Laporan Fenn-Wu 1951 لاڤورن فين-وو ١٩٥١ | |
---|---|
Tajuk asal | Chinese Schools and the Education of Chinese Malayans |
Dibentangkan | Jun 1951 |
Pengarang | Dr. William P. Fenn Dr. Wu Teh-yao |
Subjek | Pendidikan |
Tujuan | Mengkaji dan mencadang penambahbaikan terhadap sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu |
sunting · sunting di Wikidata |
Laporan Fenn-Wu 1951 (nama rasmi laporan: Chinese Schools and the Education of Chinese Malayans) ialah laporan pendidikan yang disediakan oleh Dr. William P. Fenn, seorang pensyarah yang memiliki pengalaman luas dalam sistem pendidikan di China[1], dan Dr. Wu Teh-yao, seorang pegawai di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)[1]. Laporan ini dihasilkan akibat desakan masyarakat Cina di Tanah Melayu pada ketika itu yang menolak intipati yang terdapat di dalam Laporan Barnes yang diterbitkan pada tahun 1951[2][3].
Dr. Fenn dan Dr. Wu ditugaskan untuk meneliti dan menjalankan kajian terhadap sistem pendidikan Cina[4]. Matlamat akhir laporan ini adalah untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat di Tanah Melayu yang berbilang kaum, sambil memelihara pendidikan Cina[5].
Dr. Fenn dan Dr. Wu mendapati kebanyakkan pemimpin masyarakat Cina di Tanah Melayu pada ketika itu bimbang kerana kewujudan sekolah kebangsaan seperti yang dicadangkan di dalam Laporan Barnes akan menghapuskan sekolah-sekolah Cina, dan berpotensi menghapuskan kebudayaan dan tradisi mereka[6]. Oleh itu, Laporan Fenn-Wu mengesyorkan agar sekolah-sekolah vernakular, terutamanya sekolah Cina dikekalkan sebagai salah satu aliran pendidikan di Tanah Melayu[7] dan penggunaan tiga bahasa di sekolah sebagai bahasa pengantar[8]; bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Laporan ini juga mencadangkan penubuhan kolej perguruan persendirian sebagai langkah untuk menaiktaraf sistem pendidikan di sekolah Cina[9].
Beberapa cadangan dan syor dalam Laporan Fenn-Wu ini kemudian dijadikan panduan dalam penerbitan Ordinan Pelajaran 1952 dan Penyata Razak 1956[10].
Sejarah
Latar belakang
Penghijrahan imigran Cina secara besar-besaran dari Tanah Besar China ke rantau Asia Tenggara mula berlaku pada pertengahan abad ke-18, kesan daripada Perang Candu di antara pihak British dan kerajaan Dinasti Qing[11]. Ramai di antara mereka mendapat pekerjaan sebagai tenaga buruh kepada pihak British di rantau Asia Tenggara, termasuklah di Tanah Melayu[12]. Ada juga di antara imigran yang berhijrah ini memiliki pekerjaan yang menawarkan sumber kewangan yang besar seperti pedagang atau ahli perniagaan[13]. Walaupun imigran Cina berhijrah ke negara asing, mereka tetap berpegang teguh kepada tradisi dan kebudayaan China dalam kehidupan seharian[13].
Selepas beberapa tahun, apabila generasi kedua orang Cina di Tanah Melayu semakin ramai, terdapat keperluan untuk menubuhkan sistem pendidikan Cina bagi memenuhi hak pendidikan kepada anak-anak mereka[11]. Sejarah merekodkan sekolah Cina pertama ditubuhkan di Tanah Melayu sekitar tahun 1819, dengan penubuhan School of the 5th Happiness di Pulau Pinang[4]. Manakala, sekolah Cina pertama di Singapura ditubuhkan pada tahun 1854[14]. Di awal penubuhan sekolah Cina, ianya diuruskan dan ditadbir sendiri oleh masyarakat Cina dengan dibantu oleh beberapa orang korporat Cina yang menyumbang dana kewangan kepada sekolah-sekolah ini[15]. Sistem pendidikan Cina pada ketika itu banyak dipengaruhi oleh pegangan Konfusianisme[16].
