Sultan Hussein Muhammad Shah | |
---|---|
![]() Cap mohor Sultan Hussein Muhammad Shah | |
Sultan Johor | |
Pemerintahan | 6 Februari 1819 – 5 September 1835 |
Didahului oleh | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (sebagai Sultan Johor-Pahang) |
Diikuti oleh | Sultan Ali Iskandar Shah (sebagai Sultan Johor) |
Keputeraan | Tengku Hussein ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III 1776 Tanjung Pinang, Kepulauan Riau |
Kemangkatan | 5 September 1835 Tengkera, Melaka |
Pemakaman | 5 September 1835 Masjid Tengkera, Tengkera, Melaka |
Pasangan | 1. Tun Inche Che' Puan Bulang binti Tun Engku Muhammad bin Temenggung Tun Abdul Jamal 2. Che' Wan Aisha binti Bendahara Tun Koris 3. Cik Wuk binti Sulaiman 4. Tengku Prabu binti Tengku Mahmud ibni Sultan Daud |
Anakanda | 1. Tengku Muhammad Hitam 2. Tengku Mahmud 3. Tengku Sulaiman 4. Tengku Abdul Jalil 5. Sultan Ali Iskandar Shah 6. Tengku Jaafar 7. Tengku Putri 8. Tengku Tengah Cik Besar 9. Tengku Andak Safriah |
Wangsa | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Mahmud Riayat Shah III |
Bonda | Inche Makuh binti Daeng Maturang |
Agama | Sunni Islam |

Sultan Hussein Muhammad Shah ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III[1][2] (1776 – 5 September 1835)[3] ialah Sultan Johor ke-17.[4] Baginda dilantik sebagai Sultan Johor dengan bantuan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris selepas menandatangani satu perjanjian pada 6 Februari 1819 di Singapura. Baginda juga dikenali sebagai "Sultan Singapura" dan "Yang Dipertuan Selat".[5]
Sebelum Sultan Hussein Muhammad Shah dilantik sebagai Sultan Johor, Stamford Raffles telah tiba di Singapura dan membuat perhubungan dengan Temenggung Tun Abdul Rahman untuk mendapatkan kebenaran bagi mendirikan loji (pejabat syarikat perniagaan yang dibuat berkubu) Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura. Raffles dan Temenggung Tun Abdul Rahman kemudian menandatangani Perjanjian 30 Januari 1819 yang menandakan bermulanya pertapakan British di Singapura.
Selepas mendengar krisis perebutan takhta Kesultanan Johor daripada Temenggung Tun Abdul Rahman, Raffles telah mengambil peluang untuk memujuk Temenggung Tun Abdul Rahman supaya menjemput putera sulung Sultan Mahmud Riayat Shah III, Tengku Hussein @ Tengku Long ke Singapura bagi tujuan melantik baginda menjadi Sultan Johor bagi mengukuhkan kedudukan Inggeris di Singapura.
Perebutan takhta
Latar belakang
Sultan Johor, Sultan Mahmud Riayat Shah III mangkat pada tahun 1812 setelah memerintah selama lebih 50 tahun tanpa melantik pewaris takhta. Baginda meninggalkan dua orang putera berlainan bonda dan kedua-duanya berketurunan Bugis. Menurut adat kebiasaannya, Tengku Hussein sebagai putera sulung akan menggantikan Sultan Mahmud Riayat Shah III berbanding adindanya, Tengku Abdul Rahman yang lebih muda.[6] Walau bagaimanapun, Tengku Hussein sedang berada di Pahang semasa ayahandanya mangkat.
