Pendidikan prasekolah di Malaysia adalah satu bentuk program pendidikan yang dibangunkan khas untuk kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun[1]. Program pendidikan ini direka bagi mendedahkan kanak-kanak kepada suasana pembelajaran di sekolah sebelum mereka memasuki alam persekolahan secara rasmi. Tujuan pendidikan prasekolah diadakan adalah untuk membentuk murid-murid yang berkeyakinan tinggi, berusaha gigih serta mampu memperbaiki diri.
Di Malaysia, pendidikan prasekolah dikawalselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibawah Akta Pendidikan 1996. Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta merupakan entiti yang membangunkan pusat-pusat prasekolah di seluruh Malaysia[1]. Terdapat dua jenis aliran prasekolah yang dikendalikan; Prasekolah di aliran perdana bagi kanak-kanak biasa dan prasekolah Pendidikan Khas bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
Sejarah
Prasekolah di Malaysia mula diperkenalkan sekitar tahun 1950-an[2]. Pada ketika itu, program prasekolah hanya difokuskan kepada keluarga yang berpendapatan tinggi kerana yuran persekolahan yang agak tinggi[3].
Pada tahun 1970-an, pendidikan prasekolah mula berkembang di Malaysia, kerana ibubapa pada ketika itu ingin melengkapkan anak-anak dengan pendidikan yang memadai sebagai sebahagian daripada persediaan ke alam persekolahan rendah[4]. Tabika KEMAS merupakan prasekolah awam pertama yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat[5], di bawah Kementerian Luar Bandar Malaysia. Selain KEMAS, agensi kerajaan lain seperti Jabatan Perpaduan Negara menubuhkan Tabika Perpaduan di kawasan bandar[6][7]. Tabika Perpaduan ini ditubuhkan bagi menggalakkan kemasukkan kanak-kanak dari semua kaum.
Pada tahun 1980-an, pihak swasta dan persendirian mula menubuhkan pusat-pusat prasekolah di Malaysia sebagai pilihan alternatif kepada ibubapa[3] yang tidak dapat mendaftarkan anak-anak mereka ke prasekolah di bawah agensi kerajaan. Pusat-pusat prasekolah ini dijalankan secara tidak formal dan memiliki sistem kurikulum yang berbeza-beza[4].
Pada tahun 1986, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerbitkan Buku Panduan Prasekolah Malaysia bagi panduan kepada penyelarasan pelaksanaan program prasekolah di Malaysia.
Pada 18 Disember 1991, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan program prasekolah KPM bermula pada sesi 1991/1992. Pada tahun 1992, kelas prasekolah mula beroperasi di Sekolah Kebangsaan. Pada ketika itu, sistem kurikulum digubal berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan prinsip Rukun Negara Malaysia. Program ini dikenali sebagai Prasekolah Annex[4], yang melibatkan 1070 buah sekolah dan 1131 buah kelas dan ianya diselia secara terus oleh Kementerian Pendidikan Malaysia[8].
Pada tahun 2001, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan mula digubal sebagai langkah ke arah meningkatkan lagi mutu pendidikan prasekolah di Malaysia dan menjadi rujukan tunggal bagi kesemua badan-badan yang bertanggungjawab mengusahakan institusi prasekolah. Bermula tahun 2002, sebanyak 100 buah institusi prasekolah di seluruh Malaysia dipilih sebagai perintis dalam menjalankan program pengajaran dan pembelajaran mengikuti sistem kurikulum Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, bagi memastikan keberkesanan sistem kurikulum ini. Mulai 1 Januari 2003, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang pertama mula dilaksanakan kepada semua tadika kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta[9].
Kurikulum
Walaupun terdapat berlainan entiti yang menguruskan pusat-pusat prasekolah, mereka menggunakan sistem kurikulum yang digunapakai Kementerian Pendidikan Malaysia, yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)[7][10]. Dibawah Akta Pendidikan 1996, pendidikan prasekolah merupakan salah satu daripada cabang Sistem Pendidikan Kebangsaan, selain daripada pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan prauniversiti.
Walau bagaimanapun, sistem kurikulum ini tidak diwajibkan kepada pusat prasekolah antarabangsa atau ekspatriat. KSPK pula mula digunapakai di kesemua institusi prasekolah bermula pada tahun 2010, menggantikan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan 2003.