Reformasi sistem pendidikan di Tanah Besar China yang diperkenalkan kerajaan Dinasti Qing pada tahun 1905 membawa kepada beberapa siri rombakan kepada sistem pendidikan sedia ada[17], yang turut memberi kesan kepada sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu. Ini membawa kepada perubahan sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu yang sebelum ini hanya berpaksikan kepada memenuhi tuntutan korporat Cina kepada sistem yang banyak dipengaruhi oleh identiti China[18] dan penggunaan kurikulum dari negara Barat[17]. Terdapat golongan revolusioner dan reformis dari China yang mengembangkan sistem pendidikan moden ini[19] supaya rakyat China yang berhijrah ke luar negara, termasuklah masyarakat Cina di Tanah Melayu dapat mengenali dan mengembangkan semangat kenegaraan Tanah Besar China dalam diri masing-masing[19].
Penguatkuasaan British
Di awal penubuhan sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu, pihak British tidak masuk campur dalam pengurusan sekolah dan penggubalan kurikulum[20]. Ini membolehkan ideologi politik Tanah Besar China dimasukkan ke dalam sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu[21]. Pada tahun 1911, terdapat lebih kurang 56 buah sekolah Cina di Tanah Melayu yang dikenalpasti dipengaruhi dengan ideologi politik Kuomintang di China[18]. Pada ketika ini, sistem pendidikan Cina menggunakan buku-buku teks, tenaga pengajar dan kurikulum dari Tanah Besar China[3][22].
Situasi ini mendapat perhatian pihak British pada ketika itu yang menganggap sentimen nasionalisme Tanah Besar China yang disebarkan menerusi sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu adalah salah satu cara penyebaran ideologi "anti-British" dan "anti-penjajah"[15]. Pada tahun 1920, pihak British meluluskan Akta Pendaftaran Sekolah bagi mengawal perjalanan sekolah Cina di Tanah Melayu[23]. Menerusi akta ini, kesemua tenaga pengajar direkodkan dan pegawai-pegawai British ditempatkan di sekolah-sekolah bagi mengawasi aktiviti-aktiviti yang dijalankan[24]. Selain itu, Pengarah Pelajaran mempunyai kuasa[18] untuk menutup sekolah-sekolah vernakular yang didapati tidak mematuhi undang-undang berkaitan kurikulum sekolah, kemasukkan dan status kesihatan seperti yang telah ditetapkan pihak British. Beberapa komuniti Cina di Tanah Melayu membantah cadangan akta ini kerana ianya melanggar hak orang Cina ke atas pengurusan sekolah mereka sendiri[24]. Namun begitu, pihak British meneruskan penguatkuasaan ke atas sekolah-sekolah Cina berdasarkan akta ini[20].
Bagi mengawal bantahan akibat pengenalan akta ini, pihak British mewujudkan jawatan Penolong Pengarah Pendidikan di pentadbiran Negeri-negeri Selat pada tahun 1924, dan di Negeri-negeri Bersekutu pada tahun 1931[15]. Fungsi Penolong Pengarah ini adalah untuk memperkukuh dan mengawalselia pengurusan sekolah Cina[19]. Pihak British juga memperkenalkan dana yang berbentuk geran kepada sekolah-sekolah yang memerlukan[22]. Walaubagaimana pun, ianya tidak menghalang masyarakat Cina pada ketika itu daripada menubuhkan lebih banyak sekolah Cina dengan menggunakan sumber kewangan sendiri dan tidak bergantung kepada kerajaan[24]. Faktor seperti ideologi politik di Tanah Besar China, semangat nasionalisme di kalangan masyarakat Cina kepada Tanah Besar China dan sikap masyarakat Cina itu sendiri yang mementingkan pendidikan kepada generasi seterusnya menjadi pemangkin kepada penubuhan banyak sekolah Cina di Tanah Melayu.
Pendudukan Jepun dan kesannya
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula Disember 1941 mengakibatkan kesan yang sangat teruk kepada masyarakat Cina secara amnya dan sekolah Cina secara khususnya. Disebabkan masyarakat Cina kebanyakkannya beridentitikan Tanah Besar China dan sentimen "anti-Jepun" pada ketika itu[25], ramai orang Cina dibunuh oleh tentera Jepun tanpa belas kasihan[25] dan banyak sekolah Cina sama ada dimusnahkan atau ditutup. Selain itu, penggunaan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi tidak dibenarkan dan pembelajaran menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris di sekolah juga diharamkan[26]. Tambahan pula, mereka mendapati pihak British tiada keinginan untuk membantu masyarakat Cina[27]. Lantaran itu, rata-rata masyarakat Cina bangun untuk menentang pendudukan Jepun bukan sahaja kerana semangat nasionalisme Tanah Besar China, malah demi Tanah Melayu[27].
Selepas Perang Dunia Kedua dan pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu, masyarakat Cina mula membangunkan kembali sekolah-sekolah yang telah dimusnahkan oleh tentera Jepun sebelum ini[27]. Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada penubuhan sekolah Cina pasca Perang Dunia Kedua seperti terdapat keperluan daripada generasi muda yang ingin meneruskan persekolahan mereka setelah terbantut sebelum ini akibat pendudukan Jepun[21] dan kesedaran terhadap pendidikan kepada anak-anak mereka. Walaupun begitu, pihak British mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 akibat gerakan Komunis di Tanah Melayu pada ketika itu[28]. Ramai masyarakat tidak mengira kaum dibunuh dan diseksa oleh anggota Parti Komunis Malaya (PKM) jika mereka disyaki tidak sehaluan dengan perjuangan PKM[28]. Begitu juga dengan sekolah-sekolah Cina terpaksa ditutup akibat kawalan British ke atas pengaruh Komunis yang disyaki disebarkan di sekolah.
Ideologi Komunis[23], semangat nasionalisme di kalangan masyarakat Tanah Melayu dan pengaruh politik merupakan antara isu yang dihadapi oleh pihak British pasca Perang Dunia Kedua, dan mereka merasakan bahawa pendidikan merupakan solusi kepada integrasi nasional dan pembangunan bangsa[29]. Untuk itu, pihak British memperkenalkan beberapa polisi dan laporan pendidikan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik. Pihak British telah membentuk satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pusat Penasihat Pendidikan (Central Advisory Committee) (CAC) untuk mengkaji semula polisi pendidikan yang terdapat di Tanah Melayu[20]. Jawatankuasa ini diketuai oleh Maxwell R. Holgate[30], dan laporan diterbitkan buat kali pertama kepada Majlis Perundangan sekitar tahun 1950. Laporan ini tidak menyentuh langsung mengenai sistem pendidikan Cina, malah mengusulkan cadangan penggunaan sistem pendidikan Inggeris secara meluas bagi menyelesaikan isu pendidikan vernakular[31]. Laporan Barnes yang diterbitkan pada tahun 1951 pula disediakan oleh Jawatankuasa Barnes memperkenalkan sekolah kebangsaan[29] dan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara[32] di sekolah dibantah oleh kebanyakkan masyarakat Cina kerana beranggapan ianya akan menghapuskan sekolah Cina[16]. Tambahan pula, tiada wakil dari pemimpin Cina dalam jawatankuasa tersebut.
Golongan pendidik Cina di Tanah Melayu antara yang paling lantang membantah cadangan dan usul yang dikemukakan dalam Laporan Barnes[33]. Kesan daripada bantahan ini, pertubuhan Jiao Zong atau nama lainnya Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Se-Malaya ditubuhkan pada bulan Disember 1951[30][13]. Pertubuhan Jiao Zong merupakan gabungan persatuan pendidik Cina di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara[34]. Pengerusi Jiao Zong, Lim Lian Geok, merupakan antara yang bergiat secara aktif memperjuangkan pendidikan Cina agar ianya tidak dihapuskan di masa akan datang[30].
Misi Dr. Fenn dan Dr. Wu
Bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai sistem pendidikan Cina, kerajaan Tanah Melayu British melalui pejabat kedutaan British di Amerika Syarikat menjemput Dr. William P. Fenn untuk mengetuai misi berkaitan dengan pandangan terhadap pendidikan Cina di Tanah Melayu. Dr. Fenn merupakan seorang pensyarah universiti di Beijing, China berbangsa Amerika Syarikat yang memiliki pengalaman luas dalam sistem pendidikan Cina[35]. Beliau dibantu oleh Dr. Wu Teh-yao[1], di mana mereka berdua telah bekerjasama ketika di China sejak beberapa tahun lalu. Dr. Fenn dilaporkan tiba di Kuala Lumpur pada bulan Februari 1951 untuk memulakan misi ini, manakala Dr. Wu pula tiba di Tanah Melayu beberapa hari kemudian[35].
Selain Kuala Lumpur, Dr. Fenn juga berada di beberapa tempat seperti di Seremban, Kuala Pilah, Ipoh[36], Pulau Pinang dan Johor Bahru[37], di mana beliau melawat beberapa sekolah Cina yang terdapat di situ. Dr. Fenn dan Dr. Wu juga melakukan perjumpaan dengan komuniti Cina tempatan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan untuk menambahbaik sistem pendidikan Cina sedia ada[36]. Misi ini telah berjalan selama dua bulan dan Dr. Fenn serta pembantunya, Dr. Wu merancang untuk menyiapkan laporan penuh apabila mereka tiba di Amerika Syarikat[38].
Intipati laporan
Objektif
Menurut Laporan Fenn-Wu, objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang diharap membawa kepada sumbangan yang lebih besar oleh sekolah-sekolah Cina kepada negara Tanah Melayu yang bebas dan berbilang kaum[39]. Berbanding Laporan Barnes yang mengkaji sistem pendidikan secara menyeluruh, kandungan Laporan Fenn-Wu lebih kepada kajian terhadap sistem pendidikan Cina[32] dan menyentuh mengenai perkara-perkara berikut:
- Menambahbaik isi kandungan buku-buku teks Cina supaya ianya bercirikan tempatan[40]
- Menambahbaik gaji dan elaun untuk pendidik Cina[38]
- Menambahbaik kaedah kursus latihan perguruan[9]
Bagi mencapai objektif ini, Dr. Fenn dan Dr. Wu mengadakan beberapa siri jelajah ke sekolah-sekolah Cina dan berjumpa dengan komuniti Cina tempatan. Soal selidik juga telah dijalankan bersama masyarakat tempatan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu[38].
Analisis
Laporan Fenn-Wu mengandungi hasil kajian yang telah dijalankan Dr. Fenn dan Dr. Wu selama dua bulan mereka berada di Tanah Melayu[35]. Terdapat subtopik yang dipanggil "Malayanisasi", di mana Laporan Fenn-Wu memberi hujah yang lebih terperinci terhadap usaha pihak yang ingin membentuk persekitaran ini[41]. Laporan tersebut menyatakan bahawa tidak pernah wujud tradisi Malaya seperti yang digembar-gemburkan, namun terdapat empat tradisi yang berbeza yang terdapat di Tanah Melayu dan setiap satunya memiliki kebudayaan, bahasa dan kepercayaan yang berbeza-beza.
Oleh itu, laporan ini berpendapat bahawa proses "Malayanisasi" yang ingin dijalankan kepada masyarakat Cina bererti menyuruh mereka menjadi lebih kemelayuan[42], dan mereka tidak berniat untuk melakukannya. Setiap amalan tradisi mempunyai banyak ciri-ciri yang boleh ditawarkan kepada pembentukan negara Tanah Melayu, maka Laporan ini berpendapat kepelbagaian tradisi memungkinkan proses negara bangsa dibangunkan dengan sebaiknya, berdasarkan kepada nilai-nilai positif yang terdapat daripada tradisi-tradisi ini[42].
Laporan Fenn-Wu juga menyebut mengenai kelemahan polisi kerajaan Tanah Melayu British yang memaksa komuniti Cina membangunkan sekolah mereka sendiri dan meminggirkan sekolah-sekolah ini[12]. Sekolah-sekolah ini dikritik kerana menjalankan sistem pendidikan yang lebih bercirikan Tanah Besar China. Namun begitu, Laporan ini berpendapat sekolah-sekolah ini tidak lagi lebih terarah kepada China, sebaliknya ia sama sahaja seperti sekolah Inggeris yang lebih kebaratan, sekolah Melayu yang berorientasikan Melayu atau sekolah Tamil yang berorientasikan India. Selain itu, Laporan ini juga berpendapat bahawa sekolah Cina akan terus berada di Tanah Melayu selama mana yang mungkin[8], di mana jika terdapat sebarang usaha untuk menghapuskan sistem pendidikan Cina ini, akan ada generasi yang berazam untuk terus memeliharanya[16].
Penggunaan bahasa juga disentuh dalam laporan ini dan dikategorikan kepada tiga peringkat. Di tempat pertama, bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi di Tanah Melayu dan merupakan subjek wajib yang perlu diajar di sekolah-sekolah[43]. Penggunaan bahasa Melayu juga bukan setakat terhad di Tanah Melayu, malah ianya digunakan di seluruh Alam Melayu. Bagi masyarakat Cina di Tanah Melayu, penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian merupakan salah satu elemen yang membolehkan komunikasi secara berkesan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, dan mereka menerima status subjek bahasa Melayu sebagai subjek wajib diajar di sekolah Cina sejak dua tahun yang lalu[31].
Di tempat kedua, bahasa Inggeris telah diiktiraf sebagai bahasa global dan digunakan secara meluas sebagai bahasa korporat di Tanah Melayu. Sebagai bahasa global, cabang-cabang ilmu seperti sains, peradaban dunia, ekonomi, politik dan sosial sudah tersedia dan tidak perlu diterjemah dan diolah[43]. Bagi masyarakat Cina di Tanah Melayu, mereka sedar akan pentingnya bahasa Inggeris dan peka akan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah Cina[44].
Di tempat ketiga pula, bahasa Cina tidak kurang pentingnya kerana bahasa ini telah wujud bertahun lamanya dan ianya kunci kepada pemahaman akan salah satu daripada peradaban dunia yang terhebat dalam sejarah[43]. Kaum-kaum lain di Tanah Melayu juga mendapat faedah jika mempelajari bahasa Cina.
Laporan Fenn-Wu ada juga menyebut mengenai pengaruh Tanah Besar China dalam sistem pendidikan Cina, terutamanya dalam isi kandungan buku teks yang sedang digunakan[44]. Pengaruh politik luar dalam apa jua bentuk sekalipun tidak sepatutnya dicampuradukkan dalam persekitaran sekolah Cina dan buku teks juga perlu digubal supaya isi kandungannya sesuai dengan suasana di Tanah Melayu[44].
Cadangan
Beberapa cadangan telah dilontarkan dalam laporan ini, berdasarkan kepada perkara-perkara yang telah disentuh dalam bahagian Objektif. Buku-buku teks pendidikan Cina disarankan digubal supaya ianya tidak mengikuti kandungan yang terdapat dalam buku teks yang digunakan di China. Buku teks untuk pendidikan rendah seharusnya mengandungi pelajaran berkaitan sosial, nilai-nilai murni dan etika.
Selain itu, laporan ini juga menyarankan agar diwujudkan sebuah jawatankuasa berkaitan semakan dan penggubalan buku teks bagi penggunaan di sekolah Cina dan diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan selama dua tahun. Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam menggubal buku teks Cina supaya isi kandungannya lebih terkini dan berfokuskan Tanah Melayu[14], di samping mengekalkan ciri-ciri Cina itu sendiri.
Masalah kekurangan guru terlatih di sekolah Cina pula boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek dan panjang. Untuk jangka masa pendek, Laporan ini mengesyorkan agar mengimport guru-guru pakar dari China, di mana sebahagian besar daripada mereka akan mengetuai kursus ulang kaji perguruan di peringkat kebangsaan, mungkin untuk jangka masa tujuh bulan, dan dihadiri oleh beberapa orang guru dan pentadbir sekolah terpilih di seluruh negara[31].
Kursus ini akan menekankan mengenai kaedah pembelajaran yang lebih moden, aktiviti praktikal dan lawatan. Kursus ini juga menggalakkan guru-guru dan pentabir berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapi sepanjang mereka berada di sekolah. Selepas tamat kursus ini, guru-guru dan pentadbir akan kembali ke sekolah mereka masing-masing dan mereka ini dikehendaki menjalankan kursus yang sama kepada guru-guru lain[31]. Untuk jangka masa panjang pula, kolej perguruan untuk semua kaum disarankan ditubuhkan bagi memenuhi keperluan sekolah-sekolah di Tanah Melayu.
Dalam konteks bahasa pula, Laporan ini menyarankan agar murid-murid yang baru memasuki alam persekolahan untuk mempelajari bahasa ibunda mereka dahulu. Ini bermakna bagi murid-murid Cina, pembelajaran dalam bahasa Cina hendaklah dilakukan semasa mereka berada di tahun pertama dan kedua[42]. Apabila mereka menginjak ke tahun ketiga, mereka boleh diperkenalkan kepada bahasa kedua. Bahasa Inggeris disarankan dipelajari bermula tahun ketiga kerana bahasa ini jarang dipertuturkan dalam kehidupan seharian, berbanding dengan bahasa Melayu di mana kebanyakan murid-murid ini mempelajarinya ketika mereka bergaul dengan rakan-rakan dari kaum lain di luar sekolah. Manakala, bahasa Melayu pula boleh mula diajarkan bermula pada tahun kelima.
Pendidikan rendah | Pendidikan menengah | |||||
---|---|---|---|---|---|---|
Tahun Satu | Tahun Dua | Tahun Tiga | Tahun Empat | Tahun Lima | Tahun Enam | Umum |
|
|
|
|
|
|
Pilihan dua bahasa berikut:
|
- Sekolah vernakular iaitu sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Melayu dibenarkan beroperasi dan menggunakan tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil dan bahasa kebangsaan juga diadakan.
- Sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan (Sekolah Inggeris) dikekalkan.
- Sekolah-sekolah vokasional terus dikembangkan untuk menampung keperluan tenaga pekerja mahir yang diperlukan untuk pembangunan negara Persekutuan Tanah Melayu / Malaysia.
Rujukan
- ^ a b c The Fenn-Wu Report Is Published Jun 1951, National Library Board Singapore, dicapai pada 18 Disember 2022
- ^ Mior Jamaluddin, Mior Khairul Azrin (20 Mei 2011). "Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional". SOSIOHUMANIKA: Jurnal Pendidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan. 4 (1 (Mei 2011)): 33–48. ISSN 1979-0112. Dicapai pada 6 Januari 2023.
- ^ a b Balakrishnan, Pravindharan (15 Ogos 2019). "Create education system that's ours". NST. Dicapai pada 18 Disember 2022.
- ^ a b Kia Soong, Kua (14 Ogos 2019). "Celebrating 200 years of Chinese education". MalaysiaKini. Dicapai pada 18 Disember 2022.
- ^ Liok Ee, Tan (20 Mei 2011). "Tan Cheng Lock and the Chinese Education Issue in Malaya". Journal of Southeast Asian Studies. 19 (1 (Mac 1988)): 48–61. Dicapai pada 7 Januari 2023.
- ^ Selvadurai, Sivapalan; Puay Liu, Ong; Mohd Radzi, Marsitah; Puay Hoon, Ong; Puay Tee, Ong (14 Disember 2016). "Debating education for nation building in Malaysia: National school persistence or vernacular school resistance?". GEOGRAFIA Malaysian Journal of Society and Space. 11 (13): 14–23. ISSN 2180-2491. Dicapai pada 6 Januari 2023.
- ^ VERNACULAR EDUCATION IN MALAYSIA (PDF), Centre for Public Policy Studies, dicapai pada 18 Disember 2022
- ^ a b Sugimura, Miki, Universalization of Primary Education in the Context of Multi-Ethnic Society: The Case of Malaysia (PDF), IDE-JETRO, dicapai pada 18 Disember 2022
- ^ a b Abu Hassan, Muhammad Ikram. "Education in Malaysia Before Independence and Its Implications for The Unification of Malaysian Society". Turkish Journal of Computer and Mathematics Education. 12 (7 (2019)): 3381–3386. ISSN 1985-0611. Dicapai pada 18 Disember 2022.
