Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah سلطان صلاح الدين عبدالعزيز شاه | ||
---|---|---|
Yang di-Pertuan Agong XI | ||
26 April 1999 - 21 November 2001 | ||
Pertabalan | 23 September 1999 | |
Negeri | Selangor | |
Pendahulu | Tuanku Jaafar | |
Pengganti | Tuanku Syed Sirajuddin | |
Raja Permaisuri Agong | Tuanku Siti Aishah | |
Perdana Menteri | Tun Dr. Mahathir Mohamad | |
Timbalan Yang di-Pertuan Agong X | ||
26 April 1994 – 25 April 1999 | ||
Negeri | Selangor | |
Pendahulu | Tuanku Jaafar | |
Pengganti | Sultan Mizan Zainal Abidin | |
Sultan Selangor ke-8 | ||
3 September 1960 – 21 November 2001 | ||
Kemahkotaan | 28 Jun 1961 | |
Pendahulu | Sultan Hisamuddin Alam Shah | |
Pengganti | Sultan Sharafuddin Idris Shah | |
Tengku Abdul Aziz Shah ibni Tengku Alam Shah | ||
Keputeraan | 8 Mac 1926 | |
Istana Bandar Temasha, Jugra, Kuala Langat, Selangor, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Malaya British | ||
Gering | ||
Kemangkatan | 21 November 2001 | (umur 75)|
Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur | ||
Pemakaman | 22 November 2001 | |
Makam Diraja Klang, Klang, Selangor | ||
Tempat persemayaman | Istana Alam Shah, Klang, Selangor | |
Ayahanda | Sultan Hisamuddin Alam Shah | |
Bonda | Tengku Ampuan Jemaah | |
Isteri/Tengku Ampuan/Tengku Permaisuri | Raja Nur Saidatul-Ihsan (k. 1943; c. 1956) Che' Mahiran (k. –1954) Tengku Ampuan Rahimah (k. 1956; m. 1993) Sharifa Salmah (k. 1961; c. 1962) Tengku Permaisuri Siti Aishah (k. 1990–2001) | |
Putera-Puteri | Tengku Nor Halijah Sultan Sharafuddin Idris Shah Tengku Puteri Sofiah Tengku Sulaiman Shah Tengku Puteri Zahariah Tengku Fatimah Tengku Abdul Samad Tengku Puteri Arafiah Tengku Puteri Aishah Tengku Ahmad Shah Tengku Puteri Nor Marina Tengku Puteri Nor Zehan |
Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj (Jawi: سلطان صلاح الدين عبدالعزيز شاه ابن المرحوم سلطان هيثم الدين عالم شاه الحاج ) merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-11 (26 April 1999 - 21 November 2001). Yang di-Pertuan Agong ialah panglima tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Baginda menjadi Sultan Selangor selama 41 tahun (1960-2001).
Awal kehidupan
Baginda diputerakan pada jam 3:30 petang, Isnin 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasha. Baginda belajar di Sekolah Melayu Pengkalan Batu, Klang pada 1934 dari darjah 1 hingga 6. Pada 1936, baginda melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga Disember 1941 ketika Perang Dunia Kedua tercetus. Pada 1947 hingga 1949, baginda belajar pula di School of Oriental and African Studies di Universiti London.
Baginda merupakan peminat burung terutama burung kakak tua. Pada masa lapang baginda bermain golf dan bersiar-siar dengan kereta antik.
Pemerintahan
Pernah berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Pelatih Jabatan Ukur Negeri Selangor dan kemudiannya dilantik sebagai Nazir Sekolah selama lapan bulan. Baginda juga menyertai Askar Melayu di Port Dickson selama enam bulan dan ditauliahkan Queen Commission dengan pangkat Kapten dan kemudian Mejar.
Dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada 1 Ogos 1946 dan sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950.
Pada 1 September 1960, ayahandanya Sultan Hisamuddin Alam Shah mangkat, dan Sultan Salahuddin dilantik sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960 lalu ditabal sebagai Sultan pada 26 Jun 1961.[1]
Selaku Yang di-Pertuan Agong
Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1999. Baginda mengisytiharkan Tengku Idris Shah sebagai Pemangku Raja Selangor. Baginda bercadang apabila tamat sahaja dari menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2004, baginda berhasrat untuk berehat di kediaman baginda di London, bersebelahan dengan Masjid Regent.
Keluarga
Baginda mempunyai 10 putera dan puteri dari 3 permaisuri.
Dengan isteri pertama yang juga sepupu baginda, Raja Nor Saidatul Ihsan binti Al-Marhum Tengku Badar Shah, baginda dikurniakan tiga putera dan empat puteri iaitu Tengku Idris Shah yang merupakan Raja Muda Selangor dulu kini Sultan Selangor, Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah (Tengku Laksamana Selangor), Tengku Puteri Zahariah, Tengku Abdul Samad Shah (Tengku Panglima Besar Selangor), Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.
Bersama isteri kedua, Cik Mahiran, baginda dikurniakan seorang putera, Tengku Ahmad Shah (Tengku Panglima Raja Selangor) manakala dengan isteri ketiga, Tengku Ampuan Rahimah, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikurniakan dua puteri iaitu Tengku Puteri Nor Marina dan Tengku Puteri Nor Zehan.
Pada 3 Mei 1990 baginda berkahwin dengan Tuanku Siti Aishah binti Abdul Rahman yang kemudian bergelar Cik Puan Besar Selangor. Mereka tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.[2][3]
Krisis tercetus apabila bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib berkahwin dengan puterinya, Tengku Puteri Zanariah.
Kerja kebajikan
Masjid Sultan Abdul Aziz di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah dibina dengan kos RM4 juta pada 1997 dengan sumbangan baginda. Masjid itu dirasmikan pada 8 Mac 1999. Masjid Shah Alam dibina semasa baginda menjadi Sultan Selangor pada 1987.[4] Baginda mahu Pulau Indah ( dahulu Pulau Lumut) dan Pulau Ketam dimajukan. Bot mewah baginda `Siti Aishah' pernah dilanggar oleh sebuah kapal kargo di Pelabuhan Klang.[5]
Baginda pernah melancong ke Perth di Australia Barat, Bali dan Medan di Indonesia serta London dan bermain golf di Florida, Amerika Syarikat.
Kemangkatan dan pemakaman
Baginda mangkat pada 11:57 pagi, 21 November 2001 (bersamaan 5 Ramadan 1422) di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada usia 75 tahun, berikutan masalah jantung. Baginda terpaksa menggunakan alat bantuan penafasan dan mesin dialisis. Pada 6 Oktober 2001 baginda menjalani pembedahan kecil di Singapura. Baginda menerima rawatan dua bulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menerusi siaran televisyen dan radio. Beliau mengumumkan negara berkabung selama 7 hari dan meminta bendera dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh itu.[6]
Sembahyang jenazah diadakan di Masjid Negara, diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya. Turut hadir serta ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Muda Selangor, Tengku Idris Shah dan anggota kerabat diraja Selangor dan Perdana Menteri, Dato'Seri Dr Mahathir Mohamad.
Rakyat dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir di Istana Negara, di Masjid Negara, Dataran Merdeka dan di Makam Diraja Klang. 20,000 rakyat berhimpun di Jalan Raja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Penghormatan penuh istiadat ketenteraan di Dataran Merdeka dilakukan oleh Batalion 1, Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Hamdan Musa.[7]
Jenazah Almarhum dimakamkan di Makam Diraja Klang pada 22 November 2001. Makam ini kira 1.5 km dari Istana Alam Shah dan Masjid Diraja Sultan Suleiman. Baginda dimakamkan bersebelah makam ayahandanya, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Talkin dan doa dibacakan oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid. Seluruh masjid di Selangor mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yassin setiap malam selama 40 hari berkabung.[8]
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Tuanku Nur Zahirah, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah turut memberi penghormatan terakhir. Pemimpin luar yang hadir ialah Presiden Megawati Sukarnoputri dari Indonesia dan Presiden Singapura, S.R. Nathan serta Timbalan Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr Supachai Panitchpakdi. Kerajaan Thailand dan Brunei mengarahkan pejabat kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang.
Anugerah dan kehormatan
Selangor
- Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (sejak 6 Jun 1961)
- Darjah Kebesaran Mahkota Selangor Yang Amat Mulia (sejak 6 Jun 1961)
- Darjah Kebesaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (sejak 30 September 1985)
- Pingat Jasa Kebaktian
Malaysia
- Malaysia (sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1999 hingga 21 November 2001):
- Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (26 April 1999 – 21 November 2001)[9]
- Darjah Utama Seri Mahkota Negara (28 Ogos 1961) (26 April 1999 – 21 November 2001)
- Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (26 April 1999 – 21 November 2001)
- Seri Setia Mahkota (26 April 1999 – 21 November 2001)
- Darjah Bakti (26 April 1999 – 21 November 2001)
- Panglima Jasa Negara (26 April 1999 – 21 November 2001)
- Panglima Setia Diraja (26 April 1999 – 21 November 2001)
- Pahang:
- Johor:
- Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (DK I) (1975)[10]
- Kedah:
- Kelantan:
- Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Bintang Al-Yunusi) (DK) (10 Julai 1966)[11]
- Negeri Sembilan:
- Perak:
- Perlis:
- Terengganu:
- Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia (DK I) (21 Jun 1964)[12]
- Sabah:
- Sarawak:
- Melaka:
Antarabangsa
- Brunei: Darjah Kerabat Mahkota Brunei (DKMB) (28 Jun 1961)
- Bahrain: Perhiasan Pingat Al Khalifah (28 Oktober 2000)
- Colombia: Darjah Boyaca
- Thailand: Kesatria Darjah Rajamitrabhorn (2001)
Lihat juga
Rujukan
- ^ Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin mangkat
- ^ Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin mangkat
- ^ Sultan yang memecah tradisi kongkong institusi raja
- ^ Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum
- ^ Kenangan wartawan Utusan dengan Almarhum
- ^ Asam pedas ikan terubuk, masakan kegemaran Almarhum
- ^ Jenazah Almarhum diberi penghormatan penuh ketenteraan
- ^ Majlis tahlil di Masjid Sultan Suleiman
- ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2001" (PDF). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 28 May 2016. Dicapai pada 6 June 2016.
- ^ "A royal gesture". The Straits Times. 14 July 1975. m/s. 8.
- ^ "Kelantan Honours Selangor Ruler". The Straits Times. 10 July 1966. m/s. 11.
- ^ "Two Sultans honoured". The Straits Times. 23 June 1964. m/s. 5.
Didahului oleh Tuanku Jaafar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan |
Yang di-Pertuan Agong 1999-2001 |
Diikuti oleh: Tuanku Syed Sirajuddin Raja Perlis |
Didahului oleh Sultan Hisamuddin Alam Shah |
Sultan Selangor 1960-2001 |
Diikuti oleh: Sultan Sharafuddin |
{{#switch:||Kategori=
- Yang di-Pertuan Agong ke-11
- Sultan Selangor abad ke-20
- Kelahiran 1926
- Kematian 2001
- Muslim Malaysia
- Penerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara
- Penerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia
- Penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama
- Sultan Selangor abad ke-21
- Raja Muda Selangor
- Penerima Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang I
- Penerima Pingat Peringatan Malaysia (Emas)