Tuanku Syed Putra Jamalullail | |||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis | |||||||||
![]() | |||||||||
Raja Perlis keenam | |||||||||
Pemerintahan | 4 Disember 1945 - 16 April 2000 | ||||||||
Pertabalan | 12 Mac 1949 | ||||||||
Didahului oleh | Raja Syed Hamzah Jamalullail | ||||||||
Diikuti oleh | Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail | ||||||||
Yang di-Pertuan Agong ketiga | |||||||||
Pemerintahan | 21 September 1960 - 20 September 1965 | ||||||||
Pertabalan | 4 Januari 1961 | ||||||||
Didahului oleh | Sultan Hisamuddin Alam Shah | ||||||||
Diikuti oleh | Sultan Ismail Nasiruddin Shah | ||||||||
Pemangku raja | Tengku Suleiman Tengku Bendahara Abu Bakar | ||||||||
Timbalan Yang di-Pertuan Agong kedua | |||||||||
Pemerintahan | 14 April 1960 - 20 September 1960 | ||||||||
Didahului oleh | Sultan Hisamuddin Alam Shah | ||||||||
Diikuti oleh | Sultan Ismail Nasiruddin Shah | ||||||||
Keputeraan | Arau, Perlis, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malaya British | 25 November 1920||||||||
Kemangkatan | 16 April 2000 Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, Malaysia | (umur 79)||||||||
Pemakaman | 17 April 2000 Makam Diraja Arau, Perlis | ||||||||
Pasangan |
| ||||||||
Anakanda |
| ||||||||
| |||||||||
Kerabat | Wangsa Jamalullail | ||||||||
Ayahanda | Tuan Syed Hassan ibni Almarhum Tuan Syed Mahmud Jamalullail | ||||||||
Bonda | Che Puan Wan Teh binti Wan Endut | ||||||||
Agama | Sunni Islam |
Tuanku Syed Putra Jamalullail ibni Syed Hassan Jamalullail (Jawi: توانكو سيد ڤوترا جمال الليل إبن المرحوم سيد حسن جمال الليل; 25 November 1920 – 16 April 2000) merupakan Raja Perlis yang keenam dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ketiga. Baginda merupakan Raja paling lama memerintah negeri Perlis, dengan pemerintahan selama 55 tahun iaitu sejak tahun 1945 hingga tahun 2000. Baginda merupakan cucunda saudara kepada raja sebelumnya, Raja Syed Hamzah Jamalullail.[1]
Keputeraan dan kehidupan awal كڤوترأن دان كهيدوڤن اول
Tuanku Syed Putra telah diputerakan di Arau, Perlis pada 25 November 1920 dan merupakan putera sulung kepada Syed Hasan ibni Syed Mahmud Jamalullail dan Wan Teh binti Wan Endut. Baginda juga merupakan cucunda saudara kepada Raja Perlis keempat dan kelima iaitu, Raja Syed Alwi dan Raja Syed Hamzah. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau dan meneruskan persekolahan baginda di Penang Free School, Pulau Pinang.
Pada tahun 1938, baginda telah dilantik sebagai pewaris takhta kerajaan Perlis selepas kemangkatan ayahandanya yang merupakan bekas pewaris takhta. Baginda juga memulakan kerjaya sebagai anggota perkhidmatan awam semasa berusia 18 tahun. Pada tahun 1940, Baginda dilantik sebagai Majistret di Kangar dan kemudian ditukarkan ke Kuala Lumpur pada 1941 selepas meletusnya Perang Dunia Kedua. Sewaktu pendudukan Jepun, baginda telah menetap di Kelantan setelah pihak berkuasa Jepun melucutkan kedudukan baginda sebagai pewaris takhta.
Baginda telah berkahwin dengan Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail, puteri kerabat Diraja Patani pada tahun 1941 di Kelantan dan dikurniakan lima putera dan lima puteri. Baginda juga telah berkahwin dengan Che Puan Mariam binti Abdullah, seorang wanita asal Thailand yang memeluk Islam. Nama asalnya ialah Riem Baedsayanawin. Baginda berdua dikurniakan tiga putera dan seorang puteri.[2]
Pemerintahan
Sebagai Raja Perlis
Setelah Perang Dunia Kedua tamat, tentera British kembali semula ke Tanah Melayu dan menubuhkan Pentadbiran Tentera British yang berada di bawah seliaan langsung Lord Mountbatten. Pentadbiran British ini enggan mengiktiraf kedudukan Raja Syed Hamzah sebagai Raja Perlis yang ditabalkan sewaktu pemerintahan Jepun. Baginda kemudiannya diturunkan takhta pada 18 September 1945 dan berpindah ke Satun, Thailand.
