Sultan Mahmud Riayat Syah III | |
---|---|
Sultan Johor-Pahang | |
Pemerintahan | 1761 – 12 Januari 1812 |
Didahului oleh | Sultan Ahmad Riayat Shah |
Diikuti oleh | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah |
Keputeraan | Raja Mahmud ibni Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V 24 Mac 1756 Tanjung Pinang, Kepulauan Riau |
Kemangkatan | 12 Januari 1812 Daik, Kepulauan Lingga | (umur 55)
Pemakaman | 12 Januari 1812 Masjid Jami' Sultan Lingga, Daik, Kepulauan Lingga |
Pasangan | 1. Inche Engku Puteh binti Bendahara Tun Abdul Majid 2. Inche Makuh binti Inche Jaafar (Daeng Maturang) 3. Inche Mariam binti Dato’ Hasan 4. Engku Puteri Raja Hamidah binti Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah |
Anakanda | 1. Sultan Hussein Muhammad Shah 2. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah 3. Tengku Putri Bulang |
Wangsa | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V |
Bonda | Tengku Puteh binti Yang Dipertuan Muda Daeng Chelak |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Mahmud Riayat Shah III ibni Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V (24 Mac 1756 – 12 Januari 1812 [catatan 1]) ialah Sultan Johor ke-15 dan Sultan Pahang ke-22.
Semasa pemerintahan baginda, negeri Pahang dikurniakan kepada Bendahara Tun Abdul Majid pada tahun 1770, Pulau Penyengat di Kepulauan Riau dikurniakan sebagai mas kahwin kepada isteri keempat baginda, Engku Puteri Raja Hamidah binti Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah pada tahun 1803, dan negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya dikurniakan kepada Temenggung Tun Abdul Rahman pada tahun 1806.
Keputeraan
Raja Mahmud diputerakan pada 24 Mac 1756 dan merupakan putera kepada Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V dengan isteri keduanya, Tengku Puteh binti Yang Dipertuan Muda Daeng Chelak.[1] Ini menjadikan Raja Mahmud cucunda kepada Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor ke-2, Daeng Chelak yang merupakan salah seorang daripada Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara yang membantu nenda baginda, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah untuk mengambil takhta Sultan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Raja Mahmud juga merupakan adinda kepada Sultan Ahmad Riayat Shah yang mangkat pada usia yang sangat muda iaitu sekitar 9 tahun kerana dipercayai diracun.[2]
Awal pemerintahan
Raja Mahmud menaiki takhta Sultan Johor pada usia yang sangat muda iaitu sekitar 5 tahun menggantikan kakandanya, Sultan Ahmad Riayat Shah yang juga menaiki takhta pada usia yang sangat muda iaitu sekitar 9 tahun.[1][3] Pertabalan Raja Mahmud sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Mahmud Riayat Shah III digambarkan dalam Tuhfat al-Nafis di mana pelantikan baginda dibuat dalam suasana yang sangat meriah dan baginda dibawa ke singgahsana Sultan Johor oleh seorang Bugis yang bernama To Kubu.[2] Pada masa yang sama, diceritakan bahawa Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja terlibat dalam pertabalan tersebut dengan meriba Sultan Mahmud Riayat Shah III. Semasa pertabalan tersebut, Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja berucap "Barang diketahui kiranya oleh suku-suku sebelah Melayu dan Bugis, bahawa sesungguhnya Raja Mahmud inilah Raja Johor dan segala daerah takluknya yang dilantik oleh Bugis sebagaimana melantik nendanya Sultan Sulaiman, iapun demikian jualah. Maka barang siapa yang tiada mematuhi aturan ini, maka pada hari dan waktu inilah kita berhabis-habisan". Selepas selesai berucap, Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja menghunus pedangnya dan tidak ada seorang pun yang hadir berani membantah keinginan beliau. Apabila tidak ada bantahan, Sultan Mahmud Riayat Shah III pun diangkat menjadi Sultan dan Yang Dipertuan Besar bagi Kesultanan Johor dan segala jajahan takluknya yang merangkumi negeri Johor, pulau Singapura, negeri Pahang, Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga. Memandangkan Sultan Mahmud Riayat Shah III masih seorang kanak-kanak, maka pemerintahannya dipangku dan dijalankan oleh Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja dan dibantu oleh Raja Haji.
Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja menunjukkan kekuatannya dengan menabalkan Sultan Mahmud Riayat Shah III sebagai Sultan Johor kerana terdapat perebutan kuasa antara pembesar Bugis dengan pembesar Melayu. Pembesar Melayu mahukan salah seorang daripada saudara-saudara Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V (Raja di Baroh), sama ada Tengku Abdul Kadir atau Tengku Buang, untuk diangkat menjadi Sultan Johor. Tetapi pembesar Bugis yang dipimpin oleh Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja mahukan adinda Sultan Ahmad Riayat Shah iaitu Sultan Mahmud Riayat Shah III. Selepas pertabalan Sultan Mahmud Riayat Shah III sebagai Sultan Johor, pihak Bugis dan Melayu bersepakat untuk mengakui Sultan Mahmud Riayat Shah III sebagai Sultan Johor.[4]
Sepanjang pemerintahan Sultan Mahmud Riayat Shah III, jawatan Yang Dipertuan Muda dipegang oleh pemimpin Bugis yang kuat iaitu Daeng Kemboja dari tahun 1745 hingga tahun 1777.[5] Kemudian, Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja digantikan oleh Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah dari tahun 1777 hingga tahun 1784.[2]
Pertembungan dengan pihak Belanda
Pelakuan perjanjian
Pada bulan Ogos 1784, tentera Belanda menyerang pusat pemerintahan Kesultanan Johor iaitu Hulu Riau. Kemudian pada bulan Oktober 1784, kapal Belanda yang bernama Utrecht dan enam buah kapal perang Belanda yang dipimpin oleh Laksamana Jacob Pieter van Braam datang menyerang Riau. Pertempuran meletus antara Kesultanan Johor dan Belanda di Hulu Riau yang berakhir dengan kemenangan Belanda. Yang Dipertuan Muda Raja Ali, yang menggantikan Raja Haji Fisabilillah yang syahid di Teluk Ketapang, Pulau Merbau, Kepulauan Meranti, kemudian meninggalkan Pulau Bintan dan menuju ke Kerajaan Tanjungpura di Sukadana.[6] Sultan Mahmud Riayat Shah III yang berada di Riau kemudian menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda di kapal Utrecht pada 10 November 1784.[7]
Antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah pelabuhan Riau menjadi milik Belanda[6], pihak Bugis tidak lagi memegang jawatan Yang Dipertuan Muda dan jawatan lain dalam Kesultanan Johor.[7]
Rancangan perang gerila laut
Pada bulan Jun 1785, Belanda menghantar David Ruhde ke Hulu Riau untuk memegang jawatan sebagai Residen Belanda pertama. Kehadiran Belanda di sana tidak disenangi oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III.[6] Baginda kemudian secara rahsia menghantar utusannya, Encik Talib, ke Tempasuk yang terletak di Sabah untuk meminta bantuan daripada Raja Tempasuk iaitu Raja Ismail, yang berasal dari Johor, untuk memerangi Belanda di Kepulauan Riau dan Lingga. Raja Tempasuk menghantar tiga orang anaknya, Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak, serta Datuk Sikolo dan Raja Ismail sebagai panglima besarnya.[8]
Pada 13 Mei 1787, pasukan Sultan Mahmud Riayat Shah III dan pasukan Raja Ismail dari Tempasuk menyusup ke selatan Terusan Riau melalui Pulau Penyengat dan Senggarang di Kota Tanjung Pinang. Pada waktu malam, pasukan Sultan Mahmud Riayat Shah III mula menunjukkan diri mereka dari benteng kecil di bukit, kemudian bergerak dari arah gunung menuju ke kapal besar yang mengangkut barang dagangan sehingga berlaku pertempuran.[9][10] Sultan Mahmud Riayat Shah III berpura-pura membantu Belanda yang cuba menepis serangan "lanun-lanun" Tempasuk tetapi meriam yang digunakan oleh baginda untuk menyerang mereka tidak berpeluru. Pihak baginda mengambil peluang daripada kekeliruan tersebut untuk menggempur dan memerangi satu garnisoen Belanda di Hulu Riau. Bantuan dari Tempasuk tersebut berjaya mengalahkan Belanda di Kota Tanjung Pinang, Kepulauan Riau pada bulan Mei 1787 dan banyak pasukan Belanda terpaksa meninggalkan kota itu dan melarikan diri ke Melaka termasuk Residen Belanda di Hulu Riau, David Ruhde.[10] Peristiwa tersebut dicatatkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis di mana beliau berkata:[11]
“ | Seekor Holanda pun tiada lagi tinggal dalam Negeri Riau setelah diserang pasukan Sultan Mahmud Riayat Syah itu. | ” |
Namun, Sultan Mahmud Riayat Shah III yang berasa bimbang, kerana terdapat kemungkinan bahawa Belanda akan datang semula untuk menyerang balas, telah membuat keputusan untuk berangkat meninggalkan Kota Tanjung Pinang bersama-sama para pembesarnya dan berpindah ke Kepulauan Lingga di mana baginda memerintahkan agar pusat pemerintahan baru Kesultanan Johor dibangunkan di sana. Kawasan tersebut dipilih kerana kedudukan strategiknya yang dikelilingi oleh pulau-pulau kecil dan bukit-bukau.[12]:137-140 Sebanyak 200 buah perahu mengiringi baginda ke Kepulauan Lingga. Sementara itu, Bendahara Tun Abdul Majid yang pada ketika itu masih berada di Kota Tanjung Pinang, Kepulauan Riau bertolak meninggalkan tempat itu bersama 150 buah perahu untuk pulang ke Pahang. Selepas itu, ramai orang Melayu meninggalkan Riau untuk berpindah ke Bulang, Selangor, Terengganu, Kalimantan dan pulau-pulau lain di daerah Riau di Sumatera. Yang tinggal hanya orang-orang Cina yang bekerja di ladang gambir dan lada hitam. Kebanyakan ladang yang ditinggalkan oleh pemiliknya yang terdiri daripada orang Melayu dan Bugis diambil alih oleh orang-orang Cina. Sejak itu, ramai orang Cina tinggal di pulau itu.
