Istana Iskandariah | |
---|---|
Nama lama | Istana Negara |
Maklumat umum | |
Jenis | Istana |
Gaya seni bina | Saracenic |
Lokasi | Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia |
Negara | Malaysia |
Koordinat | 4°45′41.8″N 100°57′18.3″E / 4.761611°N 100.955083°E |
Penyewa terkini | Sultan Perak |
Pembinaan bermula | 1895 |
Pelanggan/klien | Kerajaan Perak |
sunting · sunting di Wikidata |
Istana Iskandariah terletak di atas Bukit Chandan, di tepi kanan Sungai Perak , bersebelahan dengan Kampung Padang Kawad, bandar diraja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Inilah istana rasmi tempat bersemayam Raja-raja pemerintah yang ditabal sebagai Sultan Perak sejak tahun 1933 dahulu. Nama istana ini sempena nama Sultan Iskandar Shah yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya dahulu. Ia juga merupakan istana protokol bagi acara rasmi Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan bagi upacara pengurniaan darjah kebesaran negeri dan yang berkaitan dengan Paduka Seri Sultan.
Tapak asalnya merupakan tapak Istana Negara yang dirobohkan pada 1933. Senibina istana ini mengambil corak senibina Islam-India 'Saracenic' dengan campuran senibina Asia Barat. Motif pada gerbang tajam ( pointed arch) , hiasan minaret, kubah berbentuk bawang ( onion shaped domes). Ia adalah hasil ilham , pengalaman dan perjalanan arkitek dan jurutera British di Tanah Melayu. Senibina sedemikian terpancar juga pada Masjid Ubudiah, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Ciri-ciri
Istana ini luasnya 112.320 kali persegi. Bangunannya berbentuk bujur segi empat ( bujur sangkar). Depannya menghala arah matahari naik dan pemandangan terus ke arah Sungai Perak. Selain kubah utama, ada lagi 4 kubah berbentuk bawang yang lebih kecil.
Istana ini mengandungi dua tingkat bangunan termasuk lantai bawah ( ground floor) dan satu tingkat lagi terletaknya minaret kecil yang dipanggil Roof Lounge.
Di lantai bawah terdapat Bilik Mengadap, Bilik Jamuan Negeri, Bilik Lukisan, Bilik Biliard, Bilik Pejabat Juruiring (ADC), Bilik Persalinan Perempuan (Cloak Room), Bilik Makam dan bilik-bilik kecil dengan pelbagai fungsi tersendiri.
Juga terdapat Dewan Negara dan Dewan Muzik dan ruang mainan. Selain itu terdapat Balai Nobat, Balai Rong Seri dan Singgahsana.
Acara penting
Di sinilah Sultan-Sultan Perak ditabalkan sejak 1933 . Acara terbaru ialah Perkahwinan Diraja Raja Dr Nazrin Shah pada 17, 18 dan 19 Mei 2007.
Rujukan
- Ulang tahun ke-40 Perkahwinan Diraja dan Jubli Emas Istana Iskandariah, 1983.
- Arkib Negara Malaysia Diarkibkan 2012-02-29 di Wayback Machine