Sultan Mahmud Shah II | |
---|---|
Sultan Johor-Pahang | |
Pemerintahan | 16 Februari 1685 – 3 September 1699 |
Didahului oleh | Sultan Ibrahim Shah |
Diikuti oleh | Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV |
Keputeraan | Raja Mahmud ibni Sultan Ibrahim Shah 1675 |
Kemangkatan | 3 September 1699 Kota Tinggi, Johor |
Pemakaman | 3 September 1699 Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor |
Pasangan | 1. Tun Engku Inche Ayu binti Bendahara Tun Abdul Jamal 2. Inche Apung |
Anakanda | Dipercayai Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil) |
Wangsa | Wangsa Melaka-Johor |
Ayahanda | Sultan Ibrahim Shah |
Bonda | Marhum Bakal binti Tun Muhammad Ali |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Mahmud Shah II ibni Sultan Ibrahim Shah (1675 – 3 September 1699) ialah Sultan Johor ke-9 dan Sultan Pahang ke-16.
Baginda merupakan Sultan Johor terakhir daripada Wangsa Melaka-Johor. Namun, sekiranya dakwaan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, atau lebih dikenali sebagai Raja Kechil, bahawa baginda merupakan waris Sultan Mahmud Shah II adalah benar, maka Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah menjadi Sultan Johor terakhir daripada Wangsa Melaka-Johor.
Baginda juga terkenal dengan gelaran "Sultan Mahmud Mangkat Dijulang" kerana baginda dibunuh oleh Megat Seri Rama dalam keadaan baginda sedang diusung di atas tandu semasa baginda dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat.
Pemerintahan
Raja Mahmud diputerakan pada tahun 1675. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Mahmud Shah II pada tahun 1685 ketika baginda berumur 10 tahun. Sepanjang pemerintahan baginda, urusan pemerintahan Kesultanan Johor dijalankan oleh Bendahara Johor iaitu Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Bendahara Tun Abdul Jalil. Pada ketika itu, pusat pemerintahan Kesultanan Johor terletak di Kota Tinggi dan istana hinggap terletak di Johor Lama. Tugas menjaga Kota Johor Lama berada di bawah tanggungjawab Temenggung Johor.
Sultan Mahmud Shah II sering dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Dalam Tahfatu'l Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji dari Kepulauan Riau, terdapat kisah yang menggambarkan perangai Sultan Mahmud Shah II yang mangkat dibunuh dalam peristiwa Sultan Mangkat Dijulang. Secara halus, Raja Ali Haji menyifatkan keganjilan peribadi Sultan Mahmud Shah II kerana baginda beristerikan peri (sejenis jin) yang begitu cemburu sehingga baginda tidak dapat bersama dengan mana-mana isterinya daripada golongan manusia. Sultan Mahmud Shah II juga dikatakan mewarisi perilaku songsang seperti kaum Nabi Lut.
Semasa Sultan Mahmud Shah II masih seorang kanak-kanak, baginda dipangku di atas takhta oleh bonda tirinya dan Kesultanan Johor diperintah oleh Laksamana Tun Abdul Jamil dan keluarganya. Laksamana Tun Abdul Jamil bertindak seolah-olah seperti Bendahara Johor dan meminggirkan ramai pembesar dan bangsawan dalam membuat keputusan. Ini menyebabkan Bendahara Tun Habib Abdul Majid berasa tidak puas hati lalu mengetuai pemberontakan untuk merampas kembali kedudukan beliau sebagai Bendahara Johor yang sebenar. Laksamana Tun Abdul Jamil dan keluarganya terpaksa melarikan diri ke Terengganu tetapi dipintas oleh orang-orang Bendahara Tun Habib Abdul Majid lalu Laksamana Tun Abdul Jamil telah dibunuh bersama putera-puteranya. Selepas Tun Abdul Jamil meninggal dunia, Bendahara Tun Habib Abdul Majid kembali memangku pemerintahan Kesultanan Johor. Apabila Sultan Mahmud Shah II beransur dewasa dan mengambil alih tampuk pemerintahan, pusat pemerintahan Kesultanan Johor berpindah dari Riau ke Johor Lama. Di sanalah baginda memerintah dengan kezaliman.
Alexander Hamilton, seorang pelayar Inggeris yang sempat berkunjung ke Johor Lama pada tahun 1695, menulis tentang keganjilan perilaku Sultan Mahmud Shah II. Baginda berperangai bengis dan ganjil. Perangai ini disahkan oleh utusan Belanda ke Johor pada tahun 1699 yang melaporkan bahawa Sultan Mahmud Shah II terlalu muda dan sukar dikawal. Baginda menghabiskan masa dengan keseronokan yang keji dan membunuh orang sesuka hati. Nafsu serakahnya lebih cenderung kepada lelaki yang cantik. Hamilton dalam bukunya yang bertajuk, 'A New Account of The East Indies' - Edinburgh 1727, ada menceritakan kisah seperti berikut:
"Baginda ialah peliwat yang hebat dan mengambil ramai orang kaya atau anak laki-laki orang Bangsawan, dengan paksa membawa ke dalam istananya untuk khidmat kesat tersebut. Pedagang Moorish, iaitu pemunggah di kapal saya mempunyai seorang anak lelaki yang kacak, pada suatu hari Raja telah terlihat dan memerlukan ia untuk catamite. Baginda mengancam bapanya, jika dia tidak menghantarnya dengan sukarela, baginda akan mendapatkannya secara paksa. Orang miskin tersebut telah mengambil anaknya di atas kapal, (lalu) memohon perlindungan dari saya yang telah saya janjikan padanya.." (Winstedt 1932).
Diceritakan bahawa ramai lelaki kacak menjadi mangsa pemuas nafsu Sultan Mahmud Shah II. Kemuncak kezalimannya ialah apabila baginda membunuh isteri orang besarnya iaitu Megat Seri Rama. Isteri Megat Seri Rama, Dang Anum yang sarat mengandung mengidam buah nangka di dalam taman diraja. Apabila Sultan Mahmud Shah II tahu tentang kejadian itu, baginda dengan zalim atau dengan kebodohannya telah membelah perut Dang Anum bagi melihat adakah benar anak dalam kandungan Dang Anum yang mengidam buah nangka.
Pembunuhan dan kemangkatan
Megat Seri Rama, juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, yang pulang dari medan peperangan di Linggi atas perintah Sultan Mahmud Shah II telah dikhabarkan tentang kematian tragis isterinya, Dang Anum. Bendahara Tun Abdul Jalil dan pembesar lain bersepakat untuk membunuh Sultan Mahmud Shah II. Menurut adat Melayu, seseorang raja boleh diturunkan dari takhta apabila terbukti ia gila atau murtad. Mereka bersepakat dalam musyawarah yang telah diadakan secara tertutup untuk membunuh Sultan Mahmud Shah II.[1]
Walau bagaimanapun, terdapat seorang pembesar bernama Orang Kaya Seri Bija Wangsa daripada suku Orang Laut menentang rancangan itu kerana beliau tidak mahu menderhaka kepada raja. Bagi menjayakan rancangan dan menutup rahsia misi penting itu, Orang Kaya Seri Bija Wangsa dibunuh dengan keris penyalang. Orang Kaya Seri Bija Wangsa merupakan orang keutamaan suku Orang Laut yang pernah menjadi pembantu Laksamana dalam perang Johor-Bugis di Linggi. Orang-orang Laut sangat marah dan berdendam atas kematian pembesar mereka manakala Megat Seri Rama mengambil tugas berat untuk menderhaka dan ketika Sultan Mahmud Shah II dijulang ke masjid untuk Solat Jumaat, Megat Seri Rama mengambil kesempatan untuk membunuh baginda yang dianggap gila lantas peristiwa tersebut dikenali sebagai "Sultan Mahmud Mangkat Dijulang". Dipercayai bahawa sebelum mangkat, baginda sempat menyumpah pembunuhnya dan mengharamkan 7 keturunan Megat Seri Rama daripada menjejakkan kaki mereka ke Johor Lama.
Pada hari Jumaat tersebut, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada umur 24 tahun akibat ditikam oleh Megat Seri Rama. Baginda kemudian lebih dikenali sebagai "Marhum Mangkat Dijulang" atau "Marhum Kota Tinggi". Baginda dimakamkan di Kota Tinggi, Johor. Mengikut perbualan orang di Johor, masih ada keturunan Megat Seri Rama yang akan pening kepala dan muntah darah apabila berkunjung ke daerah Kota Tinggi, tempat di mana pembunuhan Sultan Mahmud Shah II berlaku.
Keturunan
Seorang putera raja yang bernama Raja Kechil mendakwa bahawa baginda ialah putera Sultan Mahmud Shah II dan ketika baginda masih seorang kanak-kanak, baginda dilarikan oleh pembesar baginda ke Pagar Ruyung. Anak perempuan pembesar tersebut telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah II dan kemudian beliau melahirkan Raja Kechil. Oleh kerana keadaan haru-biru dalam istana gara-gara perilaku ganjil Sultan Mahmud Shah II, maka pembesar itu menyelamatkan cucunya, Raja Kechil dengan membawanya ke Pagar Ruyung. Kemudian, Raja Kechil menyerang Johor dan berjaya menawan Panchor, pusat pemerintahan Kesultanan Johor pada ketika itu dan mengalahkan Bendahara Tun Abdul Jalil yang telah diangkat menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV pada ketika itu juga. Raja Kechil menabalkan diri sebagai Sultan Johor dan menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan memerintah Kesultanan Johor dan segala jajahan takluknya dari tahun 1718 hingga tahun 1722.
Dalam budaya popular
Kisah pemerintahan dan pembunuhan Sultan Mahmud Shah II menjadi subjek cerita utama pada tahun 1950-an dan tahun 1960-an seperti filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada 1961.[2]
Rujukan
- ^ Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
- ^ Barnard, Timothy P. (2016). ""Historiography and Shifting Interpretations of the Death of Sultan Mahmud Syah II"". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 89 (2): 1–23. doi:10.1353/ras.2016.0022. S2CID 164385129.
- R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
Nota kaki
Lihat juga
Pautan luar
- http://www.johordt.gov.my/pdkotatinggi/pelancongan.php?scr=pelancongan_sejarahsultan Diarkibkan 2007-09-27 di Wayback Machine
Sultan Mahmud Shah II dari Johor Tarikh keputeraan: 1675 Tarikh kemangkatan: 3 September 1699
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Ibrahim Shah |
Sultan Johor-Pahang 16 Februari 1685 – 3 September 1699 |
Diikuti oleh: Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV Diangkat menjadi Sultan Johor pada tahun 1699 kerana Sultan Mahmud Shah II tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta Sultan Johor |