![]() Anjing pemburu rakun berbintik biru | |||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Amerika Syarikat | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing pemburu rakun berbintik biru, coonhound berbintik biru, atau bluetick coonhound[a] ialah satu baka anjing pemburu rakun yang berasal dari Amerika Syarikat. Anjing pemburu rakun berbintik biru terkenal kerana keperibadian ramah, hidung sejuk,[1] dan mulut lolong dalam. Ia paling lazim digunakan sebagai anjing pemburu rakun, tetapi juga dibela sebagai anjing peliharaan.
Perihal
Penampilan

Binaan keseluruhan anjing pemburu rakun berbintik biru adalah berotot dan pantas. Kepala terbawa ke atas dan ekor terbawa ke atas belakang, tanpa tanda-tanda ketakutan atau kegemuruhan. Lapis bulu anjing pemburu rakun berbintik biru patut sederhana kasar dan licau. Anjing pemburu rakun berbintik biru mendapat pewarnaan "biru" daripada bintik hitam pada latar belakang putih, yang memberikan kesan warna biru kelasi. Bintik ini meliputi tubuh dan dapat berselang-seli dengan tompok-tompok hitam pelbagai bentuk pada belakang, telinga, dan sisi. Keutamaan adalah lebih kepada warna biru berbanding dengan hitam pada tubuh. Hitam patut mendominasi kepala dan telinga. Anjing pemburu rakun berbintik biru terdapat sama ada dengan tanda-tanda atau tanpa tanda-tanda. Dengan tanda-tanda, ia mempunyai tanda-tanda perang di sebelah atas mata, di sepanjang kedua-dua sisi muncung, pada dada, dan menuruni semua tungkai. Tanpa tanda-tanda, warnanya hanya terdiri daripada helaian bulu hitam dan putih. Pada umumnya terdapat takik berbintik pada muka. Anjing pemburu rakun berbintik biru patut setinggi 21–27 inci (53–69 sentimeter) pada paras bahu dan jantan berukur seberat hampir-hampir 55–80 paun (25–36 kg). Betina pula jauh lebih kecil pada purata berat 45–65 paun (20–29 kg).[2] Kaki patut mirip kucing, membulat dengan jari kaki cukup melengkung. Kakinya lebih besar daripada yang pada hampir semua baka anjing lain. Tungkai belakang patut mempunyai bengkokan sederhana pada keting. Semua tungkai patut lurus dari tubuh anjing ke tanah apabila dilihat dari arah hadapan atau arah belakang.[3]
Anjing pemburu biru Gascogne atau Gascon blue pula adalah lebih besar daripada anjing pemburu rakun berbintik biru piawai, dengan jantan yang setinggi 27–30 inci (69–76 cm), menurut piawaian baka American Blue Gascon Hound Association.[4]
Perangai
Anjing pemburu rakun berbintik biru dibiakbakakan untuk menjadi anjing pemburu. Ia atletik, tahan lasak, dan memerlukan pekerjaan atau aktiviti sepenuh masa seperti perburuan, kepatuhan, atau ketangkasan untuk kekal bahagia. Ia dapat menjadi cabaran untuk dilatih dan ia patut dipantau di sekeliling kucing atau haiwan kecil lain. Ia, sama seperti hound, merupakan baka sangat cerdas yang mempunyai bakat luar biasa untuk penyelesaian masalah.
Setelah terlatih, anjing baka ini sangat prihatin terhadap pemiliknya. Sesuatu yang patut disedari oleh pemilik haiwan peliharaan pemula ialah tugas menakutkan, iaitu "pelatihan suara", bagi anjing ini. Oleh sebab ia dibiakbakakan untuk melolong semasa mengepung dalam perburuan, ia sangat kuat bersuara. Jika tersosialisasi dengan betul dari usia muda, ia dapat menjadi anjing peliharaan keluarga.[5] Dalam keadaan normal, anjing pemburu rakun berbintik biru bergaul dengan baik dengan kanak-kanak. Ia merupakan anjing prihatin dan mesra. Walau bagaimanapun, hidungnya dapat membawanya kepada masalah. Maka, makanan dan sampah tidak patut langsung ditinggalkan tanpa pengawasan. Baka ini kerap disalah anggap sebagai baka agresif kerana baka ini "menyapa" orang asing dengan lolongan khasnya dan menghidu subjek sehingga puas. Biasanya, ini hanya cara baka ini mengenali subjeknya. Memandangkan anjing pemburu rakun berbintik biru didorong oleh deria bau kuatnya, ia merupakan anjing pemburu/penjejak cemerlang. Jika berkeizinan, ia mengejar hampir sebarang haiwan yang lebih kecil daripadanya ke atas pokok. Anjing pemburu rakun berbintik biru pada umumnya lebih mudah dikendalikan di padang berbanding dengan sesetengah anjing pemburu rakun lain.
Sejarah
Bluetick coonhound, yang berasal dari Louisiana, dikembangkan daripada anjing pemburu biru besar Gascogne di Perancis barat daya, serta anjing pemburu rubah Inggeris, cur, anjing pemburu rakun Amerika, dan anjing pemburu rubah hitam dan sawo matang Virginia. Pada asalnya, bluetick coonhound didaftarkan dalam United Kennel Club di bawah anjing pemburu rubah Inggeris dan anjing pemburu rakun, tetapi kemudian diiktiraf oleh kelab itu sebagai baka terpisah pada tahun 1946. Bluetick coonhound juga diiktiraf oleh Australian National Kennel Council dan New Zealand Kennel Club. Pada April 2009, baka ini diterima oleh American Kennel Club dan pada Disember 2009 layak untuk bertanding dalam acara anjing pemburu rakun AKC.[6][7]
Anjing pemburu biru Gascogne Amerika atau American blue Gascon hound ialah nama untuk subkumpulan bluetick coonhound yang lebih besar, lebih berat, dan lebih kelihatan mirip "hound" berbanding dengan bluetick coonhound piawai. American blue Gascon hound kerap dirujuk sebagai bluetick coohound "gaya lama". Ini disebabkan oleh penampilan dan hidung "lebih sejuk", atau gaya penjejakan lebih perlahan, berbanding dengan baka anjing pemburu rakun moden lain.
Anjing pemburu rakun berbintik biru masyhur
- Smokey, maskot Universiti Tennessee, ialah seekor anjing pemburu rakun berbintik biru.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru bernama Tet ialah pendamping kepada Stringfellow Hawke, iaitu watak utama dalam rancangan televisyen popular tahun 1980-an, Airwolf.
- Old Blue, seekor anjing pemburu rakun berbintik biru, berada dalam filem tahun 1960 karya Elia Kazan, Wild River.
- Bando dalam Homeward Bound II: Lost in San Francisco dimainkan oleh seekor anjing pemburu rakun berbintik biru.
- Old Blue ialah seekor anjing pemburu rakun berbintik biru yang dimiliki oleh budak-budak lelaki Pritchard dalam novel Where the Red Fern Grows karya Wilson Rawls.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru betina berada dalam lagu George Jones "Ol' Red" yang kemudian di-cover oleh Blake Shelton.
- Huckleberry Hound ialah seekor anjing pemburu rakun berbintik biru.
- Savage Sam, iaitu susulan kepada Old Yeller, adalah tentang seekor anjing pemburu rakun berbintik biru.
- Anjing milik Lillian, iaitu Gideon, ialah seekor anjing pemburu rakun berbintik biru dalam lagu "Red Dirt Girl" yang dikarang oleh Emmylou Harris.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru dirujuk dalam lagu "Long Haired Country Boy" yang dikarang oleh Charlie Daniels.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru dirujuk dalam lagu tahun 2016 "Church Bells", yang dikarang oleh Zach Crowell, Brett James, dan Hillary Lindsey dan dinyanyikan oleh Carrie Underwood.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru bernama Nash disebut dalam lagu "Sun Shines on a Dreamer" oleh Wade Bowen.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru dirujuk dalam lagu "Rednecker" yang dikarang dan dipersembahkan oleh Hardy.
- Seekor anjing pemburu rakun berbintik biru, atau "bluetick hound", dirujuk dalam single tahun 2020 "I Love My Country" yang dipersembahkan oleh Florida Georgia Line.
- Di pekan kecil Rabbit Hash, Kentucky, adalah datuk bandar anjing Boone, yang dilantik pada November 2024, yang merupakan seekor bluetick coonhound.
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو راکون بربينتيق بيرو; کونهاءون بربينتيق بيرو; بلوتيک کونهاءون; bahasa Inggeris: bluetick coonhound
Rujukan
- ^ "Bluetick Coonhound" [Anjing Pemburu Rakun Berbintik Biru] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Mei 2020. Dicapai pada 24 Mac 2024.CS1 maint: unfit URL (link)
- ^ Gagne, Tammy (Ogos 2016). Foxhounds, Coonhounds, and Other Hound Dogs [Foxhound, Coonhound, dan Anjing Hound Lain] (dalam bahasa Inggeris). Mankato, Minnesota, Amerika Syarikat: Capstone Publishers. ISBN 9781515703020. OCLC 930068036.
- ^ "Official Standard for the Bluetick Coonhound" [Piawaian Rasmi untuk Anjing Pemburu Rakun Berbintik Biru] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. November 2007. Dicapai pada 24 Mac 2024.
- ^ "Standard" [Piawaian] (dalam bahasa Inggeris). American Blue Gascon Hound Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Disember 2017. Dicapai pada 24 Mac 2024.
- ^ American Kennel Club (11 November 2014). The New Complete Dog Book [Buku Anjing Lengkap Baharu] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-21). Irvine, California, Amerika Syarikat: I-5 Publishing. ISBN 9781621870913. OCLC 880122472.
- ^ "Registration Info" [Maklumat Pendaftaran] (dalam bahasa Inggeris). AKC Coonhounds. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Julai 2018. Dicapai pada 22 Mac 2025.
- ^ "Judul tidak dikenal pasti". AKC Gazette (dalam bahasa Inggeris). Jil. 126. New York, New York, Amerika Syarikat: American Kennel Club. 2009.
Pautan luar
- "Bboa - Blueticks, Bluetick Coonhounds, Blueticks, Coonhounds" (dalam bahasa Inggeris). Bluetick Breeders of America. Dicapai pada 18 Julai 2013.
- "The Official Home of the American Blue Gascon Hound Association" (dalam bahasa Inggeris). American Blue Gascon Hound Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 April 2007. Dicapai pada 18 Julai 2013.