Ramadan رمضان | |
---|---|
Also called | Ramaḍān al-Karīm (Ramadan, bulan yang mulia) |
Observed by | Muslim |
Type | Islam, kebudayaan |
Celebrations | Iftar komunal |
Observances | Puasa, zakat, Solat Tarawih, membaca al-Quran |
Begins | 1 Ramadan |
Ends | 29 atau 30 Ramadan |
Date | Berubah (mengikut kalendar qamari Islam) |
2023 date | 23 Mac - 21 April |
2024 date | 12 Mac - 9 April |
2025 date | 2 Mac - 30 Mac |
Related to | Hari Raya Aidilfitri, Lailatul Qadar, Nuzul Quran |
Hari ini |
---|
9 Jamadilawal 1446 |
Isnin |
11 November 2024 |
(UTC 0) |
Sebahagian daripada siri berkaitan |
Islam |
---|
Ramadan[1] (Arab: رَمَضَان, rumi: Ramaḍān , juga dieja basahan sebagai Ramadhan; biasa digelar penuh sebagai "Ramadan al-Mubarak") ialah bulan yang ke-9 dan bulan yang dianggap paling suci dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Dalam bulan ini, umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Quran yang bermaksud:
Bulan Ramadan, yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barang siapa antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...
— surah Al-Baqarah, ayat 185
Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Dengan berpuasa, umat Islam mengharapkan mereka dapat meningkatkan disiplin diri serta menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang tidak berkemampuan.[2]
Etimologi
Ramadan berasal daripada kata akar رَمِضَ ramiḍa yang bererti "terik;...bertambah panas; melecur"[3] yakni panas yang menyengat atau kekeringan, khususnya pada tanah. Daripada kata akar tersebut, perkataan Ramadan digunakan untuk menunjukkan adanya rasa panas ketika seseorang itu kehausan. Pendapat lain mengatakan bahawa perkataan Ramadan digunakan kerana pada bulan itu dosa-dosa dihapuskan oleh perbuatan baik sebagaimana matahari membakar tanah. Hal ini dikiaskan dengan umat Islam yang mengambil kesempatan Ramadan untuk betul-betul mencairkan, memuhasabah diri dan memperbaharui kekuatan jasmani, rohani dan tingkah lakunya, sebagaimana panas mewakili sesuatu yang dapat mencairkan bahan.[4]
Penentuan awal Ramadan
Takwim Hijrah didasarkan pada orbit bulan mengelilingi bumi dan awal setiap bulan ditetapkan saat terjadinya hilal (bulan sabit). Kaedah penentuan saat terjadinya hilal yang digunakan ketika ini ada dua, iaitu kaedah penglihatan dengan mata kasar (rukyah) dan kaedah perhitungan astronomi (hisab).
Sesetengah negara menggunakan rukyah sahaja manakala sesetengah yang lain menggunakan hisab sahaja.[5] Dunia Melayu amnya menggunakan kedua-dua kaedah sekaligus.[6]
Peristiwa semasa Ramadan
Turunnya al-Quraan
Para ulama bersetuju bahawa al-Quran mula diturunkan pada bulan Ramadan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahlu sunnah wal jamaah menerima bahawa al-Quran diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan[7]; oleh itu 17 Ramadan diperingati sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul Quran) buat pertama kalinya (terdapat juga percanggahan pendapat mengenai perlu tidaknya peristiwa ini dirayakan).[8] Pada malam tersebut, ayat 1 hingga 5 surah Al-‘Alaq diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di Gua Hira. Peringatan peristiwa ini biasanya dilakukan dengan acara ceramah di masjid-masjid.[perlu rujukan]
Lailatul Qadar
Lailatul Qadar (malam ketetapan), ialah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadan. Malam ini dikatakan, dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, lebih baik daripada seribu bulan.[9] Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa riwayat, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan malam ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.[perlu rujukan]
Lain-lain
Terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini.[10] Antaranya:
- 17 Ramadan 2H: Perang Badar (624 M)
- 10 Ramadan 8H: Pembukaan Tanah Suci Mekah (630 M)
Amalan sewaktu Ramadan
Umat Islam digalakkan membanyakkan ibadah pada bulan Ramadan kerana ganjarannya digandakan pada bulan ini.
