Tawau | |
|---|---|
Bahagian, daerah dan bandar utama | |
Dari kiri atas ikut pusingan jam: Mercu tanda Tawau (Tawau Signboard) di Jalan Persisiran (orang sekitar memanggil "Highway"), Masjid Al-Khauthar di Bandar Tawau, bangunan Eastern Plaza di kawasan Kuhara Point dan bangunan terminal Lapangan Terbang Tawau Baharu di Laluan Persekutuan 13 (Sabah) (Jalan Apas) | |
| Cogan kata: Bumi Peladang | |
| Koordinat: 4°14′33.4″N 117°53′33.16″E / 4.242611°N 117.8925444°E | |
| Negara | |
| Negeri | |
| Bahagian | Bahagian Tawau |
| Pentadbiran | |
| • Badan | Majlis Perbandaran Tawau |
| • Presiden Majlis | Pang Pick Lim @ Joseph |
| • Yang di-Pertua Negeri | TYT Tun Musa Aman |
| • Ketua Menteri | YAB Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-GAGASAN) |
| • MP |
|
| • ADUN | Dalam Parlimen Tawau:
Dalam Parlimen Kalabakan:
|
| Keluasan | |
| • Jumlah | 2,240 km2 (- batu persegi) |
| Penduduk (2020)[1] | |
| • Jumlah | 372,615 |
| • Kepadatan | 166/km2 (430/batu persegi) |
| Zon waktu | UTC+8 (MST) |
| • Musim panas (DST) | Tidak dipatuhi |
| Poskod | 91xxx |
| Kod kawasan | 089 |
| Laman sesawang | Laman web rasmi MPT |
Tawau (Jawi: تو, singkatan TWU) merupakan sebuah bahagian, daerah dan juga salah satu bandar utama di Sabah, Malaysia. Daerah Tawau terletak di tenggara negeri Sabah dan merupakan salah satu daripada lima daerah dalam Bahagian Tawau. Tawau kini merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.[2] Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu sejauh 500 km dan negeri lain seperti Kuching, Sarawak sejauh 1530 km. Laluan udara melalui Lapangan Terbang Tawau dan laut melalui Pelabuhan Tawau. Manakala laluan laut penumpang antarabangsa menjadi pilihan ke Tarakan dan Nunukan, Indonesia boleh dihubungkan melalui Terminal Feri Tawau. Titik penamat bagi Lebuhraya Pan Borneo di Serudong (bersebelahan dengan Pos Kawalan Sempadan Malaysia-Indonesia).
Tawau ditadbir sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT).[3] Pusat pentadbirannya terletak di kawasan Bandar Tawau.
Sejarah

Sebelum kedatangan British
Sejarah Awal Tawau
Asal-usul awal kewujudan Tawau tidak dapat dipastikan secara jelas. Nama Tawau telah direkodkan dalam peta seawal tahun 1857, namun tiada bukti kukuh menunjukkan wujudnya penempatan tetap sebelum tahun 1879. Walau bagaimanapun, catatan setempat menunjukkan bahawa kawasan tersebut telah dihuni oleh sebuah perkampungan kecil yang terdiri daripada kira-kira 200 orang penduduk, kebanyakannya daripada masyarakat Melayu berketurunan Tidung dan Suluk.
Mengikut sejarah lisan, semasa Tawau wujud sebagai sebuah perkampungan nelayan lebih seratus tahun dahulu, terdapat juga satu penempatan Melayu Islam tertua di kawasan Kalabakan yang ketika itu berada di bawah naungan Kesultanan Bulungan–Tarakan. Pemimpin penempatan tersebut ialah Bujong Seripa, sebelum digantikan oleh adiknya Imam Salleh pada tahun 1923 sehingga 1958. Tidak jauh dari Kalabakan, satu lagi penempatan lama wujud di Serudong yang diasaskan oleh Datu Alun, seorang kerabat diraja Kesultanan Bulungan yang berhijrah bersama pengikutnya. Kini, yang tinggal daripada penempatan itu hanyalah kawasan perkuburan bersejarah.
Selain Kesultanan Sulu yang menguasai wilayah utara Borneo, beberapa kawasan berhampiran Tawau turut berada di bawah pentadbiran Kesultanan Bulungan (berpusat di Tanjung Palas) dan Kerajaan Tidung Tengara (berpusat di Tarakan).
Pemimpin Tempatan Sebelum Era SBUB
Sebelum kehadiran British, terdapat beberapa tokoh Melayu tempatan yang berpengaruh dan dihormati masyarakat. Antaranya termasuklah:
- Imam Sabah (Apas) – pemimpin masyarakat di kawasan Apas.
- Bujong Seripa (Kalabakan) – pemimpin Kalabakan yang kemudian digantikan oleh adiknya, Imam Salleh.
- Datu Alun (Serudong) – pengasas penempatan Serudong dan kerabat diraja Kesultanan Bulungan.
Beberapa tokoh lain turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi awal Tawau:
- Haji Milo – pedagang Bugis yang mengusahakan kedai runcit dan kegiatan perikanan.
- Mandor Libuh – kontraktor pembalakan dari Brunei yang memperoleh konsesi kerja pembalakan.
- Rajiki – tokoh masyarakat Suluk yang memiliki tanah di bahagian timur bandar serta terlibat dalam kegiatan mencari hasil hutan dan mengusahakan kuari kerajaan.
- Ganin – peniaga Melayu Kelantan yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar, serta seorang nelayan.
- Timbol – tokoh Tidung di Apas yang memiliki tanah di kawasan bandar Tawau.
- Mandor Matasan – warga Melayu Indonesia yang bekerja dalam industri pembalakan dan memiliki kontrak kuari kerajaan.
- Dullah – masyarakat Melayu Brunei yang mengusahakan sebuah kedai biliard.
- Taha – masyarakat Cina Muslim dari Brunei yang bekerja sebagai pemotong kayu balak serta bertugas membaiki talian telegraf.