Tengku Abdul Rahman dengan sokongan orang Bugis yang diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar telah dilantik menjadi Sultan Johor sebelum Tengku Hussein sempat kembali. Sebagai balasan untuk sokongan yang diberikan oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, beliau telah dilantik sebagai Raja Muda dan diberi kuasa pentadbiran penuh.[7] Tengku Hussein yang tinggal di Pahang dan menunggu angin monsun tiba tidak mengetahui mengenai pelantikan adindanya sebagai Sultan Johor kerana isi kandungan surat yang ditulis oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar kepada Tengku Hussein untuk memaklumkan baginda mengenai kemangkatan Sultan Mahmud Riayat Shah III tidak menerangkan pelantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor. Surat balasan telah dihantar dari Pahang ke Lingga untuk memaklumkan mengenai pelantikan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali di Pahang. Akhirnya Tengku Hussein berlayar pulang ke Lingga apabila tibanya angin monsun lalu telah disambut oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang telah menawarkan untuk menyerahkan takhta Sultan Johor kepada Tengku Hussein. Walau bagaimanapun, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dengan cepat menarik balik tawaran tersebut kerana diancam oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.[8]
Kesahihan pemerintahan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dipersoalkan kerana alat kebesaran diraja Kesultanan Johor berada dalam simpanan Engku Puteri Raja Hamidah, balu Sultan Mahmud Riayat Shah III dan bonda tiri Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Tengku Hussein, yang telah menyatakan pilihannya bahawa Tengku Hussein layak untuk menaiki takhta Sultan Johor. Tambahan pula, Tengku Hussein mendapat sokongan Bendahara, Temenggung dan para pembesar Melayu. Hal ini menyebabkan soal peralihan kuasa bertambah rumit.[9]
Kesan pelantikan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor
British telah berjaya mengetepikan pengaruh politik Belanda dengan pelantikan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Hussein Muhammad Shah. Pelantikan ini membolehkan British mengukuhkan pengaruhnya di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, kesahihan pelantikan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor tidak diiktiraf oleh raja-raja dan para pembesar Melayu dan jawatan baginda hanya sekadar nama. Pada masa yang sama, kedudukan Temenggung Tun Abdul Rahman bertambah kukuh akibat Perjanjian 6 Februari 1819 yang beliau menandatanganinya bersama Sultan Hussein Muhammad Shah dan British yang membolehkan beliau memutuskan pengaruh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar ke atas beliau.[10]
Belanda pula mengambil langkah berani dengan merampas alat kebesaran diraja Kesultanan Johor daripada Engku Puteri Raja Hamidah apabila mendengar khabar angin bahawa Sultan Hussein Muhammad Shah meminta bantuan British untuk merampas alat tersebut.[11] Pada November 1823, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah telah ditabalkan sebagai Sultan Johor oleh Belanda dengan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor.[12] Selepas peristiwa pelantikan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor di Singapura dan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor di Lingga yang dibuat dengan adanya alat kebesaran diraja Kesultanan Johor, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu telah membuat keputusan untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor yang sah kerana Sultan Hussein Muhammad Shah telah membelakangkan adat raja-raja Melayu apabila pertabalan baginda dibuat tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor.
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, yang lebih mengabdikan diri kepada agama Islam, mengehadkan pengaruh politiknya di Lingga, di mana keluarga baginda tinggal di bawah pentadbiran[13] Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang memerintah di bawah pengaruh Belanda.[14] Walau bagaimanapun, timbul pula persoalan kekaburan kesahihan kepimpinan tempatan, seperti status Johor dan Pahang, yang merupakan hak milik de jure Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan penggantinya kerana Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian 29 Oktober 1830 melarang baginda daripada berkuasa di Johor dan Pahang.[15] Selepas kedua-dua perjanjian tersebut ditandatangani, Temenggung dan Bendahara mula menjadi lebih berkuasa di kawasan pegangan mereka. Tambahan pula, peningkatan pengaruh British di Semenanjung Tanah Melayu dan perubahan politik semasa perlahan-lahan mengurangkan pertelingkahan tersebut. (Pada tahun 1857, Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV, yang merupakan ketua de jure Kesultanan Johor Lama yang merangkumi Johor, Pahang, Riau dan Lingga, telah menuntut haknya sebagai pemerintah Johor dan Pahang dan ini menyebabkan berlakunya perang saudara di Pahang.[16])
Manakala Sultan Hussein Muhammad Shah tidak meneruskan sebarang tuntutan secara aktif terhadap haknya ke atas kedaulatan Johor walaupun Temenggung Tun Abdul Rahman telah meninggal dunia pada tahun 1825, dan pewaris keduanya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim pula masih terlalu mentah dan remaja ketika itu.[17]
Sultan Hussein Muhammad Shah akhirnya dilihat lebih banyak menghabiskan masanya di kediaman rasminya di Singapura yakni Istana Kampong Gelam sehingga tahun 1834, sebelum baginda berpindah ke Melaka dengan menaiki sebuah kapal yang bernama Julia milik Sultan Kedah. Baginda sebenarnya telah diusir oleh Sir John Crawfurd yang tidak mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor di Singapura. Baginda lebih gemar untuk tinggal di Melaka kerana baginda mempunyai ramai saudara-mara yang tinggal di Tengkera, Melaka. Menurut sumber laporan, Sultan Hussein Muhammad Shah ialah seorang yang lemah lembut, sifat dan perwatakannya cukup menunjukkan baginda kekurangan kuasa dan pemerintahan yang tidak setanding dengan gelaran Sultannya.[18]
Perjanjian 6 Februari 1819 dan Perjanjian 2 Ogos 1824
Sultan Hussein Muhammad Shah dikenali sebagai seorang Sultan yang menandatangani dua perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membolehkan penubuhan Singapura moden. Baginda telah diiktiraf sebagai Sultan Johor ke-18 melalui Perjanjian 6 Februari 1819 dan baginda kemudian memerintahkan agar dibina sebuah istana di Singapura yang dinamakan Istana Kampong Gelam pada tahun 1820. Dan pada 2 Ogos 1824, baginda menandatangani Perjanjian 2 Ogos 1824 di Singapura selepas British dan Belanda menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di mana Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura berada di bawah pengaruh British manakala Kepulauan Riau dan Lingga pula berada di bawah pengaruh Belanda. Berikut adalah kesan daripada perjanjian tersebut:
- Negeri Pahang kemudiannya telah diperintah oleh Bendahara dan keturunannya menjadi Sultan Pahang Moden hari ini.
