| Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV | |
|---|---|
| Sultan Johor-Pahang | |
| Pemerintahan | 3 September 1699 – 21 Mac 1718 |
| Didahului oleh | Sultan Mahmud Shah II |
| Diikuti oleh | Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah |
| Bendahara Johor-Pahang | |
| Pemerintahan | 27 Julai 1697 – 3 September 1699 |
| Didahului oleh | Bendahara Tun Habib Abdul Majid |
| Diikuti oleh | Bendahara Tun Mas Anum |
| Keputeraan | Tun Abdul Jalil ibni Bendahara Tun Habib Abdul Majid (tarikh dan tempat kelahiran tidak diketahui) |
| Kemangkatan | 21 November 1721 Kuala Pahang, Pahang |
| Pemakaman | 21 November 1721 Makam Diraja Kampung Marhum, Pekan, Pahang |
| Pasangan | 1. Raja Embun 2. Inche Nusamah 3. Raja Mas Chayam binti Sultan Long Bahar 4. Daeng Sirat |
| Anakanda | 1. Tun Abdul Hamid 2. Bendahara Tun Abbas 3. Bendahara Tun Husain 4. Temenggung Tun Muhammad Tahir 5. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah 6. Raja Abdul Rahman 7. Engku Siti 8. Engku Tatanag Wangsa 9. Tengku Tengah Fatima 10. Tengku Bah 11. Tengku Mandak 12. Tengku Kamariah |
| Wangsa | Wangsa Bendahara |
| Ayahanda | Bendahara Tun Habib Abdul Majid |
| Bonda | Tun Rembiah |
| Agama | Sunni Islam |
Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV ibni Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid ialah Sultan Johor ke-10 dan Sultan Pahang ke-17 (Sultan Johor-Pahang ke-4) dari tahun 1699 hingga tahun 1718. Sebelum baginda diangkat menjadi Sultan, baginda merupakan Bendahara Johor-Pahang dari tahun 1697 hingga tahun 1699.
Baginda merupakan Sultan Johor pertama daripada Wangsa Bendahara Johor. Baginda juga ialah sepupu Sultan Mahmud Shah II sebelah ibu kerana bonda Sultan Mahmud Shah II, Marhum Bakal ialah adinda ayahanda baginda, Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Baginda turut merupakan kakanda Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu pertama.
Bukan itu sahaja, baginda merupakan sepupu Temenggung Engku Sa'Akar Diraja, Raja Temenggung Muar pertama, sebelah ayah kerana ayahanda Temenggung Engku Sa'Akar Diraja, Tun Sayyid Jaafar yang bergelar Dato' Pasir Diraja ialah kakanda Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Tun Sayyid Jaafar dikurniakan Muar sebagai mas kahwin apabila Sultan Ibrahim Shah berkahwin dengan Marhum Bakal.
Latar belakang
Sebelum baginda diangkat menjadi Sultan Johor, baginda ialah Bendahara Johor yang bergelar Dato' Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil. Baginda menjadi Bendahara Johor selama 2 tahun iaitu dari tahun 1697 hingga tahun 1699.
Pada tahun 1699, satu peristiwa berdarah dan penderhakaan besar telah berlaku dan peristiwa ini secara langsung mengubah suasana politik Kesultanan Johor Lama. Kemangkatan Sultan Mahmud Shah II telah memutuskan nasab keturunan Sultan-Sultan Melaka yang memerintah Kesultanan Johor Lama kerana Sultan Mahmud Shah II tidak meninggalkan seorang pewaris. Orang-orang besar Kesultanan Johor Lama bermesyuarat dan bersepakat untuk mengangkat Bendahara Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.
Anakanda-anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV yang dilahirkan sebelum baginda menjadi Sultan Johor diberikan nama "Tun" di hadapan nama mereka manakala anakanda-anakanda baginda yang dilahirkan selepas baginda menjadi Sultan Johor pula diberikan nama "Raja" atau "Tengku" di hadapan nama mereka. Ini boleh dilihat apabila salah seorang anakanda baginda yang bernama Tun Abbas mempunyai nama "Tun" kerana Tun Abbas dilahirkan sebelum Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV menjadi Sultan Johor manakala adinda Tun Abbas yang bernama Raja Sulaiman mempunyai nama "Raja" kerana Raja Sulaiman dilahirkan selepas Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV menjadi Sultan Johor.
Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV digambarkan sebagai seorang yang tua, sederhana, teratur, kuat beribadat dan sering berdamping dengan ahli ulamak di istana.
Pemerintahan
Selepas Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV diangkat menjadi Sultan Johor, baginda menukar pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama dari Kota Tinggi ke Panchor dan menjadikan Kota Panchor sebagai pusat pemerintahannya pada tahun 1700. Pada tahun 1702, istana di Bukit Tukul terbakar. Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV berpindah ke Kepulauan Riau dan menjadikan Kepulauan Riau sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama.
Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV berpindah ke Johor dan bersemayam semula di Panchor. Baginda mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar "Kota Lama".
Semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV, keadaan di Johor agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar Kesultanan Johor Lama bersikap tamak, khianat dan cemburu. Ini memberi peluang kepada Raja Kechil untuk menyerang Johor.
Rampasan kuasa
Pada tahun 1717, muncul seorang putera raja dari Minangkabau yang bernama Raja Kechil dan baginda telah mendakwa dirinya sebagai anakanda Sultan Mahmud Shah II yang dikatakan mempunyai hubungan dengan bondanya, Che Apung. Ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II, diceritakan bahawa Che Apung yang mempunyai hubungan dengan Sultan Mahmud Shah II telah melahirkan Raja Kechil dan oleh kerana pemerintahan Kesultanan Johor Lama pada ketika itu kacau-bilau dan ditambah pula dengan perangai Sultan Mahmud Shah II pada ketika itu, Che Apung telah melarikan Raja Kechil ke Pagar Ruyung. Raja Kechil bertindak untuk menyerang Johor bagi menuntut takhtanya. Raja Kechil mendapat sokongan daripada kebanyakan orang laut dan juga beberapa orang-orang besar Johor yang mengkhianati Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Pada 21 Mac 1718, Raja Kechil telah menyerang Panchor dan akhirnya pada 22 Mac 1718, Raja Kechil dapat menawan Kota Panchor. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah menyerah diri kepada Raja Kechil dan kemudian diampunkan. Selepas itu, Raja Kechil diangkat menjadi Sultan Johor ke-11 dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah manakala Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah diangkat kembali menjadi Bendahara.
Semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, suasana politik Kesultanan Johor Lama tidak begitu tenteram. Hal ini demikian kerana rakyat berpecah kepada dua pengikut iaitu pengikut Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan pengikut Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
Pada tahun 1719, salah seorang anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV iaitu Tengku Tengah telah nekad untuk melarikan isteri Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah iaitu Tengku Kamariah yang juga anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dari istana. Tindakan itu menyebabkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah mengamuk dan menyerang keluarga Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan keluarganya bertahan di Seluyut, seterusnya berundur ke Pahang dan akhirnya ke Terengganu. Manakala Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah telah berpindah ke Riau dan memerintah di sana. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah berpindah ke Terengganu dan menetap di sana selama kira-kira setahun di bawah naungan saudara baginda iaitu Paduka Maharaja Tun Zainal Abidin.
Pada tahun 1720, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan keluarganya berpindah semula ke Pahang dan bersemayam di Kuala Pahang. Semasa di Kuala Pahang, satu angkatan perang dari Riau yang diketuai oleh Laksamana Nakhoda Sekam datang membawa utusan daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Tujuannya ialah untuk mempersilakan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV untuk kembali pulang ke Riau. Namun, jemputan itu ditolak oleh baginda lalu berperanglah baginda dengan angkatan Laksamana Nakhoda Sekam. Malangnya, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV kalah dan baginda terpaksa menerima pelawaan itu.
