

Anjing polis, yang juga dikenali sebagai K-9 (singkatan fonemik bagi perkataan bahasa Inggeris canine),[1] ialah anjing yang dilatih untuk membantu pihak polis dan pegawai penguat kuasa undang-undang lain. Tugasnya mungkin termasuk pencarian dadah dan bahan letupan, penentuan lokasi orang hilang, pencarian bukti tempat kejadian jenayah, perlindungan pegawai dan orang lain, dan penyerangan suspek yang melarikan diri daripada pegawai. Baka yang paling lazim digunakan oleh penguat kuasa undang-undang merupakan anjing gembala Jerman, malinois Belgium, anjing pemburu darah, anjing gembala Belanda, dan anjing pengutip Labrador.[2] Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, malinois Belgium telah menjadi pilihan utama untuk kerja polis dan kerja tentera kerana dorongan kuat, tumpuan, ketangkasan, dan saiz lebih kecil, walaupun anjing gembala Jerman kekal sebagai baka yang paling dikaitkan dengan penguatkuasaan undang-undang.[3]
Anjing polis digunakan di peringkat persekutuan dan di peringkat tempatan untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang di banyak bahagian di dunia. Ia kerap ditugasi dalam hal yang di sesetengah negara dirujuk sebagai Unit K-9, dengan pengendali spesifik, dan mesti mengingati beberapa kiu lisan dan gerak isyarat tangan.[4] Pelatihan awal untuk anjing polis biasanya mengambil masa antara lapan bulan dengan setahun, bergantung pada tempat, cara, dan tujuan pelatihan. Anjing polis selalunya menjalani program latihan dengan pengendali yang ditetapkan untuk memperkukuh pelatihannya.[5] Di banyak negara, pencederaan atau pembunuhan sengaja bagi anjing polis ialah kesalahan jenayah.[6][7]
Sejarah
Sejarah awal
Anjing telah digunakan dalam penguatkuasaan undang-undang sejak Zaman Pertengahan. Kekayaan dan wang kemudiannya dipersepuluhkan di perkampungan untuk pemeliharaan anjing pemburu darah milik konstabel paroki yang digunakan untuk pemburuan orang luar undang.[penjelasan diperlukan] Penggunaan tercatat pertama bagi anjing polis adalah pada awal abad ke-14 di Saint-Malo, Perancis; di sana, anjing digunakan untuk menjaga limbungan dan tembok sambut.[8] Menjelang lewat abad ke-14, anjing pemburu darah digunakan di Scotland, yang dikenali sebagai "slough dogs" – perkataan "sleuth", (memaksudkan detektif) diterbitkan daripada ini.[9] Pada antara abad ke-12 dengan abad ke-20, anjing polis di Kepulauan British dan di benua Eropah digunakan terutamanya untuk kebolehan penjejakannya.[10]
Pembandaran pesat di England dan di Perancis pada abad ke-19 meningkatkan kebimbangan awam mengenai pelanggaran undang-undang yang semakin meningkat.[10] Di London, penguat kuasa undang-undang sedia ada, iaitu Bow Street Runners, bergelut untuk mengawal jenayah dengan kuasa sendiri, dan akibatnya, persatuan swasta dibentuk untuk membantu memerangi jenayah.[11] Pengawal malam ditugasi untuk menjaga premis dan dibekali dengan senjata api dan anjing untuk melindungi diri daripada penjenayah.[perlu rujukan]\
Era moden



Salah satu percubaan pertama untuk menggunakan anjing dalam kegiatan polis adalah pada tahun 1889 oleh Pesuruhjaya Polis Metropolitan London, iaitu Sir Charles Warren. Kegagalan berulang-ulang Warren dalam mengenal pasti dan menangkap pembunuh bersiri, iaitu Jack the Ripper, telah menimbulkan banyak cercaan daripada akhbar, termasuk kecaman kerana tidak menggunakan anjing pemburu darah untuk menjejaki pembunuh itu. Beliau tidak lama kemudian mempunyai dua ekor anjing pemburu darah yang dilatih untuk pelaksanaan ujian penjejakan ringkas dari tempat kejadian bagi satu lagi jenayah oleh pembunuh itu. Hasilnya adalah jauh daripada memuaskan, apabila salah seekor anjing tersebut menggigit Pesuruhjaya dan kedua-dua anjing kemudian melarikan diri, lalu mewajarkan carian polis untuk menemukan kedua-duanya.[12]
Di Benua Eropah-lah anjing pertama kali digunakan secara besar-besaran. Polis di Paris mula menggunakan anjing menentang geng penjenayah berkeliaran pada waktu malam, namun jabatan polis di Gent, Belgium, memperkenalkan program perkhidmatan anjing polis tersusun pertama pada tahun 1899.[13] Kaedah ini tidak lama kemudian bersebar ke Austria-Hungary dan ke Jerman; di Jerman, perkembangan saintifik pertama di bidang berlaku dengan uji kaji dalam pembiakbakaan dan pelatihan anjing. Polis Jerman memilih anjing gembala Jerman sebagai baka unggul untuk kerja polis dan membuka sekolah pelatihan anjing pertama pada tahun 1920 di Greenheide.[14] Pada tahun-tahun kemudian, banyak malinois Belgium ditambahkan ke dalam unit itu. Anjing tersebut dilatih secara sistematik dalam kepatuhan kepada pegawai dan penjejakan dan penyerangan penjenayah.
Di Britain, Polis North Eastern Railway ialah antara yang pertama yang menggunakan anjing polis pada tahun 1908 untuk menghentikan pencurian dari limbungan di Hull. Menjelang tahun 1910, angkatan polis kereta api beruji kaji dengan baka lain seperti malinois Belgium, anjing pengutip Labrador, dan anjing gembala Jerman.[15]
Pelatihan

Baka anjing popular yang digunakan oleh penguat kuasa undang-undang termasuk terier Airedale, anjing Akita, groenendael, tervueren, malinois, anjing gunung Bern, anjing pemburu darah, collie sempadan, bokser, anjing lembu Flandre, briard, cane corso, bulmastif, anjing gembala Croatia, pincer Dobermann, anjing gembala Jerman, anjing penuding berbulu pendek Jerman, anjing pengutip keemasan, anjing pengutip Labrador, rottweiler, springerspaniel Inggeris, dan dogo Argentina.
Pelatihan anjing polis ialah proses sangat panjang kerana ini bermula dengan pelatihan pengendali anjing. Pengendali anjing menjalani proses panjang pelatihan untuk memastikan bahawa mereka akan melatih anjing menurut kebolehan terbaiknya. Yang pertama, pengendali anjing perlu menyelesaikan latihan akademi polis wajib dan perlu mempunyai pengalaman rondaan selama satu hingga dua tahun sebelum menjadi layak untuk dipindahkan ke unit anjing khas.[16] Ini kerana pengalaman sebagai pegawai membolehkan bakal pegawai anjing menimba pengalaman bernilai dalam penguatkuasaan undang-undang. Walau bagaimanapun, pengetahuan anjing dan pelatihan anjing di luar akademi polis dianggap sebagai aset, sama ada kepatuhan anjing, kawalan kumpulan ramai, komunikasi berkesan dengan haiwan, dan sifat mudah didekati dan berbudi pekerti kerana kehadiran anjing akan menarik perhatian warga sekeliling.
Agar seseekor anjing dipertimbangkan untuk jabatan polis, ia mesti lulus dalam kursus pelatihan kepatuhan asas terlebih dahulu. Ia mesti dapat mematuhi perintah daripada pengendalinya tanpa keraguan.[17] Ini membolehkan pegawai mempunyai kawalan penuh ke atas takat daya yang patut digunakan oleh anjing terhadap suspek. Anjing biasanya dilatih dalam bahasa ibunda tempatan negara. Anjing pada mulanya dilatih dengan bahasa untuk tingkah laku asas. Oleh itu, ada lebih kemudahan untuk pegawai mempelajari perkataan/perintah baharu, berbanding dengan melatih anjing berkenaan semula untuk perintah baharu. Ini bertentangan dengan kepercayaan popular bahawa anjing polis dilatih dalam bahasa berbeza supaya suspek tidak dapat memerintah anjing menentang pegawai.[18]
Anjing yang digunakan dalam penguatkuasaan undang-undang dilatih untuk sama ada menjadi "tujuan tunggal" atau "dwitujuan". Anjing tujuan tunggal digunakan terutamanya untuk sandaran, perlindungan peribadi, dan penjejakan. Walau bagaimanapun, anjing dwitujuan adalah lebih tipikal. Anjing dwitujuan melakukan semua yang dilakukan oleh anjing tujuan tunggal dan turut mengesan sama ada bahan letupan atau narkotik. Anjing hanya dapat dilatih untuk salah satu daripada kedua-dua itu kerana anjing tidak mampu berkomunikasi dengan pegawai jika ia menemukan bahan letupan atau narkotik. Apabila anjing narkotik di Amerika Syarikat menunjukkan kepada pegawai bahawa ia menemukan sesuatu, pegawai mempunyai sebab barang kali untuk menggeledah apa-apa yang dimaklumkan oleh anjing itu (iaitu beg atau kenderaan) tanpa waran, di kebanyakan negeri.[19][20]
Dalam penangkapan suspek, kehadiran anjing yang menyalak lantang membantu dan dapat menyebabkan suspek menyerah tanpa berlengah-lengah.[21]
Pengkhususan
Anjing polis dapat dikhususkan untuk bertugas di bidang tertentu.
- Anjing penahanan dan serangan – Anjing ini digunakan untuk menemukan, menangkap, dan kadang-kadang menumpaskan suspek.
- Anjing pengesan – Dilatih untuk mengesan bahan letupan atau dadah seperti ganja, heroin, kokain, kokain retak, atau metamfetamina. Sesetengah anjing dilatih secara khusus untuk mengesan senjata api dan peluru.[22]
- Anjing dwitujuan – Juga dikenali sebagai anjing peronda, anjing ini terlatih dan mahir dalam penjejakan, perlindungan pengendali, kepatuhan tanpa cawak, penahanan penjenayah, dan penggelintaran artikel, kawasan, dan bangunan.
- Anjing pencarian dan penyelamatan (SAR) – Anjing ini digunakan untuk menemukan suspek atau mencari orang hilang atau objek hilang. Malinois Belgium, anjing gembala Jerman, anjing pengutip keemasan, anjing pengutip Labrador, dan anjing pemburu darah kesemuanya dapat digunakan.
Persaraan
Anjing polis bersara jika tercedera sehingga tahap tanpa ada kemungkinan pemulihan sepenuhnya, bunting atau membesarkan anak, atau terlalu tua atau sakit untuk terus bekerja. Memandangkan banyak anjing dibesarkan dalam persekitaran kerja untuk tahun pertama kehidupannya dan bersara sebelum menjadi tidak mampu bertugas, tempoh kehidupan kerja anjing ialah 6–9 tahun.[23]

Walau bagaimanapun, apabila anjing polis bersara di sesetengah negara, ia mungkin mempunyai peluang untuk menerima rancangan pencen atas sumbangannya kepada kepolisan. Pada tahun 2013, skim pencen untuk anjing polis di Nottinghamshire, England diperkenalkan, yang dalamnya angkatan polis menawarkan £805 sepanjang tempoh tiga tahun untuk menampung sebarang kos perubatan tambahan; anjing berkenaan juga diizinkan untuk diadopsi oleh pengendali asalnya.[24]
Di banyak negara, anjing polis yang terkorban semasa menjalankan tugas menerima penghormatan sama seperti rakan manusianya.[25]
Tuduhan kekejaman dan sikap berat sebelah perkauman
Siasatan tahun 2020 yang diselaraskan oleh The Marshall Project mendapati bukti tentang penggunaan anjing polis secara meluas di Amerika Syarikat sebagai kekerasan luar perkadaran terhadap orang kulit berwarna. Satu siri 13 laporan berpaut mendapati lebih daripada 150 kes dari tahun 2015 hingga tahun 2020 tentang pegawai K-9 yang secara tidak wajar menggunakan anjing sebagai senjata untuk menangkap, menggigit, dan mencederakan orang.[26] Kadar gigitan K-9 polis di Baton Rouge, Louisiana, iaitu sebuah bandar raya majoriti orang Kulit Hitam dengan 220,000 orang penduduk, berpurata sebanyak lebih daripada dua kali ganda berbanding dengan kadar di bandar raya peringkat seterusnya, iaitu Indianapolis, dan hampir sepertiga daripada jumlah gigitan anjing polis dikenakan ke atas lelaki remaja, yang kebanyakannya merupakan orang Kulit Hitam. Penyelidik perubatan mendapati bahawa serangan anjing polis adalah "lebih seperti serangan jerung berbanding dengan gigitan ringan daripada haiwan peliharaan keluarga" kerana latihan agresif yang dijalani oleh anjing polis. Ramai orang yang digigit adalah tidak ganas dan tidak disyaki melakukan jenayah. Pegawai polis kerap dilindungi daripada liabiliti dan undang-undang hak sivil persekutuan biasanya tidak meliputi pemerhati yang digigit secara silap. Walaupun mangsa dapat mengemukakan kes, peguam berkata bahawa mereka bergelut kerana ahli juri cenderung untuk menyayangi anjing polis.[27]
Penggunaan mengikut negara dan rantau
Lihat juga
Rujukan
- ^ "About K-9s" [Tentang K-9] (dalam bahasa Inggeris). National Police Dog Foundation. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
K-9 or K9 (a homophone of canine)
- ^ "What Do K-9 Police Dogs Do?" [Apakah yang Dilakukan oleh Anjing Polis K-9?] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 3 September 2021. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "What Breeds Make the Best Drug Dogs" [Baka Apakah yang Merupakan Anjing Dadah Terbaik] (dalam bahasa Inggeris). 3DK9. 28 Oktober 2020. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
German Shepherd Dog. The typical breed associated with law enforcement work
- ^ "K9 Unit: Duties and Responsibilities" [Unit K9: Tugas dan Tanggungjawab] (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar Negeri New York. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Ogos 2017. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
They are expected to follow both verbal and hand commands of their handler.
- ^ "FAQs" [Soalan Lazim] (dalam bahasa Inggeris). AMSOIL Northland Law Enforcement K-9 Foundation. 10 Jun 2021. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "18 USC 1368 - Harming Animals Used in Law Enforcement" [18 USC 1368 - Memudaratkan Haiwan yang Digunakan dalam Penguatkuasaan Undang-undang] (dalam bahasa Inggeris). Onecle. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "Police dogs and horses to receive special protections in South Australia" [Anjing dan kuda polis bakal terima perlindungan istimewa di Australia Selatan] (dalam bahasa Inggeris). ABC News. 26 Ogos 2013. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "K-9 Unit" [Unit K-9] (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Polis Central Falls, Rhode Island. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2022. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "sleuth". Online Etymology Dictionary (dalam bahasa Inggeris). Harper Family LLC. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
a figurative use of that word, which is attested from late 14c. as "a bloodhound."
- ^ a b Peña, Melvin (1 Julai 2014). "Police Dogs: Just the Facts" [Anjing Polis: Cuma Fakta] (dalam bahasa Inggeris). Dogster. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Julai 2022. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Beattie, John Maurice (9 Februari 2012). The First English Detectives: The Bow Street Runners and the Policing of London, 1750–1840 [Detektif Pertama Inggeris: Bow Street Runners dan Kegiatan Polis di London, 1750–1840] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Oxford, United Kingdom: Oxford University Press. doi:10.1093/acprof:oso/9780199695164.001.0001. ISBN 9780199695164. OCLC 757930892.
- ^ "LONDON'S DISGRACE: SIR CHARLES WARREN AND HIS PACK OF HOUNDS" [KEAIBAN LONDON: SIR CHARLES WARREN DAN KAWANAN ANJINGNYA]. Atchison Daily Globe (dalam bahasa Inggeris). Casebook: Jack the Ripper. 17 Oktober 1888. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Vickery, Kimball P. (Mac 1984). "The Origins of Police K-9" [Asal Usul K-9 Polis] (dalam bahasa Inggeris). Angel's Lair. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2013. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "History of the Police Dog" [Sejarah Anjing Polis] (dalam bahasa Inggeris). Polis Dyfed-Powys. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2012. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "The dog section" [Seksyen anjing] (dalam bahasa Inggeris). Polis Pengangkutan British. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Disember 2020. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Phillips, Hedy (22 Julai 2020). "K9 Officer: Career Guide" [Pegawai K9: Panduan Kerjaya] (dalam bahasa Inggeris). Criminal Justice Degree Schools. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Mason, Walter Esplin (1915). Dogs of All Nations [Anjing dari Semua Bangsa] (dalam bahasa Inggeris). San Francisco, California, Amerika Syarikat: H. Judd. OCLC 1148609.
- ^ Grabianowski, Ed (3 Mei 2004). "How Police Dogs Work" [Cara Anjing Polis Bekerja] (dalam bahasa Inggeris). HowStuffWorks. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ "Police Dog Training: How are Police Dogs Trained 2022" [Pelatihan Anjing Polis: Bagaimanakah Anjing Polis Dilatih 2022] (dalam bahasa Inggeris). SitStay. 24 Julai 2018. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Cooke, Justin (8 September 2016). "The K9 Unit | Police Dogs and How They are Trained" [Unit K9 | Anjing Polis dan Cara Ia Dilatih] (dalam bahasa Inggeris). SoundOff Signal. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mac 2019. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Peralta, Jessica (26 November 2019). "Longtime Westminster police officer, K9 decoy gets new partner — finally" [Pegawai polis Westminster bertugas lama, denak K9 menerima pasangan baharu — akhirnya] (dalam bahasa Inggeris). Behind the Badge. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2022. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Hardesty, Greg (5 Februari 2020). "Meet K9 Iggy, the Orange County Sheriff's Department's first gun-detecting dog" [Kenali K9 Iggy, si anjing pengesan senjata api pertama Jabatan Syerif Orange County] (dalam bahasa Inggeris). Behind the Badge. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Hartov, Oren (April 2010). "Proactive Deterrence" [Pencegahan Proaktif] (PDF). K-9 Cop Magazine (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 31 Mei 2013. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Olsen, Kevin (2013). "English police force sets up retirement plan for dogs" [Angkatan polis Inggeris mengasaskan rancangan persaraan untuk anjing]. Pensions & Investments (dalam bahasa Inggeris). Jil. 41 no. 24. m/s. 8.
- ^ "K-9 Burial Protocol: "The Rocky Protocol"" [Protokol Pengebumian K-9: "Protokol Rocky"] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). National Sheriffs' Association. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ VanSickle, Abbie; Stephens, Challen; Martin, Ryan; Kelleher, Dana Brozost; Fan, Andrew (2 Oktober 2020). "When Police Violence Is a Dog Bite" [Apabila Keganasan Polis Ialah Gigitan Anjing] (dalam bahasa Inggeris). The Marshall Project. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
- ^ Remkus, Ashley (2 Oktober 2020). "We Spent A Year Investigating Police Dogs. Here Are Six Takeaways" [Kami Meluangkan Setahun untuk Menyiasat Anjing Polis. Ini Enam Pendapatan.] (dalam bahasa Inggeris). The Marshall Project. Dicapai pada 27 Oktober 2025.
Bacaan lanjut
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing polis |
- Allsopp, Nigel (15 Mac 2012). K9 Cops: Police Dogs of the World [Polis K9: Anjing Polis Sedunia] (dalam bahasa Inggeris). Newport, New South Wales, Australia: Big Sky Publishing. ISBN 9781921941818. OCLC 880356561.