Puasa Ramadan
Selama sebulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa setiap hari, dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenamnya matahari (maghrib). Selama berpuasa, mereka harus menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sehingga tiba waktu berbuka. Syariat ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah dan sejak itu, masyarakat Islam menyambut bulan Ramadan dengan seharian berpuasa.[perlu rujukan]
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa.[4] Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain.
Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.[perlu rujukan]
Solat Tarawih
Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat untuk menasihati para jama'ah.[perlu rujukan]
Zakat Fitrah
Zakat fitrah ialah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya Solat Sunat Hari Raya. Setiap individu muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat jenis ini.[11] Nilai zakat fitrah yang harus dikeluarkan per individu ialah satu gantang makanan ruji di daerah bersangkutan. Jumlah ini adalah setara dengan 2.70 kg beras.
Aidilfitri
Akhir bulan Ramadan dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia. Pada malam harinya (malam 1 Syawal), yang biasa disebut malam kemenangan, mereka akan mengumandangkan takbir bersama-sama.
Pada 1 Syawal, yang dirayakan sebagai Hari Raya Aidilfitri, semua Muslim baik lelaki mahupun perempuan digalakkan ke masjid untuk melakukan Solat Sunat Hari Raya. Solat dua rakaat ini akan diikuti khutbah mengenai Aidil Fitri.
Aspek ekonomi
Salah satu fenomena yang dapat dilihat di negara dengan penduduk majoriti Islam pada bulan Ramadan pada umumnya ialah bazar Ramadan. Menjelang waktu maghrib, dapat dilihat di tapak-tapak pasar malam atau kawasan lapang, gerai-gerai yang menjual juadah berbuka puasa. Bazar seperti ini biasanya diselenggara kerajaan setempat (majlis perbandaran atau pejabat daerah), namun ada juga bazar khas yang dianjurkan kerajaan negeri atau syarikat tertentu.
Selain itu pada siang hari, dalam bulan ini juga dapat dilihat para pedagang yang menjaja pelbagai barangan daripada makanan hinggalah pakaian di tempat-tempat awam terutamanya di tepi-tepi jalan. Kesemua ini dapat menjana ekonomi kawasan terbabit.[12]
Rujukan
- ^ Lihat:
- ^ Persiapkan Diri Menghadapi Bulan Ramadan Al-Mubarak. Dicapai pada 21 September 2006.
- ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar. m/s. 167. ISBN 967-65-7321-3.
- ^ a b Essentials of Ramadan, The Fasting Month Diarkibkan 2006-09-09 di Wayback Machine. Dicapai pada 24 September 2006.
- ^ Hilal bantu tentukan permulaan raya. Dicapai pada 18 Julai 2006.
- ^ MABIMS (7 Ogos 2006). "Kriteria Imkanur-Rukyah Dalam Penetapan Awal Bulan Qamariah" (PDF).
- ^ Nuzulnya Al Quran Menjamin Kesejahteraan[pautan mati kekal]. Dicapai pada 25 September 2006.
- ^ Bid'ah-bid'ah Ramadan. Dicapai pada 24 September 2006.
- ^ Tanda kedatangan Lailatul Qadar Diarkibkan 2007-08-06 di Wayback Machine. Dicapai pada 25 September 2006.
- ^ Ramadan bawa banyak kejayaan kepada ummah. Dicapai pada 2 September 2006.
- ^ Zakat Fitrah. Dicapai pada 25 September 2006.
- ^ Bazar Ramadan Mampu Tampil Sebagai Produk Pelancongan. Dicapai pada 7 September 2006
Pautan luar
Ketahui lebih lanjut tentang Ramadan di Wikipedia: | |
Takrifan dari Wikikamus | |
Imej dan media dari Commons | |
Berita dari Wikiberita |
- Complete Guide to Ramadhan including Rules, Duas, Itikaaf, Laylatul Qadr, Sadaqatul Fitr etc
- 15 Hadiths on Ramadan
- Articles on Ramadan
- Ramadan Articles & Resources
- Purpose of Fasting in Islam: "And Fast Until The Onset Of Night"
- Ramadan Customs, Observance and Practices
Bulan-bulan dalam Takwim Hijrah |
---|
Muharam | Safar | Rabiulawal | Rabiulakhir | Jamadilawal | Jamadilakhir | Rejab | Syaaban | Ramadan | Syawal | Zulkaedah | Zulhijah |