- Negeri Johor kemudiannya telah diperintah oleh Temenggung dan keturunannya menjadi Sultan Johor Moden hari ini.
- Kepulauan Riau dan Lingga yang berada di bawah pengaruh Belanda pula telah diperintah oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kemudiannya menjadi Sultan Riau-Lingga pertama.
- Yang Dipertuan Muda dan keturunannya menguasai Riau.
Kesannya, pada 2 Ogos 1824, Sultan Hussein Muhammad Shah hilang kuasa ke atas Singapura setelah baginda menandatangani Perjanjian 2 Ogos 1824 dengan Residen British di Singapura, Sir John Crawfurd untuk menyerahkan Singapura dan pulau sekitarnya kepada British untuk selama-lamanya. Sir John Crawfurd menggantikan William Farquhar sebagai Residen British di Singapura pada pertengahan tahun 1823. John Crawfurd mendesak Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman untuk melepaskan Singapura kepada British dan diberikan pencen sebanyak 20,000 dollar kepada Sultan Hussein Muhammad Shah dan 15,000 dollar kepada Temenggung Tun Abdul Rahman secara bayaran penuh tetapi mereka berdua tidak mahu menandatangani perjanjian penyerahan Singapura kepada British. Akibat kelangsungan hidup yang agak sempit, Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman akhirnya menandatangani perjanjian tersebut. Dengan itu, Singapura berjaya diambil alih dan dilepaskan hak kepada British untuk selama-lamanya.
Kemangkatan
Sultan Hussein Muhammad Shah berpindah ke Melaka pada tahun 1834 lalu mangkat di Tengkera, Melaka lima belas bulan kemudian iaitu pada 5 September 1835. Baginda dimakamkan secara sederhana di penjuru tanah perkuburan di dalam perkarangan Masjid Tengkera.[19]
Rujukan
- Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
- Institut Terjemahan Negara Malaysia (2008). Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia : Old Treaties & Documents of Malaysia (1791-1965). Attinpress Sdn. Bhd. ISBN 9789830683058.
- R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
Nota kaki
- ^ Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia : Old Treaties & Documents of Malaysia (1791-1965), halaman 12 dan 14-18
- ^ Bastin, Winks, Malaysia: Selected Historical Readings, pg 130
- ^ Marcus Scott-Ross, See Historical Malacca in One Day, pg 22
- ^ Sejarah Kesultanan Negeri Johor, Laman Web Rasmi Pejabat Daerah Kota Tinggi, retrieved 12 March 2009
- ^ Dr Elmi Zulkarnain Osman. (13 Februari 2024). “The Last Sultan of Singapore.” — By Dr Elmi Zulkarnain Osman. Medium. Diambil daripada https://medium.com/p/cc9868b3c1d8
- ^ Turnbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, pg 97
- ^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, pg 36
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 77
- ^ Trocki, Singapore: Wealth, Power and the Culture of Control, pg 82
- ^ Ministry of Culture (Publicity Division), Singapore; Ministry of Communications and Information, Singapore., Singapore: A Ministry of Culture Publication, pg 24
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 84
- ^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, pg 108
- ^ Bastin, Winks, Malaysia: Selected Historical Readings, pg 132 Though in 1818 Major Farquhar had signed a treaty with the Underking of Riau by virtue of powers granted him by 'Abdu'r- Rahman Sultan of Johor, Pahang and dependencies, and though in his letter suggesting the Carimons (Karimun) for a port he had again referred to 'Abdu'r-Rahman as emperor, he now conveniently remembered that the potentate had deprecated being called ruler of the Johor empire and had declared that he was Sultan of Lingga only. So aware that under Dutch surveillance neither Sultan 'Abdu'r-Rahman of Lingga nor the Underking at Riau would be able to convey any rights at Singapore to the British,...
- ^ Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, pg 57
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 112
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 116
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 106
- ^ David Brazil, Street Smart Singapore, pg 231
- ^ Reports Service, by American Universities Field Staff, published by American Universities Field Studies, 1965, pg 20
Lihat juga
Sultan Hussein Muhammad Shah Tarikh keputeraan: 1776 Tarikh kemangkatan: 5 September 1835
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor-Pahang Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pada tahun 1812 dan kemudian diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali pada tahun 1823 selepas istiadat pertabalan dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
– PERTIKAIAN TUNTUTAN – Sultan Johor 6 Februari 1819 – 5 September 1835 Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1819 melalui Perjanjian 6 Februari 1819 tetapi tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali kerana istiadat pertabalan tidak dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
Diikuti oleh: Sultan Ali Iskandar Shah sebagai Sultan Johor Diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1855 melalui Perjanjian Setia 1855 tetapi hanya berkuasa di daerah Kesang manakala negeri Johor (kecuali daerah Kesang) diperintah oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim |