Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
Portal Mesir Purba |
Dewa-dewa gerbang alam ghaib ialah dewa-dewa kecil Mesir purba yang diberi tanggungjawab untuk menjaga pintu-pintu alam ghaib.[2][3] [4]
Huraian dan pecahan
Orang Mesir percaya bahawa di alam mati, Duat, terdapat pelbagai gerbang, pintu dan tonggak pedaka yang setiap malam dilintasi dewa matahari Ra dan roh-roh, menaiki bahtera matahari (Atet) ke dunia orang mati.[4]
Teks pengebumian dahulukala berbeza menghuraikan gerbang-gerbang alam akhirat ini. Kadang-kadang lebih daripada 1000 dewa penjaga disenaraikan.[3] Menurut pandangan lebih umum, setiap pintu gerbang dikawal oleh dewa kecil yang hanya roh yang mampu menyebut nama rahsia dewa itu boleh masuk, seperti kata laluan.[3] Banyak dinding makam firaun di Lembah Para Raja dihiasi dengan teks Kitab Gerbang, yang menggambarkan dua belas gerbang atau tonggak pedaka alam ghaib: walaupun semua rintangan ini berupa seperti elemen reka bina itu, setiap gerbang dinamakan dewi.[4] Bab 144 Kitab Orang Mati menyebut ada tujuh gerbang, setiap satu dengan dewa tersendiri, Penjaga Pintu dan Bentara: contohnya, pintu ke-7 dijaga oleh dewa "Yang Tertajam Antara Semua", oleh penjaga pintu "Lantang Suaranya" dan oleh bentara "Penolak Pemberontak".[3]
Teks-teks pengebumian lain menyebut ada 21 "Lawang Rahsia Rumah Agam Osiris Di Ladang Mensiang" dengan nama dan gelaran khas, serta dilindung oleh dewa-dewa separa binatang, separa manusia yang duduk dengan pisau besar.[3] Nama pintu-pintu yang terakhir—masih feminin—mempunyai nama yang menakutkan seperti lawang yang ke-14 ("Dewi Kemarahan – Menari Di Atas Darah") atau biasa seperti lawang ke-3 ("Dewi Mazbah"). Dewa-dewa penjaganya juga mempunyai nama yang menimbulkan gerun dan membayangkan kuasa menakutkan mereka: contohnya "Penelan Pendosa" dan "Wujud Di Atas Berenga". Beberapa teks tidak menamakan mereka tetapi dewa-dewi gerbang yang tidak dinamakan biasanya tetap diakui oleh pakar. Selain itu, ia juga menunjukkan bahasa Mesir purba mempunyai begitu banyak dewa alam ghaib walaupun ia sukar untuk dikatalog sepenuhnya.[3]
Gerbang yang digambarkan dalam lukisan dinding Lembah Para Raja
Menurut lukisan dinding di makam-makam Lembah Para Raja, setiap gerbang atau tonggak pedaka terdiri daripada tiga elemen: a) seekor ular peludah api yang diletakkan di hadapan pintu masuk, b) gerbang yang dipanggil pintu masuk serta dewi, c) dan dewa-dewa penjaganya. Perjalanan bahtera matahari melalui gerbang-gerbang boleh disimpulkan seperti berikut.[2]
Gerbang pertama: Sia (dewa cerapan)[5] berdiri di haluan bahtera matahari, menjemput ular yang dipanggil "Pelindung Gurun" untuk membuka gerbang dan sambut kedatangan Ra yang, dalam bentuk dewa Atum (dewa matahari terbenam[6]), memerhatikan musuh-musuhnya dibunuh beramai-ramai.
Gerbang ke-2: dewa penjaganya dipanggil "Penelan Pendosa" dan gerbangnya membuka ke sebuah tasik berapi.
Gerbang ke-3: ular penjaganya ialah "Penyengat" manakala lawangnya "Dewi Makanan"; beberapa ekor jakal mengawasi "Tasik Kehidupan" yang dilarang untuk si mati kerana ia tempat Ra menarik nafasnya.
Gerbang ke-4: beberapa dewa membawa tali untuk mengukur bendang alam ghaib—ladang diukur untuk dicukai dalam hidup orang Mesir purba; ini juga tempat empat kumpulan etnik manusia (menurut orang Mesir) digambarkan: "ternakan Ra", iaitu orang Mesir, orang Syam, orang Libya dan orang Nubia.
Gerbang ke-5: gerbang ini "Dewi Tempoh" manakala ular penjaganya ialah "Yang Bermata Api"; pintu ini didiami syaitan Apep—jelmaan kejahatan, huru-hara (Isfet), dan musuh ketat Ra[7]—sini dia dipanggil "Yang Keji Mukanya". 20 orang dewa membendungnya dengan mengerat-ngeratnya, manakala kepala dewa-dewa yang dimakannya keluar dari badannya. Bahtera matahari terus bergerak dan Ra meninggalkan kawasan ini.
Gerbang ke-6: Bahtera Ra menghampiri tujuh tiang berkepala jakal dengan dua musuh terikat pada setiap satu, menunggu pancung.
Gerbang ke 7: gerbang ini dewi "Yang Bersinar" dan di sebaliknya terdapat 20 orang dewa memegang seutas tali yang dihujungnya ada empat cambuk, empat kepala falkon dan empat kepala manusia. Hal ini satu misteri dan sukar dtafsir.
