Sultan Abu Bakar | |
---|---|
![]() | |
Sultan Johor | |
Pemerintahan | 13 Februari 1886 - 4 Jun 1895 |
Didahului oleh | Dirinya sendiri (sebagai Maharaja Johor) |
Diikuti oleh | Sultan Ibrahim Al-Masyhur |
Maharaja Johor | |
Pemerintahan | 30 Jun 1868 – 13 Februari 1886 |
Didahului oleh | Dirinya sendiri (sebagai Temenggung Johor) |
Diikuti oleh | Dirinya sendiri (sebagai Sultan Johor) |
Temenggung Johor (dan Pemerintah Johor) | |
Pemerintahan | 31 Januari 1862 – 30 Jun 1868 |
Didahului oleh | Temenggung Tun Daeng Ibrahim |
Diikuti oleh | Dirinya sendiri (sebagai Maharaja Johor) |
Keputeraan | Tun Abu Bakar ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim 3 Februari 1833 Istana Teluk Belanga, Singapura, Negeri-negeri Selat |
Kemangkatan | 4 Jun 1895 Hotel Bailey, Kensington Selatan, London, United Kingdom | (umur 62)
Pemakaman | 7 September 1895 Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru |
Pasangan |
|
Anakanda |
|
Kerabat | Temenggung Johor |
Ayahanda | Temenggung Tun Daeng Ibrahim |
Bonda | Cik' Ngah[2] |
Agama | Islam |
Gaya bagi Sultan Abu Bakar | |
---|---|
![]() | |
Rujukan gaya | Duli Yang Maha Mulia |
Gaya percakapan | Duli Tuanku |
Gaya alternatif | Tuanku |
Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim GCMG KCSI (3 Februari 1833 – 4 Jun 1895) ialah Sultan Johor Moden pertama dari tahun 1886 hingga tahun 1895. Sebelum baginda menjadi Sultan Johor, baginda merupakan Temenggung dan Pemerintah Johor (kecuali daerah Kesang) dari tahun 1862 hingga tahun 1868 dan selepas itu baginda menjadi Maharaja Johor dari tahun 1868 hingga tahun 1886. Semasa tempoh pemerintahan baginda sebagai Maharaja Johor, daerah Kesang kembali menjadi sebahagian daripada negeri Johor pada tahun 1879.
Sultan Abu Bakar juga dikenali sebagai "Bapa Johor Moden" atau "Bapa Pemodenan Johor" kerana baginda bertanggungjawab dalam pembangunan dan pemodenan Johor pada abad ke-19. Baginda memperkenalkan dasar-dasar dan memberikan bantuan kepada usahawan Cina bagi merangsang pertumbuhan ekonomi pertanian negeri Johor yang dimulakan oleh para pendatang Cina dari selatan China pada tahun 1840-an. Baginda juga bertanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur, sistem pentadbiran, angkatan tentera dan perkhidmatan awam Johor yang kesemuanya dilakukan mengikut model Barat.
Sultan Abu Bakar terkenal dengan kemahiran diplomatiknya. Pihak British dan raja-raja Melayu sering mendapatkan nasihat baginda dalam membuat keputusan penting. Baginda juga seorang pengembara tegar dan menjadi pemerintah Melayu pertama yang berkunjung ke Eropah semasa kunjungan pertamanya ke England pada tahun 1866. Secara khusus, Sultan Abu Bakar menjadi sahabat karib Ratu Victoria pada tahun-tahun terakhir hidupnya. Persahabatan Sultan Abu Bakar dengan Ratu Victoria memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan antara Johor dengan Britain dan menjadikan Johor satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang mengekalkan autonomi dalam urusan dalamannya pada akhir abad ke-19 ketika British berusaha untuk menguasai negeri-negeri Melayu dengan meletakkan seorang Residen British di negeri-negeri tersebut. Baginda juga seorang Anglofilia di mana banyak tabiat dan keputusan peribadinya berpandukan idea dan cita rasa Eropah.
