Contoh dan sudut pandangan rencana atau bahagian ini mungkin mempunyai sikap berat sebelah yang meluas atau perlindungan tidak seimbang ke arah satu atau lebih kawasan-kawasan yang khusus. (Januari 2021) |
Sultan Mahmud Shah II | |||||
---|---|---|---|---|---|
Sultan Johor | |||||
Fail:- | |||||
Sultan Johor | |||||
Pemerintahan | 1685 – Ogos 1699 | ||||
Kemahkotaan | - | ||||
Didahului oleh | Sultan Ibrahim Shah | ||||
Diikuti oleh | Sultan Abdul Jalil IV | ||||
Keputeraan | - - - | ||||
Kemangkatan | Ogos 1699 - | ||||
Pemakaman | - - | ||||
Pasangan | - | ||||
Anakanda | - | ||||
| |||||
Kerabat | - | ||||
Ayahanda | Sultan Ibrahim Shah | ||||
Agama | Islam Sunni | ||||
Tandatangan | Tandatangan Sultan Mahmud Shah II |
Almarhum Sultan Mahmud Shah II ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah Zilullah fil-Alam Khalifat ul-Muminin(nama asalnya ialah Raja Mahmud) ialah Sultan Johor ke-9 (tahun pemerintahan dari 1685 – Ogos 1699). Baginda ditabalkan ketika berumur 10 tahun. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.
Pemerintahan
Ketika hayat baginda Sultan Mahmud, urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi, dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama.
Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut "Marhum Padang Saujana".
Dalam Tahfatu'l Nafis karangan Raja Ali Haji Riau, ada slot kisah menggambarkan perangai Sultan Mahmud Raja Johor yang mati dibunuh dalam peristiwa Sultan Mangkat Dijulang. Secara halus Raja Ali Haji menyifatkan keganjilan peribadi sultan ini kerana baginda beristerikan peri (sejenis jin) yang begitu cemburu sehinggakan tiadalah sultan itu dapat bersama dengan mana-mana isterinya dari jenis manusia.
Baginda itu akhirnya dikatakan mewarisi perilaku songsang seperti kaum Nabi Lut. Sultan Mahmud ialah keturunan Raja Melaka yang melarikan diri setelah Melaka jatuh di tangan Portugis tahun 1511. Semasa kanak-kanaknya, baginda dipangku di atas takhta oleh ibu tirinya dan kerajaan ditadbir oleh Paduka Raja Tun Abdul Jamil dan keluarganya. Apabila baginda beransur dewasa dan mengambil alih tampuk pemerintahan, pusat pemerintahan berpindah dari Riau ke Johor Lama. Di sanalah baginda memerintah dengan kezaliman.
Alexander Hamilton, seorang pelayar Inggeris yang sempat berkunjung ke Johor Lama tahun 1695 menulis tentang keganjilan perilaku sultan tersebut. Baginda bertabiat bengis dan ganjil. Perangai ini disahkan juga oleh utusan Belanda ke Johor tahun 1699 yang melaporkan sultan itu terlalu muda dan sukar dikawal. Sultan ini menghabiskan masa dengan keseronokan yang keji-keji dan membunuh orang sesuka hati. Nafsu serakahnya lebih cenderung kepada lelaki yang cantik-cantik. Alexander dalam bukunya, 'A New Account of The East Indies'- Edinburgh 1727 ada melakarkan kisah seperti berikut:
"Baginda ialah peliwat yang hebat dan mengambil ramai orang kaya atau anak laki-laki orang Bangsawan, dengan paksa membawa ke dalam istananya untuk khidmat kesat tersebut. Pedagang Moorish, iaitu pemunggah di kapal saya mempunyai seorang anak lelaki yang kacak, pada suatu hari Raja telah terlihat dan memerlukan ia untuk catamite. Baginda mengancam bapanya, jika dia tidak menghantarnya dengan sukarela, baginda akan mendapatkannya secara paksa. Orang miskin tersebut telah mengambil anaknya di atas kapal, (lalu) memohon perlindungan dari saya yang telah saya janjikan padanya.." (Winstedt 1932).
