Nama lain | Greyhound Sepanyol Galgo Sepanyol | ||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Galgo | ||||||||||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Sepanyol | ||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Grehaun Sepanyol, greyhound Sepanyol, atau galgo Sepanyol[a] ialah satu baka anjing purba, khususnya anggota keluarga anjing pemburu penglihatan. Grehaun Inggeris mungkin merupakan keturunan grehaun Sepanyol dan, selama beberapa tahun pada abad ke-20, sesetengah pembiak baka menyilangkan galgo Sepanyol dengan grehaun Inggeris untuk menghasilkan galgo lebih pantas dan lebih berkuasa, khususnya untuk tujuan perlumbaan balapan.[1]
Perihal
Penampilan
Galgo berpenampilan serupa dengan grehaun Inggeris, tetapi jelas berbeza dari segi pengakurannya.[2] Galgo adalah lebih tinggi di bahagian belakang daripada di hadapan dan mempunyai otot lebih rata daripada yang pada grehaun Inggeris, yang merupakan ciri pelari ketahanan. Ia juga cenderung lebih kecil, berbinaan lebih ringan, mempunyai ekor lebih panjang, dan mempunyai kepala sangat panjang dan bergaris arus yang memberikan kesan telinga lebih besar. Dadanya tidak sedalam dada grehaun Inggeris dan tidak patut mencecah titik siku.[3]
Tidak seperti grehaun Inggeris, galgo terdapat dengan dua jenis lapis bulu: licin dan kasar. Lapis bulu kasar dapat memberikan perlindungan tambahan daripada kecederaan kulit semasa berlari di padang. Ia terdapat dengan pelbagai warna dan corak lapis bulu. Warna-warna utama merupakan barcino atau atigrado (brindle), negro (hitam), barquillo (keemasan), tostado (bakar), canela (kayu manis), amarillo (kuning), rojo (merah), blanco (putih), berrendo (putih dengan tompok-tompok), atau pío (sebarang warna dengan muncung dan dahi putih).
Perangai
Galgo mempunyai sifat serupa dengan grehaun Inggeris. Ia tenang, senyap, lemah lembut, dan santai; gembira untuk tidur seharian secara terlentang di atas sofa. Lebih daripada 90% galgo dapat dianggap mesra kucing. Hampir semua galgo mesra terhadap anjing lain dan anjing kecil. Galgo baik dengan kanak-kanak; ia memiliki perangai tenang, jadi ada kurang risiko kanak-kanak untuk dijatuhkan atau dilompati berbanding dengan baka lebih bersemangat. Ia mempunyai keperibadian pendiam dan kecenderungan ke arah sifat pemalu, jadi ada kepentingan untuk sosialisasi pada awal kehidupan. Dengan cara ini, ia membesar dengan selesa di sekeliling orang, anjing, dan lokasi asing.[3]
Kesihatan
Seperti banyak anjing pemburu penglihatan lain, galgo ialah baka agak sihat, walaupun peka terhadap anestesia.[4] Oleh itu, penjagaan sewajarnya patut dilakukan oleh pemilik untuk memastikan bahawa doktor haiwan yang hadir sedar tentang isu ini. Walaupun galgo merupakan anjing besar, sejarah pemilihannya sebagai anjing pemburu penglihatan pekerja, keringanannya, dan anatominya tidak menggalakkan displasia pinggul. Tidak seperti grehaun Inggeris, anjing ini tidak rentan terhadap kematu atau penyakit grehaun lazim lain. Anjing ini mesti berlari dengan kerap dan/atau berjalan dalam jarak jauh untuk mengekalkan kesihatan sempurna yang digabungkan dengan kecenderungannya untuk tidur sepanjang hari.
Sejarah
Grehaun Sepanyol dianggap oleh sesetengah penulis popular telah diturunkan daripada anjing Mesir yang dibawa ke Semenanjung Iberia oleh orang Fenikia hampir 3,000 tahun dahulu. Walau bagaimanapun, kewujudan vertragus Celt di Iberia Rom 2,000 tahun lalu, seperti yang diterangkan oleh Arrianos dan Martialis, mencadangkan bahawa ia dan kemungkinan keturunannya galgo berkemungkinan besar berasal daripada jenis Eropah Barat. Selepas ia diasaskan di Sepanyol, ia dianggap telah dibiakbakakan secara bersilang berabad-abad kemudian dengan sloughi yang dibawa dari Afrika Utara oleh orang Moor. Sesetengah penulis mencadangkan bahawa baka ini mungkin merupakan leluhur kepada grehaun Inggeris.[5]
Nama galgo barang kali diterbitkan daripada canis Gallicus bahasa Latin atau "anjing [dari] Gaul". Perkataan bahasa Sepanyol untuk semua jenis grehaun — termasuk galgo Sepanyol — ialah lebrel, yang memaksudkan "[anjing] pemburu kelinci", kerana liebre ialah perkataan bahasa Sepanyol untuk "kelinci". Derivatif sama terlihat dalam levriero bahasa Itali dan lévrier bahasa Perancis. Rujukan bertulis pertama kepada anjing pemburu penglihatan Celt purba, iaitu vertragus, dalam Cynegeticus daripada Flavius Arrianus (Arrianos), prokonsul Rom bagi provinsi Baetica di Sepanyol pada abad kedua,[6] mungkin merujuk pendahulu galgo.
Arrianos menceritakan pengalaman peribadi beliau di Sepanyol. Penerangan beliau tentang pemburuan kelinci adalah sangat serupa dengan yang digunakan dengan galgo pada masa kini di Sepanyol, sambil menambah bahawa itu merupakan tradisi umum Celt yang tidak berkaitan dengan kelas sosial. Beliau menunjukkan bahawa terdapat bukan sahaja jenis berbulu licin bagi vertragus tetapi juga yang berlapis bulu kasar.[7]
Terdapat sedikit bukti untuk sebutan galgo atau pendahulunya pada abad-abad awal Zaman Pertengahan, tetapi ia kelihatannya telah bertahan dan berkembang pada separuh kedua tempoh tersebut.
Pada abad ke-9 dan abad ke-10, bertepatan dengan Reconquista, ruang besar di Castilla dijajah, lalu menyebabkan perampasan semula Semenanjung Iberia oleh tentera Kristian daripada kawalan Muslim. Tanah lapang ini memperkenalkan kaedah baharu bagi perburuan dengan anjing: manakala Utara Sepanyol bergunung-ganang, kawasan yang beransur-ansur kembali dipegang merupakan kawasan pamah dan terbuka yang penuh dengan haiwan kecil seperti kelinci, yang memberi galgo kesempatan berguna untuk perburuan. Pada masa itu, ia dianggap sebagai anjing mulia dan dibela terutamanya oleh golongan bangsawan kedua-dua kerajaan Kristian dan kerajaan Muslim yang membahagikan wilayah Sepanyol. Kemungkinan besar galgo dan sloughi (mungkin juga saluki) dibiakbakakan secara menyaling semasa tempoh ini.[8]
Penghormatan besar untuk galgo terbukti dengan banyak undang-undang pada zaman itu yang direka untuk menghukum pembunuhan atau pencurian baka ini: Fuero dari Salamanca (abad ke-9); Fuero dari Cuenca; Fuero dari Zorita de los Canes; Fuero dari Molina de Aragón (abad ke-12); Fuero dari Usagre (abad ke-12). Dalam Cartuario dari Slonza terdapat wasiat yang ditulis dalam Villacantol yang dalamnya, dengan menggunakan campuran ganjil bahasa Latin dan bahasa Sepanyol, Datuk Bandar Gutiérrez mewariskan seekor galgo kepada Diego Citid pada tahun 1081:
Urso galgo colore nigro ualente caetum sólidos dae argento;
'seekor galgo hitam tompok-tompok perak';
Hakikat bahawa anjing ini ialah item bermakna dalam wasiat seorang bangsawan menunjukkan nilai besar yang diberikan kepadanya pada masa itu.
Lukisan-lukisan dinding di Pertapaan San Baudelio de Berlanga, di Soria, yang bertarikh dari abad ke-12 menunjukkan adegan perburu andengan tiga ekor galgo yang kelihatannya serupa dengan yang terlihat kini.
Pada Renaisans, Martínez del Espinar menulis dalam buku beliau Arte de Ballestería y Montería ("Seni Perburuan dan Memanah"):
Muchas maneras hay de matar estos animales [las liebres]. Muchas, diré las que en España usan: correnlas con galgos, que aquí los hay ligerísimos, y así mismo lo son algunas liebres, que se les escapan sin poderlas alcanzar; y no porque corren hoy dejan de volver a sus querencias; antes estas liebres corredoras las continúan, porque tienen conocido el camino de su uida, y por la mayor parte se encaman cerca de alguna senda o camino, orilla de algún soto, monte o ladera, o tierra pedregosa, y así huyen de ellas y de ir cuesta abajo que las alcanzan luego en las laderas y tierra tiesa, parece que vuelan.
'Terdapat pelbagai cara untuk membunuh haiwan [kelinci] ini. 'Walau bagaimanapun, saya akan memberitahu tentang yang digunakan di Sepanyol: mereka memburu [kelinci] dengan galgo, kerana di sini terdapat sesetengah yang sangat pantas, walaupun sesetengah kelinci adalah sepantasnya, dan kadang-kadang melepaskan diri daripadanya. Tetapi walaupun telah lepas dan menjadi takut kini, kelinci ini akan kembali ke rumah esok. Ia mengetahui jalan pulang. Ia bermalam di tempat senyap: jalan, bukit, padang berbatu. Malah ia kadang-kadang dikejutkan di tempat-tempat sedemikian oleh anjing; kemudian ia berlari ke dataran, dan anjing mencuba untuk mengejarnya di atas tanah rata. Ia seolah-olah terbang.'
Galgo kelihatannya telah berkembang pertama kali di dataran Castilla, di utara (Valladolid, Zamora, Ávila Salamanca, Segovia, Soria, Burgos, dan Palencia) dan di selatan (Toledo, Cuenca, Guadalajara, Madrid, dan Ciudad Real) Castilla. Dan, selepas itu, di lebih banyak wilayah selatan: La Mancha dan Andalusia. Ia menjadi jenis anjing tipikal di pedalaman Sepanyol, manakala anjing pemburu darah memainkan peranan sama di rantau-rantau pinggir laut.
Galgo muncul bukan sahaja dalam buku-buku perburuan tetapi juga dalam ungkapan umum bahasa Sepanyol, serta dalam kesusasteraan. Rujukan paling masyhur mungkin merupakan yang terkandung dalam ayat pembukaan Don Quixote de La Mancha:
En un lugar de la Mancha, de cuyo nombre no quiero acordarme, no ha mucho tiempo que vivía un hidalgo de los de lanza en astillero, adarga antigua, rocín flaco y galgo corredor.
'Di sebuah kampung di La Mancha, nama yang tidak ingin saya ingati, tinggal tidak lama sejak itu seorang budiman yang menyimpan tombak di rak tombak, pengancing lama, godaman kurus, dan seekor galgo untuk coursing.'
Terdapat banyak ungkapan lazim di Sepanyol yang menyebut galgo: contohnya, A galgo viejo, echadle liebre, no conejo, yang memaksudkan "gunakan galgo tua untuk mengejar kelinci dan bukan arnab", yang mencadangkan bahawa ada lebih kebaikan untuk menggunakan orang berpengalaman untuk tugas dan cabaran sukar. Galgo que va tras dos liebres, sin ninguna vuelve, yang memaksudkan "jika galgo mencuba untuk mengejar dua ekor kelinci, ia akan kembali tanpa seekor pun", yang mengesyorkan tumpuan pada satu usaha, jika tidak, gagal dengan gangguan.
Walaupun baka ini kelihatannya tidak mengalami apa-apa perubahan ketara pada abad ke-18 dan abad ke-19 dan dibela dalam kegunaannya sebagai anjing pemburu pantas, mungkin pepatah paling menonjol yang menyebut galgo ialah yang bertarikh dari permulaan abad kesembilan belas: A los galgos del Rey no se les escapa la liebre; "Kelinci tidak pernah terlepas daripada galgo Raja", yang pada mulanya digunakan untuk menyindir pemerintah korup Fernando VII, yang dianggap menipu dalam semua yang dilakukan olehnya.
Pada tahun-tahun pertama abad ke-20, pembiakbakaan silang berskala besar berlaku antara galgo Sepanyol dengan grehaun Inggeris untuk mewujudkan anjing lebih pantas untuk perlumbaan trek profesional. Ini tentunya menjejaskan ketulenan baka ini kerana anjing terhasil hanya sedikit lebih pantas, tetapi kehilangan kebolehan larian jarak jauh. Akhirnya, para pembiak baka membuat kesimpulan bahawa pembiakbakaan silang tidak berbaloi.[perlu rujukan] Galgo baka tulen mengekalkan kehadiran besarnya di kampung-kampung Sepanyol sebagai jenis pemburu cemerlang.
Walaupun purba dan penting, galgo Sepanyol hanya baru-baru ini diiktiraf oleh persatuan-persatuan kinologi. Grehaun Inggeris telah cenderung untuk mengatasi galgo. Peristiwa-peristiwa malapetaka yang dialami oleh Sepanyol semasa abad ke-20, seperti Perang Saudara Sepanyol dan pemerintahan diktator fasis selama 40 tahun oleh Francisco Franco, membolehkan agar baka ini dibela senyap-senyap secara relatif di dalam dan di luar negara asalnya, sekurang-kurangnya sehingga demokrasi membawa kepada kesaksamaan dan pembangunan sosial dan budaya lebih besar.
Baka ini menghadapi abad ke-21 secara beransur-ansur dalam keadaan lebih dihargai di dalam dan luar negara, kerana Sepanyol kontemporari menjadi lebih sedar tentang keunikan dan warisan haiwan ini.[9]
Peranan
Kegunaan perburuan
Galgo digunakan untuk perburuan, serta untuk coursing kelinci di padang terbuka. Di sana, anjing memburu mangsa tanpa campur tangan manusia semasa pengejaran.[10] Coursing, pada masa lalu, merupakan tindakan prestij sosial kerana perburuan ialah alasan untuk membuktikan pemilik bagi spesimen terbaik daripada baka ini.
Galgo lazimnya terdapat di mana-mana pekan dan bandar di dataran Sepanyol. Pertandingan coursing galgo setiap tahun menjana enam puluh juta euro,[perlu rujukan] hitungan yang merujuk hanya peminat yang merupakan anggota persatuan-persatuan galgueras. Kumpulan kecil galgueros ini setiap tahun melatih antara tiga ribu dengan empat ribu ekor galgo untuk penyertaan dalam pelbagai Kejuaraan Coursing Padang Terbuka. Jenis acara pengujian ini, yang setiap tahun pemenang olahraga terpantasnya diberi ganjaran, kelihatannya menunjukkan bahawa galgueros sedang mendapatkan jenis lebih tulen bagi baka ini yang lenyap bertahun-tahun lalu.[perlu rujukan]
Pembiakbakaan silang galgo Sepanyol dengan grehaun Inggeris untuk jenis perlumbaan lebih pantas telah terhenti atas dua sebab: Di satu sisi, dalam coursing galgo semasa, pembunuhan kelinci adalah lebih penting hanya selepas keindahan course. Baka silang dianggap kurang cantik berbanding dengan galgo tulen. Di sisi lain pula, hakikat bahawa kelinci semakin terlindung daripada sebelumnya menentang pemburu bersenjata api dan semakin ada kesukaran kerana pemilihannya telah menghilangkan kebanyakan belukar semula jadi akibat peningkatan tanah bajak dan pertambahan jalan, ini menggalakkan coursing dengan galgo yang mempunyai daya ketahanan lebih tinggi.[perlu rujukan]
Ciri-ciri khusus topografi landskap mempunyai kesan besar, yang menyebabkan galgo, yang menang selama bergenerasi dalam coursing di Andalusia, tidak mempunyai ciri sama seperti galgo yang menang selama bergenerasi dalam coursing di Castilla.
Di Andalusia dan di banyak bahagian La Mancha, ladang anggur dan kebun zaitun mendominasi landskap yang menawarkan banyak perlindungan kepada kelinci. Iklim hangat di sana menyediakan makanan banyak sepanjang tahun kepada kelinci tanpa perlu menempuh jarak jauh. Selain itu, ada kurang tekanan untuk mangsa ini wujud di dalam ladang besar tanpa jalan bersimpang. Kesemua faktor ini memilih jenis galgo pemenang dalam landskap ini yang lebih kecil, dengan otot yang lebih pendek dan lebih bulat, iaitu, kuasa lebih tinggi pada sukuan belakang. Ini kerana galgo mesti tangkas untuk keluar masuk selekoh dengan lebih pantas dan lebih mudah. Ia lebih ringan kerana kelembutan tanah. Di sini jangkauan mesti lebih cepat jika kurang kuat, walaupun satu sifat tidak semestinya menafikan yang lain.
Di Castilla, dengan ruang terbuka luas, kelinci mesti menempuh jarak lebih jauh untuk mencari makanan dan satu-satunya pertahanannya yang jauh daripada perlindungan merupakan kaki, paru-paru, dan jantungnya. Jenis tanah ini dan kelinci menggalakkan satu lagi jenis galgo dengan kaki keras, dada lebih dalam, otot lebih panjang dan lebih rata, pendek kata galgo dengan daya ketahanan lebih tinggi. Galgo ini lebih berat dan lebih menarik, dan sebenarnya telah dianggap sebagai baka lebih tulen, yang perlu untuk pemuliharaan baka ini.[perlu rujukan]
Di luar Sepanyol, di Chile (terutamanya di Chile Tengah), baka ini digunakan dalam pertandingan yang berlangsung pada hari cuti kebangsaan.
Galgo sebagai anjing peliharaan
Oleh sebab kecenderungan untuk kesenyapan dan kejinakan, galgo telah banyak diadopsi sebagai anjing peliharaan oleh ramai orang. Di Sepanyol, ia mempunyai reputasi sebagai anjing lemah lembut, dengan perangai manis dan kesihatan mantap. Ia cenderung untuk bergaul dengan baik dengan orang dan anjing lain dan dapat berkelakuan baik di sekeliling kucing jika tersosialisasi dengan betul. Ia memerlukan senaman dan rangsangan harian sebagai pertukaran untuk sikap tenangnya, kerana ia mudah menjadi bosan.[4] Di luar iklim hangat, seperti di tanah airnya Sepanyol, ia memerlukan kot hangat untuk memastikannya hangat dalam cuaca musim sejuk. Seperti semua baka jenis grehaun, ia mempunyai sedikit lemak badan dan lapis bulu pendek, jadi kehangatan tambahan adalah penting untuk iklim lebih sejuk.
Galgo cemerlang dalam kegiatan prestasi seperti lure coursing dan perlumbaan.[11] Ia layak untuk bertanding dalam acara lure coursing yang disokong oleh American Sighthound Field Association dengan dimasukkan dalam Kelas Terbatas. Ia telah menikmati kejayaan dalam gelanggang pertunjukan Eropah, walaupun tidak begitu terkenal di luar dunia pertunjukan Eropah kerana kejarangan di luar benua itu.
Kebimbangan kekejaman haiwan
Terdapat banyak laporan tentang galgo yang dilayan dengan kejam oleh para pemburu dan para pembiak baka di Sepanyol.[12][13] Anggaran 50,000 hingga 100,000 ekor galgo dan podenco dibunuh, kerap sekejamnya, setiap tahun oleh para pemburu, yang juga dikenali sebagai galgueros.[14] Kaedah pembunuhan yang dilaporkan termasuk pembakaran,[15] penggantungan, perejaman, dan peracunan, yang menurut ahli politik Finland Laura Huhtasaari adalah "berdasarkan kepercayaan bahawa semakin terseksa anjing itu mati, semakin baik nasib pemburu pada tahun depan."[16] Sesetengah galgo diikat pada kereta bergerak sebagai sebahagian daripada latihannya, yang dapat menyebabkannya diseret oleh kereta dan remuk.[17] Anjing berprestasi buruk kerap dipukul, dicacatkan, dikebulurkan sampai mati, dibuang ke dalam perigi, atau digantung di pokok oleh pemiliknya. Penderaan anjing yang berburu dengan buruk ialah amalan meluas, kerana tiada hukuman untuk pemburu. Undang-undang baharu, setakat 5 Januari 2022, meminda Kanun Sivil untuk memperuntukkan agar haiwan tidak lagi boleh dianggap sebagai 'benda' tetapi 'makhluk berperasaan' dan anggota keluarga, dan agar pemilik haiwan kini dikehendaki menyediakan penjagaan sewajarnya untuk memastikan kesejahteraan haiwan mereka mengikut ciri-ciri setiap spesies.[18] Atas sebab-sebab yang diterangkan di atas, persatuan-persatuan yang mempertahankan galgo telah muncul dengan tujuan untuk menyelamatkan anjing ini daripada nasib mengerikan, menyediakan pemulihan yang sangat diperlukan, dan mencarikannya rumah adopsi, biasanya di bandar-bandar. Sesetengah persatuan membolehkan adopsinya di lokasi lain di Eropah, termasuk Perancis, United Kingdom, Jerman, Belgium, dan Belanda.[19][20][21]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: ݢريهاءون سڤاڽول; ݢلݢو سڤاڽول ; Sepanyol: galgo español ; bahasa Inggeris: Spanish greyhound; Spanish galgo
Rujukan
- ^ "Traditional Hunting Dogs Are Left to Die En Masse in Spain" [Anjing Pemburu Tradisional Dibiarkan Mati Banyak-banyak di Sepanyol]. National Geographic (dalam bahasa Inggeris). 26 Oktober 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Oktober 2016. Dicapai pada 25 Januari 2024.
- ^ Mesa-Sanchez, I.; Zaldívar-López, Sara; Couto, C. Guillermo; Gamito-Gomez, A.; Granados-Machuca, M. M.; Lopez-Villalba, I.; Galan-Rodriguez, A. (2 Julai 2012). "Haematological, blood gas and acid–base values in the Galgo Español (Spanish greyhound)" [Nilai-nilai hematologi, gas darah, dan asid–bes pada grehaun Sepanyol]. Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 53 (7): 398–403. doi:10.1111/j.1748-5827.2012.01235.x. ISSN 1748-5827. PMID 22747732. S2CID 35129445.
- ^ a b Gaede, Thomas Ebbrecht und Claudia. "Galgo Español - Little Lobito". Galgo.de. Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ a b "About Galgos and Podencos - Project Galgo 2021" [Tentang Galgo dan Podenco - Project Galgo 2021] (dalam bahasa Inggeris). 4 Ogos 2021. Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 29. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
- ^ R. Syme (1982)The Career of Arrian (dalam bahasa Inggeris) Harvard Studies in Classical Philology, Jil. 86 hlm. 183
- ^ Pillips & Willcock (1999) Xenephon & Arrian On Hunting (dalam bahasa Inggeris) Arr. 6:1 hlm. 99. Aris & Phillips Warminster England
- ^ "Genetics Genetic Differences between Western bred Sighthound (FCI group 10) and Primitive breeds (FCI group 5)" [Genetik: Perbezaan Genetik antara Anjing Pemburu Penglihatan Baka Barat (Kumpulan 10 FCI) dengan Baka Primitif (Kumpulan 5 FCI)]. Preserving the Sloughi (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Oktober 2024 – melalui www.sloughi.tripod.com.
- ^ Reverter, Emma (29 Oktober 2018). "Galgos: how rescue greyhounds became fashionable in Barcelona" [Galgo: cara grehaunyang diselamatkan menjadi bergaya di Barcelona]. The Guardian (dalam bahasa Inggeris) – melalui www.theguardian.com.
- ^ Tremlett, Giles (1 Januari 2006). "The dogs left to die after they 'humiliated' their masters" [Anjing dibiarkan mati selepas 'malukan' tuannya]. The Guardian (dalam bahasa Inggeris).
- ^ Welle (www.dw.com), Deutsche. "Spain's mistreated greyhounds | DW | 25.04.2019" [Grehaun teraniaya Sepanyol | DW | 25 April 2019] (dalam bahasa Inggeris) – melalui www.dw.com.
- ^ "Spanish greyhounds' hunting agony" [Derita perburuan grehaun Sepanyol]. France24 (dalam bahasa Inggeris). 2010.
- ^ Brennan, Beryl (22 Mac 2011). "The starving dogs that give Spain a bad name" [Anjing kebuluran yang memburukkan nama Sepanyol] (dalam bahasa Inggeris) – melalui www.telegraph.co.uk.
- ^ "Fast work by the Galgo rescuers" [Kerja pantas oleh penyelamat galgo] (dalam bahasa Inggeris). 24 Julai 2007 – melalui www.telegraph.co.uk.
- ^ "Traditional Hunting Dogs Are Left to Die En Masse in Spain" [Anjing Pemburu Tradisional Dibiarkan Mati Banyak-banyak di Sepanyol]. National Geographic (dalam bahasa Inggeris). 26 Oktober 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2019. Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ "Improving the situation of Spanish hunting dogs and adopting a directive on minimum standards for the protection of pet animals" [Memperbaik situasi anjing pemburu Sepanyol dan menerima pakai arahan tentang piawaian minimum untuk perlindungan haiwan peliharaan]. Parlimen Eropah (dalam bahasa Inggeris). Februari 2020. Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ "Spain urged to stop 'torture' of unwanted greyhounds" [Sepanyol digesa hentikan 'seksaan' grehaun tidak dikehendaki]. The Local (dalam bahasa Inggeris). Mac 2019. Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ Rodriguez-Ferrand, Graciela (2022). "Spain: New Law Providing for Increased Protection of Animals Adopted" [Sepanyol: Undang-undang Baharu yang Menyediakan Perlindungan Bertambah bagi Haiwan yang Diadopsi]. Library of Congress (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ "A Georgia couple met a dog breed they had never seen — and became their champions" [Pasangan Georgia temui baka anjing yang tidak pernah dilihat oleh mereka — dan menjadi pejuangnya] (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "Woman rescues Spanish greyhounds, gives them new purpose" [Wanita selamatkan grehaun Sepanyol, beri anjing itu tujuan baharu] (dalam bahasa Inggeris). 13 Februari 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Ogos 2018. Dicapai pada 11 Mac 2024.
- ^ "Briton fights to end Spanish dog hangings" [Briton berjuang untuk tamatkan hukum gantung anjing Sepanyol]. Independent.co.uk (dalam bahasa Inggeris). 23 Oktober 2011.
Pautan luar
- Persekutuan Galgo Sepanyol (dalam bahasa Sepanyol)
- Rencana yang mengandungi teks bahasa uncoded
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Disember 2022
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Oktober 2015
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari April 2024
- Baka anjing
- Baka anjing berasal dari Sepanyol
- Baka anjing berasal dari Andalusia
- Baka anjing berasal dari Castilla dan León
- Baka FCI
- Baka anjing jarang
- Anjing pemburu penglihatan