- Manunda – masyarakat Suluk yang terkenal sebagai petani dan hartawan.
- Haji Mohamad Noor – tokoh Bugis–Tidong yang memperoleh kontrak pembinaan Pelabuhan Baharu bernilai $150 dan memiliki banyak tanah sekitar bandar.
- Inche Alang – tokoh Melayu Sumatra yang berharta dan memiliki banyak tanah di kawasan Sin On, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan masjid setempat.
Walaupun tokoh-tokoh ini merupakan pemimpin masyarakat Melayu yang berpengaruh, kedudukan mereka tidak diiktiraf secara rasmi oleh pentadbiran British. Sumbangan mereka kekal sebagai sebahagian daripada sejarah lisan masyarakat Melayu Tawau.
Keadaan Tawau Sebelum Pemodenan
Pada ketika itu, Tawau hanyalah sebuah kampung kecil yang belum dimajukan. Penduduknya dianggarkan seramai 200 orang yang tinggal di rumah-rumah kampung di sepanjang tebing Sungai Tawau dan kawasan kuala sungai. Sebahagian besar kawasan sekitarnya masih diliputi hutan tebal tanpa sebarang pembangunan rasmi seperti pejabat pentadbiran British atau penerokaan tanah untuk pertanian berskala besar.
Sebelum campur tangan British, Tawau berada di bawah naungan Kesultanan Sulu yang ketika itu mempunyai pengaruh kuat di wilayah utara Borneo.
Semasa era penjajahan Syarikat Borneo Utara British (1898-1941)

Alexander R. Dunlop dan Pembentukan Pentadbiran Awal Tawau
Alexander Rankin Dunlop merupakan Residen Inggeris pertama yang bertugas di Tawau. Beliau memulakan tugas pada 1 Mac 1898 setelah pihak pentadbiran Syarikat British Borneo Utara (North Borneo Chartered Company) melalui Gabenor di Sandakan menetapkan bahawa Tawau perlu dijadikan wilayah sah di bawah pentadbiran British, selaras dengan persetujuan dengan pihak Belanda yang turut berminat terhadap kawasan tersebut kerana kedudukannya yang strategik dan kaya dengan sumber arang batu.
Sebelum dilantik ke Tawau, Dunlop berkhidmat sebagai pegawai biasa di Lahad Datu bermula 16 Januari 1890. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Teluk Darvel pada 10 Mei 1898 sebelum diarahkan berpindah ke Tawau untuk membuka pentadbiran baharu.
Sebaik dilantik, Dunlop bukan sahaja menjadi Residen Inggeris pertama di Tawau, malah beliau juga perlu membina sendiri bangunan pejabat pentadbiran kerana kemudahan tersebut belum wujud pada masa itu.
Peranan Kee Kim Swee sebagai Perintis Pentadbiran
Sebelum Dunlop tiba, beliau telah mengarahkan seorang pegawai British berketurunan Sino-Dusun, Kee Kim Swee, yang ketika itu bertugas di Silam, untuk berpindah ke Tawau pada 16 Oktober 1894. Kee Kim Swee ditugaskan sebagai pemungut hasil dan cukai bagi pihak kerajaan British.
Pada waktu itu, hasil utama Tawau ialah rotan, damar, hasil laut serta cukai diri yang membuktikan penduduk tempatan berada di bawah naungan British. Kee Kim Swee menjalankan tugas dengan berkesan dan akhirnya menjadi sebahagian daripada masyarakat tempatan dengan memeluk agama Islam serta berkahwin dengan wanita Melayu.
Pembukaan Penempatan Baharu (1882)
Pada tahun 1882, sebagai usaha mengukuhkan pemilikan tanah di sempadan British–Belanda, Residen Inggeris di Sandakan, William Pryer, mengarahkan seorang ahli perniagaan tempatan bernama Puado untuk membuka kawasan hutan subur di sekitar Sungai Tawau. Ketika itu, kawasan tersebut hanya dihuni oleh sebuah penempatan kecil masyarakat pribumi.
Puado mengetuai 25 orang peneroka yang terdiri daripada suku Bugis Wajo (dari Kutai), Suluk (Tawi-Tawi), Bajau (Omadal) dan Tidung Bulungan (Bolongan) untuk membuka hutan dan menanam kelapa di kawasan tersebut. Sikap kepimpinan dan hubungan baik Puado dengan pelbagai kelompok masyarakat menyebabkan beliau dilantik sebagai Penghulu Tawau dan diiktiraf oleh kerajaan British.
Pembantu Pentadbiran di Bawah Dunlop
Semasa Dunlop berkhidmat di Tawau, dua tokoh tempatan memainkan peranan utama:
- Penghulu Puado – mengetuai urusan masyarakat tempatan.
- Kee Abdullah (Kee Kim Swee selepas memeluk Islam) – mengurus kewangan kerajaan harian.
Kerjasama mereka menjadikan pentadbiran British di Tawau berjalan lancar. Kee Abdullah kekal berkhidmat sehingga bersara dan dilantik sebagai OKK (Orang Kaya-Kaya) sehingga kematiannya pada 1936. Penghulu Puado pula meninggal dunia pada tahun 1902 dan digantikan oleh Sarip Ali. Cucu beliau, KK Dullah bin Salim Puado, menjadi ketua kampung pada tahun 1950-an.
Keadaan Awal Tawau
Pada penghujung abad ke-19, Tawau hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil di sekitar Kuala Sungai Tawau dengan penduduk kira-kira 200 orang. Terdapat beberapa ladang kelapa yang baru dibuka oleh kumpulan peneroka tajaan British, serta beberapa peniaga Cina seperti Leong Hap dan dua rakannya yang berasal dari Tanah Besar China.
Perjanjian Sulu–Inggeris (1878)
Pada 22 Januari 1878, satu perjanjian ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan pihak Inggeris yang menyerahkan kawasan sekitar Tawau kepada North Borneo Chartered Company. Menurut catatan The North Borneo Volume (1955–1965), sistem pentadbiran formal di Tawau bermula pada tahun 1898 apabila syarikat berpiagam British membuka penempatan dan membentuk asas pentadbiran tempatan di situ.
Tamatnya Perkhidmatan Dunlop dan Penggantinya
Dunlop berkhidmat di Tawau selama lima tahun sebelum kembali bertugas di Lahad Datu pada tahun 1903. Jawatannya diambil alih oleh pegawai Inggeris, John H. Molynex, sebagai Pegawai Daerah. Sebagai penghargaan, sebuah jalan utama di Tawau dinamakan Jalan Dunlop.
Infrastruktur dan Sosio Pentadbiran
Dengan kewujudan pemerintahan British di Tawau, pelbagai kemudahan asas mula dibangunkan seperti hospital, sekolah-sekolah, balai polis, rumah-rumah kedai, pelabuhan Tawau serta rangkaian jalan raya dan jalan kampung. Pembinaan ini dijalankan oleh Public Works Department (PWD) yang ketika itu banyak menggaji pekerja tempatan dari Tawau sendiri.
Hak dan keistimewaan masyarakat Melayu tempatan turut diiktiraf oleh Kerajaan British melalui pelantikan Penghulu atau OKK sebagai wakil rasmi penduduk tempatan untuk menyuarakan keperluan dan masalah rakyat. Penghulu pertama yang dilantik pada awal tahun 1900-an ialah OKK Kee Abdullah. Pada tahun 1950-an, jawatan tersebut digantikan oleh Penghulu OKK Abu Bakar, anak kepada OKK Kee Abdullah. Penghulu dan OKK bertanggungjawab mengurus pemberian geran tanah secara sah kepada penduduk tempatan di sekitar daerah Tawau sebagai jaminan hak keistimewaan masyarakat peribumi.
Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) pada tahun 1938 oleh OKK Kee Abu bakar Kee Abdullah bersama para pemimpin Melayu lain bertujuan memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu tempatan. Ahli-ahli PKMT inilah yang bersama Tun Datu Mustapha Datu Harun (Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama) melalui USNO memperjuangkan kemerdekaan Sabah melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Selain itu, penubuhan Persatuan Islam Tawau (PIT) pada tahun 1936 yang dipengerusikan oleh Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman menjadi asas kepada penubuhan USIA yang berperanan mengukuhkan syiar Islam di Tawau dan Sabah.
Walaupun kurang diketahui umum, penduduk Tawau sejak dahulu terdiri daripada masyarakat Melayu yang diiktiraf sebagai penduduk peribumi di bawah pentadbiran British. Pada tahun 1920-an, Mahkamah Anak Negeri mula beroperasi dengan keanggotaan Imam Mustapa, Habib Sheikh dan OKK Abdullah. Pelbagai tokoh telah berjasa kepada masyarakat, antaranya OKK Abdullah (sejak 1900), Habib Sheikh (sejak 1912), Imam Mustapa (sejak 1925), Habib Hussein (sejak 1932), Penghulu OKK Abu Bakar (sejak 1940), Haji Abdul Karim Haji Drahman (sejak 1959) dan Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan (sejak 1962).
Jawatan Penghulu di Tawau pernah disandang oleh anak-anak peribumi seperti OKK Kee Abdullah, OKK Kee Abu Bakar bin Kee Abdullah, OKK Zainal bin Kerahu, OKK Salleh bin Ajak, OKK Hj. Salleh bin Sailabi dan OKK Kee Ayub bin OKK Kee Abu Bakar. Masyarakat Melayu Tawau terdiri daripada gabungan pelbagai suku Melayu yang disatukan melalui perkahwinan, asimilasi, agama Islam dan bahasa Melayu Loghat Tawau yang telah digunakan selama ratusan tahun.
Penempatan awal orang-orang Suluk dan Tidung terletak di kawasan Tawau Lama di muara Sungai Tawau. Sebahagian besar mereka bekerja sebagai nelayan, pekebun kecil padi bukit, dan pengumpul hasil hutan seperti rotan dan damar. Sementara itu, penempatan awal di daerah Kalabakan diterajui oleh seorang ketua kampung yang merupakan menteri daripada Kesultanan Bulungan. Kaum Bugis Wajo pula sudah berhijrah ke Tawau seawal tahun 1885 di bawah pimpinan Penghulu Puado bersama 25 orang pengikutnya.
Pesempadanan Kawasan Tawau dengan Indonesia
Bagi mengelakkan perselisihan faham dengan pihak Belanda yang mentadbir Indonesia ketika itu, kerajaan British mengambil langkah menetapkan sempadan antara Tawau dan kawasan jajahan Belanda. Sempadan asal yang diserahkan oleh Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei terletak di bawah Sungai Sibuco berdekatan Tarakan, kawasan yang sudah mempunyai penduduk di bawah pentadbiran Belanda.
Pada tahun 1912, sebuah Suruhanjaya Sempadan ditubuhkan dengan penglibatan pegawai dari United Kingdom dan Belanda. Satu laporan bersama disediakan lengkap dengan peta, lalu ditandatangani oleh pesuruhjaya kedua-dua negara di Tawau pada 17 Februari 1913. Kemudian, Protokol 28 September 1915 di London mengesahkan laporan dan peta yang digubal tersebut, sekali gus menetapkan sempadan rasmi antara Tawau dan wilayah Indonesia.
Pembukaan Awal Pekan Tawau
Pada awal pembukaan Pekan Tawau sebagai pusat pentadbiran British, Kee Abdullah yang masih muda ketika itu merupakan salah seorang pegawai kerajaan British. Beliau turut bekerjasama dengan Penghulu Puado (La Toampong bin Andi Buku), seorang Bugis Wajo dari Sengkang, Sulawesi, yang berkahwin dengan Sahara, wanita berbangsa Suluk dari Sulu. British mengiktiraf beliau sebagai pemimpin masyarakat Melayu Tawau dan melantiknya sebagai Penghulu Puado untuk menguruskan urusan-urusan berkaitan masyarakat Melayu.
