Kesultanan Melayu Melaka کسلطانن ملايو ملاک | |||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1400–1528 | |||||||||||||||
![]() Bendera | |||||||||||||||
![]() Keluasan wilayah pada abad ke-15 | |||||||||||||||
Ibu negara | Melaka | ||||||||||||||
Bahasa yang umum digunakan | Bahasa Melayu Klasik | ||||||||||||||
Agama | Islam, Ahli Sunah Waljamaah | ||||||||||||||
Kerajaan | Raja mutlak | ||||||||||||||
Sultan | |||||||||||||||
• 1400–1414 | Parameswara | ||||||||||||||
• 1414–1424 | Megat Iskandar Shah | ||||||||||||||
• 1424–1444 | Muhammad Shah | ||||||||||||||
• 1444-1446 | Abu Syahid Shah | ||||||||||||||
• 1446-1459 | Muzaffar Shah | ||||||||||||||
• 1459-1477 | Mansur Shah | ||||||||||||||
• 1477–1488 | Alauddin Riayat Shah | ||||||||||||||
• 1488–1511 | Mahmud Shah | ||||||||||||||
• 1511–1513 (de facto) | Ahmad Shah | ||||||||||||||
• 1513–1528 | Mahmud Shah (Pemerintahan ke-2) | ||||||||||||||
Bendahara | |||||||||||||||
• 1510–1511 |
| ||||||||||||||
Sejarah | |||||||||||||||
• Didirikan | 1400 | ||||||||||||||
• Penaklukan Melaka (1511)
| 1528 | ||||||||||||||
Mata wang | Emas dan perak | ||||||||||||||
| |||||||||||||||
Sekarang sebahagian dari | ![]() ![]() ![]() ![]() |
Kesultanan Melayu Melaka (Jawi: کسلطانن ملايو ملاک) atau Kemaharajaan Melayu Melaka (Jawi: کماهاراجاءن ملايو ملاک) merupakan sebuah Empayar Islam Melayu yang berpusat di Melaka, ditubuhkan sekitar tahun 1400 oleh Parameswara, seorang keturunan raja Empayar Hindu-Buddha Melayu Srivijaya dari Palembang, Sumatra. Baginda kemudiannya dikenali sebagai Iskandar Shah selepas memeluk Islam menerusi perkahwinannya dengan seorang puteri Kesultanan Samudera Pasai, Aceh yang merupakan kerajaan Islam yang pertama di Nusantara.[1] Pemerintahannya pada abad ke-15 telah mengasaskan Melaka yang menjadi pelabuhan perdagangan antarabangsa dan pusat ilmu Islam utama di Nusantara. Empayar ini menguasai Selat Melaka dan wilayah yang meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau, serta pantai utara Sumatera.[2] Sebagai pusat penyebaran Islam, bahasa Melayu Klasik, dan budaya Melayu, kesultanan ini amat berpengaruh dalam pembentukan alam Melayu.[3] Kejatuhan Melaka adalah kerana penaklukan Empayar Kristian Portugis pada 1511, namun budaya warisannya terus mengakar dalam istiadat kesultanan-kesultanan Melayu lain di sekitar Nusantara sehingga ke hari ini.[4]
Pengasasan Melaka
Parameswara, mengundurkan diri akibat tewas kepada serangan Empayar Majapahit pada 1377.[5] Baginda kemudian berpengkalan di Temasek dan mentadbir untuk sekian waktu, namun tidak lama kemudian, baginda diburu buat kali kedua oleh Empayar Majapahit pada 1398, memaksa baginda berundur dan akhirnya menetapkan pangkalan di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu.[6]
Ketika berehat di muara Sungai Bertam (kini Sungai Melaka), baginda memerhatikan seekor pelanduk kecil yang mengalahkan anjing pemburunya di bawah pokok melaka. Baginda mentafsirkan perkara ini sebagai petunjuk kepada hikmah kecekalan dan keberanian yang mampu menewaskan sang pemburu walaupun tampak lebih besar dan perkasa.[7]
Baginda memutuskan untuk membangunkan sebuah kerajaan baru di kawasan tersebut pada tahun 1400, memanfaatkan kedudukan strategiknya: muara sungai yang terlindung daripada monsun, sumber air yang mencukupi, dan geometri bukit yang berguna untuk keperluan pertahanan ketenteraan. Baginda lantas menamakan kawasan tersebut sebagai Melaka, detik ini menandakan permulaan kepada pembentukan salah satu Empayar yang agung di benua Nusantara, iaitu Empayar Islam Kesultanan Melaka.[5]
Perkembangan Melaka
Pada tahun 1414, Parameswara secara rasmi memeluk Islam selepas berkahwin dengan Ratna Kemala, seorang puteri raja daripada Kesultanan Samudera Pasai, ianya merupakan kerajaan Islam pertama Nusantara yang berpengkalan di Aceh, Sumatra. Sejak pada itu baginda mula dikenali sebagai Sultan Iskandar Shah.[8]
Sejak pengislaman Baginda, Empayar Melaka berkembang pesat sebagai hab perdagangan dan keilmuan antarabangsa, kerap dikunjungi pedagang dan penuntut dari pelbagai pelusuk dunia termasuk dari China, India, Arab, Jawa, dan Eropah.[9] Agama Islam diisytiharkan agama rasmi pada tahun 1446, dan pendakwah mula dihantarkan ke Jawa, Borneo, dan Filipina untuk menyebarkan pengaruh dan ajarannya.[10]
Serangan Siam
Kesultanan Melayu Melaka, yang sedang berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dan keilmuan Islam di Nusantara pada abad ke-15, menghadapi ancaman berterusan daripada Kerajaan Ayutthaya (Siam), yang menganggap dirinya sebagai pewaris sebenar kepada Empayar Buddha Srivijaya dan menuntut kedaulatan ke atas wilayah Melayu.[11] Serangan-serangan ini, khususnya pada tahun 1446 dan 1456, merupakan usaha Siam untuk menakluki Melaka dan menjadikannya vasal.[12] Kedua-dua serangan ini berjaya dipatahkan oleh tentera Melaka, lantas mengangkat kedudukan Kesultanan Melaka sebagai kuasa ketenteraan dan maritim yang digeruni di benua Nusantara pada ketika itu.[13]
Serangan 1446
Serangan ini merupakan usaha pertama Siam untuk menakluki Melaka melalui darat, dilancarkan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446–1459).[14] Serangan ini berpunca daripada penolakan Melaka untuk mengakui kedaulatan Siam selepas Siam menghantar utusan menuntut surat tunduk.[15] Raja Siam mengutuskan ekspedisi ketenteraan besar-besaran daripada pangkalan mereka di Pahang menggunakan laluan darat untuk menyerang ibu kota Melaka.[12]
Tentera Siam dipimpin oleh Awi Chakra, seorang panglima perang yang memerintah jumlah tentera yang besar, catatan sejarah menggambarkannya sebagai "bilangannya tidak terhitung".[16] Di pihak Melaka, Sultan Muzaffar Shah memerintahkan semua penduduk dari luar daerah untuk kembali berkumpul di Melaka dan memanfaatkan sungai untuk pertahanan.[17] Tun Perak, seorang panglima bijaksana yang berasal dari Lembah Klang, memainkan peranan utama dengan menyumbangkan pemikiran strategis dan ketenteraan di bawah seliaannya, termasuk juga dari kalangan ahli keluarga mereka yang mampu bertempur, untuk meningkatkan kekuatan ketenteraan Melaka.[18] Pertempuran berlangsung lama di kawasan Ulu Pahang dan berdekatan dengan Muar, di mana tentera Melaka berjaya menumpaskan serangan Siam, menyebabkan ramai tentera Siam terbunuh.[12]
Akhirnya, tentera Siam terpaksa berundur, meninggalkan belakang peralatan seperti rotan yang digunakan untuk mengikat bagasi, yang kemudiannya tumbuhan liar yang dikenali sebagai "rotan Siam" sehingga hari ini.[16] Kemenangan ini bukan sahaja mempertahankan Melaka daripada penaklukan, tetapi juga menonjolkan keupayaan ketenteraan strategik Tun Perak, yang kemudiannya dilantik sebagai Bendahara Melaka pada 1456.[19]
Serangan 1456
Sekitar sepuluh tahun selepas serangan pertamanya, Siam melancarkan serangan kedua melalui laut pada 1456, Melaka pada ketika itu masih dibawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.[18] Punca serangan ini serupa, iaitu kebimbangan Siam terhadap kepesatan pengaruh dan kuasa Melaka yang semakin mendominasi laluan perdagangan di Selat Melaka.[20] Ekspedisi ketenteraan ini bertujuan untuk menyerang Melaka secara langsung daripada laut, memanfaatkan armada Siam yang kuat.[12]
Pasukan Siam kali ini dipimpin oleh Awi Dichu, ketua armada laut yang memerintah armada gergasi di bawah pemerintahan Raja Trailokanat.[18][20] Di Melaka, Bendahara Paduka Raja Tun Perak memimpin persediaan pertahanan Melaka, disamping sokongan daripada Tun Hamzah (dikenali sebagai Datuk Bongkok), yang terkenal dengan keberaniannya.[18]
Berita telah sampai mengenai kedatangan armada Siam yang sedang menuju ke Melaka yang sedang berkumpul berhampiran Batu Pahat. Tun Perak bersama Tun Hamzah telah bersedia bersama armada Melaka untuk menghadapi Siam, berserta strategi perang yang telah dirangka secara bijaksana.[17]
Strategi Ketenteraan Melaka 1446
Tun Perak mengakui bahawa Melaka tidak mempunyai kekuatan besar untuk menandingi bala tentera Siam dari segi bilangan, maka beliau merangkakan satu strategi pertahanan berlapis yang menekankan:
- Koordinasi pertahanan yang bertumpu pada kawasan bukit yang tinggi dan berpaya, yang memaksa tentera musuh berpecah kepada kumpulan kecil untuk mara.
- Perang psikologi, melalui penyebaran maklumat palsu tentang bantuan ketenteraan tambahan dari negeri sekutu seperti Pahang dan Perak.
- Serangan hendap dan penyamaran, menggunakan hutan bakau dan laluan sungai untuk melancarkan serangan mengejut dan penyamaran untuk menyelinap masuk dalam pengkalan musuh.
Tun Perak juga menempatkan tentera utama Melaka di sekitar muara Sungai Muar, yang merupakan laluan utama ke arah Melaka dan sebahagian lagi menunggu di kawasan bukit dan hutan bakau. Ketika tentera Siam cuba mara melalui jalan utama tersebut, mereka disambut oleh tentera Melaka yang menyerang dari kedua-dua sisi dengan panah dan lembing. Keadaan berlumpur dan berpaya menyebabkan tentera Siam tidak dapat menggunakan formasi berat mereka secara efektif.
Taktik ini menghasilkan kemenangan besar buat Melaka; banyak tentera Siam terbunuh, manakala selebihnya berundur ke utara dalam keadaan lemah dan kehilangan moral tempur.[21]
Kepimpinan Tun Perak
Kejayaan tahun 1446 mengangkat nama Tun Perak sebagai tokoh panglima utama Melaka. Kecekapan beliau mengatur tentera tempatan serta kemampuan membaca medan perang mendapat pujian daripada Sultan Muzaffar Shah. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Bendahara Paduka Raja, jawatan tertinggi selepas sultan, dan diberikan tanggungjawab menyusun semula sistem ketenteraan dan pentadbiran pertahanan.[22]
Tun Perak juga memperkenalkan sistem pengkalan pertahanan berasaskan mukim, yang memastikan setiap wilayah di bawah Melaka mempunyai kontingen tempatan yang sentiasa bersedia bagi menghadapi serangan tentera luar. Struktur ini menjadi asas kepada organisasi ketenteraan darat Melaka sehingga abad ke-16.
Kemenangan dan Implikasi
Kemenangan dalam serangan 1446 bukan sahaja menolak pengaruh Siam ke utara tetapi juga mengukuhkan kestabilan dan keyakinan kepada pentadbiran Melaka dalam mempertahankan kedaulatan wilayahnya. Kemenangan ini mengangkat reputasi Melaka yang diiktiraf bukan sekadar pusat perdagangan dan ilmu yang terbesar di rantau Nusantara, tetapi juga sebagai benteng ketenteraan yang kukuh untuk alam Melayu.[23]
Namun kekalahan Siam tidak dibiarkan begitu sahaja oleh Kerajaan Ayutthaya mereka yang selepas itu beralih pula kepada strategi serangan laut pada tahun 1456. Namun serangan yang sekali lagi digagalkan oleh Tun Perak dan kali ini bersama dengan Tun Hamzah melalui strategi ketenteraan yang lebih kompleks di perairan Batu Pahat.[22]
Strategi Ketenteraan Melaka 1456
Serangan Siam terhadap Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1456, yang dilancarkan oleh Kerajaan Ayutthaya di bawah pemerintahan Raja Trailokanat, merupakan antara cabaran ketenteraan paling signifikan yang dihadapi Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah. Serangan ini adalah susulan kegagalan kempen darat Siam pada tahun 1446 dan berpunca daripada cita-cita Kerajaan Ayutthaya untuk menguasai kerajaan Melaka lantas mengawal laluan perdagangan strategik di Selat Melaka.
Armada Siam, yang diketuai oleh Laksamana Awi Dichu, mara melalui laut dan berkumpul berhampiran Batu Pahat dengan jumlah dan kekuatan tentera yang jauh melangkaui Kesultanan Melaka. Namun, tentera Melaka yang dipimpin oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak dan dibantu pula oleh panglima berani Tun Hamzah, telah melaksanakan satu strategi perang yang menampilkan ketajaman taktikal, disiplin laut, dan kecekapan psikologi. Melalui pendekatan bersepadu seperti perang gerila, tipu daya visual, dan koordinasi strategik, Melaka berjaya menumpaskan armada Siam lantas meningkatkan lagi reputasinya termasuk sebagai kuasa maritim yang disegani di rantau Nusantara.
Taktik Gerila dan Serangan Pengintipan Tun Hamzah
Tun Hamzah, seorang panglima Melaka yang terkenal dengan keberanian, memainkan peranan utama dalam fasa awal pertempuran ini. Setelah menerima maklumat tentang kemaraan armada Siam, Sultan Muzaffar Shah mengarahkan Tun Perak untuk memimpin pertahanan utama, manakala Tun Hamzah ditugaskan menjalankan misi pengintipan melalui serangan gangguan menggunakan sekoci, perahu layar kecil yang pantas dan senang untuk dikendalikan di sisir perairan cetek. [24]
Taktik Tun Hamzah bersifat pukul dan lari (hit and run), memanfaatkan kelajuan dan kejutan bagi melemahkan moral serta menyahstabilkan emosi tentera musuh. Beliau melancarkan serangan pantas ke atas barisan hadapan musuh, menenggelamkan beberapa kapal kecil sebelum berundur dengan pantas untuk kembali semula kepada posisi pertahanan. Serangan berulang ini menimbulkan kekeliruan dan keletihan dalam kalangan tentera Siam yang tidak biasa menghadapi taktik pukul dan lari di laut.
Pendekatan ini bukan sahaja menimbulkan kerugian kepada aset ketentera armada pihak Siam, malah memberikan gangguan psikologi mendalam, mewujudkan persepsi bahawa Melaka mempunyai armada yang lebih besar dan lebih tangkas daripada yang dijangka. Apabila armada utama Tun Perak tiba di medan pertempuran, armada tentera Siam telahpun goyah dan kehilangan koordinasi, memudahkan kemenangan bagi armada kerajaan Melaka.
Keberanian dan kecekapan panglima Tun Hamzah mencerminkan pengalaman beliau dalam strategi operasi laut yang menggabungkan kecekapan pimpinan dengan kepakaran navigasi pelaut Melayu, lantas menjayakan misi pertahanan laluan perdagangan di perairan Selat Melaka.
Helah Taktikal dan Koordinasi Tun Perak
Sebagai Bendahara dan ketua keseluruhan tentera Melaka, Tun Perak menampilkan kebijaksanaan strategi luar biasa dalam mengatur keseluruhan operasi pertahanan. Tidak seperti serangan terdahulu yang berasaskan darat, beliau menyesuaikan pendekatan terhadap ancaman maritim dengan menempatkan barisan pertahanan berhampiran Batu Pahat, menggunakan kapal yang kecil, ringan dan mudah dikawal dalam perairan cetek.
Tun Perak menggabungkan taktik pukul dan lari dengan strategi penipuan visual bagi mencipta kesan ilusi kekuatan armada Melaka. Ketika malam menjelang dan armada Awi Dichu mara ke hadapan, Tun Perak telah mengarahkan tenteranya untuk mengikat obor api pada pokok bakau dan dahan-dahan di sepanjang pantai, menghasilkan panorama cahaya yang menyerupai armada besar yang menanti di baris hadapan.[25]
Ilusi ini menimbulkan panik dan kekeliruan dalam kalangan tentera Siam, yang sudahpun terganggu emosi mereka akibat serangan pukul dan lari oleh Tun Hamzah. Mereka menganggap Melaka mempunyai kekuatan tentera laut yang mustahil untuk ditandingi, Awi Dichu akhirnya memerintahkan pengunduran kepada armada Siam.
Tun Perak kemudian melancarkan pemburuan untuk mengejar kapal-kapal Siam yang tersisih akibat kecelaruan formasi sehingga ke perairan Temasek. Armada Melaka dengan kapal-kapal kecil dan laju mereka berjaya memusnahkan sebilangan besar daripada armada Siam, memastikan tiada lagi sebarang percubaan untuk mereka berkumpul semula. Langkah ini bukan sahaja meneguhkan kemenangan taktikal, malah memperkukuh dominasi Melaka sebagai kuasa maritim utama di rantau ini.
Kepimpinan Tun Perak tidak terhenti di medan perang. Selepas kemenangan itu, beliau diangkat sebagai Bendahara secara rasmi pada tahun 1456, meneruskan reformasi pentadbiran, pengukuhan hubungan diplomatik dengan Dinasti Ming di China, serta penyatuan pelbagai kelompok etnik dalam Melaka di bawah sistem pemerintahan yang tersusun.
Hasil dan Kepentingan Sejarah
Kemenangan Melaka dalam menangkis serangan Siam pada tahun 1456 bukan sahaja menyelamatkan kedaulatan kerajaan Melaka, tetapi turut mempercepat pengukuhan pengaruhnya di seluruh Alam Melayu. Ia membuka jalan kepada peluasan wilayah, termasuk penaklukan Pahang yang kemudiannya diletakkan di bawah pentadbiran Tun Hamzah sebagai gabenor Pahang. [26]
Peristiwa ini menandakan titik perubahan penting dalam sejarah ketenteraan dan politik rantau ini. Ia memperlihatkan bahawa kekuatan Melaka bukan sekadar bergantung kepada bilangan tentera, tetapi kepada keupayaan adaptif, kecerdikan strategi, dan integrasi antara kepimpinan politik serta ketenteraan.
Peristiwa ini kemudian direkodkan dalam karya klasik Sejarah Melayu oleh sasterawan negara, A. Samad Said yang menonjolkan Tun Perak dan Tun Hamzah sebagai lambang keberanian dan kebijaksanaan strategi bangsa Melayu. Kejayaan mereka menolak ancaman Siam merupakan salah satu peristiwa penting kepada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.[25]
Tokoh Legenda: Hang Tuah
Hang Tuah ialah tokoh legenda Melayu yang dikaitkan dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, khususnya ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459–1477). Beliau dianggap sebagai lambang kesetiaan, keberanian, kebijaksanaan dan keimanan dalam tradisi Melayu-Islam.[27]
Asal-usul dan Peranan
Menurut Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, beliau dilahirkan di Melaka dan dibesarkan dalam lingkungan istana sebelum diangkat menjadi Laksamana (panglima laut tertinggi). Hang Tuah terkenal dengan kesetiaannya kepada Sultan serta kebolehannya dalam diplomasi dan peperangan. Antara sahabat karibnya termasuk Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Dalam naratif Melayu klasik, mereka berlima menjadi lambang kesetiaan, keberanian, dan keutuhan persahabatan yang tidak mudah goyah.[28]
Legenda dan Nilai Budaya
Kisah Hang Tuah sering dikaitkan dengan ujian moral dan keagamaan, antara ketaatan kepada pemerintah (ulil amri) dan kasih terhadap sahabat yang menuntuk keadilan untuknya yang difitnah. Pertentangan antara Hang Tuah dan Hang Jebat menjadi lambang dilema etika Melayu-Islam: sama ada mempertahankan keadilan atau mengekalkan kesetiaan kepada Sultan. Dalam tradisi Islam, ketaatan kepada pemimpin hanya sah selagi tidak menyalahi syariat, dan kisah ini sering dijadikan teladan tentang nilai sabar, amanah dan tanggungjawab terhadap keadilan.[29]
Hang Tuah turut digambarkan sebagai pahlawan Islam yang taat beribadah dan memiliki kebijaksanaan rohani. Dalam beberapa versi hikayat, beliau digambarkan menunaikan haji dan berdakwah di rantau lain, menggambarkan penyebaran Islam sebagai sebahagian daripada misi kepahlawanannya.[30]
Kesejarahan dan Perdebatan Akademik
Kewujudan Hang Tuah sering didebatkan oleh beberapa sarjana moden, seperti Professor Dr Khoo Kay Kim yang berpendapat bahawa tiada bukti bertulis dari sumber luar yang mengesahkan nama Hang Tuah sebagai tokoh sejarah.[31]
Namun, pandangan ini dibidas oleh sarjana lain seperti Professor Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Professor Dr. Hashim Musa dari Universiti Putra Malaysia yang menegaskan bahawa sumber catatan sejarah Sulalatus Salatin dan tradisi lisan yang kuat menyokong kewujudan Hang Tuah sebagai tokoh sejarah.
Selain itu, terdapat rujukan luar yang baru dikenalpasti seperti dalam Rekidai Hōan (Jepun) dan The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque (Portugis) yang menyebut tentang seorang laksamana Melaka pada zaman yang sama, walaupun tidak menamakan Hang Tuah secara langsung. [32]
Nilai Islam dan Pengajaran Moral
Dalam tafsiran moden, kisah Hang Tuah bukan sahaja sebuah epik kepahlawanan, tetapi juga cerminan falsafah Islam-Melayu tentang keimanan, kesetiaan, keadilan dan pengorbanan. Ungkapan “Takkan Melayu hilang di dunia” yang dikaitkan dengan beliau menjadi manifestasi semangat ketahanan dan jati diri bangsa Melayu-Islam.[33]
Walaupun kewujudannya sukar dibuktikan secara empirik, Hang Tuah kekal sebagai simbol identiti dan moral bangsa Melayu serta menjadi subjek perdebatan falsafah yang relevan hingga kini.[34]
Hubungan dengan China
Hubungan diplomatik antara Kesultanan Melayu Melaka dan Dinasti Ming di China bermula pada awal abad ke-15, semasa pemerintahan Parameswara. Hubungan ini menjadi asas penting kepada kebangkitan Melaka sebagai sebuah kerajaan maritim yang berdaulat dan berpengaruh di rantau Asia Tenggara.[35]
Hubungan rasmi pertama tercatat apabila utusan China, Yin Qing (尹慶), tiba di Melaka sekitar tahun 1403 atau 1404, membawa watikah dan hadiah daripada Maharaja Yongle sebagai tanda pengiktirafan terhadap kerajaan Melaka yang baru muncul.[36] Hubungan ini diperkuat melalui lawatan beberapa ekspedisi Laksamana Cheng Ho ke Melaka antara tahun 1405 hingga 1433, yang turut membawa perutusan diplomatik serta bantuan politik bagi mengukuhkan kedudukan Melaka di rantau ini.[37]
Parameswara kemudiannya diiktiraf secara rasmi oleh Maharaja Yongle sebagai Raja Melaka. Baginda dikurniakan mohor kerajaan, pakaian diraja, dan payung kuning, simbol pengiktirafan kedaulatan daripada Dinasti Ming.[38] Sebagai balasan, Melaka menyertai sistem tributari Ming dan menghantar ufti secara berkala ke istana China. Hubungan ini bukan sekadar simbolik, tetapi turut menjamin keselamatan Melaka daripada ancaman kuasa serantau seperti Siam dan Majapahit.[35]
Pada tahun 1411, Parameswara bersama isterinya dan lebih 500 pengiring telah berangkat ke China dalam rombongan rasmi ke istana Ming. Lawatan ini disambut dengan penuh adat istiadat oleh Maharaja, termasuk jamuan besar, pertukaran hadiah dan upacara penghormatan negara.[39] China turut menghantar beberapa misi balasan ke Melaka dan memberi hadiah termasuk kapal besar yang meningkatkan kemampuan maritim dan diplomasi kerajaan tersebut.[40]
Hubungan erat ini turut membawa kesan sosio-budaya yang mendalam. Sebahagian pendatang Cina menetap di Melaka, khususnya di kawasan Bukit Cina, dan percampuran antara masyarakat Melayu dan Cina melahirkan komuniti Peranakan atau Baba-Nyonya.[35] Unsur-unsur seni bina, pakaian dan bahasa turut memperlihatkan pengaruh China yang berasimilasi dengan budaya Melayu tempatan. Sulalatus Salatin merekodkan perkahwinan puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah yang simbolik kepada permulaan budaya Peranakan tersebut, walaupun sumber sejarah China tidak merekodkan peristiwa itu secara rasmi.[36]
Peranan Hang Tuah dalam hubungan Melaka–China
Selain hubungan diplomatik rasmi antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Dinasti Ming, tokoh laksamana legenda Hang Tuah turut memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala tersebut. Menurut tradisi Melayu dan beberapa sumber akademik, Hang Tuah pernah dihantar sebagai utusan diraja ke China bagi menyampaikan ufti serta mengukuhkan hubungan diplomatik antara Melaka dengan istana Ming.[41]
Kedatangan utusan seperti Hang Tuah melambangkan pengiktirafan rasmi China terhadap Melaka sebagai kerajaan berdaulat di Alam Melayu, sekali gus menjamin keselamatan pelayaran dan perdagangan antara kedua-dua pihak. Laksamana tersebut dipercayai turut berperanan dalam rundingan dan pertukaran hadiah yang menjadi simbol hubungan harmoni antara dunia Melayu dan China pada abad ke-15.[42]
Selain itu, hasil kajian terhadap dokumen Rekidai Hōan dari Kerajaan Ryukyu menunjukkan bahawa terdapat tiga pucuk surat daripada Melaka bertarikh 1480–1481 yang dikaitkan dengan seorang laksamana Melaka, yang berkemungkinan besar ialah Hang Tuah. Ini membayangkan bahawa beliau bukan sahaja terlibat dalam urusan diplomatik dengan China, tetapi juga dalam jaringan hubungan maritim yang lebih luas di Asia Timur.[43]
Peranan Hang Tuah sebagai diplomat dan tokoh maritim menjelaskan strategi diplomasi Kesultanan Melaka yang menekankan keseimbangan antara kekuatan ketenteraan, perdagangan dan hubungan antarabangsa. Hubungan yang dijalin menerusi tokoh seperti Hang Tuah turut membantu Melaka mengekalkan statusnya sebagai pusat perdagangan dan tamadun Islam maritim terunggul di Asia Tenggara.[44]
Hubungan diplomatik Melaka-China berlangsung selama lebih satu abad, iaitu antara 1403 hingga kejatuhan Melaka pada 1511. [37][35]
Kejayaan Melaka
Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam dan Srivijaya. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.
Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah, dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.
Wilayah Kesultanan Melaka sangatlah luas iaitu merangkumi keseluruhan semenanjung Tanah Melayu dan juga pantai timur Sumatera. Antara wilayah kesultanan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kedah, Patani, Perak, Pahang, Terengganu, Johor. Manakala wilayah Kesultanan Melaka diSumatera pula ialah Aru, Rokan, Siak, Kampar, Indrageri dan Jambi. Kesultanan Melaka turut menguasai Kepulauan Riau, Natuna dan semua pulau disekitarnya. Wilayah-wilayah ini diperoleh melalui peperangan, naungan serta perkahwinan. Penggunaan laluan maritim Pantai Timur Tanah Melayu menjadi bertambah penting ketika zaman keagungan perdagangan maritim bermula abad ke-14 hinggalah abad ke-16.[45]
Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah entreport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berlainan daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakkan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.
Kejatuhan Kota Melaka

Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya, Alauddin Riayat Shah, mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu, baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.[perlu rujukan]
Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal daripada Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri di samping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan. [perlu rujukan]

Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari Goa, India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Permintaan-permintaannya ialah pembebasan semua tawanan-tawanan Portugis, meminta agar Sultan Melaka membayar ganti rugi dan izin untuk mendirikan kubu pertahanan di Melaka, A Famosa. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Kekalahan Melaka adalah disebabkan maklumat kekuatan pertahanan Melaka telah dibocorkan oleh Si Kitol. Sultan Ahmad Shah, ayahandanya Sultan Mahmud Shah dan pengikut mereka telah berundur ke Muar dan kemudian ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negara China.[perlu rujukan]
Maka dengan itu, jatuhlah ibu kota Kesultanan Melaka iaitu Kota Melaka kepada penjajah Portugis. Portugis berjaya menakluki Kota Melaka. Namun kesultanan Melaka tidak runtuh disitu, hanya ibu kota Kesultanan Melaka sahaja yang ditakhluk oleh Portugis, wilayah Kesultanan Melaka yang lain kekal dibawah kekuasaan Kesultanan Melaka. Walaubagaimanapun, Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah tidak berputus asa. Baginda berusaha untuk menawan semula kota Melaka dan menghalau penjajah portugis dari Kota Melaka. [perlu rujukan]
Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor selepas kemangkatan anaknya sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan daripada kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.[perlu rujukan]
Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar dengan ketuanya Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah berundur ke Kampar, Sumatera.Dengan itu berakhirlah Kesultanan Melaka pada tahun 1526 setelah ibu kota Melaka yang kedua iaitu Bentan dimusnahkan oleh Portugis. Berakhirlah Kesultanan Melaka, Kerajaan melayu yang agung dan gemilang. Ia bertahan selama lebih 100 tahun lamanya. Walaubagaimanapun anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak.[perlu rujukan]
Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1528.
Melaka pada 1262 Masihi
Kerajaan Negeri Melaka telah mengisytiharkan bahawa permulaan Kerajaan Melayu Melaka telah bermula atau wujud 140 tahun sebelum ketibaan Parameswara di Melaka pada tahun 1402 Masihi.
Hal ini sekaligus mengiyakan penemuan artifak lama Melaka yang jarang didengar yang menjelaskan teori penubuhan Melaka bermula pada tahun 1262 Masihi.
Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan dan pengasasan kerajaan Melayu Melaka diputuskan hasil kesepakatan menerima pendapat kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri Melaka menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Keputusan tersebut dicapai pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan pada 31 Mei 2010.[46] Penemuan tersebut juga turut disahkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuat kajian terhadap perkara tersebut pada 10 Oktober 2011.[47]
Tertib tarikh
Galeri
-
Gambar ukiran gangsa Hang Tuah, pahlawan Melayu Melaka dahulu yang dipamerkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Lihat juga
Rujukan
- ^ Cœdès, George (1968). The Indianized states of Southeast Asia. University of Hawaii Press. m/s. 245–246. ISBN 978-0-8248-0368-1.
- ^ Sultanate of Malacca. Britannica. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ Shellabear, William Girdlestone (1961). Sejarah Melayu edisi tahun 1612. m/s. 82.
- ^ "When the World Came to Southeast Asia: Malacca and the Global Economy". Association for Asian Studies. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ a b "Malacca Sultanate". Wikipedia. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ Wheatley, Paul (1961). The Golden Khersonese: Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500. University of Malaya Press. m/s. 306–307. OCLC 504030596.
- ^ Shellabear, William Girdlestone (1961). Sejarah Melayu edisi tahun 1612. m/s. 82.
- ^ Borschberg, Peter (2020). When was Melaka founded and was it known earlier by another name? Exploring the debate between Gabriel Ferrand and Gerret Pieter Rouffaer, 1918−21, and its long echo in historiography. Journal of Southeast Asian Studies. 51. m/s. 175–196. doi:10.1017/S0022463420000168.
- ^ "The Malacca Sultanate". Fiveable. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ Curaming, Rommel A. (1 Ogos 2011). Maznah Mohamad and Syed Muhamad Khairudin Aljunied (penyunting). "Filipinos as Malay: Historicising an Identity". Melayu: Politics, Poetics and Paradoxes of Race.
- ^ "Malacca Sultanate". Wikipedia. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ a b c d "Siamese Nemesis". Sabrizain. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ Tun Perak. Britannica. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ "Fifth Ruler of Melaka : Sultan Muzaffar Syah (1446–1456)". Perpustakaan Negara Malaysia. 2000. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ "The Siamese Wars with Malacca During the Reign of Muzaffar Shah". JSTOR. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ a b Ahmad, A. (1979). The Kingdom of Malacca. m/s. 94–96.
