ETS adalah singkatan untuk Electric Train Service, merupakan perkhidmatan tren laju antara bandar di antara Padang Besar, Butterworth, Kuala Lumpur, Gemas dan Kluang yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010. Terdapat 40 stesen yang berkhidmat sepanjang laluan ini iaitu dua di Perlis, empat di Kedah, empat di Pulau Pinang, 12 di Perak, lima di Selangor, empat di Kuala Lumpur, dua di Melaka, dua di Negeri Sembilan dan lima di Johor.
Kelajuan operasi maksimum armada ETS adalah 140 km/jam, walaupun tren ETS direka untuk mencapai kelajuan 160 km/jam. Setiap tren boleh mengangkut maksimum 350 orang penumpang, dan terdiri daripada enam gerabak yang mencapai jumlah panjang 138 m dan berat 231.8 ton. Setiap gerabak 22.95 m panjang, 2.75 m lebar dan 4 m tinggi.
Perkhidmatan tren
Dilancarkan pada Ogos 2010, perkhidmatan mula-mula melayan Ipoh hingga Seremban tetapi sektor KL Sentral-Seremban diberhentikan pada Oktober 2012.[2]
Kemudian perkhidmatan dilanjutkan dari Ipoh ke Padang Besar melalui Butterworth dengan pengenalan ETS Transit pada 10 Julai 2015, dengan 24 stesen hentian. Pada mulanya, hanya satu perkhidmatan tren di kedua-dua arah diperkenalkan. Pada hari berikutnya pada 11 Julai 2015, diperkenalkannya ETS Express antara KL Sentral dan Padang Besar melalui Butterworth dengan 15 stesen hentian. Sekali lagi hanya satu perkhidmatan untuk kedua-dua arah.[3]
Kemudian pada 1 September 2015, perkhidmatan tambahan antara KL Sentral dan Butterworth diperkenalkan,[4] dan pada 10 Oktober 2015, dilanjutkan lagi dari KL Sentral ke Gemas, bersama dengan pengenalan perkhidmatan baru antara Padang Besar dan Gemas.[5] Lanjutan KTM ETS ke Gemas menggunakan landasan kembar elektrik antara Seremban dan Gemas yang siap pada 2014.
Juga pada 10 Oktober 2015, perkhidmatan baru dilancarkan antara Butterworth dan Padang Besar di samping perkhidmatan sedia ada tetapi yang ini kemudian dikurangkan kekerapan dengan pelancaran KTM Komuter Sektor Utara.
Makin banyak tren yang ada, makin kerap disemak jadual dan perkhidmatan. Diperkenalkannya kelas-kelas servis Platinum, Gold dan Silver sementara istilah "ETS Ekspres" dan "ETS Transit" dilucutkan.
Namun, pada 1 Ogos 2024, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah memperkenalkan semula perkhidmatan ETS Express bagi laluan KL Sentral ke Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.[6] Setiap laluan menawarkan satu perkhidmatan pergi dan balik setiap hari menggunakan sistem penomboran baharu EX9xxx. Perkhidmatan ini hanya berhenti di stesen utama yang mewakili bandar-bandar penting di setiap negeri. Untuk perkhidmatan ini, tren EMU KTM Kelas 91 atau KTM Kelas 93/1 digunakan bagi laluan KL Sentral – Ipoh, manakala KTM Kelas 93/2 digunakan bagi laluan KL Sentral – Butterworth dan Padang Besar.
Pada 15 Mac 2025, perkhidmatan ETS telah diperluaskan ke Segamat di Johor dengan menyambungkan perkhidmatan ETS Gold dari Padang Besar dan Butterworth yang sebelum ini hanya berakhir di Stesen Gemas.[7] Peluasan ini merupakan sebahagian daripada kemajuan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBE) yang sedang giat dijalankan.
Mulai 30 Ogos 2025, KTMB turut memulakan perkhidmatan ETS laluan Selatan dengan memperkenalkan laluan baharu dari KL Sentral ke Kluang.[8] Perkhidmatan ini turut melibatkan empat hentian baharu di negeri Johor, iaitu di Labis, Bekok, Paloh dan Kluang. Laluan ini dilayani oleh set tren baharu EMU KTM Kelas 94, yang menawarkan perkhidmatan Platinum lengkap dengan Kelas Perniagaan. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan di bawah projek PLBE.
Sistem penomboran perkhidmatan tren berikut digunakan untuk KTM ETS (bermula 30 Ogos 2025):
- EX910x untuk perkhidmatan Express yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Butterworth.
- EX920x untuk perkhidmatan Express yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Padang Besar.
- EX900x untuk perkhidmatan Express yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Ipoh.
- EP917x dan EP918x untuk perkhidmatan Platinum yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Butterworth.
- EP927x untuk perkhidmatan Platinum yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Padang Besar.
- EP951x untuk perkhidmatan Platinum yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Kluang.
- EG902x dan EG903x untuk perkhidmatan Gold yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Ipoh.
- EG932x untuk perkhidmatan Gold yang bertolak/tamat di stesen Segamat atau Butterworth.
- EG942x untuk perkhidmatan Gold yang bertolak/tamat di stesen Segamat atau Padang Besar.
- ES905x untuk perkhidmatan Silver yang bertolak/tamat di stesen KL Sentral atau Ipoh.
Rujukan
- ^ "JADUAL 2.1 : STATISTIK TRAFIK KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD (KTMB), SUKU KEEMPAT, 2017" [Table 2.1 : Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Traffic Statistics, Fourth Quarter, 2017] (PDF) (dalam bahasa Malay dan English). Ministry of Transport, Malaysia. Dicapai pada 13 March 2018.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "Recent scheduling ETS Services". KTM Intercity. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-11-26. Dicapai pada 18 November 2012.
- ^ "KL-Padang Besar electric train starts run today". The Star. 10 July 2015. Dicapai pada 19 July 2015.
- ^ "Kenyataan Media:Penstrukturan Jadual Waktu Tren Intercity dan ETS Bermula 1 September 2015 (Restructuring of the Timetable for Intercity dan ETS Trains beginning 1 September 2015)" (PDF). KTM Berhad. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 5 September 2015. Dicapai pada 16 October 2015.
- ^ "Kenyataan Media:Penstrukturan Jadual Waktu Tren Intercity dan ETS Bermula 10 Oktober 2015 (Restructuring of the Timetable for Intercity dan ETS Trains beginning 10 October 2015)" (PDF). KTM Berhad. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 6 November 2015. Dicapai pada 16 October 2015.
- ^ Najihah Borhan (29 May 2024). "KTMB to introduce new ETS schedule and six more express services". NST Online. Dicapai pada 31 Mei 2024.
- ^ Bernama (15 Mac 2025). "Perkhidmatan ETS dari Stesen Segamat bermula hari ini - KTMB". Astro Awani. Dicapai pada 15 Mac 2025.
- ^ Venesa Devi, Rhema Seng (24 August 2025). "KL to Kluang ETS to start Aug 30". The Star. Dicapai pada 24 Ogos 2025.