Pihak berkuasa British telah mengisytiharkan Tuanku Syed Putra sebagai Raja Perlis keenam pada 4 Disember 1945. Namun, baginda hanya dapat ditabalkan secara rasmi sebagai Raja Perlis pada 12 Mac 1949.[1] Sebaik sahaja menaiki takhta, baginda terus berdepan dengan satu cabaran apabila baginda telah dipaksa menandatangani perjanjian Malayan Union oleh Sir Harold MacMichael. Baginda telah menentang perjanjian ini kerana isi kandungannya yang menggugat kedaulatan Raja Perlis dan bertentangan dengan Perjanjian Perlis-British yang dimeterai sebelumnya oleh Raja Syed Alwi pada tahun 1930. Baginda kemudiannya diugut oleh Mac Michael yang mengatakan bahawa British boleh melucutkan kedudukan baginda sebagai Raja jika baginda enggan menandatangani perjanjian itu. Setelah menandatanganinya, baginda kemudiannya menghantar bantahan kepada Kerajaan British di London. Baginda bersama Raja-Raja Melayu yang lain turut memulaukan majlis perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gent sebagai tanda protes.[1]
Penentangan baginda terhadap Malayan Union telah mendapat sokongan daripada seluruh rakyat Perlis. Usaha bantahan dan penentangan ini berjaya apabila Perlembagaan Malayan Union digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Baginda menandatangani Perjanjian Persekutuan ini dan mengesahkan keahlian Perlis dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dengan penubuhan Persekutuan ini, pentadbiran negeri mula diserahkan kepada rakyat tempatan, di mana jawatan Menteri Besar diwujudkan menggantikan penasihat British. Kedudukan Raja juga berjaya dikekalkan sebagai pemerintah tertinggi negeri.[1]
Di bawah pemerintahan baginda, perlembagaan bertulis bagi kerajaan Perlis telah diasaskan buat pertama kali pada 1 Februari 1948 dan dinamakan sebagai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis. Di dalamnya terkandung 78 perkara, antaranya termasuklah garis panduan pemerintahan baginda sebagai Raja Berperlembagaan. Perlembagaan ini selesai disempurnakan pada 26 Mac 1959. Baginda turut mengkanunkan agama Islam berpegangan Ahli Sunah Waljamaah sebagai agama rasmi negeri.[1]
Sebagai Yang Di-Pertuan Agong
Pada April 1960, Tuanku Syed Putra telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja. Apabila Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah gering dari Julai hingga Ogos 1960, baginda telah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong. Bagi menjalankan pemerintahan kerajaan Perlis, baginda telah memperkenankan sebuah Jemaah Pemangku Raja dilantik menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis.[1]
Ekoran kemangkatan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1960, Tuanku Syed Putra telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong ketiga bermula daripada 21 September 1960 hingga 20 September 1965. Pada usia 39 tahun, baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong termuda yang dilantik sehingga kini. Sejurus perlantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah melantik satu Jemaah Pemangku Raja yang baharu bagi menjalankan pemerintahan negeri Perlis. Pada 31 Disember 1962, iaitu dua tahun setelah penubuhan Jemaah Pemangku Raja, baginda telah melantik Tengku Suleiman Ibni Tengku Bendahara Abu Bakar, iaitu menantu baginda sebagai Pemangku Raja Perlis yang baharu.[1]
Di bawah pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, negara Malaysia telah terbentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Baginda juga menjadi tonggak kekuatan negara apabila Malaysia menghadapi konfrontasi dengan Indonesia sehingga tahun 1965. Baginda turut diberikan penghormatan untuk menjadi Kolonel Yang di-Pertua Pasukan Renjer Diraja dan Canselor Universiti Sains Malaysia. Baginda juga telah merasmikan beberapa mercu tanda negara seperti bangunan Parlimen, Masjid Negara, Stadium Negara, Muzium Negara dan Lapangan Terbang Subang.[1]
Kemangkatan كمڠكتن
Tuanku Syed Putra mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 16 April 2000 akibat serangan jantung. Baginda memerintah negeri Perlis selama 55 tahun, menjadikan baginda antara raja berdaulat paling lama bertakhta di dunia. Baginda telah dimakamkan pada 17 April di Makam Diraja Arau.
Lihat Juga ليهت جوݢ
Rujukan
Didahului oleh Raja Syed Hamzah Jamalullail |
Raja Perlis VI 4 Disember 1945 – 16 April 2000 |
Diikuti oleh: Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail |