Empat anak Horus adalah sekumpulan empat dewa dalam agama Mesir purba yang dipercayai akan melindungi orang yang telah meninggal dunia di akhirat. Bermula dari Tempoh Perantaraan Pertama dalam sejarah Mesir (s. 2181–2055 SM), Imsety, Hapy, Duamutef dan Qebehsenuef amat berkait dengan empat takar kanopi yang menempatkan organ-organ si mati yang dikeluarkan semasa dijadikan mumia. Selalunya, Imsety melindungi hati, Hapy paru-paru, Duamutef perut, dan Qebehsenuef usus, tetapi hal ini sering berbeza-beza. Takar kanopi mempunyai penutup dengan kepala anak-anak Horus. Walaupun mereka asalnya digambarkan sebagai manusia, pada setengah kedua Kerajaan Baru (s. 1550–1070 SM), mereka mudah dibezakan kerana Imsety digambarkan sebagai manusia, Hapy sebagai babun, Duamutef sebagai jakal dan Qebehsenuef sebagai falkon. Mereka juga dikaitkan dengan bintang di langit, wilayah Mesir dan arah mata angin.
Anak-anak Horus dipuja hampir semata-mata dalam hal pengebumian. Mereka kali pertama disebutkan pada penghujung Kerajaan Lama (s. 2686–2181 SM) dalam Teks Piramid dan terus diseru dalam teks-teks pengebumian sepanjang sejarah Mesir purba. Hubungan mereka dengan takar kanopi mula kekal pada Tempoh Perantaraan Pertama dan selepas itu ada merata-rata dalam hiasan peti kanopi, keranda, dan sarkofagus. Walaupun mereka semakin berkait rapat dengan organ dalaman, mereka terus muncul dalam barangan pengebumian walaupun takar kanopi tidak digunakan lagi pada Zaman Ptolemaik (303–30 SM), baru terhapus hanya pada abad keempat Masihi dengan kepupusan tradisi pengebumian Mesir purba.
Nama dan asal usul
Empat anak Horus[1] dalam hieroglif | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Imsety | |||||||
Hapy | |||||||
Duamutef | |||||||
Qebehsenuef |
Imsety (jmstj), Hapy (ḥpy), Duamutef (dwꜣ-mwt.f) dan Qebehsenuef (qbḥ-snw.f)[2] mula disebut dalam Teks Piramid, teks-teks pengebumian Mesir purba yang terawal, pada akhir zaman Kerajaan Lama (abad ke-24 dan ke-23 SM).[3] Dalam banyak sumber, seperti Mantera 541 Teks Piramid, mereka dipanggil anak-anak Horus, salah satu dewa utama kepercayaan Mesir.[2][4] Dalam beberapa teks ini mereka sebaliknya dipanggil anak dewa Atum, dewa Geb, atau dewi Nut.[5] Petikan dalam Teks Keranda dari Kerajaan Tengah (s. 2055–1650 SM) mengatakan bahawa mereka anak dewi Isis dan satu jelmaan Horus yang dikenali sebagai Horus Si Tua.[6]
Dalam Teks Piramid, anak-anak Horus dikatakan akan membantu mendiang raja di akhirat.[2] Dalam Mantera 688 contohnya, mereka "buatkan satu tangga yang kukuh" untuk raja naik ke langit, manakala dalam Mantera 338 mereka melindunginya daripada lapar dan dahaga.[4] Ahli kaji Mesir sering anggap melindungi si mati sebagai peranan utama mereka, namun Maarten Raven berpendapat bahawa mereka asalnya dewa-dewa angkasa kerana Teks Piramid sering mengaitkan mereka dengan langit dan Horus sendiri dewa langit.[7]
Nama Duamutef bermaksud "Dia yang memuji ibunya",[8] manakala Qebehsenuef bermaksud "Dia yang menyucikan saudaranya dengan mencurahkan minuman".[9] Ahli kaji Mesir, James P. Allen, menterjemahkan nama Hapy sebagai "Dia yang Bergegas" dan Imsety sebagai "Dia yang Adas"; [4] seorang lagi pakar Mesir, Joshua Roberson, percaya Imsety asalnya personifikasi herba ini.[8] Nama Imsety juga menyerupai perkataan Mesir untuk "hati" (mjst) dan mungkin sebab mengapa dia penjaga hati.[5]
