Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
Portal Mesir Purba |
Mitologi Mesir ialah koleksi mitos Mesir purba yang menceritakan perbuatan dewa-dewa Mesir sebagai cara untuk memahami dunia. Kepercayaan yang diperagakan oleh mitos-mitos ini penting dalam agama Mesir purba. Mitos kerap muncul dalam sastera dan seni Mesir, terutamanya dalam cerpen dan bahan keagamaan seperti gita puja, teks keupacaraan, teks pengebumian dan hiasan kuil. Sumber-sumber ini jarang sekali mengandungi kisah mitos yang lengkap dan selalunya menceritakan sedutan sahaja.
Diilhamkan kitaran alam semula jadi, orang Mesir menganggap masa kini sebagai corak-corak yang berulang, manakala zaman terawal masa hanya berlaku sekali. Mitos Mesir bertempat pada zaman terawal ini, dan mitos menetapkan corak untuk kitaran masa kini. Peristiwa masa kini mengulangi peristiwa mitos, dan dengan berbuat demikian memperbaharui maat, aturan asas alam semesta. Antara kisah yang paling penting dari masa lalu ialah mitos penciptaan, apabila para dewa membentuk alam semesta daripada huru-hara purba; kisah-kisah pemerintahan dewa matahari Ra di bumi; dan mitos Osiris, mengenai perjuangan dewa Osiris, Isis dan Horus melawan dewa kekacauan Set. Peristiwa masa kini yang mungkin dianggap sebagai mitos termasuk perjalanan harian Ra merentas dunia dan alam ghaib, Duat. Antara tema yang berulang dalam mitos termasuk konflik antara penegak maat dan kuasa kekacauan, kepentingan firaun dalam mengekalkan maat, dan kematian dan kebangkitan para dewa yang tidak akan berakhir.
Maklumat peristiwa-peristiwa suci ini amat berbeza daripada satu teks ke teks yang lain dan sering kelihatan bercanggah. Sebahagian besar mitos Mesir ialah metafora, menterjemah intipati dan tingkah laku dewa ke dalam bahasa yang boleh difahami manusia. Setiap varian mitos mewakili sudut pandangan simbolik yang berbeza, memperkayakan pemahaman orang Mesir tentang para dewa dan dunia.
Mitologi banyak mempengaruhi budaya Mesir. Ia telah mengilhamkan atau mempengaruhi banyak upacara keagamaan dan memberikan asas ideologi untuk pemerintahan beraja. Adegan dan simbol daripada mitos muncul dalam lukisan makam, kuil dan azimat. Dalam kesusasteraan, mitos atau unsur-unsurnya digunakan dalam cerita yang terdiri daripada jenaka kepada kiasan, menunjukkan bahawa orang Mesir menyesuaikan mitologi untuk pelbagai tujuan.
Bacaan lanjut
- Armour, Robert A (2001) [1986]. Gods and Myths of Ancient Egypt. The American University in Cairo Press. ISBN 977-424-669-1.
- Ions, Veronica (1982) [1968]. Egyptian Mythology. Peter Bedrick Books. ISBN 0-911745-07-6.
- James, T. G. H (1971). Myths and Legends of Ancient Egypt. Grosset & Dunlap. ISBN 0-448-00866-1.
- Shaw, Garry J. (2014). The Egyptian Myths: A Guide to the Ancient Gods and Legends. Thames & Hudson. ISBN 978-0-500-25198-0.
- Sternberg, Heike (1985). Mythische Motive and Mythenbildung in den agyptischen Tempeln und Papyri der Griechisch-Romischen Zeit (dalam bahasa Jerman). Harrassowitz. ISBN 3-447-02497-6.
- Tyldesley, Joyce (2010). Myths and Legends of Ancient Egypt. Allen Lanes. ISBN 978-1-84614-369-4.