Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah | |
---|---|
Sultan Riau-Lingga | |
Pemerintahan | 1835 – 7 Oktober 1857 |
Didahului oleh | Sultan Muhammad II Muazzam Shah |
Diikuti oleh | Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah |
Keputeraan | Tengku Mahmud ibni Sultan Muhammad II Muazzam Shah 1823 |
Kemangkatan | 10 Julai 1864 Kuala Pahang, Pekan, Pahang |
Pemakaman | 10 Julai 1864 Kampung Marhum, Kuala Pahang, Pekan, Pahang |
Pasangan | 1. Tengku Maimunah binti Tengku Muhammad Hitam ibni Sultan Hussein Muhammad Shah 2. Inche Sajah 3. Raja Maimunah binti Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman 4. Inche Engku Ngah binti Bendahara Tun Mutahir 5. Puteri Sultan Omar Riayat Shah |
Anakanda | 1. Tengku Usman 2. Tengku Tengah Muhammad Yusuf 3. Tengku Embung Fatimah |
Wangsa | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Muhammad II Muazzam Shah |
Bonda | Tengku Kulsum Puteh binti Sultan Ahmad Shah |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ibni Sultan Muhammad II Muazzam Shah (1823 – 10 Julai 1864) ialah Sultan Riau-Lingga ke-3 dari tahun 1835 hingga tahun 1857. Disebabkan baginda menaiki takhta Kesultanan Riau-Lingga pada usia yang sangat muda, urusan pemerintahan negeri telah dipangku oleh ayahandanya, Sultan Muhammad II Muazzam Shah.
Selepas ayahandanya mangkat pada tahun 1841, barulah baginda berkuasa penuh ke atas urusan pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga. Sama seperti ayahandanya, baginda juga ingin mengembalikan pemerintahan Kesultanan Johor Lama mengikut adat-istiadat Melayu. Baginda juga masih dianggap sebagai Sultan Johor ke-18 dan Sultan Pahang ke-25 oleh para pembesar Melayu. Malangnya, rancangan baginda menemui kegagalan kerana baginda telah diturunkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1857.
Selepas baginda disingkirkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga, baginda berangkat ke Pahang untuk berjumpa dengan Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Mutahir bagi memujuk beliau untuk menabalkan baginda sebagai Sultan Pahang tetapi Bendahara Tun Mutahir terpaksa menolak permintaan baginda kerana Pahang bukan milik baginda memandangkan Pahang telah dikurniakan kepada leluhur beliau, Bendahara Tun Abdul Majid sekitar tahun 1770-an.
Setelah itu, apabila baginda mengetahui rancangan adinda Bendahara Tun Mutahir, Tun Ahmad untuk menawan Pahang, baginda menyokong Tun Ahmad dengan harapan agar Tun Ahmad akan menabalkan baginda sebagai Sultan Pahang selepas Tun Ahmad berjaya merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir. Baginda juga meminta ayahanda saudaranya yang juga Sultan Terengganu, Sultan Omar Riayat Shah untuk membantu Tun Ahmad dalam Perang Saudara Pahang. Selepas perang saudara tersebut berakhir dengan kemenangan Tun Ahmad, pada tahun 1864, baginda memujuk Bendahara Tun Ahmad untuk membantu baginda mendapatkan kembali takhta Kesultanan Riau-Lingga tetapi Bendahara Tun Ahmad menolak permintaan baginda kerana beliau tidak mahu melibatkan dirinya dan rakyat Pahang dalam peperangan di luar Pahang. Pada tahun yang sama, baginda kemudian mangkat dan dimakamkan di Pahang.
Sultan Riau-Lingga (1835-1857)
Pengiktirafan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Johor
Selepas kemangkatan Temenggung Johor, Temenggung Tun Abdul Rahman pada tahun 1825, anakandanya, Tun Ibrahim dilantik menjadi Temenggung Johor yang baru.[1] Namun, pelantikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor tidak diakui oleh Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali kerana tindakan ayahandanya, Temenggung Tun Abdul Rahman dan Sultan Hussein Muhammad Shah yang telah menyerahkan Singapura kepada British pada tahun 1824 tidak dapat diterima oleh para pembesar Melayu.[2]
Namun, pada 19 Ogos 1841, Bendahara Tun Ali akhirnya bersetuju untuk merasmikan pelantikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor dalam satu istiadat yang diadakan di Teluk Belanga, Singapura.[3] Namun, Bendahara Tun Ali mengenakan syarat bahawa Temenggung Tun Daeng Ibrahim perlu bertuankan semula kepada Sultan Johor sebenar yang bersemayam di Lingga dan bukannya di Singapura.[4]
Oleh itu, selepas istiadat pelantikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tersebut selesai, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah berangkat ke Lingga untuk menghadap Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah bagi menumpahkan taat setianya kepada baginda.[5] Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah amat menyenangi dengan kedatangan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan mengiktiraf beliau sebagai Temenggung Johor.[6] Pengiktirafan baginda menunjukkan bahawa Temenggung di Johor telah bersatu semula dengan Bendahara di Pahang untuk memberikan taat setia mereka kepada Sultan Johor yang sah dan sebenar yang bersemayam di Lingga.[7]
Penyatuan semula bekas wilayah Kesultanan Johor Lama
Pada bulan April 1852, anakanda Sultan Hussein Muhammad Shah iaitu Tengku Ali telah berangkat ke Lingga untuk menghadap Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah bagi tujuan penyerahan semula Johor kepada baginda.[8] Ini kerana Tengku Ali kecewa dengan British yang tidak mahu mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor untuk menggantikan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah yang telah mangkat pada tahun 1835.[9] Dengan penyerahan Johor tersebut, semua bekas wilayah Kesultanan Johor Lama, kecuali Singapura, kembali bersatu tetapi penyatuan tersebut hanya bertahan sehingga tahun 1855 iaitu selama tiga tahun lamanya.[10]
Penyatuan bekas wilayah Kesultanan Johor Lama telah merisaukan British dan Belanda.[11] British meminta Tengku Ali untuk pulang ke Singapura dengan ancaman untuk menahan elaun baginda dan Tengku Ali pun berangkat pulang ke Singapura.[12] Namun, selepas itu, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah kerap berangkat ke Singapura untuk berjumpa dengan Tengku Ali.[13] British mengesyaki bahawa Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Tengku Ali merancang untuk menubuhkan semula Kesultanan Johor Lama yang berpusat di Lingga.[14]
Pengisytiharan Pahang sebagai hak milik keluarga Bendahara
Pada tahun 1853, dengan muafakat Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu di Pahang, Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Mutahir telah mengisytiharkan Pahang sebagai satu kuasa autonomi.[15] Pengisytiharan tersebut dibuat selepas penyerahan semula Johor oleh Tengku Ali kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah.[16] Pengisytiharan tersebut dibuat kerana Bendahara Tun Mutahir dan ayahandanya, Bendahara Tun Ali merasakan mereka perlu mengingatkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah bahawa status Johor tidak sama dengan status Pahang kerana Pahang merupakan tanah kurnia kepada keluarga Bendahara sejak turun-temurun manakala Johor tidak pernah dikurniakan kepada keluarga Temenggung dan mereka hanya menjadi pentadbir Johor bagi pihak Sultan Johor di Lingga.[17]
Dalam erti kata lain, pengisytiharan tersebut merupakan "pengisytiharan semula" mengenai Pahang yang telah dikurniakan kepada keluarga Bendahara sejak zaman pemerintahan Bendahara Tun Abdul Majid.[18] Walaupun Pahang kekal "menyembah ke Lingga" secara adat, hakikatnya Pahang merupakan hak milik peribadi keluarga Bendahara yang juga berperanan sebagai Raja Bendahara Pahang yang sah.[19]
Penyerahan Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim
Pada 10 Mac 1855, Tengku Ali telah menandatangani Perjanjian Setia 1855 dengan Temenggung Johor, Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[20] Dalam perjanjian tersebut, Tengku Ali menyerahkan negeri dan kerajaan Johor (kecuali daerah Kesang) kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim, dan sebagai balasan, baginda diiktiraf sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah dan diberikan wang pampasan dan elaun bulanan oleh Temenggung Daeng Ibrahim.[21]
Istiadat menandatangani perjanjian tersebut diadakan di Singapura dan dihadiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, William John Butterworth bersama-sama para pegawai tinggi kerajaan British, para diplomat asing serta orang-orang kenamaan Singapura dan Johor.[22] Namun, perjanjian tersebut dikecam hebat oleh raja-raja Melayu kerana jelas melanggar adat-istiadat Melayu.[23]
Selepas istiadat pemeteraian perjanjian tersebut, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah telah menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta penjelasan beliau mengenai perjanjian tersebut.[24] Ini kerana sebelum ini Johor telah diserahkan oleh Sultan Ali Iskandar Shah kepada baginda pada tahun 1852, tetapi tiga tahun kemudian, Sultan Ali Iskandar Shah telah menyerahkan Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[25]
Dalam surat balasan Bendahara Tun Ali kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menerima tindakan Sultan Ali Iskandar Shah yang melanggar adat-istiadat Melayu kerana tanah jajahan Kesultanan Johor Lama merupakan hak milik Sultan Johor (merujuk kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) dan tidak boleh diambil oleh orang lain melainkan dengan cara kurnia.[26]