Kehidupan awal
Tun Abu Bakar dilahirkan pada 3 Februari 1833 di Istana Lama, Teluk Belanga, Singapura. Baginda adalah anakanda sulung Temenggung Johor, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan juga berketurunan Sultan Johor ke-10 yang juga Sultan Johor pertama daripada Wangsa Bendahara Johor, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Tun Abu Bakar menghabiskan masa kecilnya di kampung ayahandanya yang terletak di Teluk Belanga, Singapura. Pada usia muda, baginda mempelajari Islam dan Adat (undang-undang Melayu tradisional) daripada guru-guru tempatan[3] sebelum baginda dihantar ke Sekolah Melayu Teluk Belanga, sebuah sekolah mubaligh yang dikendalikan oleh Reverend Benjamin Peach Keasberry. Di bawah bimbingan guru-guru mubaligh, baginda mempelajari adab dan berbahasa Inggeris dengan fasih selain bahasa ibundanya iaitu bahasa Melayu.[4]
Pada tahun 1851, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah mewakilkan Tun Abu Bakar untuk membantu beliau dalam rundingan dengan Sultan Ali Iskandar Shah yang menuntut hak kedaulatan baginda ke atas negeri Johor.[5] Temenggung Tun Daeng Ibrahim juga mewakilkan kerja-kerja pemerintahannya secara beransur-ansur kepada Tun Abu Bakar. Dalam tempoh ini, beberapa pegawai British memuji kemampuan diplomatik Tun Abu Bakar yang sangat baik seperti yang disebutkan dalam buku harian William Napier iaitu pegawai undang-undang kanan Singapura. Napier telah menemani Tun Abu Bakar untuk membawa Tengku Teh iaitu bonda Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, yang merupakan bekas Sultan Riau-Lingga, ke Johor tidak lama selepas Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah mula menuntut hak kedaulatan baginda ke atas Pahang.[6]
Pada tahun berikutnya, berlaku Perang Saudara Pahang antara Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Mutahir dengan adindanya, Tun Ahmad. Perang saudara tersebut menyaksikan persahabatan dan pemberian sokongan Tun Abu Bakar terhadap Bendahara Tun Mutahir. Tun Abu Bakar berkahwin dengan anakanda perempuan Bendahara Tun Mutahir pada tahun 1860 semasa lawatan baginda di Pahang dan pada tahun berikutnya baginda menandatangani perjanjian persahabatan dengan Bendahara Tun Mutahir.[7] Sementara itu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengalami gering yang berpanjangan dan demam panas yang mengakibatkan kemangkatannya pada 31 Januari 1862.[8]
Pemerintahan awal
Sebagai Temenggung Johor (1862–1868)
Selepas kemangkatan ayahandanya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1862, Tun Abu Bakar diangkat menjadi Temenggung dan Pemerintah Johor (kecuali daerah Kesang yang diperintah oleh Sultan Ali Iskandar Shah pada ketika itu).[9] Temenggung Tun Abu Bakar memindahkan tempat persemayaman baginda ke estet Tyersall (kini Taman Tyersall yang terletak berhampiran dengan Kebun Bunga Singapura).
Sama seperti ayahandanya, baginda juga menyokong Bendahara Tun Mutahir dalam Perang Saudara Pahang kerana tindakan bekas Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, yang telah disingkirkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1857, dan Sultan Ali Iskandar Shah yang menyokong adinda Bendahara Tun Mutahir iaitu Tun Ahmad boleh menjejaskan kedudukan baginda sebagai Pemerintah Johor. Selepas Tun Ahmad mengalahkan kakandanya dan kemudian diangkat menjadi Raja Bendahara Pahang pada tahun 1863, Bendahara Tun Ahmad tidak melayan permintaan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, untuk mendapatkan kembali takhta Kesultanan Riau-Lingga, dan permintaan Sultan Ali Iskandar Shah, untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor-Pahang, kerana baginda tidak mahu mengheret negeri Pahang dan rakyatnya ke dalam peperangan di luar Pahang. Secara tidak langsung, Temenggung Tun Abu Bakar berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Pemerintah Johor.
Pada 1 Januari 1866, Temenggung Tun Abu Bakar mengadakan istiadat perasmian bandar Tanjung Puteri dan baginda menukar nama bandar tersebut kepada Johor Bahru dan mengisytiharkannya sebagai ibu negeri Johor.[10][11]
Sebagai Maharaja Johor (1868–1886)


Ketika Temenggung Tun Abu Bakar melawat negara India dan Eropah pada tahun 1866, baginda menyedari bahawa gelaran Temenggung tidak terkenal di dunia Eropah berbanding gelaran Maharaja yang digunakan oleh raja-raja di India. Ini menyebabkan Temenggung Tun Abu Bakar ingin menggunakan gelaran baru yang lebih dikenali.[12] Pada 18 April 1868, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar satu rombongan yang diketuai oleh sepupunya, Ungku Haji Muhammad ibni Tun Haji Abdullah ke Riau untuk berjumpa dengan Raja Ali Haji yang merupakan seorang sejarawan Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau.[13][14]
Dalam pertemuan mereka, antara perkara yang dibincangkan ialah kelayakan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menjadi Pemerintah Johor yang sah dan berdaulat.[15] Raja Ali Haji bersetuju dengan permintaan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menukar gelarannya selepas beliau mengkaji salasilah Temenggung Tun Abu Bakar dan berpuas hati bahawa keluarga Temenggung Johor mempunyai kuasa sebenar ke atas urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Abu Bakar berketurunan Sultan Johor ke-10, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.[16] Tetapi Raja Ali Haji berkata bahawa gelaran baru yang akan digunakan oleh Temenggung Tun Abu Bakar itu bukanlah gelaran Sultan atau Yang Dipertuan Johor atau Yang Dipertuan Muda.[17]
Pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji mengetuai satu rombongan ke Teluk Belanga, Singapura untuk menabalkan Temenggung Tun Abu Bakar sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar.[18][19] Pada 30 Jun 1868, Maharaja Abu Bakar memperoleh persetujuan daripada British di Singapura berkenaan permintaannya untuk menggunakan gelaran Maharaja.[20][21]
Selepas kemangkatan Sultan Ali Iskandar Shah, pada 29 Jun 1877, British di Singapura meminta Maharaja Abu Bakar untuk menjadi pemerintah sementara daerah Kesang dan permintaan tersebut dipersetujui oleh Maharaja Abu Bakar.[22] Namun, keputusan ini dibantah oleh anakanda sulung Sultan Ali Iskandar Shah iaitu Tengku Alam kerana bertentangan dengan Perjanjian Setia 1855 di mana daerah Kesang merupakan hak milik Sultan Ali Iskandar Shah dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.[23] Untuk menyelesaikan masalah ini, satu pemilihan diadakan pada 7 November 1877 untuk memilih Pemerintah Kesang yang baru. Dalam pemilihan tersebut, Raja Temenggung Muar dan penghulu-penghulu di Kesang bersetuju untuk memilih Maharaja Abu Bakar sebagai Pemerintah Kesang.[24] Pada 5 Februari 1879, Maharaja Abu Bakar diisytiharkan sebagai Pemerintah Kesang dalam satu istiadat yang diadakan di Johor Bahru dan tidak lama selepas itu daerah Kesang menjadi sebahagian daripada negeri Johor.[25]
Namun, keputusan pemilihan dan pengisytiharan tersebut menimbulkan kemarahan Tengku Alam lalu tercetusnya Perang Saudara Jementah 1879 yang berakhir dengan kemenangan Maharaja Abu Bakar. Tengku Alam kemudian diampunkan dan diberikan elaun bulanan oleh Maharaja Abu Bakar dengan syarat baginda perlu sentiasa berkelakuan baik dan tidak menimbulkan kekacauan. Akhirnya, Tengku Alam tinggal di Istana Kampong Gelam, Singapura hingga akhir hayatnya. Kini, kerajaan Republik Singapura menjadikan Istana Kampong Gelam sebagai pusat kebudayaan dan muzium yang bernama Taman Warisan Melayu untuk mempamerkan warisan dan sejarah orang Melayu Singapura.
Baginda juga merasmikan Penjara Johor Bahru pada tahun 1883.
Sebagai Sultan Johor (1886–1895)

Pada tahun 1885, setelah mendengar khabar angin bahawa British di Singapura ingin meletakkan seorang Residen British di Johor, Maharaja Abu Bakar membuat keputusan untuk berangkat ke England.[26] Pada 11 Disember 1885, Perjanjian Inggeris-Johor 1885 antara Maharaja Johor, Maharaja Abu Bakar mewakili kerajaan Johor dan Setiausaha Tanah Jajahan British, Sir Frederick Arthur Stanley mewakili kerajaan British ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan British di London.[27] Dalam perjanjian ini, British mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abu Bakar.[28]
Pada 13 Februari 1886, Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad telah mengisytiharkan penggunaan gelaran Sultan oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor.[29] Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan istiadat menandatangani dan mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di Johor Bahru, Johor.[30] Johor telah menjadi negeri Melayu pertama yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak pembaharuan dan pemodenan dalam sistem pentadbiran negeri Johor untuk memajukan Johor dan mengelakkan campur tangan British dalam hal-ehwal pentadbiran Johor.[31][32]
Kemangkatan
Sultan Abu Bakar mangkat pada 4 Jun 1895 di Bailey's Hotel, South Kensington, United Kingdom selepas mengalami gering yang berpanjangan kerana menghidap penyakit paru-paru berair[33]
Jenazah baginda dibawa kembali ke Tanah Melayu dengan menaiki kapal perang British dari Pulau Pinang. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. Anakandanya yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim ditabalkan sebagai Sultan Johor Moden ke-2 pada 7 September 1895.[34]
Peninggalan
Terdapat beberapa bangunan di Johor Bahru dan Muar yang dinamakan bersempena nama baginda iaitu:
- Masjid Negeri Sultan Abu Bakar - dibina dari 1892 hingga 1900,[35]
- Maktab Sultan Abu Bakar
- Muzium Diraja Abu Bakar yang merangkumi Istana Besar Johor itu sendiri,[36]
- Kompleks Sultan Abu Bakar, tempat pangkalan kastam Malaysia sepanjang Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Bangunan tersebut menonjol kerana dibina dengan ciri-ciri seni bina Victoria dan Moor berbanding binaan di sekelilingnya.