Mangkat
Semasa Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan keluarganya memasuki perahu, telah datang Mas Radin dari Riau membawa utusan daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah yang menitahkan agar Laksamana Nakhoda Sekam membunuh sahaja Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Menjelang subuh, perahu yang dinaiki oleh baginda telah dikepung oleh para hulubalang. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV pada ketika itu baru sahaja selesai menunaikan Solat Subuh. Maka, datang salah seorang hulubalang dengan pantas menetak baginda dengan parang. Akibat kecederaan parah yang dialami oleh baginda, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mangkat. Jasad baginda telah dimakamkan di Teluk Kandang iaitu Tanjung Brunei di Kuala Pahang. Kemudiannya, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV digelar "Marhum Kuala Pahang".[1]
Keluarga
Antara anakanda-anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV adalah:[2][3][4]
- Bendahara Tun Abbas. Baginda menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan adindanya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda juga leluhur (nenek moyang) Sultan-Sultan Johor Moden daripada Wangsa Temenggung Johor.
- Bendahara Tun Husain. Baginda menjadi Bendahara Terengganu pada zaman pemerintahan ayahanda saudaranya, Sultan Zainal Abidin I.
- Temenggung Tun Muhammad Tahir (Mutahir). Baginda menjadi Temenggung Johor pada zaman pemerintahan adindanya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda juga leluhur (nenek moyang) Sultan-Sultan Pahang Moden daripada Wangsa Bendahara Johor.
- Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda menjadi Sultan Johor selepas berjaya mengalahkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dengan bantuan daripada Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara. Baginda juga leluhur (nenek moyang) Sultan-Sultan Johor daripada Wangsa Bendahara Johor.
- Tengku Tengah Fatimah. Baginda berkahwin dengan Daeng Parani, saudara tertua daripada Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara, dan melahirkan seorang puteri bernama Raja Maimunah. Raja Maimunah kemudian berkahwin dengan Temenggung Tun Abdul Jamal dan melahirkan Temenggung Tun Abdul Hamid dan Engku Muda Muhammad.
- Tengku Mandak. Baginda berkahwin dengan Yang Dipertuan Muda Daeng Chelak, Yang Dipertuan Muda Riau ke-2, dan melahirkan Tengku Puteh dan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah, Yang Dipertuan Muda Riau ke-4. Tengku Puteh kemudian berkahwin dengan Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V dan melahirkan Sultan Ahmad Riayat Shah dan Sultan Mahmud Riayat Shah III.
- Tengku Kamariah. Baginda berkahwin dengan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil) dan melahirkan Sultan Mahmud Abdul Jalil Shah.
Rujukan
- Carl A. Trocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
- "A History of Johore (1365—1895 A.D.)" [Sejarah Johor (1365—1895 A.D.)]. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (dalam bahasa Inggeris). 10. 1932. Dicapai pada 21 Ogos 2018 – melalui JSTOR.
Nota kaki
- ^ "Kawasan Pemakaman Diraja Di Kuala Pahang". Seni Lama Melayu. Radzi Sapiee. 2008. Dicapai pada 6 Disember 2010.
- ^ "The Bendahara Dynasty of Johor". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 01 July 2025. Dicapai pada 09 July 2025. Check date values in:
|access-date=dan|archive-date=(bantuan) - ^ "The Vice-Regal or Bugis Dynasty of Riau". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 01 July 2025. Dicapai pada 09 July 2025. Check date values in:
|access-date=dan|archive-date=(bantuan) - ^ Carl A. Trocki, ms 22
Pautan luar
- http://www.johordt.gov.my/pdkotatinggi/pelancongan.php?scr=pelancongan_sejarahsultan Diarkibkan 2007-09-27 di Wayback Machine
Sultan Abdul Jalil IV Tarikh kemangkatan: 21 November 1721
| ||
| Gelaran pemerintah | ||
|---|---|---|
| Didahului oleh Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid |
Bendahara Johor-Pahang 27 Julai 1697 – 3 September 1699 |
Diikuti oleh: Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Mas Anum |
| Didahului oleh Sultan Mahmud Shah II |
Sultan Johor-Pahang 3 September 1699 – 21 Mac 1718 Diangkat menjadi Sultan Johor pada tahun 1699 kerana Sultan Mahmud Shah II tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta Sultan Johor |
Diikuti oleh: Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah Diangkat menjadi Sultan Johor selepas mengalahkan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan menawan pusat pemerintahan Kesultanan Johor pada ketika itu iaitu Panchor pada tahun 1718 |