Dalam masa yang sama, British menghantar Alexander R. Dunlop sebagai Residen Tawau pada 1 Mac 1899 bersama beberapa pegawai Inggeris dan anggota polis Sikh. Pada ketika itu juga, masyarakat Cina telah pun menetap di Tawau dan mengusahakan perniagaan kedai serta perlombongan arang batu di Silimpopon, selain mempunyai pemimpin komuniti mereka sendiri.
Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Melayu Tawau
Penghulu Puado dianggap sebagai ketua masyarakat Melayu Tawau oleh pihak British kerana kewibawaannya dan penghormatan tinggi masyarakat tempatan kepadanya. Beliau mengetuai masyarakat sehingga kematiannya pada tahun 1902. Kekosongan jawatan tersebut diisi oleh Sarip Ali yang dilantik sebagai pemimpin seterusnya bergelar "Suluk Chief" pada tahun 1905. Beliau memegang jawatan selama tujuh tahun sehingga digantikan oleh Habib Sheikh pada tahun 1912.
Gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK) hanya diperkenalkan pada tahun 1920-an di seluruh Borneo Utara. Ketua Anak Negeri pertama di Tawau yang menerima gelaran itu ialah OKK Kee Abdullah, yang secara rasmi menggantikan Imam Mustapa sebagai Native Chief pada tahun 1925. Pelantikan beliau dianggap paling tepat kerana pengalaman luasnya dan hubungan rapat dengan Residen Inggeris, Alexander Rankin Dunlop.
Bekas Ketua Kampung Ranggu, Panglima KK Abdullah Salim Puado — cucu kepada Penghulu Puado — merupakan keturunan Bugis Wajo. Penghulu Puado sendiri adalah antara Bugis Wajo terawal yang berhijrah ke Tawau. Secara keseluruhan, pembentukan awal daerah Tawau dibangunkan oleh tiga tokoh utama: Penghulu Puado, Penghulu Kee Abdullah dan Residen Alexander Rankin Dunlop, yang memainkan peranan besar dalam pembangunan Tawau seawal tahun 1890-an.
Semasa Era Pendudukan Jepun (1942-1945)
Pada 24 Januari 1942 , tentera Jepun telah dilihat berada di Batu Tinagat (Batu Payung). Beberapa hari kemudian Pegawai Daerah ketika itu Mr.Cole Adam dan Pembantunya telah ditangkap di pelabuhan yang mana kemudiannya dihantar ke pusat tahanan di Pulau Berhala, Sandakan dan kemudian dihantar ke Kem Tahanan Batu Lintang dekat Kuching , Sarawak. Mr.Cole Adam meninggal pada bulan September 1945 sewaktu usaha pembebasan nya dibuat oleh Division ke-9 Tentera Australia. Sebaik sahaja tentera Jepun memasuki Tawau , orang-orang Jepun yang bekerja di ladang-ladang dan kebun-kebun kelapa telah berubah wajah dengan pakaian tentera Jepun dan menggunakan pedang Samurai di pinggang digelar pada ketika itu “ Kempetai “.
Ketua pentadbir di Sabah semasa pendudukan Jepun ialah Gabenor Jeneral Jepun. Pentadbir ini bukan sahaja memerintah Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara), tetapi juga Sarawak serta Kalimantan. Pusat pentadbirannya terletak di Kuching. Sepanjang tempoh ini, kegiatan perniagaan dan perdagangan dalam negeri dikuasai sepenuhnya oleh pihak Jepun. Hampir semua hasil tanaman dan ternakan penduduk dirampas untuk keperluan tentera mereka.
Penduduk Sabah hidup dalam penderitaan di bawah pemerintahan Jepun. Selain rampasan hasil tanaman dan ternakan, sebahagian penduduk turut dikenakan hukuman tanpa sebarang perbicaraan. Golongan yang menerima layanan paling buruk termasuklah tawanan perang British dan Australia, penganut agama Kristian serta masyarakat Cina. Masyarakat Cina di Sabah dikenakan denda sebanyak $400,000 kerana didakwa membantu China menentang Jepun.
Keadaan ekonomi dan sosial di Sarawak pula tidak banyak berbeza dengan Sabah. Kebuluran, penyakit dan kesengsaraan menjadi perkara biasa bagi penduduk di kedua-dua wilayah tersebut. Di Tawau khususnya, penduduk mengalami penderitaan yang amat dahsyat selama lebih 3 tahun setengah pemerintahan Jepun. Bekalan makanan sangat sukar diperoleh kerana pergerakan penduduk sentiasa diawasi oleh mata-mata Jepun, yang ketika itu digelar “talibarut Jepun”. Menurut cerita orang-orang tua, jika pemerintahan Jepun berlanjutan setahun lagi, kemungkinan ada penduduk yang tidak lagi mempunyai pakaian untuk dipakai.
Penduduk kampung masih mampu bertahan kerana mereka boleh mendapatkan ubi dan tumbuhan hutan untuk dimakan. Namun penduduk di bandar mengalami kesukaran yang jauh lebih besar kerana semua ternakan seperti ayam, itik dan haiwan peliharaan lain telah dirampas oleh tentera Jepun.
Pada 10 Jun 1945, Tentera Australia Utara mendarat di Labuan sebagai sebahagian daripada operasi pembebasan Borneo. Kemudian, pada 10 Julai 1945, Tentera Udara Australia yang berpangkalan di Pulau Tarakan melalui Lapangan Terbang Croydon telah menjalankan serangan udara terhadap kubu pertahanan Jepun di Tawau. Pesawat jenis Spitfire dari Skuadron 452 RAAF menggugurkan dua bom seberat 250 paun setiap satu ke lokasi persembunyian serta kawasan strategik tentera Jepun. Turut terlibat ialah pesawat Kittyhawk dari Skuadron 75 RAAF, yang juga berpangkalan di Tarakan, menggugurkan dua bom seberat 500 paun setiap sebuah ke kedudukan tentera Jepun di Tawau.
