Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
![]() |
Portal Malaysia |
Persetiaan antara Sultan Ali Iskandar Shah dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Setia 1855 atau Persetiaan 1855 merupakan satu perjanjian antara Sultan Ali Iskandar Shah dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah berkenaan pemilikan dan kedaulatan ke atas negeri dan kerajaan Johor. Perjanjian ini ditandatangani pada 10 Mac 1855 dan bertempat di Singapura.
Sebab Berlakunya Perjanjian Setia 1855
Sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian 29 Oktober 1830 ditandatangani, negeri Johor berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang pada ketika itu berpusat di Lingga. Namun, pengaruh Sultan Johor terhadap negeri Johor semakin lemah akibat persengketaan antara pembesar Melayu dengan pembesar Bugis yang berlaku kerana pengaruh pembesar Bugis yang terlalu kuat dalam urusan pemerintahan Kesultanan Johor Lama dan juga pengaruh kuasa asing yang semakin kuat di Alam Melayu kerana usaha mereka untuk mencari tanah jajahan yang sesuai.
Pada tahun 1806, Sultan Johor, Sultan Mahmud Riayat Shah III menabalkan Tun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid sebagai Temenggung Johor dan mengurniakan negeri Johor, pulau Singapura dan pulau-pulau di sekitarnya sebagai kawasan pemakanan (kawasan pembesar mengutip cukai) Temenggung Tun Abdul Rahman.[1] Peristiwa ini menandakan bermulanya penguasaan Temenggung Johor di negeri Johor. Sebelum ini, pada tahun 1770, Sultan Mahmud Riayat Shah III telah mengurniakan negeri Pahang kepada Bendahara Tun Abdul Majid dan pada tahun 1803, baginda berkahwin dengan Engku Puteri Raja Hamidah dan mengurniakan Pulau Penyengat, Kepulauan Riau kepada Raja Hamidah sebagai mas kahwin.[2][3] Pulau Penyengat kemudian dijadikan sebagai pusat pemerintahan Yang Dipertuan Muda Riau iaitu pembesar tertinggi Bugis.[4]
Selepas Johor tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang pada ketika itu telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga, Temenggung Johor yang berkuasa di negeri Johor bertindak untuk mengukuhkan lagi kedudukan dan pengaruhnya di sana. Ini boleh dilihat apabila Temenggung Johor pada ketika itu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim menggalakkan orang-orang Cina datang ke Johor untuk membuka dan mengusahakan ladang-ladang gambir dan lada hitam, melaksanakan Sistem Kangcu dan mengeluarkan Surat Sungai untuk membenarkan mereka membuka ladang-ladang tersebut dan mengutip cukai hasil daripada keuntungan yang mereka peroleh.[5][6][7] Beliau juga mengusahakan ladang-ladang getah perca, mengutip cukai-cukai hasil dan membantu Inggeris untuk membanteras lanun di perairan Johor dan Singapura.[8]
Pada masa yang sama, putera Sultan Hussein Muhammad Shah iaitu Tengku Ali masih belum diiktiraf sebagai Sultan Johor. Pada tahun 1841, Inggeris di Singapura meminta Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali untuk menabalkan Tengku Ali sebagai Sultan Johor.[9] Namun, Bendahara Tun Ali tidak mahu mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan Johor disebabkan pertabalan ayahandanya yang bertentangan dengan adat-istiadat Melayu apabila ayahandanya menjadi Sultan Johor dengan bantuan daripada Inggeris.[10][11] Walaupun negeri Pahang bebas daripada kekuasaan Kesultanan Riau-Lingga, Bendahara Tun Ali tetap menumpahkan taat setianya kepada Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang beliau menganggap sebagai Sultan Johor.[12]
Tengku Ali juga beberapa kali meminta bantuan daripada Inggeris untuk diberikan pengiktirafan sebagai Sultan Johor.[13] Tengku Ali turut mempersoalkan tindakan Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang mengutip cukai-cukai hasil di negeri Johor untuk diri beliau sahaja sedangkan pada pendapat baginda, baginda juga mempunyai hak ke atas cukai-cukai hasil tersebut.[14] Tengku Ali bertindak dengan menghantar pengikutnya ke negeri Johor untuk mengutip cukai-cukai hasil di sana tetapi mereka dihalau keluar dari negeri Johor oleh pengikut Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[15] Pada mulanya, Inggeris enggan melayan permintaan baginda kerana Inggeris tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan sebelum ini, Inggeris mengiktiraf ayahandanya sebagai Sultan Johor hanya untuk kepentingan Inggeris di Singapura.[16][17][18] Namun, apabila Tengku Ali bertindak sendirian dengan berangkat ke Kepulauan Lingga untuk menyerahkan negeri Johor kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV pada tahun 1852, Inggeris meminta baginda untuk pulang ke Singapura dan mula mencari penyelesaian untuk menunaikan permintaan baginda.[19] Hal ini demikian kerana penyatuan semula tanah jajahan dalam Kesultanan Johor Lama akan menjejaskan kepentingan Inggeris dan Belanda di Alam Melayu.[20][21]
