Beaufort بعوفورت | |
---|---|
Transkripsi lain | |
• Jawi | بعوفورت |
Etimologi: Diambil daripada Gabenor bernama Leicester P. Beaufort | |
Cogan kata: Berkhidmat Untuk Masyarakat | |
Koordinat: 5°20′N 115°45′E / 5.333°N 115.750°EKoordinat: 5°20′N 115°45′E / 5.333°N 115.750°E | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Sabah |
Bahagian | Bahagian Pedalaman |
Ditubuhkan | 1898 |
Daerah | Beaufort |
Pentadbiran | |
• Badan | Majlis Daerah Beaufort |
• Pegawai Daerah | Mohd Shaid Hj. Othman |
• Pegawai Eksekutif Majlis Daerah | Mohd Fawzi Bin Abdul Kadir |
• MP | Yang Berhormat Datuk Siti Aminah Aching (BN-UMNO) (Beaufort) |
Keluasan | |
• Jumlah | 1,735 km2 (670 batu persegi) |
Penduduk (2010) | |
• Jumlah | 12,742 |
Zon waktu | MST |
Kod kawasan | 087 |
Tamu Mingguan | Jumaat dan Sabtu |
Nombor plat | SB |
Laman sesawang | mdbft.sabah.gov.my/ ww2.sabah.gov.my/pd.bft/ |
Beaufort adalah merupakan salah sebuah bandar di daerah Beaufort, Bahagian Pedalaman, Sabah, Malaysia. Penduduknya dianggarkan sekitar 12,742 pada 2010. Di pekan ini terdapat rumah kedai yang telah dibina sejak zaman British lagi. Pada asalnya pekan dan daerah ini ditubuhkan bagi membantu meningkatkan ekonomi pendalaman Borneo Utara. Pada awalnya aktiviti ekonomi daerah ini berdasarkan getah. Semasa Perang Dunia II, ia merupakan salah satu tapak pertempuran antara tentera Jepun dan Australia di Sabah.
Etimologi
Asal-usul nama Beaufort
Asal-usul nama Beaufort dihasilkan sempena memperingati seorang gabenor bernama Leicester P. Beaufort yang pernah mentadbir negeri Sabah pada tahun 1896 sehingga 1900. Sebelum ini, pekan ini dinamakan Padas bersempena dengan nama sungai Padas yang mengalir di Daerah ini.
Sejarah
Pada mulanya, Tapak Pekan Beaufort telah dipilih oleh Encik William Clake Cowie yang merupakan seorang Pegawai Syarikat Borneo Utara British yang juga merupakan pengarah Urusan Syarikat itu pada Januari 1898. Tapak yang sebenarnya tidak didiami ini telah dibuka untuk mendirikan sebuah perhentian keretapi berdekatan dengan Teluk Brunei. Pekan Beaufort telah berkembang sebelah menyebelah sungai padas. Oleh sebab itu, ia terbahagi kepada dua bahagian masing-masing mempunyai stesen keretapi, rumah-rumah kediaman pegawai kerajaan dan bangunan-bangunan kedai. Bahagian Barat Beaufort menguruskan stesen keretapi yang menuju ke Bukau dan Weston, manakala bahagian timur pula menghubungkan Kota Kinabalu dan Tenom.
Beaufort juga dijadikan pusat pentadbiran Kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Seorang Pegawai Daerah telah ditugaskan untuk mengurus pentadbiran Beaufort dan kawasan-kawasan yang berhampiran termasuk Kuala Penyu, Membakut, menumbok dan Klias.
Kegiatan pertanian merupakan aktiviti utama penduduk Beaufort. Penanaman sagu telah giat diusahakan oleh penduduk tempatan dan juga pengusaha Eropah. Namun pada awal abad ke 20, penanaman sagu telah diketepikan oleh ladang-ladang sagu seperti ladang Woodford dengan menumpukan perhatian terhadap penanaman getah yang pada masa itu mendatangkan pendapatan yang amat lumayan kepada pengusahanya. Kemajuan dalam industri getah pada masa itu telah menyumbang kepada perkembangan bandar Beaufort sehingga dikenali sebagai “Bandar Getah”. Ini kerana kebanyakkan ladang-ladang getah telah dibuka dan stesen keretapi pula sibuk menguruskan bahan-bahan berkaitan dengan industri getah.
Pada masa lalu, penduduk Beaufort menggunakan sungai sebagai kemudahan perhubungan, satu satunya sungai yang terpenting pada waktu itu ialah sungai Padas dan Sungai Klias. Segala hasil pengeluaran penduduk diangkut menggunakan perahu untuk dibawa ke pekan. Keistimewaan pada sungai tersebut ialah boleh menghubungkan beberapa buah daerah. Sungai Padas contohnya menghubungkan Daerah Tenom, Sipitang, dan Weston, sementara Sungai Klias Menghubungkan Menumbok. Ini memudahkan penduduk pada masa itu membawa hasil pengeluaran barangan ke daerah-daerah tersebut. Selain itu, pembinaan landasan keretapi pada tahun 1900 oleh Chartered Company, Beaufort ke Jesselton (Kota Kinabalu), beaufort ke Tenom dan Weston ke Beaufort juga telah memudahkan perhubungan pada masa itu. Landasan Keretapi Weston ke Beaufort telah ditamatkan pada tahun 1963 apabila permulaan pembinaan jalan raya dari beaufort ke weston dan ke sipitang telah siap.
Semasa meletusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 banyak infrastruktur landasan telah rosak. Akibatnya landasan antara Tenom ke Melalap telah ditutup dan seterusnya dari Beaufort ke Bukau setelah pelabuhan Kota Kinabalu menjadi pelabuhan utama British North Borneo Chartered Company.
Landasan keretapi pertama dibina dari Bukau Ke Weston sepanjang 37 km dan dari Beaufort ke Melalap sepanjang 65 Km.
Seperti bandar-bandar lain di sabah, Beaufort tidak terkecuali dari dimusnahkan akibat pengeboman yang dilakukan oleh Askar Australia semasa perang Dunia Kedua. Oleh itu, terdapat Tugu Peringatan Starcevich di Beaufort yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Daerah Beaufort.
Struktur bangunan
Pekan Beaufort dikenali sebagai pekan tertua dan terkenal dengan sejarah penubuhannya iaitu oleh BNBC (British North Borneo Company).[1] Pada awal pembukaan pekan ini, telah dibina 2 buah deret rumah kedai yang dibuat daripada kayu, pejabat daerah, sebuah stesen keretapi yang beratapkan daun nipah dan sebuah balai polis.[1] Pembinaan pertama rumah kedai bagi Pekan Beaufort adalah seawal tahun 1920. Pembinaan rumah kedai di pekan Beaufort adalah berdepan dengan stesen keretapi Beaufort.[1] Pembinaan dua deret rumah kedai yang pertama di pekan ini pada awal pembinaannya diperbuat daripada kayu.[1] Pasca Perang Dunia Kedua terdapat penambahan pada deretan kedai di pekan Beaufort iaitu enam buah deret kedai telah dibina semasa pasca Perang Dunia Kedua.[1] Walau bagaimanapun, kebakaran yang telah berlaku menyebabkan dua buah deret rumah kedai mengalami kemusnahan.[1] Pada hari ini, pekan Beaufort hanya mempunyai empat deret rumah kedai yang masih berdiri dengan utuh dan stabil.[1]
Kemudahan awam
Beaufort juga merupakan salah satu perhentian Kereta Api Negeri Sabah. Khidmat perubatan turut dibekalkan oleh hospital kerajaan. Terdapat juga tiga klinik swasta dalam kawasan bandar. Kawasan ini biasanya dilawati oleh pelancong dengan tujuan ingin berakit melalui Jeram Padas di Sungai Padas.
Kemudahan lain
- Hospital Beaufort
- Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort
- Balai Bomba Beaufort
- Perpustakaan Negeri Sabah, Beaufort
- Kompleks Sukan Beaufort
- Mahkamah Majistret dan Mahkamah Syariah
Bandar Berkembar
Selain itu, Beaufort merupakan bandar berkembar kepada Beaufort, Carolina Utara.[2]
Budaya
Tamu
Di sini juga terdapat pasar terbuka yang dikenali sebagai tamu. Ianya diadakan setiap minggu pada petang Jumaat sehingga petang Sabtu. Pelbagai hasil keluaran tempatan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, daging, dan ayam hidup dijual. Hari tamu tersebut diadakan berbeza dari daerah lain. Beaufort juga terkenal dengan hidangan mee cinanya yang dikenali sebagai Mee Beaufort, yang dihidangkan secara kering atau berkuah.
Kawasan pilihan raya
Parlimen | Ahli Parlimen | Parti |
---|---|---|
Beaufort | Siti Aminah Aching | BN-UMNO |
Sipitang | Matbali Musah | GRS-GAGASAN |
Kimanis | Mohamad Alamin | BN-UMNO |
Dewan Undangan Negeri Sabah | Ahli Dewan Undangan Negeri | Parti |
---|---|---|
Klias | Isnin Aliasnih | GRS-GAGASAN |
Lumadan | Ruslan Muharam | GRS-PBS |
Membakut | Mohd Arifin Mohd Arif | GRS-GAGASAN |
Rujukan
- ^ a b c d e f g Elsapaula Anak, Rejim (2019). "Rumah Kedai Bersejarah di Pantai Barat Sabah: Isu Pemeliharaan, Perlindungan dan Alternatif Cadangan". Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. 4: 152–160 – melalui (MJ - SSH).
- ^ "Beaufort, North Carolina Sister Cities". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-28. Dicapai pada 2008-07-15.
Pautan luar
- Pejabat Daerah Beaufort
- Majlis Daerah Beaufort
- Kategori berkenaan Beaufort di Wikimedia Commons