Semasa era Tanah Mahkota British (1945-1963)
Selepas pengemboman Hiroshima dan Nagasaki, pada 17 Oktober 1945, empat buah kapal perang Royal Navy bersama pasukan Tentera North East Borneo berlepas dari pelabuhan Pulau Labuan menuju ke Tawau. Operasi ini diketuai oleh Leftenan Kolonel J. A. England, yang merupakan Pegawai Pemerintah Tentera North East Borneo. Semua kapal perang dan kapal pendarat tersebut tiba di Tawau pada 20 Oktober 1945.
Misi utama mereka ialah menahan semua anggota tentera Jepun serta orang awam Jepun untuk dihantar dan dikumpulkan di Jesselton. Selain itu, mereka turut ditugaskan mengutip, mengumpul dan melupuskan segala senjata serta peralatan ketenteraan milik tentera Jepun. Sebahagian peralatan dilupuskan di laut, manakala selebihnya dibawa ke Pulau Labuan. Pada waktu itu, Mejar Sugasaki merupakan Pegawai Pemerintah Tentera Jepun di Tawau.
Pentadbiran Tentera British di Borneo Utara mendapati bahawa tanah jajahan ini mengalami kerosakan teruk akibat serangan bom udara semasa perang. Dalam tempoh pendudukan Jepun, ramai kakitangan kerajaan telah dibunuh, menyebabkan pentadbiran awam lumpuh. Pentadbiran Ketenteraan British berterusan sehingga 15 Julai 1946 sebelum kerajaan awam kembali beroperasi. Banyak rekod kerajaan sebelum perang turut musnah dan tidak dapat dipulihkan.
Pada tahun 1948, satu Pelan Pembangunan Tawau bagi tempoh 1945–1955 dibentuk untuk menyediakan program menaik taraf keadaan sosial dan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat setempat. Majlis Perbandaran Tawau kemudian ditubuhkan pada tahun 1955 bagi mengurus sistem kewangan tempatan serta mentadbir kuasa-kuasa perbandaran.
Ladang-ladang yang ditinggalkan oleh orang Jepun selepas perang telah diambil alih oleh North Borneo Chartered Company. Kebun-kebun kecil yang ditinggalkan pula dijual kepada pembeli yang berkemampuan, kebanyakannya dalam kalangan masyarakat Cina. Pada masa yang sama, pihak British membuka peluang kepada kumpulan pekerja tempatan untuk menjalankan kegiatan pembalakan.
Ketika itu, pasaran Hong Kong, Jepun dan Singapura memerlukan bekalan kayu untuk tujuan pembangunan. Pembalakan dijalankan secara manual menggunakan kapak. Kayu balak yang ditebang dikeluarkan dari hutan ke sungai atau laut dengan menggunakan kaedah "kuda-kuda", iaitu susunan kayu sebagai landasan untuk menggelongsorkan batang balak. Proses ini memerlukan tenaga ramai pekerja bagi menarik atau menolak kayu hingga ke kawasan air untuk dihanyutkan atau dipindahkan.
Selepas Pergabungan Malaysia (1963 - kini)
Ahli-ahli persatuan inilah yang bersama-sama dengan Tun Datu Mustapa Datu Harun melalui USNO, menuntut kemerdekaan bagi negeri Sabah melalui Malaysia pada tahun 1963. Manakala penubuhan Persatuan Islam Tawau (PIT) yang dipengerusi oleh Imam Zainal dan kemudiannya oleh Haji Abdul Karim Drahman pada tahun 1955 telah mendorong penubuhan USIA pada tahun 1968 yang menjamin keutuhan syiar Islam di seluruh Sabah.( Rujuk : Maklumat dari Muzium Negeri Sabah )[4]
Asal Usul
Asal usul panggilan bagi Bandar Tawau sebagai Tanjung manakala panggilan Tawau pula tidak diketahui punca sebenarnya. Ada yang mengatakan ianya berasal dari panggilan orang-orang Pedagang Suluk yang datang dimana mengingati Davao di Selatan Kepulauan Filipina dengan memanggil Tawao. Tetapi ada juga yang mengatakan ianya berasal dari bahasa Tidung yang memanggil Tanah Tidung yang mana Tanah dalam bahasa tidung ialah Tawau ada juga pihak menyatakan nama Tawau sendiri sebenarnya adalah berasal dari perkataan Tidung yang bermaksud Tawai iaitu cara orang-orang dahulu memancing ikan di sepanjang sungai Tawau. Kemudiannya panggilan itu lebih dikenali dengan sebutan Tawao mengikut panggilan masyarakat Suluk yang merupakan penduduk majoriti di sekitar perairan wilayah Kesultanan Melayu Islam Sulu. Walaubagaimanapun tiada apa apa bukti sahih untuk menyokong perkara tersebut.[5]
Geografi
Daerah Tawau meliputi kawasan seluas 6,149 km persegi atau 612,506 hektar.[6] Ia berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia di selatan serta dikelilingi Laut Sulu di timur dan Laut Sulawesi di selatan.
Pentadbiran
Daerah Tawau berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Tawau yang diketuai oleh seorang presiden. Pada asalnya, kawasan daerah ini merangkumi Tawau, Pulau Sebatik, Merotai, Kalabakan, Bandar Sri Indah dan Balung. Namun, pada 1 Januari 2019, Kalabakan telah dipisahkan sepenuhnya daripada Daerah Tawau, meskipun pentadbirannya masih diletakkan di bawah Majlis Perbandaran Tawau.
Dari segi politik, Tawau termasuk dalam kawasan Parlimen P.190 dan Kalabakan dalam kawasan Parlimen P.191. Sementara itu, di peringkat negeri, terdapat tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam daerah ini. Dalam kawasan Parlimen Tawau, ada DUN Apas, DUN Sri Tanjong dan DUN Balung. Manakala dalam kawasan Parlimen Kalabakan, ada DUN Kukusan, DUN Tanjung Batu, DUN Sebatik dan DUN Merotai.
| Kawasan DUN | Kod DUN | Wakil Semasa (ADUN) | Parti / Gabungan |
|---|---|---|---|
| Sri Tanjong | N.69 | Justin Wong Yung Bin | WARISAN |
| Apas | N.68 | Nizam Abu Bakar Titingan | GRS |
| Balung | N.67 | Syed Ahmad Syed Abas | GRS |
| Kukusan | N.70 | Rina Jainal | Bebas |
| Tanjung Batu | N.71 | Dr. Andi Rizal | GRS |
| Merotai | N.72 | Sarifuddin Hata | WARISAN |
| Sebatik | N.73 | Manahing Tinggilani @ Tanggilani | WARISAN |
Demografi
Kaum Melayu
Ramai yang tidak tahu sebenarnya penduduk tempatan Tawau adalah terdiri daripada Orang-Orang Bugis. Hari ini, Mahkamah Anak Negeri dipengerusikan oleh OKK Ayub bin OKK Abu Bakar sebagai Ketua Anak Negeri yang menggantikan OKK Said Salabbi pada tahun 2000. Sebelum itu, jawatan Penghulu atau Ketua Anak Negeri pernah dipegang oleh beberapa orang di kalangan anak jati tempatan Melayu peribumi seperti OKK Kee Abdullah, OKK Abu Bakar, OKK Zainal, OKK Salleh Ajak, OKK Said Salabi dan OKK Kee Ayub.[4]
Orang-orang bugis ini sebenarnya gabungan masyarakat indonesia daripada pelbagai suku keturunan Melayu yang terangkum melalui hasil perkahwinan dan asimilasi berteraskan ikatan amalan agama Islam dan pertuturan bahasa yang sama iaitu Loghat Tawau selama ratusan tahun lagi. Mereka juga telah lama hidup bersama sejak zaman pemerintahan British dan zaman pendudukan tentera Jepun sehinggalah Sabah merdeka bersama Malaysia. Dari segi sejarahnya pula, Kemudian mereka bersatu pula di bawah payung sebuah parti politik keramat, Persatuan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1961 untuk menuntut kemerdekaan Sabah bersama Malaysia. Pemimpin orang bajau Tawau yang pernah berjasa ialah Habib Sheikh (1912), Imam Mustapa (1925), Habib Hussein (1932), Penghulu Abu Bakar (1940), Haji Abdul Karim Haji Drahman (1959) dan Datuk Abu Bakar Titingan (1962).[4][7]
Suku Bangsa di Tawau
Suku di Tawau terdiri daripada Kadazandusun, Bajau, Tidung, Cina, Lundayeh, Murut, Suluk, Bulungan, Bugis dan lain-lain.
Statistik
Berikut adalah statistik populasi di daerah Tawau (termasuk daerah Kalabakan) yang diambil pada 7 Julai 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (No. Siri: DOSM/DOSM.SABAH/1.2020/SIRI 86). Kadar kelahiran tahunan di daerah ini meningakt sebanyak 1.4% pada tahun yang sama.[8]
| Tawau |
|---|
Kemudahan & keistimewaan
Perladangan dan Ekonomi
Tawau digelar "Bumi Peladang" kerana sebahagian besar muka buminya kini merupakan kawasan perladangan. Pada zaman pemerintahan British sebelum Sabah (dahulunya Borneo Utara) bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, kawasan ini didominasi oleh ladang kelapa (kopra), getah, dan pisang lanut (abaka). Kini, landskap Tawau didominasi oleh kebun kelapa sawit yang luas, dengan sebahagian kecil ditanam tanaman koko yang dahulu menjadi identiti daerah. Majoriti ladang kelapa sawit dimiliki oleh syarikat-syarikat besar seperti SD Guthrie, Sabah Softwood Sdn Bhd, dan Borneo Samudera Sdn Bhd.
Selain itu, Tawau dikenali sebagai "Syurga Pendatang" kerana menjadi destinasi ramai pekerja asing dari Indonesia dan Filipina. Kehadiran mereka yang terkawal namun signifikan memberi identiti unik kepada bandar ini. Aktiviti perdagangan dan perpindahan rakyat asing melalui jeti di Pelabuhan Tawau setiap hari menambahkan dinamik kehidupan bandar.
Alam Semula Jadi dan Rekreasi
Tawau memiliki keistimewaan alam semula jadi yang luar biasa. Kawasan seperti Lembangan Maliau (atau dikenali sebagai Maliau Basin) dan Lembah Danum diiktiraf sebagai khazanah hutan tertua dan paling bernilai di dunia. Hutan Simpan Bukit Gemuk dan Taman Bukit Tawau (dikenali juga sebagai 'Table' oleh penduduk sekitar) menjadi lokasi popular untuk aktiviti santai, perkhemahan, dan penginapan di chalet atau hotel berpatutan. Di kawasan ini terdapat pokok Tualang (atau Pokok Menggaris di Sabah) yang dikatakan antara yang 'tertinggi di Asia Tenggara. Serta, bekas gunung berapi pendam, Gunung Maria yang berusia lebih daripada 12,000 tahun.
Selain itu, Tawau menawarkan pelbagai tempat menarik lain seperti Tawau Cocoa Village, Shan Shui Golf & Country Club, Balung River Eco Park, serta lokasi rekreasi seperti Kolam Air Panas Semulajadi di Taman HotSpring dan Ranggu Holiday Valley. Taman-taman awam seperti Taman Muhibbah Tawau di terletak berhampiran dengan tapak bekas Lapangan Terbang Tawau lama menyediakan kemudahan riadah termasuk tasik mini, trek berjoging, taman permainan kanak-kanak, gimnasium rakyat, pasar mini FAMA, surau, tandas, dan ruang letak kereta.
Kompleks Sukan Tawau pula menyediakan pelbagai kemudahan sukan moden termasuk stadium bola sepak, gelanggang futsal, tenis, badminton, bola keranjang, serta tasik buatan untuk aktiviti riadah. Penginapan berpatutan turut disediakan bagi pengunjung kompleks ini.
Perpustakaan dan Kemudahan Pendidikan
Perpustakaan Awam Negeri Sabah Cawangan Tawau merupakan salah satu perpustakaan di Bahagian Tawau. Bangunan ini dilengkapi dewan auditorium moden untuk pelbagai aktiviti, ruang santai, ruang tontonan video dan audio, ruang kanak-kanak, ruang bacaan umum, ruang buku rujukan, arkib lama, kemudahan komputer dan internet, fotostat, ruang pameran, serta Galeri Sejarah Tawau dan Malaysia.
Mercu Tanda, Warisan Budaya dan Kemudahan Pasar Raya
Tawau menampilkan beberapa mercu tanda yang menjadi tarikan pelancong. Antaranya Masjid Al-Khauthar (Masjid Berkubah Hijau), yang dibina antara 1997–2002 dan merupakan masjid terbesar di Sabah. Masjid ini pernah menjadi lokasi kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2006. Masjid lain termasuk Masjid Raya (1972) dan Masjid Wakaf (kini Masjid Bandar) (1963).
Tawau juga memiliki bangunan pasar terbuka yang besar, Pasar Tanjung, yang menawarkan pelbagai barangan dari sayur-sayuran, buah-buahan, keropok, ikan masin, hingga rempah ratus. Pasar ini memiliki empat tingkat dengan ruang makan dan pemandangan panorama bandar dan laut.
Pasar Gantung (Tawau’s Central Market) pula menyediakan barangan perhiasan, kraftangan, rotan, kayu jati, dan buluh, termasuk hasil buatan Filipina dan Indonesia. Pilihan lain bagi membeli-belah santai termasuk Pasar Raya Bataras (dahulunya Giant), yang menyediakan ruang kedai satu tingkat, kemudahan surau, tandas, ATM, dan tempat letak kereta luas. Pasar Minggu Sabindo di Sabindo Square (dahulunya Pasar Minggu Takada di Jalan Kuhara) pula menjadi lokasi popular untuk membeli hasil segar setiap hujung minggu.
Makanan dan Minuman
Tawau terkenal dengan pelbagai makanan tempatan yang istimewa. Hidangan tradisi Melayu termasuk Nasi Kuning, Nasi Lemak, Mi Tauhu, Sate, Ikan bakar, Gogos Kokos (pulut panggang), sayap ayam bakar, pecal (gado-gado), soto Banjar, cendol, dan pelbagai kuih-muih seperti kuih Terang Bulan (Apam Balik), penyaram, baulu, wajik, pais pisang, dan pais upi.
Selain itu, masakan citarasa dari Indonesia mudah diperoleh di bandar ini, termasuk Bakso, Nasi Lalap, dan Murtabak Jawa. Kudapan tempatan seperti Amplang dan Keropok Belinju juga popular sebagai 'ole-ole'. Restoran makanan laut yang banyak di kawasan pantai bandar Tawau membolehkan pengunjung menikmati hidangan laut segar dengan mudah.
Penginapan
Penginapan turut disediakan dari hotel bertaraf empat bintang hingga rumah penginapan bajet rendah seperti Borneo Royal Hotel, Hotel Marco Polo, dan Hotel Emas.
Pertuturan
Sesuatu yang menjadi kebanggaan dan khazanah yang begitu berharga kepada Masyarakat Melayu Tawau ialah bahasa pertuturan mereka sendiri. Bahasa Melayu yang digunakan oleh orang-orang Melayu di Tawau ini adalah unik dan tersendiri. Bahasa atau loghat ini diwarisi dari nenek moyang mereka terdahulu yang hidup di zaman British dan pernah melalui detik detik kekejaman tentera Jepun. Bahasa Melayu Tawau ini tidak sama dengan Bahasa Melayu yang dituturkan di tempat tempat lain di negeri Sabah. Ia tidak sama dengan Bahasa Melayu orang Bajau atau Dusun. Tidak sama dengan Bahasa Melayu orang-orang di Kota Kinabalu. Tidak sama dengan bahasa Melayu orang-orang Indonesia seperti Bugis, Timor dan Toraja atau orang-orang Filipina seperti Tagalog, Visayan dan Tausuq. Bahasa Melayu Tawau adalah unik dan tersendiri dan mesti menjadi kebanggaan orang-orang Melayu Tawau dan anak cucu mereka.
Kawasan bersejarah

Tawau juga memiliki beberapa tempat-tempat bersejarah yang boleh menjadi bukti kejadian dan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku suatu masa dahulu. Tempat-tempat tersebut kini menjadi kenangan dan pilihan untuk anak-anak warga Tawau datang mengunjungi dan dapat melihat serta mengenali sejarah nenek moyang mereka yang pernah hidup dan menciptakan sejarah kehidupan mereka sendiri di Tawau sebelum kelahiran generasi baru yang wujud pada ketika ini.
Antara tempat bersejarah itu ialah monumen Menara Loceng (atau The Belfry) yang dibina pada tahun 1921 melalui sumbangan para usahawan dari Jepun tempatan. Monumen di pinggir Padang Bandaran Tawau dan berhadapan dengan Pejabat Residen Inggeris (kini Pejabat Pos). Menara loceng yang berusia lebih 100 tahun ini adalah monumen paling lama pernah wujud di Tawau dan menjadi bukti kewujudan penjajah British (melalui Syarikat Borneo Utara British) sebelum kemerdekaan Sabah bersama Malaysia pada 16 September 1963.