Diberitakan ramai lelaki kacak menjadi mangsa kebuasan nafsu Sultan Mahmud ini. Kemuncak kezalimannya ialah membunuh isteri orang besarnya iaitu Megat Seri Rama. Isterinya, Dang Anum yang sarat mengandung itu mengidam buah nangka di dalam taman diraja. Apabila baginda tahu akan kejadian itu, baginda dengan zalim atau dengan kebodohannya telah membelah perut Dang Anum bagi melihat betulkah anak dalam kandungan yang mengidam buah nangka raja.
Pembunuhan dan kemangkatan
Megat Seri Rama (bergelar Laksamana Bentan) yang balik dari medan peperangan di Linggi atas perintah sultan itu telah dikhabarkan tentang kematian tragis isteri kesayangannya. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil dengan pembesar istana lainnya bersepakat untuk menghapuskan raja. Menurut adat Melayu, seseorang raja boleh diturunkan dari takhta apabila terbukti ia gila atau murtad. Mereka bersepakat dalam musyawarah yang telah diadakan secara tertutup untuk membunuh raja.[1]
Walau bagaimanapun, ada seorang pembesar bernama Orang kaya Seri Bija Wangsa daripada suku orang laut menentang komplot itu kerana tidak mahu menderhaka kepada raja. Bagi menjayakan rancangan dan menutup rahsia misi penting itu, Seri Bija Wangsa dibunuh orang dengan keris penyalang. Pembesar ini merupakan orang keutamaan suku Orang Laut (orang Riau/Lingga) yang pernah menjadi pembantu laksamana dalam perang Johor-Bugis di Linggi. Orang-orang Laut sangat marah dan berdendam atas kematian pembesar mereka itu. Manakala Megat Seri Rama mengambil tugas berat untuk menderhaka dan ketika tepat waktunya sultan dijulang juak-juaknya ke masjid untuk sembahyang Jumaat, Megat Seri Rama pun membunuh Sultan yang dianggap gila itu lantas tragedi itu dikenali sebagai 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'. Kononnya sebelum mati, baginda sempat menyumpah pembunuhnya dan mengharamkan 7 keturunan Megat Seri Rama daripada menjejaki Johor lama itu.
Pada hari Jumaat, Ogos 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Megat Seri Rama. Akhirnya, baginda lebih dikenali sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi". Baginda dimakamkan di Kota Tinggi.[2][sumber tak boleh dipercayai?]
Mengikut perbualan orang di negeri selatan itu, masih ada keturunan Megat Seri Rama yang akan pening kepala dan muntah darah apabila berkunjung ke daerah pembunuhan sultan tersebut. Sultan Mahmud dimakamkan orang di Kota Tinggi pada tahun 1699 dan dengan kematian baginda, maka putuslah zuriat raja-raja Johor daripada keturunan dinasti Raja Melaka.[perlu rujukan]
Keturunan
Seorang penuntut takhta sultan yang bergelar Raja Kecil mendakwa ia ialah anak Sultan Mahmud Shah II yang pada masa kecil dilarikan oleh pembesar baginda ke Pagar Ruyung. Anak perempuan pembesar itu telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud II lalu mendapat Raja Kecil ini. Oleh kerana haru-biru dalam istana gara-gara perilaku ganjil sultan maka pembesar itu menyelamatkan cucunya (Raja Kecil). Kemudian Raja Kechil ini telah menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan memerintah Johor antara tahun 1718–1722.
Dalam budaya popular
Kisah pemerintahan dan pembunuhan Sultan Mahmud menjadi subjek cerita utama pada 1950-an serta 1960-an, seperti filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada 1961.[3]
Rujukan
- ^ Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
- ^ "Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang". Seni Lama Melayu. Radzi Sapiee. 2008. Dicapai pada 6 Disember 2010.
- ^ Barnard, Timothy P. (2016). ""Historiography and Shifting Interpretations of the Death of Sultan Mahmud Syah II"". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 89 (2): 1–23. doi:10.1353/ras.2016.0022. S2CID 164385129.
- R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
Nota kaki
Lihat juga
Pautan luar
- http://www.johordt.gov.my/pdkotatinggi/pelancongan.php?scr=pelancongan_sejarahsultan Diarkibkan 2007-09-27 di Wayback Machine
Penyandang Terdahulu | Sultan Johor ke-10 1685 – 1699 |
Penyandang Kemudian |
Sultan Ibrahim Shah, Johor | Sultan Abdul Jalil IV |