Selepas itu, Inggeris memujuk Temenggung Tun Daeng Ibrahim supaya mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan Johor dan membahagikan cukai-cukai hasil di negeri Johor kepada dua bahagian dan satu bahagian diberikan kepada baginda tetapi pujukan Inggeris ditolak.[22] Tengku Ali mengemukakan cadangannya iaitu Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor, Temenggung Tun Daeng Ibrahim menjadi Menteri baginda dan cukai-cukai hasil pendapatan kerajaan Johor dibahagikan sama rata antara baginda dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tetapi cadangan baginda juga ditolak.[23] Sebaliknya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengemukakan cadangannya iaitu sebahagian daripada cukai hasil diberikan kepada Tengku Ali dan beliau mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan Johor tetapi dengan syarat iaitu Tengku Ali mengakui bahawa beliau ialah pemerintah yang berhak ke atas negeri Johor dan Tengku Ali dan warisnya tidak akan memerintah negeri Johor.[24]
Pada tahun 1854, setelah menerima dan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Tengku Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Inggeris pula mengemukakan cadangannya iaitu Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan Johor dan memberikan elaun bulanan sebanyak $500 dan wang pampasan sebanyak $5000 kepada baginda tetapi dengan syarat iaitu Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan warisnya kekal memerintah negeri Johor dan Tengku Ali dan warisnya tidak akan memerintah negeri Johor.[25] Tengku Ali bersetuju dengan cadangan Inggeris tetapi baginda ingin mengemukakan cadangan tambahannya iaitu elaun bulanannya dinaikkan sekiranya kutipan cukai-cukai hasil di negeri Johor meningkat dan kawasan di antara Sungai Muar dengan Sungai Kesang diserahkan kepada baginda sebagai kawasan peribadinya kerana terdapat makam kaum kerabat dan moyang baginda di kawasan tersebut.[26] Namun, Temenggung Tun Daeng Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan penyerahan Kesang kepada Tengku Ali lalu menyebabkan rundingan gagal.[27]
Memandangkan Tengku Ali hidup dalam kemiskinan dan berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sumber pendapatannya, baginda merasakan bahawa lebih baik baginda menerima sahaja cadangan Inggeris tersebut supaya masalah yang dihadapi oleh baginda dapat diselesaikan dengan kadar segera.[28] Selepas Tengku Ali bersetuju dengan cadangan Inggeris, Inggeris meminta Temenggung Tun Daeng Ibrahim supaya bersetuju dengan cadangan tersebut.[29] Setelah didesak oleh Inggeris, Temenggung Tun Daeng Ibrahim akhirnya bersetuju dengan cadangan tersebut.[30]
Selepas Tengku Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim bersetuju dengan cadangan Inggeris untuk menyelesaikan masalah mereka, pada 10 Mac 1855, satu istiadat menandatangani surat perjanjian diadakan di Singapura dan disaksikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, William John Butterworth bersama-sama pegawai-pegawai tinggi Inggeris, diplomat-diplomat asing serta orang-orang kenamaan di Singapura dan Johor.[31] Dalam istiadat tersebut, Tengku Ali diiktiraf sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Ali Iskandar Shah dan dihadiahi sebilah pedang oleh Gabenor Butterworth.[32]
Isi Kandungan Perjanjian Setia 1855
Berikut merupakan teks asal Perjanjian Setia 1855:[33][34]
Bahawa inilah perjanjian sahabat bersahabat yang setiawan dan perdamaian serta muafakat di antara Yang Maha Mulia Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah dengan Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato’ Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja kerana kedua pihak yang tersebut itu adalah bersama-sama suka berselesai dan memutuskan perselisihan dan perbezaan yang selama ini telah ada jadi di antara kedua pihak yang tersebut itu darihal masing-masing tuntutan dan mempunyai negeri dengan segala daerahnya kerajaan Johor dan lagi supaya boleh menetapkan dan meneguhkan perdamaian dan sahabat bersahabat yang setiawan dengan selamat sempurnanya di antara kedua pihak yang tersebut itu dari masa ini hingga sampai selama-lamanya yang akan datang.
Perkara yang pertama
Adalah Yang Maha Mulia Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah pada dirinya sendiri sampai keturunannya atau waris gantinya adalah di dalam surat ini ada menyerahkan dengan sepenuh-penuh kerajaan dan haknya kepada Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato’ Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja sampai pada keturunannya atau waris gantinya selama-lamanya ialah semuanya tanah daerah takluk Johor itu melainkan tanah Kesang yang kemudian lagi disebutkan di dalam surat ini.
Perkara yang kedua
Sebab kerana serahan itu bagaimana tersebut di dalam perkara yang pertama iaitu Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato’ Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja di dalam surat ini ada berjanji membayarkan pada waktu sudah terbubuh tandatangan dan cop di dalam surat ini ialah wang lima ribu ringgit ($5,000) pada Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah dan lagi dia berjanji bahawa Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato’ Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja sampai pada keturunannya atau waris gantinya daripada dan kemudian dari sehari bulan Januari pada tahun seribu lapan ratus lima puluh lima (1855) iaitu mesti membayar kepada Yang Maha Mulia Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah sampai pada keturunannya atau waris gantinya ialah wang lima ratus ringgit ($500) pada tiap-tiap satu bulan selama-lamanya.
Perkara yang ketiga
Adalah Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato’ Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja ada melepaskan sekalian tuntutan di atas daerah tanah Kesang ialah tanah itu di antara Sungai Kesang dan Sungai Muar dan ialah Sungai Kesang itu menjadi sempadan sebelah utara dan Sungai Muar itu sebelah selatan dan ialah tanah itu tatkala dahulu ada di dalam daerah juga dan lagi dikabulkanlah Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah sampai pada keturunannya atau waris gantinya mempunyai dan memakai tanah itu dengan secukup-cukup kerajaan dan memilik selama-lamanya.
Perkara yang keempat
Yang Maha Mulia Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah sampai pada keturunannya atau waris gantinya ada berjanji di dalam ini bahawa tanah daerah Kesang yang tersebut itu tiadalah boleh diberi atau dijualkan pada siapa-siapa atau pada lain-lain raja jikalau tiada lebih dahulu ditawarkan pada East India Company dan kemudian kepada Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato’ Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja sampai pada keturunannya atau waris gantinya dengan sama harga dan perjanjian yang bagaimana Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah sampai pada keturunannya atau waris gantinya telah sudah suka dan boleh mendapat menjual pada siapa-siapa atau pada raja-raja yang lain yang hendak membeli itu.
Perkara yang kelima
Rakyat masing-masing kedua pihak membuat perjanjian ini bolehlah mendapat bebas berniaga keluar masuk pada segala negeri-negeri dan daerah-daerah tetapi boleh menanggung hukum dari sebab salah atau dosa yang terbuat di dalam daerah satu atau yang lain bagaimana adat istiadat dan hukum yang terpakai di tempat itu dan lagi kedua-dua pihak yang membuat perjanjian ini ada bersungguh-sungguh berjanji pada dirinya sendiri sampai pada keturunannya atau waris gantinya tiadalah boleh membuat apa-apa hal sampai akan menjadi atau menimbul atau menghidupkan pergaduhan di dalam negeri satu pada yang lainnya melainkan dengan bersetia yang sebenar-benarnya mengikut dan memegang perjanjian demikian yang telah terbuat ini oleh masing-masing adanya.
Perkara yang keenam
Kedua-dua pihak yang membuat surat perjanjian ini iaitu ada berjanji membantu apa-apa perselisihan atau kusutan yang kemudian akan terjadi atau terbit di antara kedua pihak itu darihal yang tersebut di dalam perkara yang keempat dan yang kelima bolehlah diserahkan perselisihan itu pada hukuman atau perselesaian Government India kerana sebabnya dengan ketahui Gabenor India itu perjanjian ini di antara kedua-dua pihak ada terbuat.
Perkara yang ketujuh
Tiadalah apa-apa yang tertulis atau tersebut dalam surat perjanjian ini boleh dikatakan atau disangkakan mengubah atau mencacatkan perkara-perkara di dalam perjanjian yang dahulu ada terbuat pada 2 haribulan Ogos pada tahun seribu lapan ratus dua puluh empat (1824) di antara East India Company dengan Almarhum Sultan dan Almarhum Temenggung Johor adanya sahlah seperti yang tersebut ini sebab sungguh dengan nyatanya serta suka sama suka masing-masing ada membubuh tandatangan serta materikan cop di dalam syarat ini di hadapan saksinya tamat termaktub surat perjanjian ini di dalam Singapura kepada 10 haribulan Mac pada tahun seribu lapan ratus lima puluh lima (1855).
Ringkasan Isi Kandungan Perjanjian Setia 1855
Berikut adalah ringkasan isi kandungan Perjanjian Setia 1855:
1. Penyerahan Kerajaan Dan Negeri Johor:
- Sultan Ali Iskandar Shah dan waris keturunan baginda menyerahkan hak ke atas kerajaan dan negeri Johor (kecuali daerah Kesang) kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan waris keturunan beliau untuk selama-lamanya.
2. Bayaran Pampasan:
- Sebagai balasan, Temenggung Tun Daeng Ibrahim membayar $5,000 sekali gus kepada Sultan Ali Iskandar Shah selepas menandatangani perjanjian ini; dan beliau dan waris keturunan beliau membayar $500 setiap bulan kepada baginda dan waris keturunan baginda untuk selama-lamanya.
3. Tuntutan Ke Atas Daerah Kesang:
- Temenggung Tun Daeng Ibrahim melepaskan tuntutan ke atas daerah Kesang (tanah di antara Sungai Kesang dengan Sungai Muar); dan daerah Kesang diiktiraf sebagai hak milik Sultan Ali Iskandar Shah dan waris keturunan baginda untuk selama-lamanya.
4. Syarat Jual Beli Tanah Daerah Kesang:
- Sultan Ali Iskandar Shah dan waris keturunan baginda tidak boleh menjual tanah daerah Kesang kepada mana-mana pihak melainkan ditawarkan terlebih dahulu kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris dan kemudian kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan waris keturunan beliau pada harga dan syarat yang sama.
5. Kebebasan Berniaga Dan Keamanan:
- Rakyat negeri Johor dan rakyat daerah Kesang bebas untuk keluar masuk dan berniaga di negeri Johor dan daerah Kesang tetapi mereka tertakluk kepada undang-undang di kedua-dua tempat; dan mereka tidak boleh menimbulkan kekacauan di kedua-dua tempat.
6. Penyelesaian Perselisihan:
- Jika berlaku perselisihan mengenai Perkara 4 dan Perkara 5, kedua-dua pihak boleh merujuk kepada Kerajaan British di India untuk menyelesaikan perselisihan mereka kerana Kerajaan British di India mengetahui dan meluluskan perjanjian ini.
7. Kedudukan Perjanjian 1824:
- Perjanjian ini tidak membatalkan atau mengubah Perjanjian 1824 antara Syarikat Hindia Timur Inggeris, Sultan Hussein Muhammad Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman yang ditandatangani pada 2 Ogos 1824.
Lihat juga
- Perjanjian 29 Oktober 1830
- Perjanjian Pahang-Johor 1861
- Sultan Ali Iskandar Shah
- Temenggung Daeng Ibrahim
- Syarikat Hindia Timur Inggeris
- Negeri-Negeri Selat
Rujukan
- Abdullah Zakaria Ghazali (1997). Istana dan Politik Johor (1835-1885).
- Annabelle R. Gambe (2000). Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia.
- Buyong Adil (2020). Sejarah Johor: Edisi Semakan.
- Keat Gin Ooi (2004). Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor.
- M.A. Fawzi Basri & Hasrom Haron (1978). Sejarah Johor Moden (1855-1940).
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863.
- Virginia Matheson Hooker (2003). A Short History of Malaysia.
Nota kaki
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 185
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 159
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 184-185
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 185
- ^ Annabelle R. Gambe (2000), Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia, halaman 82-83
- ^ Virginia Matheson Hooker (2003), A Short History of Malaysia, halaman 108
- ^ Keat Gin Ooi (2004), Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, halaman 710
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 234-236
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 247
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248-249
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 232
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 235-236
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 236
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 230
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 237
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252-253
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 240
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 242
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 244-246
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 246
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 246-247
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 247
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 247
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 247
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 248
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 248
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 249
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 249
- ^ Abdullah Zakaria Ghazali (1997), Istana dan Politik Johor (1835-1885), halaman 204-210
- ^ M.A. Fawzi Basri & Hasrom Haron (1978), Sejarah Johor Moden (1855-1940), halaman 217-220