Tengku Alam Shah | |
---|---|
![]() Wajah Tengku Alam Shah yang dirakam pada hari perasmian patung Raffles, Hari Jubli Singapura, tahun 1887 | |
Ketua Keluarga Diraja Singapura | |
Tempoh | 1877 – 1891 |
Didahului oleh | Tiada |
Diikuti oleh | Tengku Haji Ali bin Tengku Alam Shah |
Keputeraan | Tengku Alam Shah ibni Sultan Ali Iskandar Shah Jun 1846[1] Kampong Gelam, Singapura, Negeri-Negeri Selat |
Kemangkatan | 26 Ogos 1891[2] Kampong Gelam, Singapura, Negeri-Negeri Selat |
Pemakaman | Masjid Sultan, Kampong Gelam, Singapura |
Pasangan | Tengku Mariam binti Tengku Abdul Jalil[3] |
Anakanda | 1. Tengku Haji Ali 2. Tengku Nuteh Maimuna 3. Tengku Aisha (‘Isah)[3] |
Kerabat | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Ali Iskandar Shah |
Bonda | Daeng Siti |
Agama | Sunni Islam |
Tengku Alam Shah ibni Sultan Ali Iskandar Shah ialah seorang putera raja Kesultanan Johor Lama daripada Wangsa Bendahara Johor[4] dan merupakan putera sulung kepada Sultan Johor ke-18, Sultan Ali Iskandar Shah, melalui isteri keduanya, Daeng Siti. Selepas kemangkatan ayahandanya pada tahun 1877, Tengku Alam dan pengikutnya telah membuat tuntutan secara aktif ke atas daerah Kesang dan baginda telah diisytiharkan secara terbuka sebagai Sultan Johor dan Pahang dengan gelaran Sultan Alauddin Alam Shah semasa istiadat perkahwinannya pada tahun 1879.[perlu rujukan]
Pengisytiharan tersebut telah membimbangkan Maharaja Johor, Maharaja Abu Bakar kerana kedudukannya sebagai Pemerintah Johor mungkin terancam. Pada tahun yang sama, Perang Saudara Jementah meletus selepas Tengku Alam Shah gagal untuk mendapatkan pengiktirafan ke atas tuntutannya terhadap daerah Kesang.[5]
Pertikaian pewarisan
Tengku Mahmud ialah putera ketiga kepada Sultan Ali Iskandar Shah melalui isterinya, Cik Sembuk. Apabila Sultan Ali Iskandar Shah mangkat pada tahun 1877, Tengku Mahmud telah dinamakan sebagai pewaris daerah Kesang.[6] Keputusan Sultan Ali Iskandar Shah tersebut telah menimbulkan kemurkaan Tengku Alam Shah dan pengikutnya di Singapura[7] kerana mereka merasakan bahawa Tengku Alam Shah sepatutnya mewarisi daerah Kesang memandangkan baginda ialah putera sulung. Tambahan pula, Cik Sembuk berasal daripada golongan kebanyakan[8] manakala Daeng Siti merupakan anak kepada seorang bangsawan Bugis.[9]
Pihak British pula tidak mahu mengiktiraf wasiat Sultan Ali Iskandar Shah berkenaan daerah Kesang diwariskan kepada Tengku Mahmud. Sementara itu, pemimpin tempatan dan ketua kampung di daerah Kesang telah mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin daerah Kesang yang baru dan mereka telah memilih Maharaja Abu Bakar. Pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Archibald Edward Harbord Anson membenarkan Maharaja Abu Bakar untuk mengambil alih pemerintahan daerah Kesang untuk sementara waktu.[10][11]
Tengku Alam Shah dan pengikutnya tidak berpuas hati dengan tindakan Maharaja Abu Bakar yang mencampur tangan dalam urusan daerah Kesang. Seorang kenalan lama Tengku Alam Shah iaitu William Henry Macleod Read menyokong tuntutan baginda.[12] Penyokong Tengku Alam Shah mengkritik ketidaktelusan dalam proses pemilihan tersebut dengan mendakwa bahawa Maharaja Abu Bakar telah memaksa pemimpin tempatan di daerah Kesang untuk memilih baginda sebelum pemilihan diadakan. Penyokong Tengku Alam Shah menuntut agar satu pemilihan baru diadakan dan ahli keluarga baginda terlibat sebagai pemilih. Penyokong Tengku Alam Shah juga berhujah bahawa Perjanjian Setia 1855 yang ditandatangani oleh Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim menjamin hak ahli keluarga Sultan Ali Iskandar Shah ke atas daerah Kesang. Namun, pihak British tidak mengendahkan tuntutan Tengku Alam Shah dan dengan bantuan Engku Mandak, pihak British meneruskan proses pemilihan tersebut sehingga tahun 1878.[8][13] Sementara itu, pihak British membenarkan Tengku Alam Shah mewarisi elaun bulanan sebanyak $500 yang pernah diterima oleh ayahandanya daripada keluarga Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Syarikat Hindia Timur Inggeris memberikan elaun bulanan tambahan sebanyak $68 kepada baginda. Tengku Alam Shah, yang berasa murka, menolak pemberian elaun tersebut dan baginda dikatakan menggunakan kata-kata kesat apabila elaun tersebut ditawarkan kepadanya.[14]
Pada 11 Januari 1879, penyokong Tengku Alam Shah daripada kaum Melayu dan Bugis mengisytiharkan baginda dengan gelaran "Sultan Alauddin Alam Shah, Sultan Johor dan Pahang" dalam istiadat perkahwinannya. Pengisytiharan tersebut telah menyebabkan Maharaja Abu Bakar dan pihak British berasa bimbang kerana kedudukan Maharaja Abu Bakar sebagai Pemerintah Johor mungkin terancam[5] terutamanya selepas Tengku Alam Shah membuat pengisytiharan terbuka bahawa baginda mencabar tuntutan Maharaja Abu Bakar ke atas daerah Kesang.[15] Pada bulan Oktober 1879, Tengku Alam Shah dan pengikutnya telah melancarkan Perang Saudara Jementah tetapi mereka kalah dalam perang tersebut.[16]
Tahun-tahun terakhir dan kemangkatan
Tengku Alam Shah kembali ke Singapura dan bersemayam di Istana Kampong Gelam sehingga baginda mangkat pada tahun 1891.[10] Baginda diiktiraf sebagai ketua keluarga diraja oleh ahli keluarganya dan menguruskan hal-ehwal pentadbiran yang berkaitan dengan keluarga diraja.[17] Lima tahun selepas kemangkatannya, ahli keluarga diraja telah berselisih faham berkenaan hak pewarisan Istana Kampong Gelam. Istana tersebut diiktiraf sebagai harta milik negara tetapi kerajaan British (dan kemudian kerajaan Singapura) secara senyap telah membenarkan ahli keluarga diraja tersebut untuk terus bersemayam di istana tersebut sehingga tahun 1990-an.[10]
Lihat juga
Nota kaki
- ^ Studer, American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, halaman 358
- ^ Lee, The British as Rulers: Governing Multiracial Singapore, 1867–1914, halaman 13
- ^ a b Adil, Sejarah Johor, halaman 287
- ^ Lai, Beyond Rituals and Riots: Ethnic Pluralism and Social Cohesion in Singapore, halaman 51
- ^ a b Winstedt, A History of Johore (1365–1941), halaman 131
- ^ Studer, American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, halaman 313, 320
- ^ Studer, American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, halaman 351
- ^ a b Winstedt, A History of Johore (1365–1941), halaman 129
- ^ Ghazali, Istana dan politik Johor, 1835–1885, halaman 104
- ^ a b c Lee, The British as Rulers: Governing Multiracial Singapore, 1867–1914, halaman 12
- ^ Jayakumar, Public international law cases from Malaysia and Singapore, halaman 283
- ^ Parkinson, British intervention in Malaya, 1867–1877, halaman 320
- ^ Thio, British Policy in the Malay Peninsula, 1880–1910: The Southern and Central States, halaman xxx
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), halaman 130
- ^ Abdul Wahid, Glimpses of Malaysian history, halaman 70
- ^ Ghazali, Istana dan politik Johor, 1835–1885, halaman 127
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), halaman 132
Rujukan
- Abdul Wahid, Zainal Abidin bin, Glimpses of Malaysian history, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970
- Adil, Buyong bin, Sejarah Johor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980
- Ali, Abdullah, Malaysian protocol and correct forms of address, Times Books International, 1986, ISBN 9971-65-370-2
- Ghazali, Abdullah Zakaria, Istana dan politik Johor, 1835–1885, Yayasan Penataran Ilmu, 1997, ISBN 983-9851-12-8
- Jayakumar, S., Public international law cases from Malaysia and Singapore, NUS Press, 1974, ISBN 0-8214-0491-1
- Lai, Ah Eng, Beyond Rituals and Riots: Ethnic Pluralism and Social Cohesion in Singapore, Eastern Universities Press, 2004, ISBN 981-210-272-8
- Lee, Edwin, The British as Rulers: Governing Multiracial Singapore, 1867–1914, Singapore University Press, National University of Singapore, 1991, ISBN 9971-69-159-0
- Parkinson, Cyril Northcote, British intervention in Malaya, 1867–1877, University of Malaya Press, 1960
- Studer, Adolph G., American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, 1913
- Thio, Eunice, British Policy in the Malay Peninsula, 1880–1910: The Southern and Central States, University of Malaya Press, 1969
- Winstedt, R. O., A History of Johore (1365–1941), (M.B.R.A.S. Reprints, 6.) Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1992, ISBN 983-99614-6-2
Tengku Alam Shah ibni Sultan Ali Iskandar Shah Tarikh keputeraan: Jun 1846 Tarikh kemangkatan: 26 Ogos 1891
| ||
Didahului oleh Tiada Selepas Sultan Ali Iskandar Shah mangkat pada tahun 1877, daerah Kesang diserahkan kepada Maharaja Abu Bakar lalu menjadi sebahagian daripada negeri Johor selepas Raja Temenggung Muar dan para penghulu di daerah Kesang bersetuju untuk memilih Maharaja Abu Bakar sebagai Pemerintah Kesang dalam satu pemilihan |
Ketua Keluarga Diraja Singapura 1877 – 1891 |
Diikuti oleh: Tengku Haji Ali bin Tengku Alam Shah |