Gerbang ke-8: gerbang ini didiami oleh ular berapi yang membakar musuh-musuh Osiris.
Gerbang ke-9: Horus dan Set berdiri di atas singa berkepala helang.
Gerbang ke-10: Apep muncul lagi tetapi dirantai agar tidak membahayakan Ra dalam perjalanannya.
Gerbang ke-11: gerbang ini dipanggil "Bermisteri Pendekatannya" dan diawasi oleh dewa berkepala kucing Meeyuty (bunyi kucing: miau).
Gerbang ke-12: dewi Isis dan Nephthys hadir dalam bentuk ular: perjalanan melepasi gerbang-gerbang akhirat selesai dan matahari terbit di dunia dalam bentuk skarab suci (Khepri, matahari pagi sebagai dewa[8]).
Gerbang yang diterangkan dalam papirus pengebumian
Pakar Mesir Purba British, George Hart, menggariskan dalam kamusnya Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses (1986) nama-nama dewa-dewi ini dan kedudukan mereka di alam ghaib seperti yang diterangkan dalam papirus pengebumian yang diketahui oleh ahli pakar:[9]
Dewa Tujuh Gerbang
Gerbang | Dewa | Gelaran | Penjaga pintu | Bentara |
---|---|---|---|---|
1 | "Muka Terbalik – Yang Pelbagai Bentuknya" | "Pendengar Rahsia" | "Sengsara Suaranya" | |
2 | "Diregangkan Dahinya" | "Berwajah Seqed (?)" | "Bercahaya" | |
3 | "Pemakan Kekotoran Bahagian Belakangnya" | "Waspada Wajahnya" | "Penyumpah" | |
4 | "Bermusuh Mukanya – Becok" | "Peka" | "Hebat Wajahnya– Penghalau Buaya" | |
5 | "Wujud Di Atas Berenga" | "Ashbu" | "Muka Badak Air – Berang Menyerang" | |
6 | "Mengamuk Suaranya" | "Pemadam Muka" | "Tajam Mukanya" | |
7 | "Tertajam Antara Semua" | "Lantang Suaranya" | "Penolak Pemberontak" |
Dewi-dewi 21 Lawang Rahsia Rumah Agam Osiris di Ladang Mensiang
Lawang | Nama Lawang sebagai Dewi | Dewa Penjaga |
---|---|---|
1 | "Dewi Gementar" | "Ngeri" |
2 | "Dewi Langit" | "Lahir Dari Bahagian Belakang" |
3 | "Dewi Mazbah" | "Pembasmi" |
4 | "Berkuasa Pisaunya" | "Lembu Jantan Bertanduk Panjang" |
5 | "Yang Berapi-api" | "Pembunuh Lawan" |
6 | "Dewi Kegelapan" | "Pemusnah" |
7 | "Penyelubung Sang Lesu (Osiris)" | "Ikenti" |
8 | "Penyala Api – Pemadam Haba" | "Pelindung Tubuhnya" |
9 | "Terutama" | "Penjaga Unggas" |
10 | "Bingit Suaranya" atau "Pintu Berganda Tinggi" | "Pendakap Hebat" |
11 | "Tidak Berhenti Dalam Memisau – Pembakar Pemberontak" | "Gerau Perapiannya" |
12 | "Diseru Oleh Dua Negerinya " | "Kucing" |
13 | "Dia Di Atas Siapa Osiris (atau: Isis, Ennead) Melapangkan Tangannya" | "Pemusnah Perompak" |
14 | "Dewi Kemarahan – Menari Atas Darah" | "Peneriak" |
15 | "Hebat Perkasanya" | "Waspada Wajahnya" |
16 | "Angker" | "Pandai Membongkok" |
17 | "Hebat di Ufuk" | "Semangat" |
18 | "Pencinta Haba" | "Diurapi" |
19 | "Dia yang Meramalkan Pagi Sepanjang Hayatnya -
Pemilik Tulisan Thoth" |
tanpa nama |
20 | "Penghuni Dalam Gua Rajanya" | tanpa nama |
21 | "Pengasah Batu Api Untuk Bercakap Untuknya" | "Zirafah" ("Memy") |
Lihat juga
Rujukan
Nota
- ^ Erik Hornung, Rolf Krauss & David Warburton (editors), Ancient Egyptian Chronology (Handbook of Oriental Studies), Brill: 2006, p. 493.
- ^ a b Hart 1986, m/s 68–72. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama ":2" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ a b c d e f Wilkinson 2003, m/s. 81–2. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama ":0" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ a b c "Minor Netherworld Deities of Ancient Egypt". www.touregypt.net (dalam bahasa Rusia). Dicapai pada 2018-04-23. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama ":1" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ "Hu, Sia, and Heh | Egyptian religion". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-23.
- ^ "Atum | Definition & Facts". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-23.
- ^ "Gods of ancient Egypt: Apep (Apophis)". www.ancientegyptonline.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-23.
- ^ "Ancient Egypt Online". www.ancientegyptonline.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-08. Dicapai pada 2018-04-23.
- ^ Hart 1986, m/s 70–2.
- ^ Taylor 2010, m/s 143
Bibliografi
- Hart, George, A Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses, Routledge, 1986, ISBN 0-415-05909-7.
- Wilkinson, Richard H., The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt, Thames & Hudson, 2003, ISBN 0-500-05120-8.