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824
Bukan itu sahaja, Bendahara Tun Ali juga menjelaskan bahawa beliau langsung tidak mengetahui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang telah dibuat lebih 30 tahun dahulu.[27] Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah berasa amat murka apabila baginda mengetahui perjanjian tersebut pada tahun 1855.[28] Berdasarkan surat balasan beliau, terdapat kemungkinan bahawa perjanjian tersebut dirahsiakan daripada Sultan Johor dan para pembesar Melayu untuk suatu tempoh masa yang lama iaitu 30 tahun.[29]
Maka, tidak hairanlah apabila para pembesar Melayu masih bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Muhammad II Muazzam Shah dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang bersemayam di Lingga, bukannya Sultan Hussein Muhammad Shah dan Sultan Ali Iskandar Shah yang bersemayam di Singapura.[30]
Penyingkiran daripada takhta oleh Belanda
Kekerapan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah berangkat ke Singapura dan keengganan baginda untuk bermuafakat dengan para pembesarnya telah merisaukan para pembesar Bugis.[31] Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali, yang mempunyai hubungan baik dengan Belanda, tidak bersetuju dengan penyatuan semula bekas wilayah Kesultanan Johor Lama kerana Johor bukan lagi di bawah kekuasaan para pembesar Bugis menurut pandangan mereka.[32] Yang Dipertuan Muda Raja Ali mendesak Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah untuk memperbaharui Sumpah Setia Melayu-Bugis bagi menghalang baginda daripada melaksanakan rancangan penyatuan tersebut.[33] Selepas memperbaharui sumpah tersebut, dipercayai baginda kembali menjalankan tugasnya sebagai pemerintah dengan bermuafakat bersama para pembesarnya.[34]
Namun, pada bulan Jun 1857, berlaku konflik antara Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dengan para pembesar Bugis mengenai isu pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau yang baru selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Raja Ali.[35] Baginda ingin melantik menantunya, Raja Muhammad Yusuf sebagai Yang Dipertuan Muda Riau tetapi para pembesar Bugis mencalonkan Raja Haji Abdullah untuk jawatan tersebut.[36] Oleh sebab tiada persetujuan antara baginda dengan para pembesar Bugis mengenai isu tersebut, jawatan Yang Dipertuan Muda Riau dibiarkan kosong selama beberapa bulan.[37] Baginda yang kecewa disebabkan isu tersebut membuat keputusan untuk berangkat ke Singapura bagi menghilangkan kerunsingannya.[38]
Pada bulan September 1857, semasa Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah masih berada di Singapura, Residen Belanda di Riau telah menurunkan baginda daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga.[39] Residen Belanda di Riau juga melantik Raja Haji Abdullah sebagai Yang Dipertuan Muda Riau dan meminta beliau untuk mencari pengganti baginda.[40] Ayahanda saudara baginda, Tengku Sulaiman kemudian dilantik menjadi Sultan Riau-Lingga yang baru dengan gelaran Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah dengan persetujuan Belanda.[41] Apabila Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah mengetahui berita pelantikan ayahanda saudaranya daripada Pesuruhjaya Belanda di Singapura, baginda berangkat ke Lingga untuk mendapatkan kebenaran tentang berita tersebut.[42] Selepas mengesahkan bahawa berita tersebut adalah benar, baginda yang berasa kecewa membuat keputusan untuk berangkat kembali ke Singapura.[43]
Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda
Pada 1 Disember 1857, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah membuat perjanjian dengan Belanda di mana antara syarat perjanjian tersebut ialah Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda dan pelantikan Sultan Riau-Lingga, Tengku Besar Riau-Lingga dan Yang Dipertuan Muda Riau perlu mendapat persetujuan Belanda.[44] Berikutan perjanjian tersebut termeterai, Bendahara Tun Mutahir terpaksa menerima hakikat bahawa Kesultanan Johor Lama tidak boleh diselamatkan lagi.[45] Beliau membuat keputusan untuk menumpukan perhatiannya kepada Pahang kerana Kesultanan Riau-Lingga tidak lagi menjadi tanggungjawabnya.[46] Beliau juga mengisytiharkan bahawa Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah bukan Sultan Johor yang sah dan berdaulat berdasarkan perjanjiannya dengan Belanda pada tahun 1857.[47]
Selepas penyingkiran daripada takhta oleh Belanda (1857-1864)
Cubaan untuk menjadi Sultan Pahang
Selepas Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dimakzulkan (diturunkan daripada takhta), baginda berangkat ke Pahang untuk berjumpa dengan Bendahara Tun Mutahir bagi memujuk beliau untuk menabalkannya sebagai Sultan Pahang.[48] Namun, Bendahara Tun Mutahir terpaksa menolak permintaan baginda kerana Pahang bukan milik baginda memandangkan Pahang telah dikurniakan kepada leluhurnya, Bendahara Tun Abdul Majid sekitar tahun 1770-an.[49] Beliau juga telah mengingatkan baginda mengenai pemilikan Pahang melalui pengisytiharan beliau yang telah dibuat pada tahun 1853.[50] Para pembesar Pahang menumpahkan taat setia mereka kepada Bendahara sebagai raja mereka manakala Sultan Johor hanya berperanan sebagai penaung kerajaan Raja Bendahara Pahang mengikut adatnya.[51] Keputusan Bendahara Tun Mutahir tersebut benar-benar mengecewakan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah.[52]
Namun, apabila Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah mengetahui rancangan adinda Bendahara Tun Mutahir, Tun Ahmad untuk menyerang Pahang, baginda menawarkan bantuannya kepada Tun Ahmad dan meminta bantuan Sultan Terengganu, Sultan Omar Riayat Shah, yang juga ayahanda saudaranya, untuk menolongnya.[53] Pada bulan Oktober 1857, Bendahara Tun Mutahir menerima surat daripada pihak istana Terengganu di mana mereka kononnya mengkritik rancangan Tun Ahmad untuk merampas Pahang.[54] Bendahara Tun Mutahir yang mempercayai surat tersebut telah mengurangkan pengawasan negeri kerana beliau yakin bahawa rancangan Tun Ahmad akan gagal kerana rancangannya tidak disokong oleh Sultan Omar Riayat Shah.[55] Malangnya, Bendahara Tun Mutahir tidak menyedari muslihat di sebalik surat tersebut.[56]
Perang Pahang Peringkat Pertama (Perang Orang Kemaman)
Pada bulan November 1857, Pahang, dalam keadaan tidak bersiap sedia, telah diserang dari arah laut.[57] Serangan tersebut menandakan bermulanya Perang Saudara Pahang dan Perang Pahang Peringkat Pertama.[58] Perang Pahang Peringkat Pertama ini dikenali sebagai "Perang Orang Kemaman" kerana Tun Ahmad dibantu oleh orang Kemaman di Terengganu.[59] Salah seorang daripada pengikut Tun Ahmad adalah Panglima Kakap Bahaman yang kemudian bergelar Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan.[60] Namun, Perang Orang Kemaman berakhir dengan kekalahan pasukan Tun Ahmad.[61] Perang tersebut berlangsung dari bulan November 1857 hingga awal tahun 1858.[62]
Keberangkatan Tiba di Pahang
Selepas tinggal di Singapura selama kira-kira setahun, pada pertengahan tahun 1858, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah bersama keluarga dan pengikutnya berangkat ke Pahang.[63] Keberangkatannya berlaku beberapa bulan selepas Perang Orang Kemaman tamat.[64] Di Pahang, baginda disambut oleh Bendahara Tun Mutahir mengikut adat-istiadat Melayu.[65] Menurut Hikayat Pahang, tidak lama selepas tiba di Pahang, baginda berangkat ke daerah Ulu Pahang untuk melawat tempat-tempat bijih timah.[66] Di Ulu Pahang, baginda disambut oleh Maharaja Perba Wan Idris, atau dikenali sebagai Tok Raja, yang merupakan salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang iaitu jawatan tertinggi dalam hierarki pemerintahan Pahang.[67] Tok Raja mempunyai bendera dan meriam kebesaran sendiri serta mempunyai kekuasaan dan pengaruh yang sangat besar di Ulu Pahang, terutamanya di Jelai, sehingga tahap beliau boleh menjatuhkan hukuman bunuh tanpa merujuk kepada Bendahara terlebih dahulu.[68]
Semasa lawatan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ke Jelai, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Tok Raja ingin menabalkan baginda sebagai Sultan Pahang.[69] Pada masa yang sama, Bendahara Tun Mutahir menerima maklumat bahawa Tun Ahmad ingin menyerang Pahang buat kali kedua dan British telah menghantar surat kepada beliau pada 1 September 1858 di mana British menegaskan bahawa mereka tidak akan membantu beliau untuk mengalahkan Tun Ahmad sekiranya beliau tidak mengusir Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah keluar dari Pahang.[70] British bimbang bahawa Bendahara Tun Mutahir akan tunduk kepada permintaan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah untuk ditabalkan sebagai Sultan Pahang yang kemudian boleh mendatangkan bahaya kepada agenda mereka.[71]
Menurut Hikayat Pahang, apabila Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah pulang ke Pekan dengan diiringi oleh Tok Raja dan anakandanya, Wan Muhammad, baginda telah mendapat sambutan yang dingin.[72] Tindakan Bendahara Tun Mutahir tersebut menunjukkan pendiriannya bahawa beliau tidak merestui tindakan Tok Raja yang mengambil tindakan sendiri dengan menabalkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan beliau bimbang dengan amaran British.[73] Selepas itu, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah berangkat ke Terengganu dan Tok Raja dan Wan Muhammad juga mengikuti baginda ke sana.[74] Dalam tempoh tersebut, Tun Ahmad telah menghantar pengikutnya dari Terengganu untuk membuat kekacauan di daerah Tembeling tetapi mereka berjaya ditumpaskan oleh pasukan Bendahara Tun Mutahir yang diketuai oleh waris tua Tok Raja iaitu Wan Embong.[75]
Perang Pahang Peringkat Kedua (Perang Endau dan Kuantan)
Pada bulan Oktober 1858, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah tiba di Terengganu lalu berjumpa dengan Tun Ahmad dan memperkenankan rancangan beliau untuk menyerang Pahang buat kali kedua serta membenarkan beliau untuk menggunakan khidmat Tok Raja.[76] Tun Ahmad menyedari bahawa tanpa bantuan Orang Besar Berempat Pahang, beliau tidak boleh menawan Pahang dengan mudah.[77] Namun, dengan sokongan Tok Raja, Tun Ahmad bersedia untuk menyerang Pahang buat kali kedua.[78] Tok Raja membuat keputusan untuk menyokong Tun Ahmad bagi membalas dendam atas pembunuhan anakandanya, Wan Embong yang dilakukan oleh hulubalang Bendahara Tun Mutahir.[79] Hulubalang Bendahara Tun Mutahir telah menangkap dan membunuh Wan Embong kerana Wan Embong telah melakukan pemberontakan atas sebab beliau menerima khabar angin bahawa ayahandanya, Tok Raja telah dibunuh.[80]
Perang Pahang Peringkat Kedua ini dikenali sebagai "Perang Endau dan Kuantan" dan bermula pada bulan Mac 1861.[81] Dalam perang tersebut, Tok Raja dan anakandanya, Wan Muhammad telah memainkan peranan yang aktif.[82] Namun, pasukan Bendahara Tun Mutahir dapat mengawal pasukan Tun Ahmad dan pada bulan Ogos 1861, rancangan Tun Ahmad untuk merampas Pahang telah gagal lalu Tun Ahmad terpaksa berundur kembali ke Kemaman di Terengganu.[83] Apabila Tun Ahmad tiba di Terengganu, beliau menyedari sikap Sultan Omar Riayat Shah yang dingin kepadanya.[84] Terdapat kemungkinan bahawa Sultan Omar Riayat Shah berasa kecewa dengan kegagalan Tun Ahmad untuk menawan Pahang buat kali kedua walaupun baginda banyak memberikan bantuan kepada beliau.[85] Oleh sebab itu, Tun Ahmad dan Tok Raja serta pengikutnya mencuba nasib dengan mengadakan perhubungan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad II.[86]
Pelayaran ke Siam selepas kekalahan kedua Tun Ahmad
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, yang juga kecewa dengan kekalahan Tun Ahmad buat kali kedua, telah membuat keputusan secara terburu-buru untuk berjumpa dengan Raja Siam, Raja Mongkut, yang juga dikenali sebagai Raja Rama IV, bagi meminta pertolongan baginda.[87] Keputusan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ditentang oleh Sultan Omar Riayat Shah kerana baginda tidak mahu Siam campur tangan dalam urusan Terengganu.[88] Sultan Omar Riayat Shah baru sahaja berangkat ke Singapura untuk meminta bantuan British bagi mempertahankan Terengganu daripada ancaman Siam.[89]
Sebenarnya, Sultan Omar Riayat Shah telah menghentikan penghantaran ufti dalam bentuk bunga mas kepada Siam sejak baginda menjadi Sultan Terengganu.[90] Walaupun Siam tidak mengambil tindakan terhadap Sultan Omar Riayat Shah, baginda bimbang bahawa keputusan anakanda saudaranya, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah untuk meminta bantuan Siam akan diambil kesempatan oleh Siam untuk menurunkan baginda daripada takhta Kesultanan Terengganu dan menabalkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah sebagai Sultan Terengganu yang baru dengan cara kekerasan.[91] Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah tetap berkeras dengan keputusannya dan kemudian berlayar ke Siam bersama beberapa orang pengikutnya.[92] Adinda Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, Tengku Safiyah turut mengikuti baginda walaupun cuba dihalang oleh kerabat diraja Terengganu.[93]
Pertemuan dengan Raja Mongkut