Ketibaan semula Belanda
Tidak lama kemudian, Belanda datang semula ke Kota Tanjung Pinang untuk memperkuatkan semula pertahanan mereka. Syarikat Hindia Timur Belanda menempatkan 312 orang askar mereka di sana. Belanda berpendapat bahawa jika mereka tidak menguasai Kota Tanjung Pinang di Kepulauan Riau, kedudukan mereka akan terancam. Tambahan pula, pada ketika itu, Inggeris telah membuka Pulau Pinang pada 1786.
Pada tahun 1795, Inggeris yang mentadbir Melaka bagi pihak Belanda semasa Perang Napoleon telah mengembalikan semula semua jajahan takluk Kesultanan Johor iaitu Riau, Johor dan Pahang kepada Sultan Mahmud Riayat Shah III.
Sultan Mahmud Riayat Shah III menjadikan Kepulauan Lingga sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Johor yang baru. Namun, dengan campur tangan daripada penjajah dan musuh-musuh politik dalaman, maka akhirnya Sultan-Sultan Johor selepas baginda hanya berkuasa di Kepulauan Riau dan Lingga sahaja di bawah naungan Belanda manakala negeri Johor dan Pahang berada di bawah pengaruh Inggeris. Akibat perpecahan itu juga, Sultan-Sultan Johor selepas baginda hanya berkuasa dan berpengaruh di Kepulauan Lingga sahaja manakala Johor dan Singapura diperintah oleh Temenggung Johor (Singapura kemudian diserahkan kepada Inggeris pada tahun 1824), Pahang diperintah oleh Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang dan Kepulauan Riau diperintah oleh Yang Dipertuan Muda.
Kemangkatan
Sultan Mahmud Riayat Shah III kekal bersemayam di Lingga dan mangkat pada 12 Januari 1812 selepas memerintah selama 51 tahun. Baginda digantikan oleh putera bongsunya iaitu Tengku Abdul Rahman walaupun, jika mengikut adat, putera sulungnya iaitu Tengku Hussein yang sepatutnya menggantikan baginda sebagai Sultan Johor.
Penghargaan
Jasa dan perjuangan Sultan Mahmud Riayat Shah III dalam melawan Belanda mendapat pengiktirafan daripada Indonesia di mana Presiden Indonesia, Joko Widodo menganugerahkan gelaran Pahlawan Nasional Indonesia kepada baginda. Upacara penganugerahan tersebut dilakukan di Istana Merdeka pada 9 November 2017. Penganugerahan ini dibuat selepas satu keputusan melalui Kepres RI No 115/TK/tahun 2017 tentang Penganugerahan Gelar Pahlawan. Keputusan ini dibuat selepas Dewan Gelar, Tanda Jasa, dan Tanda Kehormatan bersidang pada bulan Oktober 2017.[13]
Selain Sultan Mahmud Riayat Shah III, gelaran pahlawan nasional juga dianugerahkan kepada tiga tokoh lain iaitu pengasas Nahdlatul Wathan Muhammad Zainuddin Abdul Madjid, pengasas Himpunan Mahasiswa Islam Lafran Pane, dan seorang pejuang perempuan dari Kesultanan Aceh yang bernama Gemala Hayati.[14]
Keluarga
Sultan Mahmud Riayat Shah III mempunyai beberapa orang isteri iaitu:-
- Inche Engku Puteh binti Dato’ Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid.
- Inche Makoh binti Inche Jaafar (Daeng Maturang). Hasil perkahwinan ini, lahir Tengku Hussein atau lebih dikenali sebagai Tengku Long.
- Inche Mariam binti Dato’ Hasan. Hasil perkahwinan ini, lahir Tengku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tengku Jumaat.
- Engku Puteri Raja Hamidah binti Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah.
Lihat juga
Nota
- ^ Terdapat beberapa versi terkait tahun kematiannya, di antaranya adalah menurut catatan Christopher Buyers di halaman website RoyalArk-nya menuliskan Sultan Mahmud Syah III mangkat pada tanggal 12 Januari 1811. Sedangkan C.H. Wake dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society yang berjudul Raffles and the Rajas: the Founding of Singapore in Malaysian and British Colonial History menuliskan bahawa Sltan Mahmud III mangkat pada tanggal 12 Januari 1812.
Rujukan
- ^ a b Buyers, Christopher (2009). "Johor - Genealogy of Bendahara dynasty (4)". RoyalArk. Dicapai pada 9 November 2017.
- ^ a b c Anastasia Wiwik Swastiwi (10 Februari 2015). "Mengenal Lebih Dekat Sultan Mahmud Syah III". Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-01-22. Dicapai pada 2017-11-09. Unknown parameter
|dead-url=
ignored (bantuan) - ^ Winstedt, R.O, 1992, ms 71
- ^ Hooker, 1991, m/s. 321. sfn error: multiple targets (2×): CITEREFHooker,_1991 (help)
- ^ Trcocki, 2007, m/s. 161.
- ^ a b c Ghazali, 2011, m/s. 88.
- ^ a b Ahmad Sarji Abdul Hamid, 2011, m/s. 71.
- ^ Abdul Malik (2 September 2012). "Abdul Malik, 'Kearifan Sultan Mahmud Syah III'". Batam Pos. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 April 2017. Dicapai pada 9 November 2017 – melalui Universitas Maritim Raja Ali Haji. Unknown parameter
|dead-url=
ignored (bantuan) - ^ Netscher, 1879.
- ^ a b Maulana Ramadhan (19 November 2017). "Kisah Kepahlawanan Sultan Mahmud Riayat Sayh di Bumi Nusantara". Kumparan.com. Dicapai pada 10 November 2017.
- ^ ABdul Malk (11 November 2013). "Sultan Mahmud Riayat Syah: Berhijrah ke Lingga demi Kelangsungan Perjuangan". Universitas Maritim Raja Ali Haji. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-04-30. Dicapai pada 2017-11-10. Unknown parameter
|dead-url=
ignored (bantuan) - ^ Abdul Malik dkk (2017). Sultan Mahmud Riayat Syah: Pahlawan Besar Gerilya Laut dari Lingga (PDF). Dinas Kebudayaan Pemerintah Kabupaten Lingga & Komodo Books.
- ^ Citra (2017-11-09). "Presiden Jokowi Anugerahkan Gelar Pahlawan Kepada 4 Tokoh". website resmi Kementrian Sosial Republik Indonesia. Dicapai pada 2017-11-23.
- ^ Valentina, Jessicha (2017-11-11). "Getting to know the newly named national heroes" [Mengenal Nama Pahlawan Nasional Baru]. The Jakarta Post. Dicapai pada 2017-11-23.
- Sumber utama
- Abdul Hamid, Ahmad Sarji (2011). "16 - The Rulers of Malaysia". The Encyclopedia of Malaysia. Kuala Lumpur: Editions Didier Millet. ISBN 9789813018549.
- Trcocki, Carl A. (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. Singapura: NUS Press. ISBN 9789971693763.
- Hooker, Virginia Matheson (1991). Tuhfat al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN 9789836221230. OCLC 33086575.
- Ghazali, Abdullah Zakaria (2011). "Johor dan Kepulauan Riau: Berlainan Negara Tetapi Bersaudara". Malaysia Dari Segi Sejarah. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. 39 (4): 82–90. ISSN 1675-0594.
- Netscher, E. (1870). De Nederlanders in Djohor en Siak. 1602 tot 1865 (dalam bahasa Belanda). Batavia: Bruining. OCLC 609451933.
- Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
- R. O. Winstedt (1992), The History of Johore (1365-1941), The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. ISBN 9839961462
Sultan Mahmud Shah III Tarikh keputeraan: 24 Mac 1756 Tarikh kemangkatan: 12 Januari 1812
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Ahmad Riayat Shah |
Sultan Johor-Pahang 1761 – 12 Januari 1812 |
Diikuti oleh: Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pada tahun 1812 dan kemudian diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali pada tahun 1823 selepas istiadat pertabalan dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |