Kawasan ramai penduduk | |
---|---|
Malaysia | 1,000,000 |
Indonesia | n/a |
Bahasa | |
Bahasa Terengganu Bahasa Melayu | |
Agama | |
Islam bermazhab Syafi'i | |
Kumpulan etnik berkaitan | |
Melayu Kelantan, Melayu Patani dan Melayu Pahang |
Melayu Terengganu (Jawi: ملايو ترڠڬانو, Terengganu: Oghang Tranung) ialah suku kaum Melayu yang tinggal di negeri Terengganu Darul Iman, Malaysia. Keturunan Terengganu juga dapat dijumpai di negeri seberang Pahang ( sekitar perkampungan di daerah Kuantan (Beserah, Balok dan Cherating), Pekan dan Rompin) dan Johor (di daerah Mersing) serta di Kepulauan Anambas dan Natuna di Kepulauan Riau, Indonesia. Orang Melayu Terengganu membentuk hampir atau lebih 94% daripada keseluruhan jumlah penduduk di negeri tersebut, menjadikan antara dua negeri Malaysia yang mempunyai peratusan Melayu lebih 90% selain daripada negeri Kelantan.
Orang Terengganu mempunyai sejarah yang panjang di wilayah Semenanjung, dan disebabkan sejarah yang panjang mereka membentuk identiti kebudayaan, serta bahasa pertuturan yang unik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Walaupun kaya dengan keunikan tersendiri, orang Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Pahang dan Kelantan. Negeri-negeri tersebut berkongsi banyak persamaan dari segi sejarah, budaya dan bahasa kerana faktor geografi (ketiga-tiga sub-etnik Melayu tersebut dipanggil sebagai Orang Pantai Timur).
Sejarah
Pra-Sejarah
Negeri Terengganu telah dihuni oleh Manusia sekurang-kurang 4,000 tahun yang lalu berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Nenek moyang penutur bahasa-bahasa Malayan kemungkinan datang ke Terengganu antara 2,000 atau 1,500 tahun dahulu dari pulau Borneo. Nenek moyang dari penutur bahasa-bahasa Malayan ini lalu melahirkan pelbagai sub-etnik Melayu di Semenanjung termasuklah Melayu Terengganu.
Sejarah Awal
Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Srivijaya Kedah
Terengganu dipercayai telah dihuni semenjak beribu ribu tahun lagi. Catatan cendekiawan China seperti ’Ling-wai-Tai-ta’ karangan Cao-Cu-Fei tahun 1178, menyebut ’Teng-ya-nu’ dan buku ’Cu-fan-Cih’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1226 menyebut Teng-ya-nung’. Kedua dua nama tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke-2.
Selain itu, ahli atronomi terkenal Greek, Ptolemy ada mencatatkan kewujudan dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Pelabuhan itu ialah Primoula dan Kole. Primoula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman. Catatan lain menunjukkan wujudnya kota Foloan, di Kuala Berang, di hulu Sungai Terengganu. yang dipercayai menjadi kota satelit pada Kuala Terengganu.
Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga menyebut tentang sebuah Negeri yang dinamai ’Tan-Tan’ yang menghantar Ufti ke China. Paul Wheatley membuat kesimpulan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan China itu mungkin berpusat di Kuala Besut atau Kuala Terengganu. Selain itu, catatan tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat perdagangan maritim utama pada abad kedua belas. Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu. Perdagangan barangan seperti kayu gaharu, kayu laka, gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan emas dan perak.
Pengembara China, ‘Chao Ju Kua’ dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebu ‘Teng-Ya-Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.[1]
Terengganu di bawah naungan Pahang
Setelah jatuhnya kesultanan Melaka, Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Pahang. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.
Kesultanan Terengganu
Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang (Raja Perempuan Mas Cayam), Raja Pattani.
Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula dengan Raja Bakul, puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.
Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).
Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah sekarang. Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Bahasa
Orang Terengganu terkenal dengan bahasa pertuturan yang unik iaitu Bahasa Melayu Terengganu atau "Cakak Tranung" oleh orang Terengganu sendiri. Bahasa Melayu Terengganu berkait rapat dengan Bahasa Melayu Kelantan dan kadangkala agak sukar difahami oleh Orang Melayu di luar Negeri Terengganu kecuali Pantai Timur Semenanjung. Namun, bukan semua masyarakat Melayu di Terengganu menutur dalam Bahasa Melayu Terengganu. Di Besut, Bahasa Melayu Kelantan adalah lebih popular di kalangan masyarakat Melayu di sana serta budaya dan adat resam mereka lebih ke arah Kelantan daripada Terengganu.[3]
Budaya
Masyarakat Melayu di Terengganu sememangnya kaya dengan budaya dan adat, ia adalah antara negeri di Malaysia yang dikenali dengan jolokan "Pusat Ketamadunan Melayu Semenanjung" kerana masih mengekalkan kebudayaan-kebudayaan tradisional termasuklah kebudayaan sebelum kedatangan Islam ke tanah Semenanjung. Di Terengganu, terdapat beberapa jenis teater tradisional seperti Rodat, Teater Nur Sakti, Tarian Balai, Tarian Saba, Tarian Pulai dan lain-lain. Juga Tarian Ulek Mayang yang biasa dimainkan di tepi pantai sewaktu Pesta Pantai (Pesta Pata) yang biasa diadakan pada hujung tahun bagi tujuan untuk mengubati penyakit, namun tarian ini sekarang hanya sekadar Persembahan budaya semata-mata.
Selain itu, Terengganu juga kaya dengan makanan tradisional. Di antara makanan tradisional masyarakat Melayu Terengganu yang berkhasiat dan sedap dikenali sebagai Keropok lekor (selain itu, orang Terengganu juga menyebutnya sebagai keppok gongdee/panjang/batang). Selain itu budu juga salah satu makanan yang popular di Negeri Terengganu. Sekarang masyarakat makin mengenali budu dan semakin tahu khasiat budu yang dikenali dengan nama "sos bilis", di samping itu Nasi dagang Terengganu yang merupakan antara makanan yang paling popular di kalangan masyarakat Terengganu dan didapati di setiap kedai makan di Terengganu. Terdapat macam-macam makanan tradisional yang sedap dan berkhasiat di negeri Terengganu antaranya Laksang, Tahi Itik, Cek Mek Molek, Akok, Nganang, Bronok Sagu, Sagong, Bekang Nyior, Belebak, Nek Bak, Tok Aji Serbang, Tepung Gomok, Tupak Sutong, Bekang, Roti Paung, Woh Bung Samba, Kuih Kapur Nyior, Apang Dewe, Apang Kuoh dan banyak lagi.
Upacara dan Perayaan
- Pesta Pata, Pesta Pata atau Pesta Pantai (Dahulu dikenali sebagai Pesta Puja Pantai) biasa diadakan pada hujung tahun bagi tujuan untuk mengubati penyakit. Persembahan utama yang dilakukan dalam pesta tersebut adalah Ulek Mayang.
- Adu Kolek, sejenis perlumbaan bot tradisional masyarakat Terengganu khususnya di Kuala Terengganu.
- Pesta Kubang Ikang, sebuah aktiviti menangkap ikan yang diamalkan di Kampung Teluk Pasu, Kuala Terengganu di mana peserta perlu menangkap ikan darat dengan menggunakan tangan.
- Pesta Hambak Ikang atau Pesta Mengerau, sebuah aktiviti tradisional bagi masyarakat Hulu Terengganu terutama sekali yang tinggal di sepanjang Sungai Berang.
- Pesta Balai, sebuah upacara yang menyembah semangat padi dalam bentuk tarian yang dikenali sebagai Tarian Balai. Ia berasal dari daerah Hulu Terengganu dan masih diamalkan sehingga kini dalam bentuk kebudayaan.
Seni Tari
Pakaian
- Pakaian Terengganu[4]
Seni Muzik
- Ulek Mayang
- Rodat
- Gamelan Terengganu [5]
Senibina
- Rumah Terengganu (Rumoh Tranung) [6]
Seni mempertahankan diri
- Silat Gayongman Gerak Satu (dari Kuala Terengganu)
- Silak Kkughe (Silat Kura-Kura, dari Hulu Terengganu)
- Silak Taghi Jatuh (Silat Tari Jatuh, dari Besut)
- Silak Syed Habib Hamid (Silat Syed Habib Hamid)
Lagu Tradisional
- Watimang Landok [7]
- Anok Udang[8]
- Ayong Bua Kokek [9]
- Patendu Patende[10]
- Inang Rodat[11]
- Ulek Mayang[12]
Tokoh-tokoh Melayu Terengganu
- Dato' Ahmad Shabery Cheek, Ahli politik dan ahli DUN Daerah Kemaman
- Tuan Guru Dato' Haji Abdul Hadi bin Awang, Ahli politik dan ahli DUN Daerah Marang, bekas Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999-2004
- YB Tuan Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi Malaysia dan Ahli Parlimen Malaysia bagi Pandan (kawasan persekutuan)
- Ustaz Azhar Idrus, Penceramah bebas.
- Ally Iskandar, Pengacara Malaysia, ibu bapa berasal dari Kuala Terengganu.
- Azizulhasni Awang, Pelumba basikal trek profesional Malaysia.
- Zizan Razak, Pelawak dan pelakon.
- Anuar Manan, Pelumba basikal profesional Malaysia.
- Norshahrul Idlan Talaha, Pemain Bolasepak Malaysia.
- Mohammad Faizal bin Ramly, Penyanyi.
- Hairuddin Omar, Pemain Bolasepak Malaysia.
- Eman Manan, Pelakon Malaysia.
- Kumpulan Iklim, Kugiran Rock Balada Malaysia.
- Anis Suraya : Artis/Penyanyi
- Zizan Razak, Pelakon/Pelawak
- Nora Danish, Model/Pelakon
- Emma Maembong,Pelakon
- Soffi Jikan, Pelakon
- Affy Affandy, Pengusaha Nasi Lemak Paris
Rujukan
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-08-30. Dicapai pada 2018-08-30.
- ^ Souza, George Bryan; Turley, Jeffrey Scott (2015). The Boxer Codex: Transcription and Translation of an Illustrated Late Sixteenth-Century Spanish Manuscript Concerning the Geography, History and Ethnography of the Pacific, South-east and East Asia. BRILL. ISBN 978-9004301542.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-03. Dicapai pada 2015-02-16.
- ^ Pakaian Terengganu
- ^ Gamelan Terengganu
- ^ Rumah Terengganu
- ^ Watimang Landok
- ^ Anok Udang
- ^ Ayun Buai Kokek
- ^ Patendu Patende
- ^ Inang Rodat
- ^ Ulek Mayang