Sekolah Menengah Sains Kuching Utara | |
---|---|
Lokasi | |
Matang Jaya,, Kuching, Sarawak Malaysia | |
Maklumat | |
Jenis sekolah | Sekolah Berasrama Penuh |
Moto | Ilmu, Integriti, Iltizam |
Ditubuhkan | 2013 |
Nombor sekolah | 082-646540 |
Kod sekolah | YEA1211 |
Pengetua | Puan Nurul Aleena Ruman Bt Abdullah |
GPK Pentadbiran dan Akademik | En Syahrul Azinar Bin Abdul Rahman |
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid | En Abdul Taip bin Mohamad Amin |
Penolong Kanan Kokurikulum | Dr. Hajjah Suraiya binti Haji Muhammad |
Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA) adalah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang ke-3 di negeri Sarawak. Berlokasi di Lot 2666 Lorong 6A10, Jalan Matang, 93050, Kuching, Sarawak, Malaysia, SAKURA memulakan operasinya pada 1 Januari 2013 dengan pengambilan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4. Pada tahun 2015, SAKURA memiliki seramai 510 orang pelajar dengan sokongan seramai 58 orang guru dan 8
orang anggota kumpulan pelaksana.
Sejarah
Sekolah Menengah Sains Kuching Utara ditubuhkan pada tahun 2013 dan ianya merupakan sekolah berasrama penuh yang ketiga di Sarawak. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun tersebut dengan kemasukan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4.
Pentadbiran Dan Pelajar
Sejak penubuhannya, Sekolah Menengah Sains Kuching Utara telah ditadbir oleh dua orang pengetua, iaitu:
- Dr. Hajah Norisah Bt Haji Suhaili (2013 - 2020)
- Puan Nurul Aleena Ruman Bt Abdullah (2020 - sekarang)
Pengetua turut dibantu oleh Badan Bertindak Tertinggi Sekolah (BBTS) yang dianggotai oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Penolong Kanan Kokurikulum, Guru Kanan Bahasa, Guru Kanan Kemanusiaan, Guru Kanan Vokasional dan Teknikal, Guru Kanan Sains dan guru-guru kaunseling. Selain itu, pengetua juga dibantu oleh staf bukan akademik untuk mengurus pentadbiran sekolah.
Tenaga pengajar di sekolah mempunyai ahli seramai 64 orang dan dibahagikan kepada panitia mengikut mata pelajaran yang diajar masing-masing. Guru-guru yang mengajar di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara merupakan guru-guru berijazah.
Pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan peribumi Sarawak seperti Iban, Kayan, Kenyah dan lain-lain. Selain itu, pelajar tajaan bersama Yayasan Sarawak-Yayasan Sabah turut mengisi barisan pelajar sekolah ini dan sekolah ini mempunyai 25 buah kelas (lima buah kelas bagi setiap tingkatan).
Visi, Misi dan Moto Sekolah
VISI
"Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera"
MISI
Memastikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara.
MOTO
"Ilmu, Integriti, Iltizam"
Perincian moto sekolah:
- Ilmu : Memartabatkan ilmu pengetahuan serta penerapan budaya ilmu dalam kehidupan.
- Integriti : Mengamalkan nilai-nilai kejujuran dan bertanggungjawab serta sentiasa memelihara maruah diri dan nama baik.
- Iltizam : Usaha yang bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-cita dan kejayaan.
Lagu Sekolah
Lagu Sekolah Menengah Sains Kuching Utara telah digubah lirik dan lagunya oleh guru Pendidikan Muzik, En. Ernie Juan Prima bin Nordin dan guru Pendidikan Seni Visual, En. Berudi ak. Ngelambai. Lagu ini berjudul 'MEKAR SAKURA' yang melambangkan kecemerlangan SAKURA juga setanding dan seiring dengan SBP lain di seluruh Malaysia. Lagu 'MEKAR SAKURA' telah dirasmikan pada 22 Mei 2013 oleh Pengetua, Dr. Norisah bt. Hj. Suhaili.
MEKAR SAKURA
Di sini
Kita mengorak langkah
Dalam usaha mencapai cita-cita
Menjadi insan yang cemerlang
Demi masa depan yang gemilang
Di sini
Ikrar kita laungkan
Cogan kata seiring dibawa
Ilmu, Integriti, Iltizam
Teras kemajuan kita bersama
Sekolah Menengah Sains Kuching Utara
Namamu dijulang sentiasa
Menjadi kebanggaan kita semua
Untuk agama, bangsa dan negara
Maju sehati, (maju sehati), maju sejiwa
Perpaduan menjadi pegangan
Agar kita terus berjaya
Harumlah namamu SAKURA
Harumlah..... Namamu SAKURA.....
Logo Sekolah
Dalam usaha untuk mencipta logo sekolah, Lembaga Pengurusan Sekolah telah mengadakan satu pertandingan mencipta logo sekolah. Penyertaan pertandingan ini terbuka kepada seluruh warga SAKURA yang berminat. Hasilnya, pertandingan ini menerima penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada warga SAKURA, terutamanya kepada pelajar-pelajar yang amat meminati seni lukisan. Setelah dihakimi oleh Jawatankuasa Pemilihan Logo, maka ahli jawatankuasa sebulat suara memilih logo ciptaan En. Bahtiar b. Afandi, Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran SAKURA untuk menjadi pemenang. Logo Sekolah Menengah Sains Kuching Utara telah dirasmikan pada 22 Mei 2013 oleh Pengetua, Dr. Norisah bt. Hj. Suhaili bersama-sama lagu 'MEKAR SAKURA' dalam satu majlis khas.
Logo ini mempunyai pengertian yang tersendiri. Berikut merupakan perincian kepada setiap komponen logo SAKURA:
PERISAI:
- Melambangkan keberanian, kegagahan, kekuatan dan perlindungan
- Lambang serta empat bahagian berwarna iaitu Merah, Hijau, Kuning dan Biru dalam perisai melambangkan empat buah rumah dalam Sistem Rumah SAKURA iaitu Ignis (Merah), Terra (Hijau), Aero (Kuning) dan Aqua (Biru).
- Nama rumah SAKURA ini merupakan nama Latin yang mewakili empat elemen alam semulajadi iaitu Ignis (Api), Terra (Tanah), Aero (Angin) dan Aqua (Air).
- Empat elemen alam semulajadi ini menunjukkan empat keadaan jirim iaitu Api-Plasma, Air-Cecair, Udara-Gas dan Tanah-Pepejal
SKROL:
- Melambangkan kejayaan dalam pencapaian akademik dan pendidikan.
- Ilmu, Integriti, Iltizam ialah nilai yang ada pada setiap warga sekolah.
Sistem Pembelajaran
Sistem pembelajaran di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara adalah mengikut kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Bagi pengajian di Tingkatan 4 dan 5, SAKURA hanya menawarkan aliran Sains Tulen sahaja.
Tingkatan
Setiap tingkatan diberi nama khas sempena nama-nama saintis yang terkenal dan banyak menyumbang dalam bidang sains.
- Tingkatan 1 - Einstein
- Tingkatan 2 - Curie
- Tingkatan 3 - Edison
- Tingkatan 4 - Newton
- Tingkatan 5 - Galileo
Pencapaian Akademik
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014
Seramai 73 orang pelajar kumpulan pertama Tingkatan 5 Sekolah Menengah Sains Kuching Utara telah menduduki Peperiksaan SPM 2014. Setelah keputusan SPM 2014 diumukan pada 3 Mac 2015 yang lalu, seramai 15 orang pelajar telah mencapai keputusan cemerlang semua A dalam SPM 2014. Gred Purata Sekolah (GPS) SAKURA ialah 1.84. Di peringkat SBP, SAKURA berada pada kedudukan ke-20 daripada 68 buah SBP seluruh Malaysia.[1][2] Di peringkat JPN Sarawak, SAKURA berada pada kedudukan ke-3, di belakang SM Sains Kuching (SAINSKU) dan SM Sains Miri (SAINSRI).[3][4] Rabiatulasikin bt. Hasan telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2014 SAKURA yang telah memperoleh keputusan 6A+,3A. Dalam satu majlis, Pengetua, Dr. Norisah bt. Suhaili telah mengumumkan bahawa SAKURA tersenarai dalam kalangan 50 buah sekolah terbaik Malaysia 2014.
Sistem Rumah SAKURA
Sekolah Menengah Sains Kuching Utara juga mengamalkan sistem rumah sepertimana Sekolah Berasrama Penuh yang lain. Sistem rumah di SAKURA terdiri daripada empat buah rumah iaitu:
- Aero - Rumah kuning.
- Aqua - Rumah biru.
- Ignis - Rumah merah.
- Terra - Rumah hijau.
Bagi menghargai dedikasi pelajar dan usaha rumah masing-masing, sebuah majlis penyampaian anugerah diadakan pada setiap tahun. Majlis ini dikenali sebagai Malam Anugerah Sri Bitara. Bagi sesi 2013, majlis ini diadakan pada 8 November 2013. Mandat telah diberikan kepada Rumah Terra untuk mengendalikan majlis yang julung kali diadakan ini. Pada tahun ini, kemenangan secara keseluruhan telah berpihak kepada rumah Aero. Pada tahun 2014 pula, majlis ini diadakan pada 27 September 2014. Amanah untuk mengendalikan majlis ini diberikan kepada Rumah Ignis. Pada kali ini, kemenangan keseluruhan diambil alih oleh Rumah Aqua.
Pautan luar
- (Inggeris) Sekolah Menengah Sains Kuching Utara
- Facebook Sekolah Menengah Sains Kuching Utara
- Laman blog Sekolah Menengah Sains Kuching Utara
- Facebook Sekolah Menengah Sains Kuching Utara