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah telah berangkat ke Siam pada pertengahan tahun 1861 kerana kecewa dengan kekalahan pasukan Tun Ahmad dalam Perang Pahang Peringkat Kedua.[94] Di Siam, baginda meminta bantuan Raja Siam, Raja Mongkut untuk mengembalikan martabatnya sebagai seorang sultan.[95] Walaupun Siam tidak berniat untuk mencari masalah dengan Belanda yang merupakan penaung Kesultanan Riau-Lingga, Siam melihat kedatangan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah sebagai peluang untuk membalas dendam terhadap Sultan Omar Riayat Shah kerana keengganan baginda untuk tunduk kepada ketuanan Siam.[96] Jika Siam pandai dalam percaturannya, bukan sahaja Terengganu akan diletakkan di bawah naungannya, malahan Pahang juga akan diletakkan di bawah kekuasaannya.[97]
Raja Mongkut kemudian memperisterikan adinda Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah iaitu Tengku Safiyah kerana perkahwinan merupakan salah satu cara untuk campur tangan dalam urusan raja-raja Melayu memandangkan antara tujuan perkahwinan keluarga diraja adalah untuk menggabungkan kuasa kedua-dua keluarga diraja tersebut.[98] Selepas Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah menunggu selama lebih enam bulan, Siam akhirnya menghulurkan bantuan kepada baginda.[99] Berkemungkinan kedatangan Tun Ahmad ke Siam selepas kedatangan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah telah membuatkan Siam menunaikan janjinya kepada baginda.[100] Pada bulan Julai 1862, selepas hampir setahun Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah berada di Siam, baginda berangkat kembali ke Terengganu dengan diiringi oleh sebuah kapal yang mengibarkan bendera Siam dan tiga kapal perangnya yang membawa Tengku Mahkota Siam dan Ketua Menteri Siam.[101] Kehadiran kapal perang Siam di pantai laut Terengganu juga diiringi oleh Tun Ahmad dan beberapa buah perahu para pengikutnya.[102]
Keberangkatan Pulang ke Terengganu
Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir William Orfeur Cavenagh meminta Konsul British di Bangkok, Robert Schomburgk untuk menyiasat perkembangan di Terengganu.[103] Pada 16 Julai 1862, Schomburgk mengirimkan surat kepada Gabenor Cavenagh dan menceritakan dalam surat tersebut bahawa apabila Sultan Omar Riayat Shah disoal mengenai tujuan kedatangan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ke Terengganu, Sultan Omar Riayat Shah menjawab bahawa Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah datang untuk mengunjungi bondanya yang menetap di Terengganu.[104] Sultan Omar Riayat Shah juga menjamin bahawa Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah tidak dibenarkan untuk membuat kekacauan di Terengganu dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah tidak akan dihalang daripada mewarisi takhta Kesultanan Terengganu selepas baginda mangkat jika itulah kemahuan rakyat Terengganu.[105]
Pada 28 Julai 1862, Gabenor Cavenagh memaklumkan Sultan Omar Riayat Shah melalui suratnya bahawa beliau berasa terkejut dengan kedatangan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ke Terengganu dengan menaiki kapal perang Siam dan baginda diiringi oleh Tun Ahmad dan para pengikutnya.[106] Gabenor Cavenagh yakin bahawa Siam ingin menguasai Terengganu dan Pahang dengan mempergunakan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Tun Ahmad yang berada dalam keadaan terdesak pada ketika itu.[107] Sekiranya keadaan tersebut dibiarkan berlaku, ia akan menjejaskan laluan perdagangan di perairan pantai timur dan menggugat kepentingan politik British di Tanah Melayu.[108] Pada masa yang sama, Pengerusi Dewan Perniagaan Singapura mengadu kepada Gabenor Cavenagh bahawa tindakan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Sultan Omar Riayat Shah yang memberikan bantuan kepada Tun Ahmad untuk menyerang Pahang telah menjejaskan perdagangan mereka di perairan Pahang.[109]
Berdasarkan perkembangan di Terengganu dan aduan Pengerusi Dewan Perniagaan Singapura, Gabenor Cavenagh membuat keputusan untuk menghantar sebuah kapal perang British yang bernama Hooghly ke perairan pantai Terengganu bagi memerhatikan keadaan di sana.[110] Apabila Siam melihat kedatangan kapal perang British tersebut, Tengku Mahkota Siam dan Ketua Menteri Siam membatalkan hasrat mereka untuk mendarat di Terengganu dan meneruskan pelayaran mereka ke Singapura dengan meninggalkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Tun Ahmad serta para pengikut mereka di Terengganu.[111] Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah kemudian menetap di Terengganu selama beberapa bulan dan dalam masa tersebut, British mendesak Siam supaya menghantar sebuah kapal ke Terengganu untuk mengambil semula baginda tetapi Siam tidak bersungguh-sungguh dalam menunaikan permintaan British tersebut.[112]
Persiapan untuk Perang Pahang Peringkat Ketiga
Tun Ahmad dan pengikutnya yang telah kembali ke Kemaman mula membuat persiapan dengan mengumpulkan peralatan perang dan panglima perang.[113] Setelah persiapan mereka selesai, pasukan Tun Ahmad bergerak ke Dungun dan meneruskan perjalanan mereka ke Pahang.[114] Mereka melintasi sempadan di Bukit Besut pada bulan Ogos 1862 dan tidak lama selepas itu mereka tiba di daerah Janing di Ulu Tembeling yang telah ditawan oleh pengikut Tok Raja.[115] Kedatangan mereka disambut oleh Tok Raja (salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang), Orang Kaya Lipis (salah seorang daripada Orang Besar Berlapan Pahang), Wan Daud (anakanda saudara Tok Raja), Wan Muhammad (anakanda Tok Raja), Khatib Rasu (kemudian bergelar Tok Gajah) dan para pengikut mereka daripada kalangan orang Jelai, Lipis dan Rawa.[116] Pengikut Tun Ahmad dari Kemaman, pengikut Tok Raja dan orang Rawa bergabung dan merangka strategi peperangan dan kemudian tercetusnya Perang Pahang Peringkat Ketiga.[117] Dalam peperangan tersebut, tanda-tanda perpecahan dalam kalangan Orang Besar Pahang sudah mula jelas kelihatan dan perpecahan mereka menjadi punca Tun Ahmad berjaya mengalahkan Bendahara Tun Mutahir pada pertengahan tahun 1863.[118]
Pengusiran secara paksa dari Terengganu oleh British
Apabila Perang Pahang Peringkat Ketiga mula berlaku, Gabenor Cavenagh berasa bimbang dengan kemungkinan terdapat muslihat Siam di sebalik bantuan yang diberikan oleh Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Sultan Omar Riayat Shah kepada Tun Ahmad.[119] Maka, pada 2 September 1862, Gabenor Cavenagh menulis surat kepada Bendahara Tun Mutahir untuk memaklumkan beliau bahawa Raja Mongkut telah memerintahkan Sultan Omar Riayat Shah untuk mengusir Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah kerana membantu kekacauan yang berlaku di Ulu Pahang.[120] Pada hari yang sama, Gabenor Cavenagh telah menulis surat kepada Sultan Omar Riayat Shah dan dalam surat tersebut, beliau mendakwa bahawa baginda melindungi Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Tun Ahmad.[121] Pada keesokan hari, Gabenor Cavenagh memberikan amaran kepada Sultan Omar Riayat Shah supaya mengusir Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ke Siam dan memanggil semula semua hulubalang Terengganu yang sedang membantu Tun Ahmad membuat kekacauan di Pahang pada ketika itu.[122]
Apabila Sultan Omar Riayat Shah tidak mengendahkan amaran Gabenor Cavenagh, pada bulan November 1862, Kolonel MacPherson dihantar dari Singapura ke Terengganu bersama kapal H.M.S Coquette dan H.M.S Scout.[123] Kolonel MacPherson mengarahkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah untuk menaiki kapalnya bagi menghantar baginda ke Siam tetapi arahannya tidak mahu diikuti oleh baginda atas alasan bahawa baginda tidak menerima surat daripada Raja Mongkut.[124] Kolonel MacPherson kemudian memberi tempoh masa 48 jam untuk Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah mengikuti arahannya dan jika baginda gagal melakukannya, Terengganu akan dibom oleh British tetapi baginda tetap berkeras dengan pendiriannya lalu mengakibatkan Kuala Terengganu dibom.[125] Pengeboman tersebut telah menyebabkan 20 orang mati terbunuh lalu membuatkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah terpaksa bersetuju untuk dibawa kembali ke Siam.[126]
Rancangan mendapatkan semula takhta gagal
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah telah diusir dari Terengganu dan dibawa ke Siam dengan menaiki kapal British pada bulan November 1862.[127] Dari Siam, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah kemudian berangkat ke Siak dan tinggal di sana hingga tahun 1864.[128] Kemenangan Bendahara Tun Ahmad dalam Perang Saudara Pahang pada tahun 1863 membuatkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ingin meminta bantuan Bendahara Tun Ahmad untuk mendapatkan semula takhta Kesultanan Riau-Lingga.[129] Pada tahun 1864, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah telah memujuk Bendahara Tun Ahmad untuk membuat persiapan bagi menyerang Belanda di Lingga tetapi Bendahara Tun Ahmad menolak permintaan baginda kerana beliau tidak mahu melibatkan dirinya dan rakyat Pahang dalam peperangan di luar Pahang.[130] Pada tahun yang sama, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah mangkat di Pekan, Pahang dan dimakamkan di Kampung Marhum yang terletak di Kuala Pahang, Pekan, Pahang.[131]
Lihat juga
- Kesultanan Riau-Lingga
- Sultan Riau-Lingga
- Yang Dipertuan Muda Riau
- Kesultanan Johor Lama
- Sultan Johor
Rujukan
- Buyong Adil (2020). Sejarah Johor (Edisi Semakan). Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834922405.
- (Tun) Suzana (Tun) Othman (2007). Perang Bendahara Pahang 1857–63. Karisma Publications. ISBN 978-983-195-282-5.
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834611538.
Nota kaki
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245-246
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 246

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 247
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 251-252
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253-254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 258

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 259
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 259
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 260
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 217 & 222
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 217 & 222
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 260-261
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 261

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 261-262
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 262
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 262-263
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 263
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 263-264
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 264

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 265 & 279-280
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 280
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 281
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 282 & 289
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 295

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 295-296
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 296
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 296
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 300
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 300
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 301

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 306
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 306
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 313

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 314
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 314
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 314-315
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 315
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 315
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 315-316
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 316

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 316-317
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 317
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 321-322
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 322
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 318
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 317
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 322
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 322
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 327

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 328

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 346

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 346-347
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 347

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 347-348
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 348

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 348-349
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 349

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 350
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 350
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 350-351
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 351

- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 351-352
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 352

- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 273
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 352
Pautan Luar
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah Tarikh keputeraan: 1823 Tarikh kemangkatan: 10 Julai 1864
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Muhammad II Muazzam Shah |
Sultan Riau-Lingga 1835 – 7 Oktober 1857 |
Diikuti oleh: Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah |