Sultan Ali Iskandar Shah | |
---|---|
![]() Potret Sultan Ali Iskandar Shah yang dilukis oleh Eliphalet M. Brown Jr. | |
Sultan Johor (Pemerintah Kesang) | |
Pemerintahan | 10 Mac 1855 – 20 Jun 1877 |
Didahului oleh | Tiada (Kesang adalah sebahagian daripada Johor sebelum tahun 1855) |
Diikuti oleh | Maharaja Abu Bakar ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Kesang kembali menjadi sebahagian daripada Johor pada tahun 1879) |
"Sultan Johor" (Pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah) | |
Pemerintahan | 5 September 1835 – 10 Mac 1855 |
Didahului oleh | Sultan Hussein Muhammad Shah (sebagai Sultan Johor) |
Diikuti oleh | Temenggung Tun Daeng Ibrahim (sebagai Temenggung dan Pemerintah Johor) |
Keputeraan | Tengku Ali ibni Sultan Hussein Muhammad Shah 1824 Istana Kampong Gelam, Kampong Gelam, Singapura |
Kemangkatan | 20 Jun 1877 (berumur 52–53) Umbai, Jasin, Melaka, Negeri-Negeri Selat |
Pemakaman | 20 Jun 1877 Makam Masjid Umbai, Jasin, Melaka |
Pasangan | 3 Orang Isteri |
Isteri |
|
Anakanda |
|
Wangsa | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Hussein Muhammad Shah |
Bonda | Tengku Prabu binti Tengku Mahmud |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah[1][2] (1824 – 20 Jun 1877) ialah Sultan Johor ke-18 dari tahun 1835 hingga tahun 1877.[3] Baginda diangkat oleh keluarga dan pengikutnya untuk menggantikan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah tetapi baginda hanya diiktiraf sebagai pewaris ayahandanya oleh British. Oleh sebab itu, baginda berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada British dari tahun 1835 hingga tahun 1855 memandangkan British bertanggungjawab dalam melantik ayahandanya sebagai Sultan Johor.
Selepas rundingan dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dengan bantuan British sebagai orang tengah, baginda akhirnya diiktiraf secara rasmi sebagai "Sultan Johor" melalui Perjanjian Setia 1855 antara baginda dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Namun, sebagai balasan untuk pengiktirafan tersebut, baginda diberikan daerah Kesang untuk dijadikan sebagai kawasan peribadinya seperti yang diminta oleh baginda dalam rundingan tersebut manakala seluruh negeri Johor (kecuali daerah Kesang) kekal diperintah oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim seperti sebelumnya.
Sama seperti ayahandanya, baginda tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali dan anakandanya, Bendahara Tun Mutahir serta para pembesar Melayu yang lain kerana ayahandanya bukan Sultan Johor yang sah disebabkan oleh pertabalan ayahandanya yang membelakangkan adat-istiadat Melayu apabila ia dilakukan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama. Bendahara Tun Ali dan Bendahara Tun Mutahir juga tidak mengiktiraf Perjanjian Setia 1855 kerana ia jelas melanggar adat-istiadat Melayu di mana tanah jajahan dalam Kesultanan Johor Lama termasuk negeri Johor adalah hak milik Sultan Johor yang sah di Lingga dan ia tidak boleh diambil oleh orang lain kecuali melalui cara kurnia. Dalam erti kata lain, negeri Johor masih dimiliki secara sah oleh Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang pada ketika itu.
Baginda pernah merancang untuk merampas negeri Johor daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dari tahun 1860 hingga tahun 1861 tetapi baginda gagal kerana baginda dihalang oleh British di Singapura. Baginda juga menyokong usaha Bendahara Tun Ahmad (kemudian Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah) untuk merampas negeri Pahang daripada kakandanya, Bendahara Tun Mutahir dalam Perang Saudara Pahang dengan harapan agar Bendahara Tun Ahmad akan membalas sokongannya dengan menabalkannya sebagai Sultan Johor-Pahang sekiranya beliau berjaya merampas negeri Pahang. Namun, baginda sekali lagi gagal kerana Bendahara Tun Ahmad tidak mahu merumitkan lagi masalah politik negeri Pahang selepas beliau berjaya mengalahkan kakandanya pada tahun 1863.
Sultan Johor (1835-1855)
Tahun-tahun awal
Pada usia yang sangat muda, Sultan Ali Iskandar Shah dilantik sebagai Sultan Johor oleh keluarga dan pengikutnya untuk menggantikan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah yang mangkat pada tahun 1835. Walau bagaimanapun, baginda tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali, Temenggung Johor, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan British. Semasa tahun-tahun awal pemerintahan baginda, Johor dikuasai oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah ke atas Johor hanya diiktiraf oleh pedagang dan beberapa orang Melayu. Pada bulan September 1840, satu perisytiharan dikeluarkan oleh British untuk mengiktiraf baginda sebagai pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah yang sah, tetapi perisytiharan tersebut bukan pengiktirafan sebagai "Sultan Johor".[4]
Pada tahun 1840, Johor mula menerima peneroka Cina (kebanyakannya datang dari Swatow dan Chaozhou). Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang memerintah negeri Johor mengenakan cukai ke atas peneroka ini sebagai sumber pendapatan baginda.[5] Walau bagaimanapun, tidak seperti Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Sultan Ali Iskandar Shah tidak melibatkan diri di dalam hal ehwal negeri Johor tetapi pada masa yang sama baginda mengadu tidak menerima elaun yang mencukupi daripada British.[6]
Dalam pada itu, kesetiaan orang-orang Melayu di Johor kepada pemerintah mula berpecah-belah antara sokongan kepada Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[7] Walau bagaimanapun, perpecahan kesetiaan ini tidak menyebabkan sebarang persengketaan besar.[8] Pada masa yang sama, seorang pedagang British, William Henry Macleod Read menjaga cap mohor Sultan Ali Iskandar Shah sebagai balasan untuk melangsaikan hutang baginda. Read adalah penyokong kuat tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah untuk pengiktirafan sebagai Sultan Johor yang sah serta berhak ke atas hasil negeri Johor dan dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai wakil baginda.[9] Disebabkan tekanan ekonomi dan politik pedagang tersebut, Gabenor British telah mempertimbangkan untuk memberi pengiktirafan tersebut tetapi telah mendapat tentangan hebat daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan puteranya, Tun Abu Bakar.[10] Pada awal tahun 1850-an, pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah telah disingkirkan secara paksa oleh pengikut-pengikut Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[11]
Penyerahan Johor
Beberapa rundingan antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berlangsung di mana British telah menjadi orang tengah. Rundingan ini berlaku selepas Sultan Ali Iskandar Shah menimbulkan persoalan mengenai hak Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk menerima kesemua hasil negeri Johor.[12] Pada mulanya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim bercadang untuk membahagikan hasil negeri Johor kepada dua bahagian untuk diberikan satu bahagian kepada Sultan Ali Iskandar Shah tetapi dengan syarat iaitu Sultan Ali Iskandar Shah perlu menyerahkan haknya ke atas Johor. Namun, syarat Temenggung Tun Daeng Ibrahim tersebut tidak diterima oleh Sultan Ali Iskandar Shah. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mendapatkan campur tangan daripada British. Antara pegawai British yang terlibat ialah Gabenor Negeri-negeri Selat, Colonel William John Butterworth dan penggantinya, Edmund Augustus Blundell yang menjadi orang tengah.[13]
Pihak British lebih cenderung untuk menyokong Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengambil alih Johor daripada Sultan Ali Iskandar Shah. Tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah berkenaan haknya ke atas kedaulatan Johor telah disangkal oleh British. Temenggung Tun Daeng Ibrahim pula telah membangkitkan kenyataan bahawa walaupun ayahanda Sultan Ali Iskandar Shah, Sultan Hussein Muhammad Shah telah diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh British pada tahun 1819, baginda tidak pernah mengambil sebarang tindakan untuk menuntut haknya ke atas kedaulatan Johor selepas ayahanda Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Temenggung Tun Abdul Rahman mangkat pada tahun 1825. Temenggung Tun Daeng Ibrahim juga menyatakan bahawa Johor dan Singapura sebenarnya berada di bawah tanggungjawab ayahandanya, Temenggung Tun Abdul Rahman dan keadaan ini sama seperti Pahang yang berada di bawah tanggungjawab Bendahara. Dokumen-dokumen lain pula menunjukkan bahawa sekiranya Johor berada di bawah kuasa Sultan, de jure kedaulatan tersebut sepatutnya berada di bawah Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan bukan Sultan Ali Iskandar Shah. [14]
Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Sultan Ali Iskandar Shah menyerahkan cadangan mereka kepada Gabenor British pada bulan April 1854. Temenggung Tun Daeng Ibrahim bersetuju dengan permintaan Sultan Ali Iskandar Shah untuk pengiktirafan secara simbolik sebagai Sultan Johor tetapi Temenggung Tun Daeng Ibrahim berkeras mahu mengekalkan kuasa penuhnya ke atas Johor. Sebaliknya, Sultan Ali Iskandar Shah telah menyatakan hasratnya untuk memerintah Kesang yang terletak di antara Sungai Muar dan Sungai Kesang dengan alasan bahawa sebahagian nenek moyangnya dimakamkan di Kesang. British telah memujuk Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk menerima permintaan Sultan Ali Iskandar Shah. Akhirnya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah bersetuju dengan permintaan tersebut.[15]
Pada 10 Mac 1855, Sultan Ali Iskandar Shah memeterai Perjanjian Setia 1855 dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan disaksikan oleh British di Singapura. Dalam perjanjian ini, baginda bersetuju untuk melepaskan haknya terhadap Johor (kecuali Kesang) kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[16] Sebagai balasan, baginda diiktiraf secara rasmi sebagai "Sultan Johor" oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan British. Baginda juga menerima wang pampasan sebanyak $5,000 dan elaun bulanan sebanyak $500 daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[17] [10] Selepas penyerahan Johor, Sultan Ali Iskandar Shah diberikan Kesang (tanah di antara Sungai Muar dan Sungai Kesang) sebagai kawasan peribadinya sehingga kemangkatannya pada 20 Jun 1877. Baginda juga dikenali sebagai "Sultan Muar" dan "Sultan Kesang".[18]
Reaksi Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Bendahara Tun Ali
Perjanjian Setia 1855 telah mengejutkan Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah kerana sebelum ini Johor telah diserahkan oleh Sultan Ali Iskandar Shah kepada baginda pada tahun 1852.[19] Namun, sebab sebenar Sultan Ali Iskandar Shah melakukan sedemikian adalah kerana Sultan Ali Iskandar Shah berasa kecewa dengan sikap British yang masih tidak mahu mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor.[20] Apabila penyerahan Johor benar-benar berlaku, British melayan tuntutan Sultan Ali Iskandar Shah secara serius kerana penyerahan tersebut telah menyatukan semula bekas wilayah Kesultanan Johor Lama lalu boleh menjejaskan kepentingan British dan Belanda di Alam Melayu.[21]
Apabila Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah meminta penjelasan daripada Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali mengenai Perjanjian Setia 1855, Bendahara Tun Ali berkata bahawa beliau tidak reda dengan perjanjian tersebut yang jelas melanggar adat-istiadat Melayu kerana tanah jajahan dalam Kesultanan Johor Lama termasuk Johor merupakan hak milik Sultan Johor yang tidak boleh diambil oleh orang lain kecuali melalui cara kurnia.[22] Sultan Johor yang dimaksudkan ialah Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, bukan Sultan Ali Iskandar Shah.[23] Bendahara Tun Ali tidak mengiktiraf Sultan Ali Iskandar Shah sebagai Sultan Johor kerana ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah bukan Sultan Johor yang sah disebabkan pertabalannya dilakukan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama dan tindakan tersebut telah melanggar adat-istiadat Melayu.[24] Bukan itu sahaja, tindakan Sultan Hussein Muhammad Shah yang telah menyerahkan Singapura kepada British melalui Perjanjian 2 Ogos 1824 tidak dapat diterima oleh para pembesar Melayu.[25]
Bendahara Tun Ali mengiktiraf Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah sebagai Sultan Johor kerana nendanya, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah berjaya ditabalkan semula sebagai Sultan Johor dengan kehadiran alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama pada tahun 1823.[26][27] Dengan kejayaan menobatkan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain bersepakat untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor yang sah dari segi adat-istiadat Melayu.[28] Walaupun Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah ditandatangani oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain masih menganggap Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Muhammad II Muazzam Shah dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah sebagai Sultan Johor. Ini boleh dibuktikan apabila Sultan Muhammad II Muazzam Shah telah mengadakan satu istiadat yang dihadiri oleh para pembesar dari seluruh bekas wilayah Kesultanan Johor Lama.[29] Bendahara Tun Ali telah menabalkan Tengku Mahmud (kemudian Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) sebagai Tengku Besar (pewaris takhta) dan Tun Mutahir (kemudian Bendahara Tun Mutahir) sebagai Bendahara Muda (pewaris Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang) dalam istiadat tersebut.[30] Selain itu, berdasarkan surat balasan Bendahara Tun Ali kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah pada tahun 1855, mereka langsung tidak mengetahui tentang Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[31] Terdapat kemungkinan besar bahawa Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian 29 Oktober 1830 dirahsiakan daripada mereka untuk suatu tempoh yang lama iaitu kira-kira 30 tahun.[32]
Sultan Johor (1855-1877)
Sultan Ali Iskandar Shah mewakilkan pentadbiran Kesang kepada Temenggung Paduka Tuan Muar dan banyak menghabiskan masa di Melaka. Kesang tidak banyak penduduk pada tahun 1855 dan hanya ada 800 penduduk tanpa sebarang struktur kerajaan. Pada tahun 1860, Sultan Ali Iskandar Shah dilaporkan meminjam $53,600 daripada seorang ceti, Kavana Chana Shellapah. Baginda menandatangani satu perjanjian dengan Shellapah untuk menggunakan sebahagian daripada elaun bulanan baginda untuk membayar pinjaman tersebut. Walau bagaimanapun, baginda tidak dapat membayar pinjaman tersebut mengikut jadual. Ini menyebabkan Shellapah marah dan menulis surat kepada kerajaan British pada tahun 1866. Setelah dipaksa membayar pinjamannya mengikut jadual, Sultan Ali Iskandar Shah telah menyerahkan haknya untuk berdagang di Kesang kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai cagaran sekiranya baginda tidak dapat menjelaskan pinjaman mengikut jadual.[33]
Hubungan Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tetap tegang. Pada tahun 1860, Sultan Ali Iskandar Shah memerintahkan pengikutnya iaitu seorang Bugis bernama Suliwatang dan ketua-ketua dari daerah Rembau dan Sungai Ujong untuk menetap di Kesang dan bersiap sedia untuk menyerang Johor.[34] Hubungan buruk di antara Sultan Ali Iskandar Shah and Temenggung Tun Daeng Ibrahim berterusan sehingga putera Temenggung Tun Daeng Ibrahim, Tun Abu Bakar menggantikan ayahandanya yang mangkat pada tahun 1862. Tidak lama selepas Tun Abu Bakar menjadi Temenggung Johor, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar surat kepada Sultan Ali Iskandar Shah untuk menegaskan kedaulatan Johor ke atas Segamat. Pertikaian yang berterusan berkenaan kedaulatan Segamat membawa kepada peperangan antara pengikut Temenggung Tun Abu Bakar dan Sultan Ali Iskandar Shah. Sebelas tahun kemudian iaitu pada tahun 1873, usaha Suliwatang untuk mengutip cukai daripada penduduk di muara Sungai Kesang menyebabkan lebih banyak konflik dengan pengikut Temenggung Tun Abu Bakar yang mula menggunakan gelaran Maharaja pada tahun 1868.[35]
Semasa pemerintahan Sultan Ali Iskandar Shah, tidak banyak aktiviti ekonomi di Kesang. Walau bagaimanapun, baginda mewakilkan tugas mengutip cukai kepada Suliwatang dan wakilnya. Pada tahun 1868, Sultan Ali Iskandar Shah melantik Babu Ramasamy, seorang guru berketurunan Tamil untuk mengutip cukai di Kesang. Pada tahun 1872, seorang pelombong berbangsa Eropah telah diberikan hak melombong secara eksklusif di Kesang selama lima tahun oleh Sultan Ali Iskandar Shah. Tiga tahun kemudian, seorang rakyat Amerika telah diberikan konsesi untuk membeli tanah seluas 45 batu persegi di Kesang oleh Sultan Ali Iskandar Shah.[36]
Mangkat
Sultan Ali Iskandar Shah menghabiskan masa tuanya di Umbai, Melaka dan menyara hidupnya dengan elaun bulanan yang diberikan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris.[37] Baginda mendirikan sebuah istana dan tinggal bersama isteri ketiga baginda iaitu Cik' Sembuk binti Mokmin yang merupakan orang kebanyakan sehingga baginda mangkat pada 20 Jun 1877 dan dimakamkan di Masjid Umbai, Melaka yang terletak di Laluan Persekutuan 5.[38][39]
Sebelum baginda mangkat, Sultan Ali Iskandar Shah telah mewasiatkan Kesang kepada puteranya dengan Cik Sembuk, Tengku Mahmood yang berumur 11 tahun. Keputusan baginda menerima tentangan daripada sebahagian orang Melayu di Singapura yang berpendapat bahawa Tengku Alam Shah yang sepatutnya menerima Kesang memandangkan Tengku Alam Shah merupakan putera sulung baginda dengan Daeng Siti, puteri seorang pembesar Bugis.[40]
Apabila Sultan Ali Iskandar Shah mangkat, hak penjagaan Kesang telah diletakkan di bawah kekuasaan Tengku Abdul Jalil, abang kepada Sultan Ali Iskandar Shah. Tengku Abdul Jalil telah menyerahkan hak penjagaan Kesang kepada Maharaja Abu Bakar selepas kerajaan British mengadakan pemilihan di mana Temenggung Paduka Tuan Muar dan ketua-ketua masyarakat di Kesang telah memilih Maharaja Abu Bakar untuk memimpin mereka. Gebenor British telah menyerahkan pentadbiran Kesang kepada Maharaja Abu Bakar. Ini menyebabkan Tengku Alam Shah dan pengikutnya tidak berpuas hati.[41] Tuntutan berterusan Tengku Alam Shah ke atas Kesang telah menyebabkan Perang Saudara Jementah pada 25 Oktober 1879 tetapi baginda tewas dalam perang tersebut.[42]
Keluarga
Baginda dikurniakan 10 orang anak yang terdiri daripada 5 orang putera dan 5 orang puteri. Berikut adalah senarai anak baginda:
- Tengku Alam Shah
- Tengku Mahmud Putra
- Tengku Mansur Putra
- Tengku ‘Abdu’llah
- Tengku Sulong
- Tengku Sembuk
- Tengku Cik Fatimah
- Tengku Mariam
- Tengku Sharifah
- Tengku Busu Zainab
Keturunan
Walaupun Sultan Ali Iskandar Shah telah hilang haknya ke atas Johor, namun sehingga hari ini, keturunan baginda masih wujud dan tinggal di negara Singapura, Malaysia, dan Indonesia. Antara waris baginda yang diketahui adalah:
- Y.A.M. Tengku Alam Shah ibni Y.M.M. Sultan Ali Iskandar Shah.
- Ketua Waris Pemangku Adat Sultan Hussein Muhammad Shah, Y.M. Tengku Muhammad Shawal bin Y.M. Tengku Abdul Aziz bin Y.M. Tengku Hussain bin Y.M. Tengku Ali bin Y.A.M. Tengku Alam Shah ibni Y.M.M. Sultan Ali Iskandar Shah.[1][43][44][45]
- Y.M. Tengku Zayn Nayef Tayeb bin Y.M. Tengku Fauzi bin Y.M. Tun Tengku Ahmad bin Y.A.M. Tengku Saleh bin Y.A.M. Tengku Hussain bin Y.A.M. Tengku Ali bin Y.A.M. Tengku Alam Shah ibni Y.M.M. Sultan Ali Iskandar Shah.[2]
Nota kaki
- ^ Abdullah Zakaria Ghazali (1997), Istana dan Politik Johor (1835-1885), halaman 204-210
- ^ Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (1937), pg 93
- ^ Sejarah Kesultanan Negeri Johor, Laman Web Rasmi Pejabat Daerah Kota Tinggi (Official Web Portal of Kota tinggi district), retrieved 12 March 2009
- ^ Jayakumar, Public international law cases from Malaysia and Singapore, pg 270
- ^ Turnbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, pg 124
- ^ Turnbull, A History of Singapore, 1819-1975, pg 51
- '^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, ms 84
- ^ Trocki, ms. 84
- ^ Turnbull, The Straits Settlements, 1826-67: Indian presidency to Crown Colony, pg 279, 282
- ^ a b Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 107
- ^ Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (1960), pg 213
- ^ Jessy, History of Malaya (1400-1959), pg 224
- ^ Swettenham, British Malaya: An Account of the Origin and Progress of British Influence in Malaya, pg 93
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 106-7
- ^ Swettenham, British Malaya: An Account of the Origin and Progress of British Influence in Malaya, pg 96-99
- ^ The Numismatic Circular (1970), pg 47, 87
- ^ Jessy, History of Malaya (1400-1959), pg 225
- ^ Burns, Wilkinson, Papers on Malay Subjects, pg 72 In the end they signed the treaty of AD 1855. They gave Tengku Ali the district of Muar to govern as Sultan of Muar; and they agreed to pay him and his...
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252, 254 & 260
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253, 240
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254 & 260
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 249
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 212-213 & 245-246
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 215
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198 & 210
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 222
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243-244
- ^ Studer, American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, pg 311-2
- ^ Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (1937), pg 74
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 128-9
- ^ Winstedt, ms. 128
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 132
- ^ Khoo, Melaka dan Sejarahnya, pg 124
- ^ Studer, American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, pg 312
- ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 129
- ^ Burns, Wilkinson, Papers on Malay Subjects, pg 73
- ^ Studer, American and British Claims Arbitration: William Webster: Appendix to the Memorial of the United States, Vol. III, pg 312, 352
- ^ Rashid, R. (23 Oktober 2024). Rahsia Dua Kurun: 4 perkara yang anda perlu tahu tentang Masjid Sultan. BERITA Mediacorp. Diambil daripada https://berita.mediacorp.sg/singapura/rahsia-dua-kurun-4-perkara-yang-anda-perlu-tahu-tentang-masjid-sultan-886501
- ^ Reuters. (27 Oktober 2020). Cabbies and office workers: Meet Singapore’s ordinary royals. AWANI International. Diambil daripada https://international.astroawani.com/global-news/cabbies-and-office-workers-meet-singapores-ordinary-royals-265473
- ^ Daud, M. R. (14 Mei 2025). ALAM MELAYU: Menyerlah Ikatan Singapura dan Bugis. BERITA Mediacorp. Diambil daripada https://berita.mediacorp.sg/komentar/alam-melayu-menyerlah-ikatan-singapura-dan-bugis-938806
Lihat juga
Rujukan
- Abdullah Zakaria Ghazali (1997). Istana dan Politik Johor (1835-1885). Yayasan Penataran Ilmu. ISBN 9839851128.
- Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 978-9971-69-376-3.
- http://royalkesang.blogspot.my/2010/08/kerabat-diraja-sultan-ali-iskandar-shah.html?m=1
Sultan Ali Iskandar Shah Tarikh keputeraan: 1824 Tarikh kemangkatan: 20 Jun 1877
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1819 melalui Perjanjian 6 Februari 1819 tetapi tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali kerana istiadat pertabalan tidak dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
– PERTIKAIAN TUNTUTAN – Pemerintah Johor sebagai Sultan Johor 5 September 1835 – 20 Jun 1877 Diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1855 melalui Perjanjian Setia 1855 tetapi hanya berkuasa di daerah Kesang manakala negeri Johor (kecuali daerah Kesang) diperintah oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim |
Diikuti oleh: Dato’ Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor Diiktiraf sebagai pemerintah Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Sultan Ali Iskandar Shah pada tahun 1855 melalui Perjanjian Setia 1855 dan kemudian diiktiraf sebagai pemerintah Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu oleh Bendahara Tun Mutahir pada tahun 1861 melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861 |