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) kemudian disemak kembali dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) diterbitkan[11]. Dalam semakan ini, penekanan kepada Kemahiran Abad Ke-21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diperlukan dan mengikut kesesuaian murid-murid.
Selain itu, Semakan 2017 juga memberi penekanan terhadap pendedahan kanak-kanak kepada bahasa Inggeris secara praktikal[9], di mana guru-guru akan menyediakan aktiviti yang bersesuaian dan menyeronokkan, di samping menggalakkan murid-murid bertutur dalam bahasa Inggeris. Berbanding Kurikulum Prasekolah Kebangsaan 2003, KSPK memperuntukan masa pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Inggeris yang lebih lama.
Di bawah pelaksanaan KSPK, terdapat dua jenis modul yang digunakan, iaitu Modul Asas dan Modul Bertema[12]. Modul Asas merangkumi pembelajaran asas kepada komponen bahasa (bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil), pendidikan Islam dan Moral, serta Matematik dan Permainan Luar[12]. Modul Bertema pula merupakan aktiviti yang dilakukan berdasarkan kepada pembelajaran dalam Modul Asas yang meliputi isu kehidupan seharian murid-murid.
Kerangka Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan digubal berdasarkan kepada enam tunjang seperti di bawah.
Tunjang | Maksud | Disiplin |
---|---|---|
Komunikasi | Kemahiran berbahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. | Bahasa Melayu - wajib kepada semua murid prasekolah Bahasa Cina dan Tamil - wajib kepada murid prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil |
Kerohanian, Sikap dan Nilai | Memberi keutamaan kepada aspek penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. | Pendidikan Islam - wajib kepada murid yang beragama Islam Pendidikan Moral - wajib kepada murid bukan beragama Islam. |
Kemanusiaan | Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. | |
Keterampilan Diri | Perkembangan sosioemosi dan pembinaan kemahiran berinteraksi serta kemahiran sosial dalam kalangan murid. | Aktiviti kokurikulum |
Perkembangan Fizikal dan Estetika | Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri serta pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi terhadap karya seni dalam kalangan murid. | Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan Kreativiti dan Estetika |
Sains dan Teknologi | Pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik; serta pengetahuan dan kemahiran matematik. | Sains Awal Matematik Awal |
Peruntukan masa
Di bawah KSPK, terdapat bahagian yang memperincikan masa yang perlu diperuntukan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran oleh kesemua prasekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Jumlah masa yang diperuntukan untuk kanak-kanak berumur 5+ tahun adalah 240 minit sehari (1,200 minit seminggu), termasuk waktu rehat dan 210 minit sehari (1,050 minit seminggu) untuk kanak-kanak berumur 4+ tahun termasuk waktu rehat[13]. Jumlah masa ini terpakai bagi kedua-dua aliran prasekolah; aliran biasa dan pendidikan khas.
Statistik
Dalam Rancangan Malaysia Kelima, terdapat satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 1981 berkenaan program prasekolah di Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai kedudukan prasekolah dan membantu pihak kerajaan dalam menggubal dasar pendidikan prasekolah[15]. Statistik yang dilaporkan dalam kajian itu menyatakan bahawa terdapat seramai 279,000 kanak-kanak dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun yang mengikuti pendidikan prasekolah pada tahun 1984, berbanding 171,000 kanak-kanak pada tahun 1980[15].
Manakala, seramai 331,520 kanak-kanak dilaporkan mengikuti program prasekolah pada tahun 1990, meningkat sekali ganda berbanding bilangan kanak-kanak pada tahun 1980[16]. Pada tahun 2000, seramai 399,980 kanak-kanak dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun mengikuti pendidikan prasekolah, dengan kadar kemasukan berada pada 63.7% berbanding keseluruhan populasi kanak-kanak di Malaysia[17].
Menurut Laporan Tahunan 2014 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, terdapat seramai 833,961 kanak-kanak dalam lingkungan umur 4+ dan 5+ tahun mengikuti pendidikan prasekolah pada tahun 2014, dengan kadar kemasukan ke prasekolah berada pada 84.2%, meningkat berbanding 81.7% pada tahun 2013[18].
Pada tahun 2021, sebanyak 83.65% enrolmen murid-murid berumur lebih dari lima tahun dan 68.45% enrolment murid-murid berumur empat tahun ke program prasekolah awam dan swasta dicatatkan[14]. Peratusan ini menurun berbanding 90.18% enrolment murid-murid berumur lima tahun dicatatkan pada tahun 2020[14]. Pengurangan ini adalah disebabkan impak daripada pandemik COVID-19 yang memberi kesan yang ketara ke atas pengoperasian prasekolah dan pengambilan murid-murid[19][20].
Jenis prasekolah
KEMAS
KEMAS merupakan prasekolah awam terawal ditubuhkan di Malaysia, sekitar tahun 1970-an[21]. KEMAS merupakan singkatan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat. Sebelumnya, jabatan ini dikenali sebagai Bahagian Pelajaran Dewasa yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1961[22]. Di bawah KEMAS, terdapat dua jenis prasekolah yang dikendalikan; Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) KEMAS untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun[23] dan Tabika KEMAS untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Secara umumnya, penubuhan prasekolah di bawah KEMAS mensasarkan kepada keluarga yang tinggal di luar bandar[24][25] dan berpendapatan rendah[25][26].
Setakat Mei 2022, terdapat sebanyak 10,765 buah Tabika KEMAS yang beroperasi di seluruh Malaysia yang membabitkan murid-murid seramai 215,565 orang[27]. Guru-guru yang berkhidmat dalam prasekolah KEMAS ini memiliki lulusan diploma, dan bakal dinaiktaraf kepada lulusan ijazah sarjana muda[28].
Perpaduan
Tabika Perpaduan dikendalikan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan Negara Malaysia. Ianya mula ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat[29]. Tabika Perpaduan biasanya ditubuhkan di kawasan bandar yang mempunyai komuniti Rukun Tetangga. Selain Tabika Perpaduan, terdapat juga prasekolah untuk kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah, yang dikenali sebagai Taska Genius Perpaduan, ditubuhkan pada tahun 2010[30].
Setakat Mac 2022, terdapat sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan yang beroperasi di seluruh Malaysia yang membabitkan murid-murid seramai 37,000 orang[31]. Tabika Perpaduan menggunapakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), dengan beberapa program khusus yang relevan dengan agenda perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia[32].
Kelas Prasekolah KPM
Prasekolah KPM merupakan program prasekolah yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mula diperkenalkan pada tahun 2017[33], untuk kanak-kanak berusia lima dan enam tahun. Pendidikan prasekolah KPM ini merupakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara di bawah teras pendidikan, iaitu meningkatkan akses kanak-kanak ke prasekolah di Malaysia. Kelas prasekolah KPM ini biasanya terletak dalam sekolah rendah, bagi membiasakan kanak-kanak dengan suasana di sekolah apabila mereka memasuki persekolahan rendah[33][34].
Terdapat beberapa syarat kemasukan yang ditetapkan KPM seperti kanak-kanak berwarganegara Malaysia sahaja dan keutamaan diberikan berdasarkan susunan senarai status pendapatan keluarga untuk satu-satu sekolah, di mana keluarga yang berpendapatan rendah diletakkan sebagai senarai pendahulu, diikuti dengan keluarga berpendapatan yang lain[35]. Murid-murid pula dipilih menerusi jawatankuasa pemilihan, yang dianggotai oleh Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Prasekolah, Guru Tahap 1 dan 2, Penolong Pembantu Murid (PPM) dan seorang wakil komuniti[36].
Prasekolah Islam
Prasekolah Islam ialah prasekolah yang menerapkan elemen keislaman di dalam pengajaran dan pembelajaran bersama kanak-kanak. Di Malaysia, terdapat prasekolah Islam yang biasanya diselia oleh Jabatan Islam di negeri-negeri seperti Prasekolah JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) atau Tadika Islam MAIWP (TIM)[37]. Terdapat juga prasekolah yang dikendalikan oleh pertubuhan politik di Malaysia seperti Pusat Asuhan Tunas Islam, yang dikelolakan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Kanak-kanak akan diajar mengenai tradisi Islam yang telah diterapkan seperti bersalaman, membaca doa, mengucapkan selawat dan membaca Al-Quran dalam suasana yang bersesuaian[38]. Selain itu, penerapan belajar sambil bermain turut diaplikasikan bagi membantu perkembangan kanak-kanak[38].
Prasekolah swasta
Prasekolah swasta ialah prasekolah yang ditubuhkan oleh organisasi swasta, persendirian atau antarabangsa. Di Malaysia, terdapat sebanyak 7,887 buah prasekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia setakat tahun 2020[39]. Berbanding prasekolah di bawah agensi kerajaan yang tidak mengenakan bayaran, prasekolah swasta selalunya mengenakan caj yang setimpal dengan kondisi dan imej sesebuah prasekolah[40].
Prasekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM menggunakan kurikulum KSPK dengan beberapa penambahan elemen khusus mengikut kesesuaian prasekolah terbabit[41].
Pautan Luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Prasekolah di Malaysia. |
Rujukan
- ^ a b "Everything You Need to Know About Preschools". Education Destination Malaysia. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ Sepik @ Sipik, Shabariah; Jubit, Norita; Chabo, Danggat; Masron, Tarmiji (25 Oktober 2022). "APLIKASI GIS DALAM ANALISIS RUANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN PRASEKOLAH KERAJAAN DAN TADIKA SWASTA DI KUCHING SARAWAK". The Malaysian Journal of Tropical Geography. 48 (1 (2022)): 73–93. ISSN 0127-1474. Dicapai pada 30 Januari 2023.
- ^ a b Rahmatullah, Bahbibi; Muhamad Rawai, Norshakila; Mohamad Samuri, Suzani; Md Yassin, Sopia (25 Oktober 2021). "Overview of early childhood care and education in Malaysia". Hungarian Educational Research Journal. 11 (4): 396–412. doi:10.1556/063.2021.00074. ISSN 2064-2199. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ a b c Zaidi Johari, Haji Ahmad; Pang, Vincent; Talin, Rosy; Ligadu, Christina (19 September 2016). "Tinjauan Profil Pengurusan Dan Pentadbiran Prasekolah Di Negeri Sabah". Jurnal Kinabalu. 3 (1997): 80–110. doi:10.51200/ejk.v3i.370. ISSN 2600-867X. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ Jipin, Mary; Ambotang, Abdul Said (6 Disember 2019). "Kepimpinan Instructional Penyelia Operasi Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Hubungnya dengan Kepuasan Kerja Pemaju Masyarakat TABIKA atau TASKA KEMAS". Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. 4 (7 (2019)): 197–201. doi:10.47405/mjssh.v4i7.321. ISSN 2504-8562. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ Mohamad, Nur Izzati (27 Mac 2022). "Tabika Perpaduan masih jadi pilihan - Halimah". Berita Harian. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ a b Othman, Mohd Iskandar (27 Mac 2022). "Tabika Perpaduan masih mendapat sambutan". Sinar Harian. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ Latar Belakang, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 30 Januari 2023
- ^ a b Abdul Rahman, Mohd Nazri; Wan Mohamad Noor, Wan Nurul Baizura (5 Julai 2018). "Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan oleh Guru Prasekolah". JuPiDi: Jurnal Kepimpinan Pendidikan. 5 (3 (Julai 2018)). Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ "Bersedia ke Prasekolah". Positive Parenting Malaysia. 3 Februari 2014. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ Ibrahim, Hayati (24 November 2017). "Pendidikan Islam, Pendidikan Moral subjek wajib tadika". Harian Metro. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ a b Abd. Ghani, Rosmah; Md Nor, Mariani (1 Disember 2014). "Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan oleh Guru Prasekolah". Jurnal Peradaban: Jurnal Rasmi Pusat Dialog Peradaban. 7 (7 (2014)). Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ GARIS PANDUAN PENGURUSAN PRASEKOLAH, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 30 Januari 2023
- ^ a b c "2021 Annual Reports". Education Performance and Delivery Unit (PADU). Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ a b RANCANGAN MALAYSIA KELIMA RML (1986-1990) (PDF), Malaysia: Pejabat Perdana Menteri Malaysia, m/s. 370, dicapai pada 30 Januari 2023
- ^ RANCANGAN MALAYSIA KELIMA RM6 (1991 - 1995) (PDF), Malaysia: Pejabat Perdana Menteri Malaysia, m/s. 112, dicapai pada 30 Januari 2023
- ^ RANCANGAN MALAYSIA KE-8 RMK-8 2001-2005 (PDF), Malaysia: Pejabat Perdana Menteri Malaysia, m/s. 87, dicapai pada 30 Januari 2023
- ^ "2014 Annual Reports". Education Performance and Delivery Unit (PADU). Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ Mohd Salleh, Nur Hasliza (18 November 2020). "Pandemik Covid-19 sebabkan murid prasekolah mungkin buta huruf sebelum masuk alam persekolahan". Malaysia Now. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ "Penyusunan semula kurikulum akibat Covid-19, bantu pulih PdP murid". Sinar Harian. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ Soo Boon, Ng (Mei 2010). "Governance of Education Related ECCE Policies in Malaysia". International Journal of Child Care and Education Policy. 4 (1 (2010)): 45–57. doi:10.1007/2288-6729-4-1-45. ISSN 2288-6729. Dicapai pada 30 Januari 2023.
- ^ "30 guru Kemas berjaya tamatkan kursus orientasi basmi buta huruf, sasar 1,800 dewasa Sarawak". Sinar Harian. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ Abd Raof, Norjumira; Ishak, Mohamad Shukri; Mohamad, Muhammad Syahfei; Ali, Mohamad Arif Zaki; Ibrahim, Ahmad Zulfandi. "TAHAP PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM DIDIKAN KANAK-KANAK DI TASKA KEMAS". Jurnal Kesidang. 5 (1 (2020)): 112–118. ISSN 2600-7851. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ "Tabika Kemas is one of government's success stories, says Ismail Sabri". Astro Awani. 20 Ogos 2022. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ a b "Tidak wujud 'pilih kasih' di semua Tabika Kemas". Astro Awani. 2 Oktober 2020. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ "KEMAS jamin tiada pilih kasih jika TABIKA untuk M40 ditubuhkan". Berita Harian. 2 Oktober 2020. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ "Pembukaan Tabika Kemas baharu bergantung kepada keperluan, elak pembaziran". Astro Awani. 29 Mei 2022. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ "11,000 guru tabika Kemas bakal dinaik taraf untuk miliki ijazah sarjana muda". Astro Awani. 14 Januari 2022. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ "Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan". Kementerian Perpaduan Negara. Dicapai pada 17 Januari 2023.
- ^ "Raja Permaisuri berkenan melawat taska". Berita Harian. 9 Jun 2022. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ Mohamad, Nur Izzati (27 Mac 2022). "Tabika Perpaduan masih jadi pilihan - Halimah". Berita Harian. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ Sharif, Aizat (9 Januari 2023). "Perkasa kurikulum Tabika dan Taska Genius Perpaduan [METROTV]". Harian Metro. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ a b "Perbezaan antara Tabika Kemas dan prasekolah KPM, ibu bapa wajib tahu". Sinar Harian. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ "Hari pertama sekolah, murid prasekolah salah masuk kelas Tahun Satu". Sinar Harian. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ Mohamad Yusof, Dato' Dr. Khair. "SURAT SIARAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BILANGAN 2 TAHUN 2012 PENERIMAAN MASUK MURID PRASEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)" (Siaran akhbar). Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
- ^ "PEMILIHAN MURID". Kementerian Pendidikan Malaysia. Dicapai pada 18 Januari 2023.
- ^ Getting List of Government Preschool, Kuala Lumpur: MyGovernment, dicapai pada 25 Januari 2023
- ^ a b Borhan, Lihanna (20 Julai 2016). "Teaching Islam: A Look inside an Islamic Preschool in Malaysia". Contemporary Issues in Early Childhood. 5 (3 (2004)): 378–390. doi:10.2304/ciec.2004.5.3.9. ISSN 1463-9491. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ Muhamad, Hasimi (15 Jun 2020). "Ayuh kembali ke sekolah! 24,410 prasekolah, tabika dibenarkan mulai 1 Julai". Astro Awani. Dicapai pada 30 Januari 2023.
- ^ "Tadika swasta makin tenat, tak mampu tanggung kos operasi". Kosmo!. 29 Ogos 2022. Dicapai pada 30 Januari 2023.
- ^ Mohd Noor, Mohd Husni (19 Mac 2016). "Pertingkat enrolmen prasekolah". Harian Metro. Dicapai pada 30 Januari 2023.