- ^ a b Malacca Sultanate. New World Encyclopedia. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ a b c d "Malacca Sultanate". Wikipedia. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ Tun Perak. Britannica. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ a b "Malacca Sultanate". MyHometown. 27 Ogos 2020. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ Buyong Adil. (1983). Sejarah Melaka dalam Zaman Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ a b A. Samad Ahmad (penyunting). (1979). Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ Andaya, Barbara & Andaya, Leonard Y. (2001). A History of Malaysia. Palgrave Macmillan.
- ^ Buyong Adil. (1983). Sejarah Melaka dalam Zaman Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ a b A. Samad Ahmad (penyunting). (1979). Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ Linehan, W. (1936). The History of Pahang. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.
- ^ Kassim Ahmad (peny.) (2010). Hikayat Hang Tuah. Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ Abdul Samad Ahmad (peny.) (2012). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ Hashim Musa (1995). "The Concept of Loyalty in Traditional Malay Society: Hang Tuah and Hang Jebat". Journal of Southeast Asian Studies: 45–58.
- ^ Hashim Musa (2011). Falsafah Hang Tuah: Analisis Watak dan Pemikiran. Universiti Putra Malaysia Press.
- ^ "Prof Khoo: No record of Hang Tuah, Hang Li Po". The Star. 16 Januari 2012. Dicapai pada 7 Oktober 2025.
- ^ University of California, Afonso de; Birch, Walter de Gray (1875). The commentaries of the great Afonso Dalboquerque, second viceroy of India. London : Printed for the Hakluyt society.
- ^ Ramlah Adam (2004). Hang Tuah: Catatan dan Interpretasi Baru. DBP.
- ^ Ahmad Murad Merican (2018). "Hang Tuah dalam Perspektif Etika dan Falsafah Melayu". Jurnal Warisan Melayu: 12–25.
- ^ a b c d Ibrahim, Ramlah (2019). "Hubungan Diplomatik Antara Melaka dan China Abad Ke-15". Jurnal Sejarah. Universiti Sains Malaysia.
- ^ a b "Hubungan Diplomatik China dan Dunia Melayu" (PDF). Perpustakaan Negara Malaysia. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ a b "Obor 1405: Kehebatan Diplomasi Kesultanan Melayu Melaka dengan Kuasa Besar Dunia". The Patriots Asia. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ "Parameswara of Malacca". Wikipedia (English). Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ "Parameswara of Malacca". Wikipedia (English). Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ "Kebangkitan Melaka dalam Sejarah Asia Tenggara" (PDF). Perpustakaan UiTM. Dicapai pada 4 Oktober 2025.
- ^ "Hubungan Antarabangsa Kesultanan Melaka". HarakahDaily. HarakahDaily. 13 Julai 2018. Dicapai pada 7 Oktober 2025.
- ^ Hashim Musa, Khalid (2016). Jati Diri Melayu: Keunggulan Peradaban di Dunia Melayu (PDF). Universiti Putra Malaysia Press. m/s. 82–84.
- ^ "Penjelajahan Negara Secara Simbolik: Melambangkan Jaringan Melaka dengan Dunia Timur". 123dok.com. Dicapai pada 7 Oktober 2025.
- ^ "Hubungan Antarabangsa Kesultanan Melaka". HarakahDaily. Dicapai pada 7 Oktober 2025.
- ^ Uqbah Iqbal, Nordin Hussin & Ahmad Ali Seman, Sejarah Perkembangan Nasionalisme Melayu Sebelum Kemerdekaan, Munich: BookRix GmbH & Co. KG., 2014.
- ^ Utusan Online - Melaka ditubuh 1262, bukannya 1400 atau 1278?[pautan mati kekal]
- ^ TheStar Online - More research needed on new date of Malacca Sultanate[pautan mati kekal]
Pautan luar
- (Inggeris) Kesultanan Melayu Melaka
- (Inggeris) Sumber Singapura 1 Diarkibkan 2006-01-28 di Wayback Machine
- (Inggeris) Sejarah Singapura
- (Inggeris) Sumber mengatakan Parameswara dihalau penduduk tempatan Diarkibkan 2006-02-20 di Wayback Machine
- (Inggeris) Sumber mengatakan Parameswara melarikan diri sebanyak dua kali iaitu daripada Majapahit (keluar dari Palembang) dan daripada Siam (dari Temasik)
- (Inggeris) Pertembungan fakta antara Tun Seri Lanang (Sejarah Melayu) dan Tom Pires (Suma Oriental) mengenai hal ini Diarkibkan 2006-04-08 di Wayback Machine
- (Inggeris) Rencana The Melaka Empire di laman sabrizain.org