Selain itu, di Tawau juga terdapat sebuah tapak perkuburan tentera Jepun yang letaknya di Jalan Tanjung Batu Tengah. Tapak perkuburan bersejarah yang wujud pada tahun 1945 sewaktu Pendudukan Jepun ini telah dibaikpulih dan dibina sebuah tugu. Tugu Peringatan Tentera Jepun dan tapak perkuburan ini selalu menerima kunjungan saban tahun dari warga-warga Jepun yang mempunyai hubungan tali kekeluargaan dengan mereka yang dikebumikan di tapak perkuburan itu. Tempat ini menjadi bukti nyata bahawa Tawau pernah menjadi sebahagian daripada mangsa kekejaman tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Mendiang Stephen Tan (pemimpin masyarakat Cina di Tawau) dan Allahyarham Habib Hussein (pemimpin masyarakat Melayu di Tawau) adalah sebahagian mangsa kekejaman sewaktu pemerintahan tentera Jepun di Asia Tenggara. Nama-nama kedua pemimpin berjasa yang dibunuh tentera Jepun ini telah diabadikan pada dua buah jalan utama di bandar Tawau pada ketika

Di Kalabakan, kurang 90 km dari pusat bandar Tawau terdapat sebuah tugu peringatan bersejarah. Tugu Peringatan Kalabakan yang dibina pada tahun 1969 ini ialah monumen yang dibina bagi memperingati kehilangan 11 perajurit negara yang terkorban ketika peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia dahulu.
Sebenarnya ada banyak lagi monumen dan tempat bersejarah yang pernah wujud di Tawau namun sebahagian telah musnah dan tidak dapat dilihat lagi pada hari ini. Namun monumen dan tempat ini masih boleh dilihat dalam gambar-gambar yang dipamerkan di dalam buku-buku atau pameran-pameran di Majlis Perbandaran Tawau (MPT) atau Galeri Sejarah Tawau di Perpustakaan Tawau. Antara monumen dan tempat bersejarah itu ialah Rumah Api Batu Tinagat, lombong arang batu lama Silimpopon dan Masjid Lama Willis (kini Masjid Bandar)
Penduduk yang terkenal
| No. | Nama | Kerjaya | Terkenal kerana |
|---|---|---|---|
| 1 | Amber Chia | Model | Model antarabangsa[9] |
| 2 | Ayie Elham | Penyanyi, Pelakon | Ahli kumpulan Floor 88[9] |
| 3 | Chua Soon Bui | Ahli Politik[10] | — |
| 4 | Faizul Sany | Penyanyi | Juara Akademi Fantasia musim 10) |
| 5 | Firman Bansir | Penyanyi | Juara Akademi Fantasia (musim 11) |
| 6 | Lia Natalia | Pelakon | Pelakon |
| 7 | Julamri Muhammad | Jurulatih dan bekas pemain bola sepak[11] | Bermain dengan kelab Sabah F.C. |
| 8 | Muhammad Hairi Amin (MK K-Clique) | Penyanyi rapper, pelakon | Ahli kumpulan K-Clique |
| 9 | Pete Teo | Artis | Penulis lagu, ahli musik,
penerbit filem, penerbit lagu dan pelakon |
| 10 | Rafiuddin Roddin | Pemain bola sepak[12][13] | – |
| 11 | Rahima Orchient Yayah | Ahli perniagaan dan peragawati Malaysia | Pemenang Miss World Malaysia 1994 |
| 12 | Salma Asis | Penyanyi | Pemenang Mentor (musim 5) |
| 13 | Siswanto Haidi | Bekas pemain kriket[14] | Bermain untuk pasukan Malaysia |
| 14 | Sumardi Hajalan | Belas pemain bola sepak[15][16] | Bermain untuk pasukan Malaysia |
| 15 | Kamaruddin Mape | Penyampai Berita | Penyampai Berita di Buletin Utama di TV3 |
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Population Statistic 2020".
- ^ Thiessen, Tamara (2008). Borneo : Sabah, Brunei, Sarawak : the Bradt travel guide (ed. 1). Chalfont St. Peter: Bradt Travel Guides. m/s. 211–220. ISBN 9781841622521.
- ^ "Majlis Perbandaran Tawau (Laman Web Rasmi)". mpt.sabah.gov.my. Dicapai pada 2025-12-03.
- ^ a b c Gotlet, K. (2009). Tawau: Making the Tropical Communities. Opus Publication.
- ^ Ahmad, Yusof (2013-09-12). "MY RANGGU: SEJARAH TAWAU VOL.2". MY RANGGU. Dicapai pada 2025-12-07.
- ^ Buku tahunan perangkaan Malaysia. Jabatan Perangkaan Malaysia. 2008.
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamachung - ^ Statistik Penduduk Negeri Sabah
mycensus2020 
Maklumat umum URL https://open.dosm.gov.my/dashboard/kawasanku/Sabah/district/Tawau Jenis Bandar 
Ditubuhkan 1658 
Lokasi Ibu pejabat Malaysia 
sunting · sunting di Wikidata 
Lihat pendokumenan templat ini - ^ a b "Ayie Floor 88 tak kisah niaga tepi jalan". BHonline. Berita Harian. 7 March 2022. Dicapai pada 26 July 2022.
- ^ "Members of Parliament (Chua Soon Bui)". Malaysian Parliament. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Julamri Bin Muhammad". Sabah FA. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 March 2015. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Rafiuddin Rodin". European Football Database. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Pulau Pinang masih perlu banyak pembaharuan". Sinar Harian. 21 November 2013. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Siswanto Bin Moksun Haidi". CricketArchive. Dicapai pada 14 March 2015.
- ^ Francis Xavier. "No comeback for Sumardi". New Sabah Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ Shahrizal Zaini (27 September 2014). "Hijrah demi ilmu". Sinar Harian. Dicapai pada 14 March 2015.









