
Mata Horus, juga dikenali sebagai mata wadjet kiri atau mata udjat, cerminan kepada Mata Ra (mata wadjet kanan), merupakan konsep dan simbol dalam agama Mesir purba yang mewakili kesejahteraan, penyembuhan, dan perlindungan. Ia berasal daripada konflik mitos antara dewa Horus dengan saingannya Set, yang mana Set mencabut atau memusnahkan satu atau kedua-dua mata Horus dan mata tersebut kemudiannya disembuhkan atau dikembalikan kepada Horus dengan bantuan dewa lain seperti Thoth. Horus kemudiannya mempersembahkan mata itu kepada bapanya yang telah meninggal Osiris, dan kuasa pemulihannya mengekalkan Osiris di alam hidup selepas mati. Mata Horus dengan itu disamakan dengan persembahan pengebumian, serta semua persembahan yang diberikan kepada dewa-dewa dalam ritual-ritual kuil. Ia juga boleh mewakili konsep lain seperti bulan, yang fasa mengambang dan menyusutnya diumpamakan seperti kecederaan dan pemulihan mata tersebut.
Simbol Mata Horus, yang berupa mata bergaya dengan tanda-tanda khas, dipercayai mempunyai kuasa sihir pelindung dan kerap muncul dalam seni Mesir purba. Ia merupakan salah satu motif paling lazim untuk azimat, digunakan dari Kerajaan Lama (s. 2686–2181 SM) hingga zaman Rom (30 SM – 641 M). Sepasang mata Horus dilukis pada keranda-keranda semasa Zaman Pertengahan Pertama (s. 2181–2055 SM) dan Kerajaan Pertengahan (s. 2055–1650 SM). Konteks lain di mana simbol ini muncul termasuk pada stele batu ukir dan di haluan kapal. Pada tahap tertentu, simbol ini diadaptasi oleh penduduk-penduduk wilayah jiran Mesir seperti Syria, Kanaan, dan terutamanya Nubia.
Simbol mata ini juga dijadikan hieroglif (𓂀). Ahli Mesirologi sudah lama mempercayai bahawa hieroglif yang mewakili bahagian simbol ini melambangkan pecahan dalam matematik Mesir purba, namun hipotesis ini telah dicabar.[1]
Rujukan
- ^ Ritter (2002), m/s. 297–311.
Bibliografi
- Ritter, Jim (2002). "Closing the Eye of Horus: The Rise and Fall of 'Horus-eye Fractions'". Dalam Steele, John M.; Imhausen, Annette (penyunting). Under One Sky: Astronomy and Mathematics in the Ancient Near East. Ugarit-Verlag. m/s. 297–323. ISBN 3-934628-26-5.
Pautan luar
Kategori berkenaan Mata Horus di Wikimedia Commons