| Montu | ||||
|---|---|---|---|---|
|  Montu biasanya digambarkan sebagai lelaki berkepala falkon, dihiasi dengan dua bulu pelepah tinggi di atas cakera matahari. | ||||
| Nama dalam hieroglif | 
 | |||
| Pusat kultus utama | Hermonthis, Thebes, Medamud, El-Tod | |||
| Pasangan | Raet-Tawy, Tjenenyet, Iunit, atau Satet | |||
Montu ialah dewa perang berkepala falkon dalam agama Mesir purba, serta mewakili kekuatan dan kuasa firaun dalam perang.[1] Dia kebanyakannya disembah di Mesir Hulu dan di daerah Thebes.[2]
Nama
Nama Montu, yang ditunjukkan dalam hieroglif Mesir di sebelah kanan, ditranskripsikan sebagai mntw (bermaksud "Nomad"[3][4]). Disebabkan kesukaran dalam mentranskripsikan vokal bahasa Mesir, ia sering disebut menjadi Mont, Monthu, Montju, Ment atau Menthu.[3]
Peranan dan ciri-ciri
| Sebahagian daripada siri | 
| Agama Mesir Purba | 
|---|
|  | 
| Portal Mesir Purba | 
Montu merupakan seorang dewa purba yang pada asalnya mewakili keterikan Ra, dewa matahari. Disebabkan hal itu, dia sering digelarkan Montu-Ra. Sifat pembinasanya ini membuatkan orang menganggapnya sebagai seorang pahlawan yang perkasa, dan akhirnya dia menjadi dewa perang yang sangat dihormati. Orang Mesir percaya bahawa Montu akan menyerang musuh-musuh Maat (yang bermaksud kebenaran dan ketertiban alam semesta) sambil memberi keberanian dan kekuatan kepada golongan pahlawan.[5] Sesetengah berasa Montu-Ra dan Atum-Ra masing-masing melambangkan sebahagian Mesir, Mesir Hulu dan Hilir.[6] Apabila Montu dikaitkan dengan Horus, dia digelar "Horus dengan Lengan yang Kuat".[7]
Oleh sebab lembu jantan dianggap sebagai simbol kuasa dan perang, orang Mesir percaya bahawa Montu boleh menjelma sebagai seekor lembu jantan putih yang kuat dengan muncung hitam bernama Buchis (daripada perkataan Mesir asal Bakha: lembu jantan hidup yang dipuja di Armant). Pada Zaman Akhir (abad ke-7 – ke-4 SM), Montu digambarkan dengan kepala lembu jantan juga.[2] Lembu jantan suci ini mempunyai berpuluh-puluh pelayan dan memakai mahkota dan pelapik dada yang berharga.[6]

Dalam seni Mesir, Montu digambarkan sebagai lelaki berkepala falkon atau berkepala lembu jantan. Kepalanya dilengkapi dengan cakera matahari (menunjukkan hubungannya dengan dewa matahari Ra[2]) dengan ureus berganda atau tunggal,[8][9] serta dua bulu pelepah. Falkon ialah simbol langit dan lembu jantan ialah simbol kekuatan dan perang. Dia juga boleh digambarkan memegang pelbagai senjata, seperti pedang melengkung, lembing, busur dan anak panah, atau pisau: semuanya menunjukkan peranannya sebagai dewa perang, terutamanya semasa zaman Kerajaan Baru (abad ke-16-11 SM).[3]
Montu mempunyai beberapa orang isteri, termasuk dewi-dewi Thebes yang kurang dikenali seperti Tjenenyet[10] dan Iunit,[11] dan bentuk perempuan Ra, Raet-Tawy.[7] Montu juga dipuja sebagai salah seorang penaung kota Thebes dan kubu-kubunya. Pemerintah Dinasti ke-11 (s. 2134–1991 SM) memilih Montu sebagai dewa pelindung dan dinasti mereka, menyelitkan namanya dalam nama mereka sendiri. Sebagai contoh, empat firaun Dinasti ke-11 dipanggil Mentuhotep, yang bermaksud "Montu (Mentu) berpuas hati":
- Mentuhotep I (s. 2135 SM) — mungkin pemerintah dalam legenda;
- Nebhepetre Mentuhotep II (s. 2061 – 2010 SM);
- Sankhkare Mentuhotep III (s. 2010 – 1998 SM);
- Nebtawyre Mentuhotep IV (s. 1998 – 1991 SM).[1]
Orang Yunani membandingkan Montu dengan dewa perang mereka Ares. Namun, mereka juga asimilasikannya dengan Apollo, mungkin kerana Montu juga dikaitkan dengan matahari dan cahaya, seperti Ra.[3][7]
Montu dan firaun dalam perang
Pemujaan Montu menjadi amat penting di bawah Dinasti ke-11.[1] Firaun-firaun dinasti tersebut merupakan pahlawan yang hebat yang telah memperluaskan pemerintahan Mesir dan menyatukannya sekitar 2055 SM, menamatkan tempoh huru-hara yang dikenali hari ini sebagai Zaman Pertengahan Pertama. Ini memulakan era kegemilangan baru yang dikenali sebagai Kerajaan Pertengahan (s. 2055–1650 SM).[12] Pada masa ini, Montu dianggap sebagai dewa tertinggi Mesir, sebelum dia secara beransur-ansur digantikan oleh dewa Thebes lain Amun, yang akan menjadi dewa paling penting dalam dewata Mesir.[2]

Bermula dari Dinasti ke-11, Montu merupakan simbol firaun sebagai pemerintah, penakluk dan pemenang, serta pemberi mereka semangat di medan perang. Tentera Mesir membawa tanda kebesaran "empat Montu" (Montu dari Thebes, dari Armant, dari Medamud, dan dari El-Tod, bandar-bandar kuil utamanya). Gambaran-gambaran ini menunjukkan Montu memijak dan menikam musuh dengan lembing dalam gaya bertempur.[5] Sabatang kapak upacara daripada makam Ratu Ahhotep II, Isteri Diraja Agung firaun Kamose yang suka berperang (s. 1555–1550 SM), yang hidup antara Dinasti ke-17 dan ke-18, menggambarkan Montu sebagai grifin bersayap: jelas dipengaruhi oleh seni dari Syria dan seni Crete Minoa.[13]
Ramai raja-raja panglima terhebat Mesir memanggil diri mereka "Lembu Jantan Perkasa", "Anak Montu", "Montu Bersama Lengan Kuat/Kanannya" (Montuherkhepeshef: yang juga nama lahir seorang putera Ramesses II, seorang putera Ramesses III dan seorang putera Ramesses IX). Thutmose III (s. 1479—1425 SM) yang diberikan julukan "Napoleon Mesir"[14] pada zaman purba diperikan "Montu Gagah di Medan Perang".[3] Sebuah inskripsi daripada anaknya, Amenhotep II (1427–1401 SM), mengenang firaun berusia lapan belas tahun itu mampu memanah sasaran tembaga sambil memandu kereta perang, mengulas bahawa baginda mempunyai kemahiran dan kekuatan Montu.[6] Cucu baginda, Amenhotep III yang Agung (s. 1388–1350 SM), memanggil dirinya "Montu para Pemerintah" walaupun pemerintahannya aman.[15]
Dalam naratif Pertempuran Kadesh (s. 1274 SM), Ramesses II yang Agung dengan bangga memanggil dirinya "Montu Dua Tanah".[3] Dalam inskripsi-inskripsi tersebut, baginda melihat musuh dan "mengamuki mereka seperti Montu, Tuan Thebes".[16]
[...] baginda melepasi kubu Tjaru, seperti Montu ketika dia melangkah keluar. Setiap negeri terketar-ketar di hadapannya, ketakutan berada di hati mereka [...] Pengawal yang baik dalam kehidupan, kemakmuran dan kesejahteraan, berada di khemah baginda, di tanah tinggi selatan Kadesh. Apabila baginda muncul seperti terbitnya Ra, baginda mengenakan perhiasan ayahandanya, Montu. [...]
Kuil-kuil

Medamud
Kompleks Kuil Montu di Medamud, Medu purba, kurang daripada lima kilometer timur laut dari Luxor hari ini.[18] Ia dibina oleh Firaun Senusret III (s. 1878–1839 SM) dari Dinasti ke-12, mungkin di atas tapak suci dari Kerajaan Lama yang sedia ada. Halaman kuil itu digunakan sebagai kediaman lembu jantan Buchis yang hidup, yang dipuja sebagai jelmaan Montu.[6] Pintu masuk utama berada di timur laut, manakala sebuah tasik suci mungkin berada di sebelah barat. Bangunan itu mempunyai dua bahagian yang saling bersebelahan, mungkin sebuah kuil di utara dan sebuah kuil di selatan (rumah untuk kahin-kahin). Ia dibina dengan bata mentah, manakala cella paling dalam untuk Montu dibina daripada batu ukiran. Kompleks kuil Medamud menjalani pemulihan dan pengubahsuaian penting semasa Kerajaan Baru, dan dalam tempoh Ptolemaik dan Rom.[13]
Armant

Di bandar lama Iuni (kini dipanggil Armant), sebuah Kuil Montu yang mengagumkan pernah berdiri sejak seawal Dinasti ke-11. Montu mungkin pada mulanya berasal dari Armant. Pembina pertama kuil itu yang diketahui ialah Raja Mentuhotep II ialah pembina pertama yang diketahui, dan kemudian firaun-firaun dari dinasti ke-12, ke-13, dan Kerajaan Baru, terutamanya Thutmose III, telah mengembangkan dan menghiasinya.[19]
Ramesses II (1279–1213 SM) dan anaknya Merneptah (1213–1203 SM) dari Dinasti ke-19 menambah arca dan patung-patung gergasi.[19] Ia dibongkar, kecuali untuk sebatang tonggak pedaka, dalam Zaman Akhir (abad ke-7/ke-4 SM) — tetapi sebuah kuil baru dimulakan oleh Raja Nectanebo II (360–342 SM), firaun asli terakhir Mesir, dan diteruskan oleh Dinasti Ptolemaik. Pada abad pertama SM, Cleopatra VII (51 – 30 SM) membina sebuah mammisi (rumah kelahiran dewa) dan tasik suci di sana sempena anak baginda, Ptolemy XV Caesarion yang kecil.[20] Bangunan itu masih dapat dilihat sehingga tahun 1861, apabila ia dirobohkan untuk menggunakan semula bahannya membina sebuah kilang gula. Walau bagaimanapun, punaran, cetakan dan kajian lama (seperti Description de l'Égypte oleh Napoleon) menunjukkan rupanya.
Kini, hanya runtuhan tonggak pedaka Thutmose III dan sebahagian daripada dua buah gerbang masuk yang tinggal. Salah satu gerbang tersebut dibina di bawah maharaja/Firaun Rom abad ke-2, Antoninus Pius. Dalam kompleks Armant yang besar itu juga terdapatnya Bucheum, tapak perkuburan lembu-lembu suci Buchis. Pengebumian pertama Buchis di nekropolis khas ini adalah dari pemerintahan Nectanebo II (s. 340 SM), manakala yang terakhir adalah pada masa Maharaja/Firaun Diocletian (s. 300 TM).[13]
Karnak dan Uronarti
Dalam Kompleks Kuil Karnak yang besar, utara dari Kuil Amun yang besar, Raja Amenhotep III membina perkarangan suci untuk Montu.[2][13] Sebuah kuil lain dahulu didedikasikan untuknya di kubu Uronarti yang kurang dikenali (berhampiran Riam Kedua Nil, khususnya di selatannya) semasa Kerajaan Pertengahan.
Galeri
- 
			
			Ukiran Menthu di Medamud
- 
			
			Patung Montu, 664-332 SM.
- 
			
			Ukiran di dinding belakang Pronaos zaman Ptolemaik Kuil Month di el-Tod
- 
			
			Sebuah stele kasar menggambarkan Firaun-pahlawan Senusret III (1878–1839 SM) di hadapan Montu. Muzium Mesir, Kaherah.
- 
			
			Lukisan petroglif di Konosso dengan dewi Satis, dewa Min, Montu dan kartusy Raja Neferhotep I (s. 1747–1736 SM).
- 
			
			Runtuhan Kuil Montu di Armant, diterbitkan dalam The Holy Land, Syria, Idumea, Arabia, Egypt, and Nubia — berdasarkan lukisan cat air oleh David Roberts (1849).
- 
			
			Runtuhan Kuil Montu di Medamud.
Rujukan
- ^ a b c Hart, George, A Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses, Routledge, 1986, ISBN 0-415-05909-7. p. 126.
- ^ a b c d e Rachet, Guy (1994). Dizionario della civiltà egizia. Rome: Gremese Editore. ISBN 88-7605-818-4. p. 208.
- ^ a b c d e f "Gods of Ancient Egypt: Montu". www.ancientegyptonline.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-05-03.
- ^ Ruiz, Ana (2001). The Spirit of Ancient Egypt (dalam bahasa Inggeris). Algora Publishing. m/s. 115. ISBN 9781892941688. montu nomad. 
- ^ a b Pinch, Geraldine. Egyptian Mythology: A Guide to the Gods, Goddesses, and Traditions of Ancient Egypt. Oxford University Press, 2004. ISBN 978-0-19-517024-5. p. 165.
- ^ a b c d Pinch 2004, p. 166.
- ^ a b c Wilkinson, Richard H. (2003). The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt. Thames & Hudson. pp. 203–4.
- ^ "Montu | Description & Story | Britannica". www.britannica.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-05-30.
- ^ "Egypt: Montu, Solar and Warrior God". www.touregypt.net. Dicapai pada 2023-05-30.
- ^ Wilkinson 2003, p. 168.
- ^ Wilkinson 2003, p. 150.
- ^ Gae Callender: The Middle Kingdom Renaissance, In: Ian Shaw (ed): The Oxford History of Ancient Egypt, Oxford University Press, Oxford, 2000, ISBN 0-19-815034-2, pp. 148-183.
- ^ a b c d Hart 1986, p. 127.
- ^ J.H. Breasted, Ancient Times: A History of the Early World; An Introduction to the Study of Ancient History and the Career of Early Man. Outlines of European History 1. Boston: Ginn and Company, 1914, p. 85.
- ^ O'Connor, David; Cline, Eric H. (2001). Amenhotep III: Perspectives on His Reign (dalam bahasa Inggeris). University of Michigan Press. ISBN 978-0472088331., pp 69-70
- ^ "Egyptian Accounts of the Battle of Kadesh". www.reshafim.org.il. Dicapai pada 2018-05-04.
- ^ Egyptian Accounts of the Battle of Kadesh
- ^ Fletcher, Joann. (2011) Cleopatra the Great: The Woman Behind the Legend. HarperCollins, ISBN 978-0-06-210605-6. pp. 114ss.
- ^ a b Bard, Kathryn A. (2005-11-03). Encyclopedia of the Archaeology of Ancient Egypt (dalam bahasa Inggeris). Routledge. ISBN 9781134665259.
- ^ "The mammisi". www.reshafim.org.il. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-15. Dicapai pada 2018-05-04.
Bibliografi
- Hart, George (1986), A Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses, London: Routledge, ISBN 0-415-05909-7.
- Rachet, Guy (1994). Dizionario della civiltà egizia. Rome: Gremese Editore. ISBN 88-7605-818-4.
- Wilkinson, Richard H. (2003), The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt, Thames & Hudson, ISBN 0-500-05120-8.









![Y5 [mn] mn](/w/extensions/wikihiero/img/hiero_Y5.png?381eb)
![N35 [n] n](/w/extensions/wikihiero/img/hiero_N35.png?fcc27)
![V13 [T] T](/w/extensions/wikihiero/img/hiero_V13.png?2da65)
![G43 [w] w](/w/extensions/wikihiero/img/hiero_G43.png?6eb40)