Nama Imsety menggabungkan imbuhan akhiran duaan dalam bahasa Mesir (-ty atau -wy), dan nama Hapy mungkin pada asalnya begitu juga, dengan w yang kemudiannya hilang. Atas sebab ini, ahli Mesir John Taylor berpendapat bahawa kedua-dua anak Horus ini asalnya sepasang dewa dan dewi.[10]
Peranan
Pelindung si mati
Teks-teks dari zaman kemudian terus meminta perlindungan anak-anak Horus di akhirat seperti Teks Piramid. Dalam banyak teks, mereka dikatakan melindungi Osiris, dewa pengebumian yang kematian dan kebangkitannya dalam mitos menjadi ikutan dalamamalan pengebumian Mesir purba. Beberapa teks bahkan memanggil mereka anak-anak Osiris, bukan Horus.[12] Dalam satu upacara Kerajaan Pertengahan, yang dicatat dalam Papirus Ramesseum Dramatik, anak-anak Horus membantu pulihkan Osiris selepas dia mati, lawan pengikut-pengikut musuhnya Set, dan kembalikan Mata Horus yang hilang kepada bapa mereka.[13] Mantera 137 Kitab Orang Mati dari Kerajaan Baru (s. 1550–1070 SM) berkata kepada mereka, "sebagaimana kamu menyebarkan perlindunganmu ke atas bapamu Osiris-Khentiamentiu, sebarkanlah juga perlindunganmu ke atas [orang yang telah meninggal itu]". Dalam bahagian kesepuluh Kitab Gerbang Kerajaan Baru, satu teks pengebumian yang menggambarkan alam ghaib secara terperinci, empat anak Horus digambarkan memegang rantai yang mengikat makhluk jahat yang dipanggil "ular-ular wmmtj".[2]
Keempat-empat anak Horus telah diberikan hubungan khusus dengan organ si mati. Semasa proses memumia, empat organ dalaman—paru-paru, hati, perut dan usus—dikeluarkan daripada badan dan dikeringkan sebelum diletakkan di dalam makam, biasanya terasing daripada badan. Pada akhir Kerajaan Lama, organ mula diletakkan di dalam satu set balang yang dikenali sebagai takar kanopi dan semasa Tempoh Perantaraan Pertama (s. 2181–2055 SM), takarnya mula ditulis dengan teks yang menyeru anak-anak Horus.[9] Tiada teks menyatakan mana antara mereka yang melindungi organ mana. Makam yang mana takar dan organnya masih ada menunjukkan bahawa susunannya biasanya Imsety menjaga hati, Hapy paru-paru, Duamutef perut, dan Qebehsenuef usus, tetapi ada banyak variasi yang diketahui.[10] Contohnya, dalam beberapa kes Hapy menjaga perut dan Duamutef paru-paru.[2]
Merepa dipercayai dilindungi empat dewi, biasanya Isis untuk Imsety, Nephthys untuk Hapy, Neith untuk Duamutef, dan Selket untuk Qebehsenuef.[2] Pada zaman Kerajaan Tengah, pola ini boleh berbeza-beza dan kadangkala ada dewi yang berbeza, jadi Sendjet menjaga Duamutef dan Renenutet menjaga Qebehsenuef.[9] Dalam beberapa inskripsi dari keranda-keranda Kerajaan Pertengahan, dewi-dewi ini diseru untuk melindungi anak Horus "yang ada dalam diri kamu [si mati]", menunjukkan bahawa anak-anak Horus disamakan dengan organ dalaman serta pelindung mereka.[7]
Arah dan kawasan angkasa
Anak-anak Horus juga berkait dengan langit atau sebahagian kosmos menurut orang Mesir purba. Dalam Kerajaan Baru, mereka kadangkala dianggap sebagai bintang di langit utara[3] atau sebagai burung yang terbang ke empat penjuru dunia.[7] Bernard Mathieu berpendapat bahawa mereka bersamaan dengan empat bintang di sudut buruj Belantik (Saiph, Betelgeuse, Bellatrix, dan Rigel) dan dengan empat bintang di Ursa Major (Megrez, Phecda, Merak, dan Dubhe).[5]
Beberapa ahli kaji Mesir mencadangkan bahawa mereka ialah empat tiang yang menyokong langit dalam kosmologi Mesir.[7] Mereka juga dikaitkan dengan wilayah-wilayah Mesir: mereka kadang-kadang disamakan dengan Jiwa Nekhen dan Pe, dua dewa dewa yang mewakili pemerintah pradinasti Mesir Hulu di selatan dan Hilir di utara.[12] Hapy dan Duamutef dikaitkan dengan bandar Buto di Mesir Hilir, dan Imsety dan Qebehsenuef dengan bandar Nekhen di Mesir Hulu.[2]
Mesir purba percaya bahawa tubuh manusia dan alam semesta adalah serupa. Kepercayaan ini amat ketara dalam adat pengebumian. Semasa zaman Kerajaan Pertengahan, mayat dibaringkan supaya kepala menghala ke arah utara dan kaki ke arah selatan. Teks-teks yang menghiasi keranda dalam tempoh ini meletakkan dewa-dewa tertentu dalam kedudukan tertentu, mengaitkan mereka dengan arah tertentu. Imsety dan Hapy diseru di kepala keranda, Imsety di kiri dan Hapy di kanan, sekali gus meletakkan Imsety di timur laut dan Hapy di barat laut. Duamutef dan Qebehsenuef diseru di kaki keranda, Duamutef di kiri dan Qebehsenuef di kanan, sekali gus meletakkan Duamutef di tenggara dan Qebehsenuef di barat daya. Peti kanopi pada masa itu meletakkan setiap dewa dalam kedudukan yang setara. Orientasi ini menunjukkan bahawa anak-anak Horus dikaitkan dengan empat penjuru kosmos Mesir. Orientasi mereka mungkin berkaitan dengan kedudukan setiap organ: paru-paru dan hati duduk lebih tinggi di dalam tubuh, sesuai dengan kedudukan utara Imsety dan Hapy, manakala perut dan usus lebih rendah, sepadan dengan kedudukan selatan Duamutef dan Qebehsenuef.[7]
Kedudukan anak-anak Horus berubah pada zaman Kerajaan Baru, apabila mayat dikebumikan dengan kepala ke barat dan kaki ke timur. Pada beberapa keranda, Imsety dan Hapy kekal di kepala dan Duamutef dan Qebehsenuef di kaki tetapi dalam setiap pasangan, dewa yang berada di sebelah kiri dipindahkan ke kanan, dan sebaliknya. Untuk keranda lain, setiap anak lelaki Horus berada di dinding sisi keranda atau peti kanopi: Imsety di selatan, Hapy di utara, Duamutef di timur, dan Qebehsenuef di barat. Pemposisian kedua ini, dengan anak-anak Horus di empat sisi dan bukan empat penjuru, menghubungkan mereka dengan arah mata angin daripada penjuru alam semesta. Kewujudan kedua-dua sistem orientasi pada masa yang sama begini menunjukkan bahawa orang Mesir tidak membezakan empat penjuru daripada empat arah mata angin dengan tegar.[7]
Ikonografi
Semasa Tempoh Perantaraan Pertama, penutup takar kanopi mula dibuat dalam bentuk kepala. Pada masa yang sama, inskripsi pada takar mula menyeru nama anak-anak Horus. Oleh itu, penutupnya kemungkinan besar melambangkan empat anak Horus dan bukannya orang yang empunya organ itu.[10] Pada peringkat awal, penutup kanopi mempunyai kepala falkon tetapi dalam Kerajaan Tengah, kepala manusia menjadi lebih biasa.[9] Dalam beberapa kes begini, Imsety, tidak seperti yang lain, digambarkan sebagai perempuan.[10]
Pada Dinasti Kelapan Belas (s. 1550–1292 SM), beberapa takar kanopi diberikan kepala yang berbeza-beza: Imsety digambarkan sebagai seorang lelaki, Hapy sebagai babun, Duamutef sebagai jakal dan Qebehsenuef sebagai elang.[9] Ikonografi ini menjadi standard semasa Ramses II memerintah pada abad ketiga belas SM[10] dan kekal sepanjang sejarah Mesir purba, namun dalam Tempoh Perantaraan Ketiga, kepala haiwan mereka sering tertukar. Misalnya, Duamutef digambarkan sebagai falkon dan Qebehsenuef sebagai jakal.[2]
Selain takar, anak-anak Horus itu sering digambarkan pada peti kanopi yang menyimpan takar-takar tersebut, serta pada keranda dan peralatan pengebumian lain.[3] Dalam adegan untuk Mantera 125 Buku Orang Mati, mereka digambarkan sebagai dewa-dewa kecil berdiri di atas bunga teratai di hadapan takhta Osiris.[2] Dalam satu gambaran yang ganjil, pada dinding di WV23, makam Ay dari akhir Dinasti Kelapan Belas, anak-anak Horus digambarkan sebagai manusia sepenuhnya,[3] dengan Imsety dan Hapy memakai mahkota merah Mesir Hilir dan Duamutef dan Qebehsenuef memakai mahkota putih Mesir Hulu.[2]
-
Peti kanopi dengan takar berkepala manusia, dari Kerajaan Tengah (s.2055–1650 SM)
-
Takar kanopi berkepala manusia dari awal Dinasti Kelapan Belas, s.1504–1447 SM
-
Qebehsenuef (tengah) dan Hapy (kanan), digambarkan dalam makam Nefertari (QV66),s.1250 SM
-
Takar kanopi berkepala binatang dariDinasti Kedua Puluh Lima (s.744–664 SM)
-
Azimat empat anak lelaki Horus dari Tempoh Perantaraan Ketiga (s.1070–664 SM)
Pemujaan
Anak-anak Horus tidak dipuja seperti yang biasa dilakukan dengan dewa-dewa besar Mesir, dan mereka muncul hanya untuk konteks pengebumian.[2] Mereka ada peranan kecil dalam upacara dari Papirus Ramesseum Dramatis—yang agak serupa dengan upacara pengebumian tetapi tidak pasti tujuannya[13]—tetapi mereka paling kerap ditemui di dalam makam.[2] Dari Kerajaan Pertengahan dan kemudian, mereka hampir selalu digambarkan atau diseru dalam hiasan keranda, sarkofagus dan barangan takar kanopi.[2] Semasa Kerajaan Baru lewat, balang-balang yang mengandungi usyabti, sejenis patung yang biasa diletakkan bersama si mati, diberikan penutup berbentuk seperti kepala anak lelaki Horus, serupa dengan penutup takar kanopi.[10]
Pada Dinasti Kedua Puluh Kerajaan Baru (1189–1077 SM), jurumumia mula meletakkan patung-patung lilin anak-anak Horus di dalam badan.[2] Tidak lama selepas itu, pada permulaan Tempoh Perantaraan Ketiga, orang Mesir berhenti menyimpan organ dalam takar kanopi dan mula mengawet setiap organ satu per satu, membungkusnya bersama patung lilin yang sepadan dan memasukkannya balik ke dalam badan. Pengebumian orang kaya masih meletakkan takar kanopi tetapi tanpa organ di dalamnya.[9] Menjelang penghujung tempoh ini, empat anak lelaki Horus juga digambarkan pada azimat-azimat faience yang dipasang pada baltuan luar mumia.[2] Dalam tempoh ini, hiasan keranda berbentuk manusia menempatkan anak-anak Horus berhampiran perut mumia daripada di sekeliling keranda, menandakan hubungan mereka dengan organ dalaman sudah membayangi peranan mereka yang lain.[7]
Takar kanopi berhenti digunakan pada Zaman Ptolemaik awal (303–30 SM), dan penggunaan peti kanopi pupus pada pertengahan tempoh itu.[9] Namun pada zaman Ptolemaik dan Rom, anak-anak Horus tetap ada pada barang-barang pengebumian lain, seperti selongsong stuko berhias pada mumia yang telah dibalut.[2] Satu set arahan untuk proses pemumiaan, dari abad pertama atau kedua Masihi, mengarahkan empat pegawai untuk berlakon sebagai anak-anak Horus ketika tangan si mati dibalut.[14] Anak-anak Horus terakhir disebut pada barang-barang pengebumian dari abad keempat Masihi, dekat penghujung adat pengebumian Mesir purba.[2]
Petikan
- ^ Hart 2005, m/s. 150.
- ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q Dodson 2001.
- ^ a b c d Wilkinson 2003.
- ^ a b c Allen 2015.
- ^ a b c Mathieu 2008.
- ^ Faulkner 1973.
- ^ a b c d e f g Raven 2005.
- ^ a b Roberson 2013.
- ^ a b c d e f g Ikram & Dodson 1998.
- ^ a b c d e f Taylor 2001.
- ^ a b Goelet dll. 2015, m/s. 169.
- ^ a b Pinch 2002.
- ^ a b Geisen 2018.
- ^ Smith 2009.
Karya yang dipetik
- Allen, James P. (2015). The Ancient Egyptian Pyramid Texts, Second Edition. Society of Biblical Literature. ISBN 978-1-62837-114-7.
- Dodson, Aidan (2001). "Four Sons of Horus". Dalam Redford, Donald B. (penyunting). The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt. 1. Oxford University Press. m/s. 561–563. ISBN 978-0-19-510234-5.
- Faulkner, Raymond O. (1973). The Ancient Egyptian Coffin Texts, Volume I: Spells 1–354. Aris & Phillips. ISBN 978-0-85668-005-2.
- Geisen, Christina (2018). A Commemoration Ritual for Senwosret I: P. BM EA 10610.1–5/P. Ramesseum B (Ramesseum Dramatic Papyrus). Yale Egyptological Institute. ISBN 978-0-9740025-9-0.
- Goelet, Ogden; Faulkner, Raymond O.; Andrews, Carol A. R.; Gunther, J. Daniel; Wasserman, James (2015). The Egyptian Book of the Dead: The Book of Going forth by Day, Twentieth Anniversary Edition. Chronicle Books. ISBN 978-1-4521-4438-2.
- Hart, George (2005). The Routledge Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses, Second Edition. Routledge. ISBN 978-0-203-02362-4.
- Ikram, Salima; Dodson, Aidan (1998). The Mummy in Ancient Egypt: Equipping the Dead for Eternity. Thames & Hudson. ISBN 978-0-500-05088-0.
- Mathieu, Bernard (2008). "Les Enfants d'Horus, théologie et astronomie" (PDF). Égypte Nilotique et Méditerranéenne (dalam bahasa French). 1: 7–14.CS1 maint: unrecognized language (link)
- Pinch, Geraldine (2002). Egyptian Mythology: A Guide to the Gods, Goddesses, and Traditions of Ancient Egypt. Oxford University Press. ISBN 978-0-19-517024-5.
- Raven, Maarten (2005). "Egyptian Concepts on the Orientation of the Human Body". The Journal of Egyptian Archaeology. 91: 37–53. doi:10.1177/030751330509100103. JSTOR 3822392. S2CID 162109010.
- Roberson, Joshua Aaron (2013). The Awakening of Osiris and the Transit of the Solar Barques: Royal Apotheosis in a Most Concise Book of the Underworld and Sky. Editions Universitaires Friborg Suisse / Vandenhoeck & Ruprecht Göttingen. ISBN 978-3-7278-1746-5 / ISBN 978-3-525-54387-0
- Smith, Mark (2009). Traversing Eternity: Texts for the Afterlife from Ptolemaic and Roman Egypt. Oxford University Press. ISBN 978-0-19-815464-8.
- Taylor, John (2001). Death and the Afterlife in Ancient Egypt. University of Chicago Press. ISBN 978-0-226-79164-7.
- Wilkinson, Richard H. (2003). The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt. Thames & Hudson. ISBN 978-0500051207.
Pautan luar
- Kategori berkenaan Empat anak Horus di Wikimedia Commons