Temenggung Johor | |
---|---|
تمڠڬوڠ جوهر (Jawi) | |
Wilayah/Negeri | |
![]() | |
Butiran | |
Penyandang terakhir | Temenggung Tun Abu Bakar |
Pemansuhan | 30 Jun 1868 |
Temenggung Johor (Jawi: تمڠڬوڠ جوهر), atau gelaran penuhnya Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor, ialah jawatan warisan dan pembesar utama Kesultanan Johor Lama serta salah seorang ahli Majlis Orang Kaya yang ditubuhkan oleh Sultan Johor ke-7, Sultan Abdul Jalil Shah III. Temenggung Johor diberikan tugas untuk mengawal keselamatan Sultan Johor dan menjaga keamanan negeri serta berkuasa mengawasi segala teluk rantau jajahan takluk Kesultanan Johor Lama.
Pada tahun 1806, Temenggung Tun Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Temenggung Johor oleh Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III di Istana Lingga. Beliau telah dikurniakan negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya oleh baginda untuk dijadikan sebagai kawasan pegangan beliau. Oleh sebab itu, Temenggung Johor boleh dianggap sebagai wakil pemerintah Kesultanan Johor Lama yang memerintah negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya. Keadaan ini sama seperti Bendahara Johor yang dikurniakan negeri Pahang lalu menjadi Raja Bendahara Pahang, Yang Dipertuan Muda Riau yang dikurniakan Kepulauan Riau dan Raja Temenggung Muar yang dikurniakan Muar.
Apabila Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga dan Temenggung Johor tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor yang telah menjadi Sultan Riau-Lingga pada ketika itu. Secara tidak langsung, Temenggung Johor telah menjadi pentadbir utama Johor dan beliau kekal mentadbir negeri Johor yang merupakan kawasan pegangan beliau. Temenggung Johor pada ketika itu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Pemerintah Johor melalui Perjanjian Setia 1855 dan Perjanjian Pahang-Johor 1861.
Jawatan Temenggung Johor tidak lagi wujud pada tahun 1868 apabila Temenggung Johor terakhir, Temenggung Tun Abu Bakar telah ditabalkan sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar oleh sejarawan Bugis yang juga penasihat Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali Haji.
Berikut merupakan senarai Temenggung Johor bermula dari tahun 1757:
Temenggung | Tempoh pemerintahan | Nota | Rujukan |
---|---|---|---|
Temenggung Tun Abdul Jamal | 1757 – 1802 |
|
[1] |
Temenggung Tun Abdul Hamid | 1802 – 1803 | [2] | |
Engku Muda Muhammad (de facto) | 1803 – 1806 |
|
[3][4] |
Temenggung Tun Abdul Rahman | 1806 – 8 Disember 1825 |
|
[5] |
Tun Haji Abdullah (de facto) | 8 Disember 1825 – 19 Ogos 1841 |
|
[6] |
Temenggung Tun Daeng Ibrahim | 19 Ogos 1841 – 31 Januari 1862 |
|
[7] |
Temenggung Tun Abu Bakar | 31 Januari 1862 – 30 Jun 1868 |
|
[8] |
Maharaja Johor
Maharaja Johor | |
---|---|
مهاراج جوهر (Jawi) | |
Wilayah/Negeri | |
![]() | |
Butiran | |
Penyandang pertama | Maharaja Abu Bakar |
Penyandang terakhir | Maharaja Abu Bakar |
Pembentukan | 30 Jun 1868 |
Pemansuhan | 13 Februari 1886 |
Maharaja Johor (Jawi: مهاراج جوهر) ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor dari tahun 1868 hingga tahun 1886. Idea untuk menggunakan gelaran baru mula timbul ketika Temenggung Tun Abu Bakar melawat negara India dan Eropah pada tahun 1866. Dalam lawatan tersebut, baginda menyedari bahawa gelaran Temenggung tidak terkenal di dunia Eropah berbanding gelaran Maharaja yang digunakan oleh raja-raja di India. Ini menyebabkan Temenggung Tun Abu Bakar ingin menggunakan gelaran baru yang lebih dikenali.[9] Pada 18 April 1868, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar satu rombongan yang diketuai oleh sepupunya, Ungku Haji Muhammad ibni Tun Haji Abdullah ke Riau untuk berjumpa dengan Raja Ali Haji yang merupakan seorang sejarawan Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau.[10][11]
Dalam pertemuan mereka, antara perkara yang dibincangkan ialah kelayakan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menjadi Pemerintah Johor yang sah dan berdaulat.[12] Raja Ali Haji bersetuju dengan permintaan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menukar gelarannya selepas beliau mengkaji salasilah Temenggung Tun Abu Bakar dan berpuas hati bahawa Temenggung Johor mempunyai kuasa sebenar ke atas urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Abu Bakar berketurunan Sultan Johor ke-10, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.[13] Tetapi Raja Ali Haji berkata bahawa gelaran baru yang akan digunakan oleh Temenggung Tun Abu Bakar itu bukanlah gelaran Sultan atau Yang Dipertuan Johor atau Yang Dipertuan Muda.[14]
Pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji mengetuai satu rombongan ke Teluk Belanga, Singapura untuk menabalkan Temenggung Tun Abu Bakar sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar.[15][16] Pada 30 Jun 1868, Maharaja Abu Bakar memperoleh persetujuan daripada British di Singapura berkenaan permintaannya untuk menggunakan gelaran Maharaja.[17][18]
Maharaja Abu Bakar merupakan satu-satunya Pemerintah Johor yang menggunakan gelaran Maharaja dalam sejarah negeri Johor. Penggunaan gelaran tersebut hanya berlangsung selama kira-kira 18 tahun.
Maharaja | Tempoh pemerintahan | Nota | Rujukan |
---|---|---|---|
Maharaja Abu Bakar | 30 Jun 1868 – 13 Februari 1886 |
|
[19][20] |
Sultan Johor
Sultan Johor (Jawi: سلطان جوهر) ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor sejak tahun 1886. Jawatan ini pernah digunakan oleh Sultan Johor daripada Kesultanan Johor Lama yang pernah wujud dari tahun 1528 hingga tahun 1830. Jawatan ini juga pernah digunakan oleh Sultan Hussein Muhammad Shah dan anakandanya, Sultan Ali Iskandar Shah walaupun pada hakikatnya mereka tidak mempunyai kuasa politik di negeri Johor.
Idea untuk menggunakan gelaran Sultan mula timbul pada tahun 1885 di mana Maharaja Abu Bakar membuat keputusan untuk berangkat ke England setelah mendengar khabar angin bahawa British di Singapura ingin meletakkan seorang Residen British di Johor.[21] Pada 11 Disember 1885, Perjanjian Inggeris-Johor 1885 antara Maharaja Johor, Maharaja Abu Bakar mewakili kerajaan Johor dan Setiausaha Tanah Jajahan British, Sir Frederick Arthur Stanley mewakili kerajaan British ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan British di London.[22] Dalam perjanjian ini, British mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abu Bakar.[23]
Pada 13 Februari 1886, Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad telah mengisytiharkan penggunaan gelaran Sultan oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor.[24] Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan istiadat menandatangani dan mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di Johor Bahru, Johor.[25] Johor telah menjadi negeri Melayu pertama yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak pembaharuan dan pemodenan dalam sistem pentadbiran negeri Johor untuk memajukan Johor dan mengelakkan campur tangan British dalam hal-ehwal pentadbiran Johor.
Untuk membezakan antara Sultan Johor dari tahun 1528 hingga tahun 1830 dengan Sultan Johor sejak tahun 1886, istilah "Sultan Johor Moden" digunakan untuk merujuk kepada Sultan Johor sejak tahun 1886. Berikut merupakan senarai Sultan Johor Moden sejak tahun 1886 hingga kini:
Sultan Johor | Tempoh pemerintahan |
---|---|
Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah | 13 Februari 1886 – 4 Jun 1895 |
Sultan Ibrahim Al-Masyhur | 7 September 1895 – 8 Mei 1959 |
Sultan Ismail Al-Khalidi | 8 Mei 1959 – 10 Mei 1981 |
Sultan Iskandar Al-Haj | 11 Mei 1981 – 22 Januari 2010 |
Sultan Ibrahim | 23 Januari 2010 – kini |
Lihat juga
- Daeng dan Andi - Gelaran Bangsawan Bugis
- Kesultanan Melaka
- Kesultanan Johor Lama
- Kesultanan Riau-Lingga
- Johor
- Persekutuan Tanah Melayu
- Malaysia
- Sejarah Johor Moden
- Sejarah Singapura
- Sultan Johor
- Sultan Riau-Lingga
- Perjanjian 29 Oktober 1830
- Perjanjian Setia 1855
- Perjanjian Pahang-Johor 1861
Nota kaki
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 129
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 183 & 185
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 185
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History Of Johore 1365-1895, halaman 117
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 185
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Januari 2024. Dicapai pada 16 September 2024.
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 249-251
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 267, 274-275 & 302-304
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 171
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 367
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 367-368
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 368
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 275
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 275
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 298-299
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 302
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 304
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 305
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 313-314