Hedjet ḥḏt dalam hieroglif | ||
|
Hedjet atau Mahkota Putih (Jawi: حجت, Mesir purba: ḥḏt "Yang Putih", IPA: /ħɛd͡ʒɛt/) ialah nama rasmi untuk mahkota putih firaun yang melambangkan Mesir Hulu. Selepas penggabungan Mesir Hulu dan Hilir, ia digabungkan dengan desyret, mahkota merah Mesir Hilir, dan dinamai sekhemti, dwimahkota Mesir. Simbol ini kadangkala digunakan untuk dewi burung nasar Nekhebet yang berada bersebelahan dewi ular tedung Wadjet, iaret (simbol kebesaran ular) pada sekhemti.[1]
Sejarah
Mahkota putih dan mahkota merah telah wujud sejak Zaman Prawangsa, dan menunjukkan bahawa sistem beraja telah wujud dalam masyarakat Mesir lama dahulu. Gambar hedjet yang tertua dijumpa mungkin berasal dari Qustul di Nubia. Jane Roy menyatakan, "Akan tetapi, Bukti baru dari Abydos, terutama sekali ekskavasi Perkuburan U dan makam U-j, bertarikh dari Naqada IIIA telah menunjukkan bahawa ikonografi ini muncul lebih awal lagi di Mesir.[2]
Nekhebet, sang dewi penaung bandar Nekhebet (kini El-Kab) berdekatan Hierakonpolis, digambarkan sebagai seorang wanita, kadangkala dengan kepala burung nasar, memakai mahkota putih ini.[3] Dewa Horus dari Hierakonpolis (Mesir purba: Nekhen) biasanya digambarkan memakai mahkota putih.[4] Salah satu gambaran mahkota putih yang ternama ialah daripada palet Narmer yang ditemui di Hierakonpolis di mana raja negeri selatan ini memakai hedjet dengan jaya telah mengalahkan musuh-musuh negeri utaranya. Raja-raja Mesir bersatu menganggap diri mereka pemangku Horus. Pasu-pasu dari zaman pemerintahan Khasekhemwy menggambarkan raja sebagai Horus dan memakai mahkota putih.[5]
Seperti desyret (mahkota merah), tiada satu pun mahkota putih yang sebenar dapat ditemui. Bagaimana ia dibuat dan daripada bahan apa kekal lagi sebagai misteri. Kain felt atau kulit pernah dicadangkan, tetapi ia hanyalah sekadar anggapan. Dan seperti desyret, hedjet mungkin dibuat secara menganyam dengan serat tumbuhan seperti rumbut, jerami, flaks, daun pelepah atau mensiang. Oleh kerana tiada satu pun mahkota dijumpa, walaupun dalam makam diraja yang tidak pernah dimasuk atau diusik seperti makam Tutankhamun, mahkota-mahkota ini barangkali telah diturunkan sebagai harta pusaka kepada satu pemerintah ke yang seterusnya, seperti raja-raja zaman sekarang.
-
Patung tembaga kecil dengan hedjet
Lihat juga
- Atef – mahkota putih dengan bulu di sisinya yang digunakan untuk dewa Osiris
- Khepresh – mahkota biru atau mahkota perang, juga dikenali sebagai mahkota diraja
- Desyret – mahkota merah bagi Mesir Hilir
- Iaret – ular tedung kebesaran diraja
Rujukan
- ^ Arthur Maurice Hocart, The Life-Giving Myth, Routledge 2004, h. 209.
- ^ Roy, Jane (February 2011). The Politics of Trade:Egypt and Lower Nubia in the 4th Millennium BC. Brill. m/s. 215. ISBN 9789004196117. Dicapai pada 16 June 2015.
- ^ Badawi, C (2004). Egypt. h. 550. ISBN 978-1903471777.
- ^ Wilkinson, T. (1999). Early Dynastic Egypt. Routledge. h. 285. ISBN 978-0415260114.
- ^ Kamil, J. (1996). The Ancient Egyptians: Life in the Old Kingdom. Percetakan University American University in Cairo. h. 61.