Nama lain | Qimmeq qimuttoq | ||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Greenland | ||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing Greenland[a] atau gelarannya dalam bahasa tempatan qimmeq qimuttoq ialah satu baka anjing jenis husky besar yang dibela sebagai anjing tarikan. Ia dibawa dari Siberia ke Amerika Utara oleh orang Thule pada 1,000 tahun lalu bersama dengan anjing Eskimo Kanada. Anjing Eskimo Kanada dianggap sebagai baka sama dengan anjing Greenland oleh sebab kedua-duanya belum cukup mencapah secara genetik untuk dianggap sebagai baka terpisah, walaupun terdapat pengasingan geografi.[1]
Kini, baka ini dianggap penting secara kebangsaan dan kebudayaan untuk Greenland dan penjaminan ketulenannya sedang diusahakan. Di Greenland barat di utara Garisan Artik dan di seluruh Greenland timur, pengimportan sebarang anjing dari luar diharamkan (kecuali anjing polis dan anjing pembantu dengan permit khas) dan sejak tahun 2017, semua anjing perlu bermikrocip dan didaftarkan dalam pangkalan data anjing Greenland. Di barat daya, sekatan sedemikian tidak dilaksanakan dan ketulenan anjing tidak dipantau.[2][3][4] Oleh sebab populasinya telah menurun (sekitar 15,000 ekor anjing di Greenland setakat tahun 2016), sebilangan projek telah dimulakan sebagai cubaan untuk memastikan bahawa budaya, pengetahuan, dan kegunaan luncur salji dengan anjing di Greenland, beserta dengan baka ini sendiri, tidak lenyap.[5]
Sejarah
Seekor anjing Esquimaux betina dipamerkan dalam salah satu pertunjukan anjing terawal di Darlington, Britain pada 29 Julai 1875, yang dilaporkan dalam Live Stock Journal dan Fanciers Gazette yang diterbitkan pada 6 Ogos 1875. Ia diiktiraf oleh The Kennel Club semasa penubuhannya pada tahun 1880.[6][sumber lebih baik diperlukan]
Anjing Greenland telah menjadi haiwan tarikan di rantau Artik selama berabad-abad dan, hasilnya, ia memperoleh tubuh berkuasa dan lapis bulu lebat, dengan kemampuan semula jadi untuk penarikan muatan dan daya ketahanan dalam persekitaran kerja mencabar. Roald Amundsen kemudian menggunakan anjing Greenland dengan kejayaan besar dalam ekspedisi beliau pada tahun 1912 ke Antartika, bilamana beliau menjadi orang pertama yang mencapai Kutub Selatan.[6][sumber lebih baik diperlukan] Anggota pasukan beliau bermula dengan lebih anjing daripada yang sebenarnya diperlukan untuk menarik kereta luncur salji, kemudian membunuh anjing-anjing itu di sepanjang perjalanan untuk digunakan sebagai makanan untuk anjing dan orang.[7]
Zuriat
Anjing pertama tiba di Benua Amerika pada 12,000 tahun lalu. Walau bagaimanapun, orang dan anjing mereka tidak bertapak di Artik sehingga orang Paleo-Eskimo pada 4,500 tahun lalu dan orang Thule pada 1,000 tahun lalu, kedua-duanya berasal dari Siberia.[8] Anjing pertama muncul di Greenland pada sekitar 4,000 tahun lalu.[9][10] Anjing Inuit dari Kanada (anjing Eskimo Kanada) dan anjing Greenland diturunkan daripada anjing yang dikaitkan dengan orang Thule yang bergantung pada anjing ini untuk pengangkutan dari Siberia. Pada tahun 2015, sebuah kajian yang menggunakan sebilangan penanda genetik menunjukkan bahawa kedua-duanya merupakan anjing sama dan tidak patut dianggap sebagai baka terpisah, bahawa kedua-duanya mengekalkan warisan peribumi yang mendahului penjajahan dan waktu yang sepadan dengan ketibaan orang Thule, dan bahawa kedua-duanya berbeza daripada husky Siberia, husky Alaska, dan malamut Alaska. Jujukan-jujukan DNA mitokondrion ibu bagi anjing-anjing Inuit dikelaskan sebagai haplotip A31 yang menandakan seekor leluhur betina bersama dan haplotip ini tidak dapat ditemukan pada anjing moden lain tetapi padanan terdekat adalah dengan jasad seekor anjing berusia 1,000 tahun dari Florida.[8]
Kedekatan genetik hampir semua baka anjing dengan serigala kelabu adalah kerana percampuran.[11] Walau bagaimanapun, beberapa baka anjing Artik menunjukkan kedekatan genetik, oleh sebab percampuran, dengan serigala Taymyr dari Asia Utara yang kini pupus. Baka-baka ini dikaitkan dengan latitud tinggi - husky Siberia dan anjing Greenland yang juga berkaitan dengan populasi manusia Artik, dan secara kurang ketara dengan shar pei dan spits Finland. Graf percampuran bagi anjing Greenland menunjukkan penyuaian terbaik bagi 3.5% bahan kongsi. Walau bagaimanapun, perkadaran keleluhuran yang berjulat antara 1.4% dengan 27.3% adalah tekal dengan data. Ini menunjukkan percampuran antara populasi serigala Taymyr dengan populasi leluhur anjing bagi keempat-empat baka latitud tinggi ini. Introgresi ini dapat memberi anjing awal yang tinggal di latitud tinggi variasi fenotip yang bermanfaat untuk adaptasi terhadap persekitaran baharu dan mencabar. Ini juga menunjukkan bahawa keleluhuran bagi baka anjing zaman kini diturunkan dari lebih daripada satu kawasan.[12]
Pada tahun 2020, sebuah kajian genetik mendapati bahawa anjing tarikan Greenland telah kekal terasing daripada baka-baka lain sejak ketibaannya di Greenland dengan orang Inuit pada 850 tahun lalu. Zuriatnya menyediakan jejak bagi lebih sejarah genomik berbanding dengan baka Artik lain dengan jasad leluhur baka-baka tersebut yang ditemukan di Pulau Zhokhov, Siberia timur laut Artik dan bertarikh kembali kepada usia 9,500 tahun.[13]
Perihal
Penampilan
Anjing Greenland ialah anjing berkuasa dengan tubuh berat. Ia mempunyai kepala lebar berbentuk baji, mata sedikit condong, dan telinga segi tiga kecil yang dilitupi bulu tebal yang menghalang luka beku. Ia mempunyai tungkai kuat, berotot, dan berbulu singkat. Ekornya biasanya melingkar ke arah belakang. Apabila ia baring dan melingkar untuk berehat, ekornya kerap menutupi hidung. Lapis bulunya sederhana panjang dan terdiri daripada dua lapis. Lapis dalaman terdiri daripada bulu pendek mirip wul dan lapis luaran pula terdiri daripada bulu lebih panjang, lebih kasar, dan kalis air. Anjing Greenland terdapat dengan semua warna, antara hitam dengan perang kekuning-kuningan (kecuali anjing albino dan corak merle).[14] Mata biru dan heterokromia tidak diizinkan dan dianggap sebagai penyingkir berdasarkan piawaian.[14]
Satu ciri bagi kebanyakan anjing Greenland ialah "úlo", kawasan berbentuk segi tiga pada bahu. Ciri ini dinamai sempena pisau wanita khalayak dari Greenland yang sebentuk.
Jantan jelasnya lebih besar daripada betina pada ketinggian 60 cm (24 in) pada paras kelasa dan ke atas; betinanya pula setinggi 55 cm (22 in) dan ke atas.[14]
Stamina
Sebagaimana kelaziman sesama anjing tarikan, anjing Greenland mampu mengharungi rupa bumi sangat mencabar dengan mudah dan pantas. Sebagai anjing pekerja, ia terutamanya dihargai kerana kekuatan fizikal dan daya ketahanan dengan mentaliti bertenaga dan berani.[14]
Lihat juga
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing Greenland |
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ ݢرينلند ; Templat:Lang-kl; Denmark: grønlandshund ; bahasa Inggeris: Greenland dog
Rujukan
- ^ Friis Andersen, Hanne (2005). Population Genetic Analysis of the Greenland Dog and Canadian Inuit Dog: Is It the Same Breed? [Analisis Genetik Populasi bagi Anjing Greenland dan Anjing Inuit Kanada: Adakah Ini Baka Sama?] (dalam bahasa Inggeris). Kopenhagen, Denmark: Universiti Veterinar dan Pertanian Diraja, Jabatan Sains Haiwan dan Kesihatan Haiwan, Bahagian Genetik Haiwan. OCLC 476638737.
- ^ "Hold af slædehunde" [Pasukan anjing kereta luncur salji] (dalam bahasa Denmark). Sullissivik. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Dyrlæge: Det har vi lært af slædehundesagen" [Doktor haiwan: Kami telah mempelajari itu daripada perkara anjing kereta luncur salji] (dalam bahasa Denmark). Kalaalit Nunaata Radioa (Perbadanan Penyiaran Greenland). 22 Disember 2019. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Veterinær- og Fødevaremyndigheden i Grønland informerer" [Lembaga Veterinar dan Makanan di Greenland maklumkan] (dalam bahasa Denmark). Naalakkersuisut. 5 Jun 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Januari 2022. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Antallet af grønlandske slædehunde er halveret: Her er redningsplanen" [Bilangan anjing tarikan Greenland berkurang kepada separuh: Ini rancangan penyelamatannya] (dalam bahasa Denmark). Videnskab.dk. 25 Julai 2017. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b The Greenland Dog Club of Great Britain
- ^ Langner, Rainer-K. (1 Mac 2007). Scott and Amundsen: Duel in the Ice [Scott dan Amundsen: Pertarungan di Atas Ais] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Haus Publishers. m/s. 184–185. ISBN 9781905791088. OCLC 429589051.
- ^ a b Brown, Sarah Krystyna; Darwent, Christyann Marie; Wictum, Elizabeth J.; Sacks, Benjamin N. (24 Jun 2015). "Using multiple markers to elucidate the ancient, historical and modern relationships among North American Arctic dog breeds" [Menggunakan berbilang penanda untuk menerangkan hubungan purba, hubungan sejarah, dan hubungan moden dalam kalangan baka anjing Artik Amerika Utara]. Heredity (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 115 (6): 488–495. doi:10.1038/hdy.2015.49. ISSN 1365-2540. PMC 4806895. PMID 26103948. S2CID 20747538.
- ^ Morey, Darcy F.; Aaris-Sørensen, Kim (1 Januari 2002). "Paleoeskimo Dogs of the Eastern Arctic" [Anjing Paleoeskimo Artik Timur]. Arctic (dalam bahasa Inggeris). Arctic Institute of North America. 55 (1): 1–108. doi:10.14430/arctic689. ISSN 0004-0843. JSTOR 40512917. S2CID 52950413.
- ^ Sinding, Mikkel Holger Strander (2015). "Den grønlandske slædehunds genetiske oprindelse og båndet til ulven" [Asal usul genetik anjing tarikan Greenland dan ikatan dengan serigala] (PDF). Tidsskriftet Grønland (dalam bahasa Denmark). Jil. 63 no. 4. m/s. 188–191.
- ^ Freedman, Adam H.; Gronau, Ilan; Schweizer, Rena M.; Ortega-Del Vecchyo, Diego; Han, Eunjung Christine; da Silva, Pedro Manuel Soares; Galaverni, Marco; Fan, Zhenxin; Marx, Peter; Lorente-Galdos, Belén; Beale, Holly C.; Ramírez Bellido, Óscar; Hormozdiari, Farhad; Alkan, Can; Vilà Arbonès, Carles; Squire, Kevin R. E.; Geffen, Eli; Kusak, Josip; Boyko, Adam R.; Parker, Heidi G.; Lee, Clarence C.; Tadigotla, Vasisht R.; Siepel, Adam C.; Bustamante, Carlos Daniel; Harkins, Timothy T.; Nelson, Stanley F.; Ostrander, Elaine Ann; Marquès-Bonet, Tomàs; Wayne, Robert Keith; Novembre, John Peter (16 Januari 2014). Andersson, Leif Bertil (penyunting). "Genome Sequencing Highlights the Dynamic Early History of Dogs" [Penjujukan Genom Menekankan Sejarah Awal Dinamik Anjing]. PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 10 (1): e1004016. doi:10.1371/journal.pgen.1004016. hdl:10261/96560. ISSN 1553-7404. PMC 3894170. PMID 24453982. S2CID 6203697.
- ^ Skoglund, Pontus; Ersmark, Erik Ivar; Palkopoulou, Eleftheria; Dalén, Love (21 Mei 2015). "Ancient Wolf Genome Reveals an Early Divergence of Domestic Dog Ancestors and Admixture into High-Latitude Breeds" [Genom Serigala Purba Mendedahkan Pencapahan Awal Leluhur Anjing Bela Jinak dan Percampuran ke Dalam Baka Latitud Tinggi]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 25 (11): 1515–1519. Bibcode:2015CBio...25.1515S. doi:10.1016/j.cub.2015.04.019. ISSN 0960-9822. PMID 26004765. S2CID 15117630.
- ^ Sinding, Mikkel Holger Strander; Gopalakrishnan, Shyam; Ramos-Madrigal, Jazmín; de Manuel Montero, Marc; Pitulʹko, Vladimir Viktorovich; Kuderna, Lukas F. K.; Feuerborn, Tatiana Richtman; Frantz, Laurent Alain François; Garrett Vieira, Filipe Jorge; Niemann, Jonas; Samaniego Castruita, José Alfredo; Carøe, Christian; Andersen-Ranberg, Emilie Ulrikka; Jordan, Peter D.; Pavlova, Yelena Yurʹyevna; Nikolʹskiy, Pavel Aleksandrovich; Kasparov, Aleksey Kasparovich; Ivanova, Varvara Viktorovna; Willerslev, Eske; Skoglund, Pontus; Fredholm, Merete; Wennerberg, Sanne Eline; Heide-Jørgensen, Mads Peter; Dietz, Rune; Sonne, Christian; Meldgaard, Morten; Dalén, Love; Larson, Greger John; Petersen, Bent Larsen; Sicheritz-Pontén, Thomas; Bachmann, Lutz; Wiig, Øystein; Marquès-Bonet, Tomàs; Hansen, Anders Johannes; Gilbert, Marcus Thomas Pius (26 Jun 2020). "Arctic-adapted dogs emerged at the Pleistocene–Holocene transition" [Anjing teradaptasi Artik muncul pada peralihan Pleistosen–Holosen]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 368 (6498): 1495–1499. Bibcode:2020Sci...368.1495S. doi:10.1126/science.aaz8599. hdl:10852/81783. ISSN 0036-8075. PMC 7116267. PMID 32587022. S2CID 220072941.
- ^ a b c d "FCI-Standard N° 274 GRØNLANDSHUND/ QIMMEQ QIMUTTOQ (Greenland Dog)" [Piawaian FCI No. 274 Anjing Greenland] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Jawatankuasa Piawaian Dansk Kennel Klub. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 6 September 2022. Dicapai pada 4 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
Pautan luar
- Galeri National Geographic bagi baka ini di Greenland (dalam bahasa Inggeris) Diarkibkan 12 November 2007 di Wayback Machine