Sabah | |
|---|---|
| Boyoon Montiri Sabah 沙巴州首席部長 كتوا منتري سابه | |
| Kerajaan Wilayah Sabah | |
| Gelaran | Yang Amat Berhormat |
| Anggota bagi | Kabinet Negeri Sabah |
| Lapor kepada | Dewan Undangan Sabah |
| Bidang kuasa | Sabah |
| Institusi | Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Kabinet Negeri Sabah |
| Kediaman | Seri Gaya, Kota Kinabalu, Sabah |
| Pusat | Tingkat 17 & 18, Wisma Innoprise, Jalan Sulaman, 88502 Kota Kinabalu, Sabah |
| Dilantik oleh | Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman Yang di-Pertua Negeri Sabah |
| Tempoh jawatan | Selagi masih memiliki keyakinan dan kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Sabah Pilihan raya Negeri diadakan lima tahun sekali atau lebih awal |
| Surat cara pembentukan | Wilayah Sabah |
| Penjawat sulung | Tun Datuk Seri Panglima Fuad Stephens |
| Dibentuk | 16 September 1963 |
| Tapak web | ww2 |
| sunting · sunting di Wikidata | |
Ketua Menteri Sabah ialah ketua kerajaan Wilayah Sabah, Malaysia. Ketua Menteri Sabah dilantik melalui pilihan raya wilayah iaitu melalui sistem pemenang undian rakyat terbanyak. Selain itu, Ketua Menteri Sabah juga tidak boleh dilantik melalui pertukaran sokongan atau "kerajaan pintu belakang" atas sebab undang-undang anti-lompat parti Sabah yang diluluskan di DUN Sabah sejak 25 Mei 2023. Ketua Menteri Sabah disandang oleh Hajiji Noor dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) iaitu salah satu komponen utama dan komponen rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Era Pentadbiran Perikatan Sabah (1963-1976)
Parti Perikatan Sabah dianggotai oleh UNKO, USNO, SANAP, dan Pasok Momogun (UPMO). Penubuhannya adalah hasil inisiatif dan usaha pemimpin-pemimpin politik Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu untuk mewujudkan satu perpaduan bagi menyokong penubuhan Gagasan Malaysia. Pada awal penubuhannya dari tahun 1962 hingga 1967, masih wujud perbezaan pendapat dan asas antara parti-parti komponen, terutamanya antara UNKO dan USNO. Namun, ancaman daripada Filipina yang menuntut Sabah dan Konfrontasi Indonesia memaksa persengketaan ini diketepikan demi kepentingan dan kemerdekaan Sabah. Pemimpin seperti Datu Mustapha, Donald Stephens, G.S. Sundang, dan Khoo Siak Chiew bersama-sama menyatakan bahawa penduduk Sabah adalah bersaudara dan harus bekerjasama untuk mewujudkan sebuah negeri yang makmur.
Namun, perpaduan ini tidak dapat bertahan lama kerana terpaksa tunduk kepada kehendak masing-masing yang sentiasa diselubungi rasa curiga-mencurigai dan kurang percaya terhadap parti-parti lain dalam perikatan. Walaupun berada dalam satu perikatan yang sama, unsur perkauman masih wujud dalam penyokong calon parti, di mana USNO disokong oleh Melayu-Muslim, UNKO disokong oleh Kadazan/Dusun dan Sino-Kadazan, SANAP disokong oleh masyarakat Cina, manakala Pasok Momogun disokong oleh masyarakat Dusun dan Murut di pedalaman.
Kerajaan Perikatan 1962-1967
Pada awal penubuhannya, asas penubuhan perikatan adalah tidak kukuh dan agak terburu-buru bagi menyokong penubuhan Gagasan Malaysia. Disebabkan hal ini, setiap parti dalam perikatan masih memperjuangkan hak kaum masing-masing dengan perasaan perkauman yang tebal.
Perikatan telah membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya secara langsung menerusi "Residency Electoral Colleges" yang diadakan pada bulan Mac 1963. Pilihan raya ini diadakan untuk memilih calon bagi menduduki Majlis Dewan Undangan. Dalam pilihan raya tersebut, USNO memenangi 8 kerusi, UNKO 5 kerusi, SANAP 4 kerusi, dan Pasok Momogun 1 kerusi. Dalam kerajaan baru ini, British dan semua ahli perikatan bersetuju memilih Donald Stephens sebagai Ketua Menteri. Walaupun Tun Mustapha memiliki jumlah kerusi yang lebih banyak dan dianggap lebih layak, beliau mengalah dan menerima jawatan Yang Di-Pertua Negeri, yang dianggapnya sama seperti Gabenor pada zaman British. Tanggapan ini ternyata meleset kerana semua kuasa pentadbiran Sabah dipegang oleh Donald Stephens, menyebabkan kedudukan Tun Mustapha terkongkong. Keadaan ini menyebabkan beliau enggan bekerjasama dengan Donald Stephens dan seterusnya melemahkan kedudukan perikatan.
Ketegangan yang berterusan antara USNO dan UPKO telah memberi keuntungan politik kepada orang Cina. Hal ini bertambah rumit apabila Kerajaan Pusat campur tangan dan memaksa Donald Stephens meletak jawatan. Apabila Donald Stephens meletak jawatan dan memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Sabah, jawatan Ketua Menteri telah disandang oleh Peter Lo dari SCA. Parti UPKO berasa kecewa dengan tindakan USNO/SCA dan Kerajaan Persekutuan kerana mereka menganggapkan perlantikan Peter Lo sebagai laluan untuk Tun Mustapha menjadi Ketua Menteri selepas itu. Ini menyebabkan UPKO meminta supaya kemasukan Sabah ke Malaysia dikaji semula, namun permintaan ini ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Penolakan ini menyebabkan Donald Stephens mahu berkerjasama dengan Singapura untuk menubuhkan Persekutuan 3S (Singapura, Sabah, Sarawak). Tunku menganggap ini sebagai ancaman dan menekan perikatan Sabah supaya menggugurkan jawatan pemimpin UPKO. Untuk kepentingan penyokong UPKO, Donald Stephens dan Peter Mojuntin meletak jawatan, dan kedudukan UPKO dalam perikatan menjadi semakin lemah.
Pada bulan Disember 1967, UPKO dibubarkan kerana Donald Stephens merasakan pengaruhnya dan UPKO semakin lemah ekoran kegagalan hampir semua rancangannya. Situasi ini diburukkan lagi dengan perpindahan seorang demi seorang ADUN UPKO ke parti lain untuk menjamin kedudukan dan mendapatkan keistimewaan. Selepas UPKO dibubarkan, USNO menguasai semula politik Sabah dan ia disambut baik oleh Tunku dan Tun Mustapha. Ekoran daripada itu, Donald Stephens dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia. Pembubaran UPKO dan ketiadaan Donald Stephens dalam arena politik Sabah telah meredakan suasana ketegangan politik, membolehkan Sabah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan negeri.
Kerajaan Perikatan 1967-1976
Terdapat banyak kecacatan dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan dari tahun 1967 hingga 1976. Sungguhpun begitu, pentadbiran USNO masih membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat Sabah. Pada era ini, keadaan politik stabil dan ini memudahkan pelaksanaan rancangan pembangunan. Banyak rancangan pembangunan berjaya dilaksanakan dengan lancar ekoran perpaduan rakyat. Kerajaan Perikatan pada tempoh ini sentiasa berusaha menggalakkan perpaduan dan menanam semangat cintakan negara memandangkan Sabah mempunyai banyak kaum dengan agama dan budaya tersendiri. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyatupadukan rakyat demi kepentingan pembangunan Sabah. Antara langkah yang dilaksanakan ialah mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah bagi tujuan penyatuan rakyat.
Walaupun USNO bukan parti Islam, parti ini banyak berusaha untuk mengukuhkan dan meluaskan Islam di Sabah. Di bawah pentadbiran USNO, agama Islam telah dijadikan agama rasmi negeri, walaupun agama lain bebas diamalkan. Bagi menjayakan rancangan ini, Ketua Menteri menubuhkan United Sabah Islamic Association (USIA) pada Ogos 1969 untuk mentadbir hal ehwal Islam dan menyebarkan dakwah. Kerajaan USNO juga menubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1971. Namun, tindakan USNO ini tidak disenangi oleh bumiputera bukan Islam yang merasakan dasar ini tidak wajar dilaksanakan di Sabah yang terdiri daripada pelbagai agama. Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Tun Mustapha kurang disenangi oleh bumiputera bukan Islam, menyebabkan perpaduan yang dikecapi menjadi goyah dan semangat perkauman serta keagamaan menebal dalam kalangan bumiputera Kristian dan Kadazan.
Walaupun wujud kontroversi, pembangunan dari segi ekonomi dan pendidikan untuk bumiputera Sabah tetap dilaksanakan. Pada tahun 1969, Yayasan Sabah ditubuhkan dan banyak memberi manfaat kepada bumiputera Sabah. Kontroversi yang timbul tidak sampai ke tahap membimbangkan kerana kedudukan USNO pada waktu itu sangat kukuh dan sukar untuk ditandingi. Sebarang cubaan untuk menggugat kedudukan USNO, seperti penubuhan Union Of Sabah People (USAP) oleh Peter Mojuntin, berjaya diatasi. USAP gagal didaftarkan kerana penyokongnya diancam dan pemimpinnya mudah disogok dengan wang. Penentangan terhadap kepimpinan USNO tidak berhenti di situ. Kemarahan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat terus membara terhadap dasar-dasar USNO yang kurang dipersetujui. Peluang untuk perubahan akhirnya tiba dengan penubuhan parti BERJAYA, yang bertujuan mengembalikan semangat politik rakyat Sabah.
Era Pentadbiran Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) (1976-1985)
Pembentukan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA)
Pembentukan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dapat dibincangkan berdasarkan hubungan antara Kerajaan Perikatan Sabah dan Kerajaan Pusat Kuala Lumpur pada tahun-tahun akhir pemerintahan Perikatan Sabah. Pada era awal pemerintahan Perikatan Sabah, hubungan antara Kerajaan Perikatan Sabah dan Kerajaan Pusat Kuala Lumpur adalah sangat baik dan erat, terutamanya semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri.
Namun, apabila Tun Mustapha sudah menjadi semakin kuat dan terlalu berkuasa, hubungan baik ini semakin renggang. Tindak-tanduk Tun Mustapha semakin sukar untuk dikawal dan banyak bercanggah dengan dasar Kerajaan Pusat pimpinan Tun Abdul Razak. Banyak berlaku pembaziran wang, penyelewengan, dan penyalahgunaan kuasa yang telah menyebabkan berlakunya pertelagahan peribadi antara kedua-dua tokoh Pusat dan Negeri itu. Pertentangan yang berlaku ini telah menjadi faktor penting yang membawa Kerajaan Pusat untuk menyokong penubuhan BERJAYA.
Sokongan Kerajaan Pusat dan Penubuhan BERJAYA
Dengan sokongan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat Kuala Lumpur ini, Tun Mustapha tidak dapat menyekat pertumbuhan parti BERJAYA seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum ini ke atas parti politik yang lain. Selain daripada sokongan daripada Kerajaan Pusat Kuala Lumpur, penubuhan parti ini juga turut disokong oleh tokoh-tokoh seperti Abd. Ghafar Baba, Abd. Rahman Yaacub dan Yang Dipertua Negera Sabah sendiri iaitu Tun Fuad Stephens.
Pada awal tahun 1975, hubungan antara Kerajaan USNO-SCA dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi semakin tegang apabila Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, meminta dan menyokong supaya dibentuk satu parti baru yang lebih berbentuk multi-racial iaitu pelbagai corak bangsa di Sabah untuk menentang Tun Mustapha dan USNO. Suatu keputusan telah dicapai untuk membentuk parti BERJAYA, suatu usul yang cepat dan sebuah parti baru ini telah dibentuk pada 15 Julai 1975 di Hotel Borneo, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Kepimpinan Pelbagai Kaum BERJAYA
Pemimpin yang menerajui parti BERJAYA ini terdiri daripada bekas pemimpin dalam USNO yang tidak puas hati dan tidak bersefahaman dengan kepimpinan Tun Mustapha, seperti Datuk Harris Salleh dan Datuk Salleh Sulong; bekas pemimpin parti UNKO seperti Tun Fuad Stephens dan Datuk Peter Mojuntin; pemimpin Parti Cina seperti Yap Pak Leong, Chong Thain Vun dan Lim Guan Sing; serta ahli baru yang terdiri daripada sektor persendirian dan profesional seperti Datuk Yeh Pao Tzu, Datuk K.Y. Lee, Wong Boon Ping, Nicholas Fung, Joseph Pairin Kitingan, Wong Yau Ket, Darius Binion, Datuk Fred Sinidol dan James P. Ongkili.
Apa yang unik mengenai parti BERJAYA ialah, parti ini merupakan parti pertama yang betul-betul bersifat multiracial yang ditubuhkan di Sabah sejak negeri mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963. Ini dapat dilihat apabila parti ini diterajui oleh pemimpin dari golongan bumiputera Muslim dan bukan Muslim yang terdiri daripada bangsa Kadazan/Dusun, Bajau, Suluk, Rungus, Murut, Bisaya, Brunei, Orang Sungai, Kwijau, Tatana, Tidong dan Kimaragang. Persatuan-persatuan Cina juga menyertai parti ini kerana keyakinan mereka kepada parti ini dalam membangunkan semua bangsa di Sabah dalam melibatkan diri dalam politik Sabah.
Kemenangan Pilihan Raya 1976
Kemunculan Parti BERJAYA ini telah disambut baik oleh segenap masyarakat yang cintakan demokrasi. Hal ini terbukti apabila Parti BERJAYA memenangi pilihan raya negeri dalam bulan April 1976. BERJAYA telah memperoleh 28 kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Manakala USNO hanya memperoleh 20 kerusi dan kebanyakan kerusi ini diperoleh daripada kawasan bumiputera Islam. Parti BERJAYA hanya dapat menawan tiga buah kawasan penduduk Islam iaitu Lahad Datu, Papar dan Kawang, tetapi memperoleh undi yang terbanyak daripada orang-orang Kadazan dan Cina.
Dengan kemenangan ini, BERJAYA membentuk kerajaan negeri dengan Kabinet pertama diumumkan pada 20 April 1976. Tun Mohammad Fuad Stephens dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama di bawah pentadbiran BERJAYA, dengan Datuk Harris Salleh sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar. Peter Mojuntin dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, James Ongkili sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan, dan Chong Thian Vun sebagai Menteri Perhubungan dan Kerjaraya. Komposisi kabinet ini mencerminkan dasar berbilang kaum yang diperjuangkan oleh BERJAYA.
Era Pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS) (1985-1994)
Kemenangan dan Pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS)
Kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pilihan raya negeri pada tahun 1985 telah memeranjatkan banyak pihak, terutamanya parti BERJAYA dan Kerajaan Persekutuan. Namun bagi rakyat Sabah, kemenangan ini telah diramal memandangkan keadaan politik yang tidak menentu pada masa itu. Rakyat sememangnya menunggu kemunculan sebuah parti baru yang lebih mampu mempertimbangkan keperluan dan hak mereka. Keadaan pergolakan politik ini berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh PBS untuk meraih sokongan rakyat. Walaupun hanya wujud selama 40 hari sebelum pilihan raya, pemimpin-pemimpin berpendidikan tinggi seperti Joseph Pairin Kitingan, Joseph Kurup, dan Bernard Giluk Dompok serta pemimpin Kadazan-Dusun-Murut (KDM) yang lain telah berusaha gigih untuk menewaskan parti BERJAYA. PBS turut mendapat sokongan padu daripada komuniti Kadazan/Dusun yang tidak berpuas hati dengan tindakan Datuk Harris Salleh yang menarik taraf daerah Tambunan, serta sikap tidak adil Parti BERJAYA dalam pengagihan kekayaan negeri.
Sokongan padu ini terbukti apabila PBS memenangi pilihan raya pada 10 April 1985. Daripada 48 kerusi yang dipertandingkan, PBS memenangi 25 kerusi, manakala USNO meraih 16 kerusi, PASOK 1 kerusi, dan BERJAYA hanya 6 kerusi. Kemenangan ini mengejutkan Kerajaan Persekutuan dan Presiden BERJAYA, Datuk Harris Salleh, yang tewas di kerusi sendiri di Tenom kepada calon baru PBS yang tidak terkenal, Kadoh Agundang. Kemenangan ini membolehkan PBS membentuk kerajaan baru di Sabah dengan Datuk Joseph Pairin Kitingan dilantik sebagai Ketua Menteri dan Mark Koding sebagai Timbalan Ketua Menteri.
Cabaran dan Dinamik Perkauman
Selepas kejatuhan BERJAYA, politik Sabah mula menampakkan kembali sifat perkauman yang ketara, di mana bumiputera Islam kebanyakannya menyokong USNO manakala bumiputera bukan Islam menyokong PBS. Walaupun Datuk Pairin menegaskan bahawa PBS adalah parti untuk semua kaum, hakikatnya parti ini dibentuk dan majoriti penyokongnya berasal dari komuniti Kadazan/Dusun dan Murut, menjadikannya kelihatan seperti dikuasai oleh satu kaum. PBS tetap berhasrat untuk menarik sokongan bumiputera Islam dan komuniti Cina.
Pada peringkat awal, PBS kurang mendapat sokongan bumiputera Islam disebabkan keyakinan yang rendah terhadap wakil Islam dalam parti tersebut, iaitu Encik Nahalan Hj. Damsal dan Puan Ariah Tengku Ahmad. Kesetiaan Nahalan terhadap Islam diragui kerana beliau dikatakan pengikut ajaran Qadiani, manakala Ariah ialah saudara baru berketurunan Australia. Tanpa wakil Islam yang berpengaruh, sokongan masyarakat Melayu-Muslim terhadap PBS tetap rendah.
Pengukuhan dan Konflik
PBS berjaya mengukuhkan kedudukannya dengan memenangi pilihan raya negeri pada 5 dan 6 Mei 1986 sekali lagi, meraih 34 daripada 48 kerusi. USNO dan BERJAYA masing-masing hanya memenangi 12 dan 1 kerusi. Dengan 6 wakil tambahan yang dilantik, PBS menguasai 40 daripada 54 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pencapaian ini membolehkan PBS diterima sebagai ahli Barisan Nasional (BN), namun hubungan dengan kerajaan pusat terus mengalami kekecohan sehingga PBS membuat keputusan untuk keluar dari BN menjelang pilihan raya 1990 dan menyertai pakatan pembangkang di Semenanjung.
Selepas pilihan raya negeri 1994, PBS menghadapi krisis apabila beberapa ahlinya melompat parti untuk menyertai BN. Atas usaha USNO dan UMNO yang telah berkembang ke Sabah, BN berjaya mengambil alih kerajaan negeri. Kedudukan BN semakin kukuh apabila PBS hanya memenangi 8 daripada 19 kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum 1995. UMNO terus menarik penyertaan ramai anggota dari USNO, BERJAYA, dan PBS. Akhirnya, PBS menyertai semula BN selepas tewas dalam pilihan raya 1999.
Pembentukan dan Asas Perjuangan PBS
Parti Bersatu Sabah (PBS) ditubuhkan pada 5 Mac 1985. Penubuhannya berpunca daripada ketidakpuasan hati dalam parti BERJAYA, terutamanya oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan yang lantang menentang dasar-dasar kerajaan yang dianggapnya menyimpang dari perjuangan asal. Beliau terpaksa meninggalkan parti dan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan. Pairin kemudiannya bertanding dalam pilihan raya kecil Tambunan pada Disember 1984 sebagai calon Bebas dan berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti besar. Kemenangan ini menyemarakkan semangat untuk mengubah landskap politik Sabah, menegakkan demokrasi, dan menentang penyalahgunaan kuasa, seterusnya membawa kepada penubuhan PBS.
Dari segi perjuangan, PBS merupakan parti berbilang kaum yang memperjuangkan demokrasi, hak dan kuasa autonomi Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, hak asasi manusia, dan keadilan. Parti ini juga memperjuangkan hak istimewa bumiputera serta kepentingan kaum lain, pemuliharaan budaya, dan kebebasan beragama. Antara isu utama yang konsisten diperjuangkan termasuk masalah pendatang tanpa izin, Projek IC, ketidakseimbangan pembangunan, pengundi hantu, dan pelaksanaan 20 Perkara.
Rusuhan 1986 dan Tekanan Politik
Rusuhan berlaku di Sabah antara Mac dan Mei 1986, tertumpu di Kota Kinabalu, Tawau, dan Sandakan. Insiden ini mengakibatkan lima kematian dan dikaitkan dengan ketegangan politik selepas kemenangan PBS dalam pilihan raya 1985. Dilaporkan bahawa kumpulan perusuh berarak untuk menggulingkan Pairin, dan terdapat dakwaan bahawa insiden ini direkayasa oleh pihak tertentu di Kuala Lumpur yang tidak berpuas hati dengan kekalahan parti komponen BN.
Zaman Pemerintahan PBS (1985-1994) dan Legasi
Zaman pemerintahan PBS dari 1985 hingga 1994 merupakan era yang signifikan dan berliku dalam sejarah politik Sabah. Era ini menyaksikan kebangkitan parti berasaskan KDM yang memerintah negeri buat kali pertama. Dari sudut positif, kerajaan PBS dikenang atas usaha gigih menuntut hak Sabah dalam kerangka Persekutuan, memfokuskan pembangunan luar bandar, serta memartabatkan bahasa ibunda dengan memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) bahasa Kadazandusun.
Walau bagaimanapun, era ini juga tidak terlepas daripada kontroversi. PBS sering dituduh bersikap anti-Islam dan pro-Kristian berikutan beberapa tindakannya yang dilihat menyebelahi masyarakat Kristian. Isu-isu seperti "krisis kaus kaki" dan larangan bacaan khutbah Jumaat dalam bahasa Melayu menimbulkan ketegangan kaum. Hubungan tegang dengan kerajaan pusat mencapai kemuncak apabila PBS keluar dari BN pada 1990, yang dikatakan mengakibatkan tekanan ekonomi terhadap Sabah. Krisis politik memuncak dengan pertukaran parti ahlinya, yang dikaitkan dengan "Projek Mahathir" – kemasukan pendatang tanpa izin yang didakwa mengubah demografi pengundi. Isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing mula menjadi masalah sosial yang berterusan sehingga ke hari ini.
Era Pentadbiran Barisan Nasional (BN) (1994-2018)
Era Pentadbiran Parti Warisan (WARISAN) (2018-2020)
Era Pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (2020)
Senarai Ketua Menteri Sabah
Parti Politik:
Barisan Nasional (BN) / Perikatan Sabah
| Tempoh Menjawat | Gambar | Ketua Menteri | Parti (parti - gabungan politik) |
Kerusi Bertanding | Catatan | ||
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 16 September 1963 | 31 December 1964 | Tun Fuad Stephens
(1920–1976) |
Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) - Perikatan | Dun Kiulu
(1963-1964) |
Beliau merupakan Ketua Menteri pertama Sabah sejak Malaysia ditubuhkan. | ||
| 1 Januari 1965 | 12 Mei 1967 |
|
Tan Sri Datuk Peter Lo Sui Yin
(1923–2020) |
Persatuan Cina Sabah(SCA) - Perikatan | Dun Elopura
(1963-1967) |
Beliau merupakan Ketua Menteri Sabah yang berasal dari etnik cina pertama Sabah | |
| 12 Mei 1967 | 1 November 1975 | Tun Datu Mustapha Datu Harun
(1918–1995) |
Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) - Perikatan | Dun Bengkoka-Banggi,(1967–1976)
(1976–1981)
(1985–1986), (1987–1994) |
|||
| 1 November 1975 | 18 April 1976 | Tun Mohd Said Keruak
(1925–1995) |
Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) - BN | Dun Usukan,
(1967-1982) |
|||
| 18 April 1976 | 6 Jun 1976 | Tun Fuad Stephens
(1920–1976) |
BERJAYA - BN | Dun Kiulu,(1976) | |||
| 6 Jun 1976 | 22 April 1985 | Tan Sri Datuk Seri Panglima Harris Mohd Salleh
(lahir 1930) |
BERJAYA - BN | Dun Sipitang-Ulu Padas
(1967–1971)
(1976–1985) |
|||
| 22 April 1985 | 16 March 1994 | Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan
(lahir 1940) |
Parti Bersatu Sabah (PBS) | Dun Tambunan,
(1976–2018) |
|||
| 17 March 1994 | 26 Disember 1994 | Tun Sakaran Dandai
(1930–2021) |
UMNO - BN | Dun Semporna,
(1967–1985)
(1985-1990),(1994) |
|||
| 27 Disember 1994 | 27 Mei 1996 | Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Mohd. Said
(lahir 1958) |
UMNO - BN | Dun Usukan,
(1994–2004),(2020) |
|||
| 27 Mei 1996 | 27 Mei 1998 | Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee
(lahir 1958) |
Parti Maju Sabah (SAPP) - BN (Kini SAPP - USA) | Dun Likas,
(1985–2004) |
|||
| 28 Mei 1998 | 14 March 1999 | Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Dompok
(lahir 1949) |
Parti Demokratik Sabah (PDS) - BN (kini UPKO - PH) | Dun Moyog,
(1986–1994) |
|||
| 15 March 1999 | 26 March 2001 | Tan Sri Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam
(lahir 1949) |
UMNO - BN | Dun Sulaman,
(1986)
(1994-2004) |
|||
| 27 March 2001 | 26 March 2003 | Tan Sri Datuk Seri Panglima Chong Kah Kiat
(lahir 1948) |
Parti Liberal Demokratik (LDP) - BN | Dun Kudat,
(1981-1985),(1999-2004)
(2004-2018) |
|||
| 4 Mac 2003 | 10 April 2018 | Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman
(lahir 1951) |
UMNO - BN | Dun Sungai Sibuga,
(1994-2020) |
|||
| 12 Mei 2018 | 25 September 2020 | Dato' Seri Mohd Shafie Apdal [1](lahir 1956) | Parti Warisan Sabah (WARISAN) | Dun Senallang,
(2018) |
|||
| 29 September 2020 | 14 November 2025 | Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
(lahir 1955) |
Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) - GRS | Dun Sulaman,
(1990) |
|||
| 30 November 2025 | Akan datang | Akan datang | Akan datang | Akan datang | |||
Sumber : Senarai Ketua Menteri Sabah Kerajaan Negeri Sabah.