Anugerah dan kehormatan
Johor
Antarabangsa
Austria-Hungary :
Darjah Franz Joseph (1893)
Dinasti Qing :
Darjah Dua Naga Imperial, Kelas Pertama, Darjah Pertama Empayar China (1892)
Kerajaan Hawaii :
Darjah Diraja Kalākaua (1881)
Raj British :
Darjah Bintang India (KCSI) (17 September 1866)
Itali :
Darjah Mahkota Itali (1891)
Empayar Uthmaniyah :
Darjah Osminieh (Nishan-e-Osmanieh) Imperial Kelas Pertama (1893)
Prusia :
Darjah Mahkota Kelas Pertama (23 Jun 1880)
Saxony – Duci Ernestine Saxe :
Grand Cross of the Ducal Darjah Wangsa Saxe-Ernestine – 1893
United Kingdom :
- Pingat Emas Putera Wales – 1876
Darjah St Michael dan St George (GCMG) - Sir (20 Mac 1876)
Salasilah
Nota kaki
Rujukan
- ^ Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran, Dewan Sastera, pg 14
- ^ Christopher Buyers, Johor10, dicapai pada 20 April 2009
- ^ Milner, The Invention of Politics in Colonial Malaya, pg 208
- ^ Jessy, History of Malaya (1400–1959): 1400–1959, pg 225
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 107
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 136
- ^ Nadarajah, Johore and the Origins of British Control, pg 20
- ^ Turnbull, The Straits Settlements, 1826–67: Indian Presidency to Crown Colony, pg 286
- ^ [Carl A. Trocki, ms 128.]
- ^ Dang Ku Puteri (4 Mac 2018), Nama Asal Johor Bahru, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/nama-asal-johor-bharu/
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 273
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 171
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 367
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 367-368
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 368
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 275
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 281
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 282
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 288
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 295
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 298-299
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 302
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 304
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 305
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 313-314
- ^ Andaya, A History of Malaysia, pg 199
- ^ Nadarajah, Johore and the Origins of British Control, pg 48
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), ms 137
- ^ Buckley, An Anecdotal History of Old Times in Singapore, from the Foundation of the Settlement Under the Honourable the East India Company, on 6 February 1819, to the Transfer to the Colonial Office as Part of the Colonial Possessions of the Crown on 1 April 1867, pg 45
- ^ Tate, Karim, Information Malaysia (2005), pg 877
- ^ Destinations: Johor–Royal Abu Bakar Museum Diarkibkan 2009-08-30 di Wayback Machine, retrieved 26 April 2009
- ^ A History of Johore (1365–1941) (1992), pg 195
- ^ a b c Keabsahan perkahwinan ini diperdebatkan. Rujuk A History of Johore (1992), pg 195
- ^ A History of Johore (1365–1941) (1992), pg 54
- ^ A Portrait of Malaysia and Singapore (1978), pg 102
- ^ Sejarah Johor (1980), pg 211
- ^ Federation of Malaya Official Year Book (1962), pg 26
- ^ a b c Died in infancy. Johor15, by Christopher Buyers, retrieved February 22, 2009
Lain-lain
- Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 978-9971-69-376-3.
Sultan Abu Bakar ibni Temenggung Daeng Ibrahim Tarikh keputeraan: 3 Februari 1833 Tarikh kemangkatan: 4 Jun 1895
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim Diiktiraf sebagai pemerintah Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Sultan Ali Iskandar Shah pada tahun 1855 melalui Perjanjian Setia 1855 dan kemudian diiktiraf sebagai pemerintah Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu oleh Bendahara Tun Mutahir pada tahun 1861 melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861 |
Temenggung Johor (dan Pemerintah Johor) 31 Januari 1862 – 30 Jun 1868 |
Diikuti oleh: Tiada Ditabalkan sebagai Maharaja Johor oleh sejarawan Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali Haji pada 7 Mei 1868 dan kemudian memperoleh persetujuan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry St. George Ord untuk menggunakan gelaran Maharaja Johor pada 30 Jun 1868 |
Didahului oleh Tiada |
Maharaja Johor 30 Jun 1868 – 13 Februari 1886 Diisytiharkan sebagai Pemerintah Kesang pada 5 Februari 1879 dan tidak lama selepas itu daerah Kesang kembali menjadi sebahagian daripada negeri Johor |
Diikuti oleh: Tiada Diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Setiausaha Tanah Jajahan Britain, Frederick Arthur Stanley melalui Perjanjian Inggeris-Johor 1885 dan kemudian penggunaan gelaran Sultan Johor diisytiharkan oleh Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad pada 13 Februari 1886 |
Didahului oleh Tiada |
Sultan Johor 13 Februari 1886 – 4 Jun 1895 |
Diikuti oleh: Sultan Ibrahim Al-Masyhur |