- ^ "[COLUMNIST] Educations post-colonial legacies perpetuates divide and rule agenda". Astro Awani. 10 November 2022. Dicapai pada 18 Disember 2022.
- ^ a b Guotu, Zhuang. "The Overseas Chinese: A long history". The UNESCO Courier (2021 (4)). ISSN 2220-2293. Dicapai pada 19 Disember 2022.
- ^ a b R. Raman, Santhiram; Yao Sua, Tan (23 Oktober 2015). "The Development of Chinese Education in Malaysia: Problems and Challenges". 2015 (2). Dicapai pada 5 Januari 2023. Cite journal requires
|journal=
(bantuan) - ^ a b c Chee Ang, Ming. "The Chinese Education Movement in Malaysia" (PDF). Consejo Lationamericano de Ciencias Sociales. Dicapai pada 19 Disember 2022.
- ^ a b Abdullah, Nur Atiqah Tang; Puay Liu, Ong (2017), Latar Belakang Sejarah Sistem Pendidikan dan Masyarakat Majoriti Minoriti di Malaysia (PDF), ICIP UKM, m/s. 74-100, dicapai pada 19 Disember 2022
- ^ a b c Mariasoosay, Thanaraj (4 Mac 1998). Perspectives on language policies in Malaysia (Master). School of Education, University of Durham. Dicapai pada 18 Disember 2022.
- ^ a b c Uslim, Nazri M; Aris, Helimy; Abdul Hamid, Haryate (10 Mei 2022). "Analysis of Ethnic Unity in The School Level Education System in Malaysia". International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences. 12 (5 (2022)): 1856–1866. doi:10.6007/IJARBSS/v12-i5/13891. ISSN 2222-6990. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ a b Tao, Liqing; Berci, Margaret; He, Wayne. "China Rises - Historical Background: Expansion of Public Education". New York Times. Dicapai pada 19 Disember 2022.
- ^ a b c Shanmugavelu, Ganesan; Ariffin, Khairi; Thambu, Nadarajan; Mahayudin, Zulkufli (1 Mac 2020). "Development of British Colonial Education in Malaya, 1816 - 1957". Shanlax International Journal of Education. 8 (2 (Mac 2020)): 10–15. doi:10.34293/education.v8i2.2072. ISSN 2582-1334. Dicapai pada 20 Disember 2022.
- ^ a b c Yok Fee, Lee. "CHINESE EDUCATION AND CHINESE IDENTITY IN MALAYSIA". Historia: Jurnal Pendidik dan Peneliti Sejarah. 10 (2 (2009)): 11–25. doi:10.17509/historia.v10i2.12218. ISSN 2620-4789. Dicapai pada 19 Disember 2022.
- ^ a b c SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN PENDIDIKAN SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA DAN PENILAIAN BUKU TEKS (PDF), Perpustakaan Universiti Malaya, dicapai pada 20 Disember 2022
- ^ a b Xia, Nan; Yang, Yanan; Fee Lee, Yok (17 Mei 2018). "Chinese Education in Malaysia under Malaysian Ethnic Politics". Journal of Politics and Law. 11 (2 (2018)): 23–36. doi:10.5539/jpl.v11n2p23. ISSN 1913-9055. Dicapai pada 20 Disember 2022.
- ^ a b Comber, Leon. "Chinese Education -- Perennial Malayan Problem". Asian Survey. 1 (8 (Oktober 1961)): 30–35. doi:10.2307/3023673. Dicapai pada 7 Januari 2023.
- ^ a b Sivalingam, Ananda Devan (20 November 2020). "History of Malaysian Education System: Year 1824 to 2025". Social Sciences Education eJournal. doi:10.2139/ssrn.3735372. ISSN 1556-5068. Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ a b c Yaacob, Norazlan Hadi; Kassim, Faezah; Maslan@Baharudin, Aiza. "The Development Of Chınese Educatıon In Federated Malay States Before The Second World War". International Journal of Advanced Science and Technology. 29 (8 (2020)): 3980–3992. Dicapai pada 20 Disember 2022.
- ^ a b Noel, Wong (15 Ogos 2022). "The forgotten WW2 Sook Ching massacre of Malaya". FMT. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ Sheau Wen, Ong (2019). "Understanding Japanese Policy for Malaya from the Perspective of Nihonjinron". EDUCATUM – Journal of Social Science (EJOSS). 5 (1 (2019)): 37–44. doi:10.37134/ejoss.vol5.1.5.2019. ISSN 2462-2443. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ a b c Lee, Coral (Mei 2005). "Guardian of Our Souls--A Century of Chinese Education in Malaysia". Taiwan Panorama. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ a b Yaakop, Mohd Rizal (12 Oktober 2010). "Malaysian Communist Party (MCP) Explaining its Early Political Orientation". doi:10.2139/SSRN.1690230. Dicapai pada 22 Disember 2022. Cite journal requires
|journal=
(bantuan) - ^ a b Gaudart, Hyacinth (30 November 2021). "English Language Teaching In Malaysia: A Historical Account" (PDF). The English Teacher. XVI (December 1987). Dicapai pada 12 Disember 2022.
- ^ a b c Yao Sua, Tan (22 Ogos 2011). "Perkembangan Pendidikan di Malaysia: Peranan Lim Lian Geok dan Aminuddin Baki". ngan Pendidikan di Malaysia Jurnal Terjemah Alam & Tamadun Melayu. 1 (2009): 139–166. ISSN 2180-043X. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ a b c d Fennell, Thomas Rixon (Januari 1968). Commitment to change : a history of Malayan educational policy, 1945-1957 (PhD). University of Hawaii. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ a b Yao Sua, Tan. "Politik dalam Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung Malaysia: Satu Perspektif Hubungan Etnik Majoriti-Minoriti". Jurnal Pendidik dan Pendidikan. 16 (1998/1999): 115–141. ISSN 2289-9057. Dicapai pada 22 Disember 2022.
- ^ "Ada apa dengan sekolah Cina?". MalaysiaKini. 30 Ogos 2019. Dicapai pada 6 Januari 2023.
- ^ Salleh, Morni Hanim; Samsudin, Mohd; Mansor, Suffian (10 Mei 2022). "Penglibatan organisasi badan bukan kerajaan dalam pendidikan di Tanah Melayu, 1920-1950-an". Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies. 46 (2 (Disember 2019)): 118–149. ISSN 2180-0251. Dicapai pada 3 Januari 2023.
- ^ a b c "Education Mission Arriving KL Today". Singapore Standard. 22 Februari 1951. m/s. 3. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ a b "U.S. MISSION IN IPOH". The Straits Times. 14 Mac 1951. m/s. 8. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ "Singapore may get their advice too". The Straits Times. 10 April 1951. m/s. 7. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ a b c "Fenn Mission Ends Survey Of Education". Singapore Standard. 13 April 1951. m/s. 3. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ Yao Sua, Tan (Mei 2010), CHINESE LANGUAGE MOVEMENT IN MALAYSIA, 1952-1967: THE NEXUS OF LANGUAGE AND ETHNICITY IN A PLURAL SOCIETY, CenPRIS USM, dicapai pada 6 Januari 2023
- ^ "'Malaya Must Keep Chinese Culture'". The Straits Times. 28 Februari 1951. m/s. 8. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ Lindblad, J. Thomas (23 Oktober 2015). "A MALAYSIAN PERSPECTIVE ON DECOLONIZATION: LESSONS FOR INDONESIA?". Jurnal Masyarakat Indonesia. 39 (2 (2013)): 341–360. doi:10.14203/jmi.v39i2.600. ISSN 2502-5694. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ a b c Ching Oong, Hak (Oktober 1993). British policy and Chinese politics in Malaya 1942-1955 (PhD). The University of Hull. Dicapai pada 5 Januari 2023.
- ^ a b c Hock Guan, Lee; Suryadinata, Leo (2007). Language, Nation and Development in Southeast Asia. Singapura: Institute of Southeast Asian Studies. ISBN 978-981-2304-83-4.
- ^ a b c Purcell, Victor. "The Crisis in Malayan Education". Pacific Affairs. 26 (1 (Mac 1953)): 70–76. Dicapai pada 7 Januari 2023.