Taman Tun Teja | |
|---|---|
| Koordinat: 3°17′48.7″N 101°35′26.8″E / 3.296861°N 101.590778°E | |
| Negara | Malaysia |
| Negeri | Selangor |
| Daerah | Gombak |
| Mukim | Rawang |
| Kawasan parlimen | Selayang |
| Kawasan negeri | Rawang |
| Pentadbiran | |
| • Kerajaan tempatan | Majlis Perbandaran Selayang |
| Zon waktu | UTC+8 (WPM) |
| • Musim panas (DST) | UTC+8 (tidak dipratikkan) |
| Poskod | 48000 |
| Kod kawasan | +603 |
| Plat pendaftaran kenderaan | B |
Taman Tun Teja merupakan kawasan perumahan di Daerah Gombak, Selangor, Malaysia. Secara pentadbiran, Taman Tun Teja merupakan sebuah kawasan petempatan yang terletak di dalam Mukim Rawang, iaitu satu daripada empat mukim dalam Daerah Gombak.[1][2] Poskod bagi Taman Tun Teja ialah 48000 Rawang.[3]
Sejarah
Dalam satu kenyataan akhbar Harian Metro bertarikh 15 Mac 2004 menyatakan bahawa Taman Tun Teja berhadapan dengan masalah kekurangan kemudahan asas yang membabitkan sekolah rendah, sekolah menengah, masjid, dewan orang ramai dan padang. Hal ini telah menyukarkan penduduk setempat untuk melaksanakan aktiviti riadah, pendidikan serta ibadat.[4] Isu mengenai keperluan sekolah rendah di kawasan terbabit diselesaikan pada tahun 2007 apabila Kementerian Pelajaran Malaysia bersetuju untuk membina sebuah sekolah rendah di kawasan itu (kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Taman Tun Teja) bagi memenuhi penantian penduduk tempatan serta mengurangkan kesesakan jumlah murid yang terlalu ramai di lima buah sekolah yang berdekatan.[5][6]
Taman Tun Teja dibangunkan oleh pemaju hartanah tempatan iaitu TPPT Sdn Bhd. Pada tahun 2000, syarikat itu telah menawarkan sebanyak 240 unit kediaman berupa pangsapuri kos sederhana pada kadar harga antara RM73,160 sehingga RM85,660.[7]
Pada tahun 2011, satu kejadian yang melibatkan keganasan rumah tangga telah berlaku di Taman Tun Teja. Seorang suami telah bertindak luar kawalan membelasah isterinya yang pulang lewat ke rumah akibat perasaan cemburu si suami yang melampau. Suami mendakwa isterinya menjalinkan hubungan asmara dengan lelaki lain sehingga menyebabkan isteri mengalami kecederaan di muka dan kaki.[8] Pada tahun 2017 pula, seorang murid lelaki sekolah menengah Tingkatan 5 menjadi mangsa amang seksual di mana dia dirogol secara bergilir-gilir oleh sekumpulan lelaki yang baru dikenali oleh mangsa menerusi aplikasi WeChat di sebuah flat di Taman Tun Teja.[9]
Kedudukan
Kedudukan Taman Tun Teja dalam Daerah Gombak boleh didefinisikan terletak di bahagian utara daerah tersebut manakala dalam Mukim Rawang pula, Taman Tun Teja terletak di bahagian utara. Taman Tun Teja juga merupakan salah satu petempatan yang membentuk Bandar Rawang. Petempatan yang terletak serantau dengan Taman Tun Teja ialah Rumah Murah Batu 16, Taman Mawar dan Taman Kanching Jaya di sebelah utara, Kampung Sungai Samak di sebelah selatan, Taman Desa Seri Bayu di sebelah barat serta Taman Tun Perak, Taman Muhibbah dan Taman Kemuncak Sutera di sebelah barat laut.[1] Taman Tun Teja mempunyai poskod tersendiri iaitu 48000 dalam daerah pos Rawang.[3]
Dalam sistem koordinat geografi (GPS), kedudukan Taman Tun Teja adalah di latitud Bumi tiga darjah 17 minit 48.7 saat Utara dan longitud Bumi 101 darjah 35 minit 26.8 saat Timur (3°17′48.7″N 101°35′26.8″E / 3.296861°N 101.590778°E).[2]
Persiaran Tun Teja Utama yang membentang dari utara ke selatan merupakan jalan akses utama ke kawasan perumahan Taman Tun Teja. Jalan raya ini juga merupakan cabang kepada Laluan Persekutuan Malaysia 1 (Lebuhraya Rawang) yang mana merupakan tulang belakang kepada Sistem Jalan Persekutuan di tengah Semenanjung Malaysia.[1] Dalam laporan akhbar Berita Harian pada 13 Mei 2006 mendedahkan keluhan penduduk tempatan mengenai kerosakan jalan ini di hadapan Sekolah Menengah Agama Rawang akibat tiada tindakan yang diambil sehingga berbulan-bulan. Kewujudan lopak dengan genangan air turut menyukarkan penduduk setempat untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.[10]
Infrastruktur
Taman Tun Teja menyediakan infrastruktur pendidikan melalui pembinaan sebuah sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Tun Teja dan sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Agama Rawang. SK Taman Tun Teja merupakan sekolah bantuan Kerajaan Malaysia dan mula dibina pada tahun 2007 atas permintaan tinggi dari kalangan penduduk setempat.[5] Sekolah ini dibina bgai mengurangkan kesesakan murid di lima buah sekolah yang berdekatan.[6] Selain itu juga terdapat sebuah sekolah rendah agama Islam di Taman Tun Teja, yang dikenali sebagai Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Hidayah.[11] Masjid Taman Tun Teja yang terletak di lembah Sungai Pajam merupakan masjid bagi kegunaan penduduk tempatan yang menganut agama Islam.
Rujukan
- ^ a b c "Pangkalan Data Nama Geografi dan Gazetir Kebangsaan". MyGeoName (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Dicapai pada 9 September 2022.
- ^ a b Jawatankuasa Nama Geografi Kebangsaan Malaysia (2022). "Dokumen Gazetir – Selangor Darul Ehsan 2022" (PDF). Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Dicapai pada 1 Disember 2024.
- ^ a b "Taman Tun Teja, Rawang". postcode.my (dalam bahasa Inggeris). 19 November 2023. Dicapai pada 19 November 2023.
- ^ "Kaji tambah prasarana Taman Tun Teja". Harian Metro. New Straits Times Press. 15 Mac 2004. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ a b Ahmad Fitri Che Musa (26 Mac 2007). "Penantian berakhir". Harian Metro. New Straits Times Press. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ a b Amin Ridzuan Ishak (30 Mac 2007). "Kerajaan jamin bina sekolah". Harian Metro. New Straits Times Press. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ "TPPT tawar pangsapuri kos sederhana". Harian Metro. New Straits Times Press. 6 Mac 2000. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ Muhaamad Hafis Nawawi (20 September 2011). "Pukul isteri balik lewat". Harian Metro. New Straits Times Press. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ "Dinoda bergilir lelaki baru dikenali". Metro Ahad. New Straits Times Press. 21 Mei 2017. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ Pemikir Kebajikan Bersama (13 Mei 2006). "Baiki kerosakan jalan depan sekolah Samer". Berita Harian. New Straits Times Press. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.
- ^ "2,602 pelajar sertai Kamil". Harian Metro. New Straits Times Press. 8 Jun 2012. Dicapai pada 18 Mei 2025 – melalui KLiK.








