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Kincaid, Ingeborg. Disemak oleh Iris Borianne dan Claude Guintard. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 24 Ogos 2023. Dicapai pada 13 Julai 2024.CS1 maint: others (link)
- ^ "Epagneul Picard" [Spaniel Picardie] (dalam bahasa Inggeris). Continental Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Januari 2013. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "CKC Breed Standards: Sporting" [Piawaian Baka CKC: Sukan] (dalam bahasa Inggeris). Canadian Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mei 2011. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ a b Whitehead, Sarah (1999). The Complete Guide to the Dog [Panduan Lengkap untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 148. ISBN 9780764152047. OCLC 42640162.
- ^ Alderton, David (2006). Top to Tail: The 360° Guide to Picking Your Perfect Pet [Dari Atas ke Ekor: Panduan 360° untuk Memilih Haiwan Peliharaan Sempurna Anda] (dalam bahasa Inggeris). Newton Abbot, United Kingdom: David & Charles. m/s. 108. ISBN 9780715325896. OCLC 70765001.
- ^ Cunliffe, Juliette (2002). The Encyclopedia of Dog Breeds [Ensiklopedia Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. m/s. 323. ISBN 9780752580180. OCLC 59182873.
- ^ Palika, Liz (27 Ogos 2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties [Buku Howell tentang Anjing: Rujukan Muktamad kepada 300 Baka dan Keragaman] (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 166. ISBN 9780470009215. OCLC 85485148.
- ^ a b c d e f "L'épagneul picard" [Spaniel Picardie] (dalam bahasa Perancis). Chasse Passion. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Mac 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ a b c "Historique de l'Epagneul Picard" [Sejarah Spaniel Picardie] (dalam bahasa Perancis). Club des Épagneuls Picards, Bleus de Picardie & Pont Audemer. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 September 2007. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ a b "Epagneul picard" [Spaniel Picardie] (dalam bahasa Perancis). ouest-atlantis.com. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "Ear infections" [Jangkitan telinga] (dalam bahasa Inggeris). healthypet.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Januari 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Spaniel Picardie |
- "Site officiel du Club de l'Epagneul Picard, du Bleu de Picardie et du Pont Audemer" [Tapak rasmi Club de l'Épagneul Picards, du Bleu de Picardie et du Pont Audemer] (dalam bahasa Perancis). Club des Épagneuls Picards, Bleus de Picardie & Pont Audemer. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2011. Dicapai pada 16 Ogos 2013.CS1 maint: unfit URL (link)
- "NAPSA" (dalam bahasa Inggeris). North American Picardy Spaniel Alliance. Dicapai pada 23 Januari 2024.
- "UK Picardy Spaniel Club" (dalam bahasa Inggeris). The UK Picardy Spaniel Club. Dicapai pada 13 Julai 2024.