Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah | |
---|---|
Sultan Johor-Pahang | |
Pemerintahan | 21 Mac 1718 – 4 Oktober 1722 |
Didahului oleh | Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV |
Diikuti oleh | Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah |
Sultan Siak Sri Inderapura | |
Pemerintahan | 1722 - 1746 |
Didahului oleh | Tiada (Kesultanan Siak Sri Inderapura ditubuhkan pada tahun 1722) |
Diikuti oleh | Sultan Mahmud Abdul Jalil Shah |
Keputeraan | Raja Kechil 1699 Kota Tinggi, Johor |
Kemangkatan | 1746 Siak |
Pemakaman | 1746 Buantan, Siak |
Pasangan | Tengku Kamariah binti Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV |
Anakanda | Sultan Mahmud Abdul Jalil Shah |
Wangsa | Wangsa Melaka-Johor |
Ayahanda | Dipercayai Sultan Mahmud Shah II |
Bonda | Inche Apung |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (1699 – 1746) atau lebih dikenali sebagai Raja Kechil ialah Sultan Johor ke-11 dan Sultan Pahang ke-18. Selepas baginda kalah dalam peperangan melawan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1722, baginda berpindah ke Siak dan menubuhkan Kesultanan Siak Sri Inderapura lalu menjadi Sultan Siak Sri Inderapura pertama.
Biografi
Raja Kechil mendakwa bahawa baginda ialah putera Sultan Mahmud Shah II.
Menurut buku "Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka", karangan Leonard Y. Andaya, beliau merujuk kepada Hikayat Siak bahawa Raja Kechil atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah merupakan putera Sultan Mahmud Shah II.[1] Ketika Raja Kechil masih seorang kanak-kanak, baginda telah dilarikan oleh pembesar baginda ke Pagar Ruyung. Anak perempuan pembesar itu telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah II dan melahirkan Raja Kechil. Oleh kerana haru-biru dalam istana gara-gara perilaku ganjil Sultan Mahmud Shah II, maka pembesar itu menyelamatkan cucunya iaitu Raja Kechil. Di Pagar Ruyung, Raja Kechil telah disusukan oleh Puteri Jamilan iaitu ibu kepada pemerintah Pagar Ruyung pada ketika itu.[2] Secara tidak langsung, Raja Kechil merupakan saudara susuan kepada pemerintah Pagar Ruyung. Dipercayai bahawa pemerintah Pagar Ruyung pada ketika itu adalah Yang Dipertuan Pagar Ruyung Raja Alam Indermashah. Ketika Puteri Jamilan mengambil Raja Kechil sebagai anak angkat, baginda berkata: "terlalu kasihan aku akan dia, kerana tiada bapaknya".[3]
Pada usia 13 tahun, Raja Kechil telah meminta keizinan daripada Puteri Jamilan untuk keluar mencari ilmu. Baginda telah berkhidmat dengan pemerintah Palembang dan kembali semula ke Pagar Ruyung.[4] Selepas pulang, Puteri Jamilan bertanya kepada Raja Kechil dengan berkata "Mengapa engkau lama di laut?", Raja Kechil menjawab "menengok cupak gantang orang". Jawapan Raja Kechil ini menggambarkan refleksi atau metafora bahawa baginda terlibat dalam aktiviti sukat dan timbang perdagangan laut dan ini menguatkan bukti bahawa pemerintah Pagar Ruyung mempunyai hubungan perdagangan yang akrab dengan kerajaan serantau khususnya Minangkabau dan Palembang. [5]
Puteri Jamilan menasihati Raja Kechil supaya pergi mengembara lagi. Puteri Jamilan mencadangkan bahawa untuk kali ini, Raja Kechil pergi ke Siak untuk merampas Johor dan membalas dendam bagi pihak ayahandanya Sultan Mahmud Shah II.[6] Raja Kechil kemudian ditabalkan sebagai pemerintah Pagar Ruyung dan mendapat alat kebesaran diraja Minangkabau. Kemudian, Raja Kechil menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan memerintah Kesultanan Johor dan segala jajahan takluknya dari tahun 1718 hingga tahun 1722.[7]
Bukti catatan dokumen
Terdapat satu catatan Belanda di mana pada tahun 1674, seorang utusan dari Johor telah datang untuk meminta bantuan bagi pihak Raja Minangkabau untuk berperang melawan Raja Jambi. Kemudian berdasarkan surat daripada Raja Jambi, Sultan Ingalaga kepada Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada tahun 1694, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dari Pagar Ruyung hadir menjadi saksi perdamaian mereka.[8]
Selain itu, pada zaman pemerintahan Sultan Indermashah, pada tahun 1677, para perantau Minangkabau yang bermukim di Rembau, Sungai Ujong dan Naning meminta kepada Yang Dipertuan Pagar Ruyung untuk dihantarkan seorang raja kepada mereka dan pada ketika itu, dihantarkan salah seorang kerabat Raja yang bernama Raja Ibrahim.[9]
Pada tahun 1716, Sultan Indermasyah mengutuskan saudaranya yang bernama Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dari Siak untuk mewakili dirinya dalam menyelesaikan persetujuan dagang dengan pihak VOC. Pada awalnya pihak VOC menolaknya, namun kemudian Yang Dipertuan Pagar Ruyung menghantar suratnya yang menegaskan status Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.[10]
Keberadaan Sultan Indermashah masih dapat diketahui berdasarkan hubungannya dengan VOC melalui surat yang diterima oleh VOC pada tahun 1724, 1727 dan yang terakhir pada tahun 1730.[11][12][13][14]
Dalam Syair Perang Siak, Raja Kechil dari Pagar Ruyung diangkat menjadi pemerintah Siak atas persetujuan daripada masyarakat di Bengkalis lalu membebaskan Siak daripada pengaruh Johor. Berdasarkan Hikayat Siak, Raja Kechil merupakan putera Sultan Mahmud Shah II. Berdasarkan satu surat yang dihantar kepada VOC, Raja Kechil dari Pagar Ruyung memberitahu bahawa baginda akan menuntut balas atas peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud Shah II.
Pemerintahan
Semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV, keadaan di Johor agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar Kesultanan Johor bersikap tamak, khianat dan cemburu. Keadaan ini memberi peluang kepada Raja Kechil untuk menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kechil dan askar dari Siak menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kechil menawan Panchor iaitu pusat pemerintahan Kesultanan Johor pada ketika itu. Raja Kechil menabalkan diri sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Besar bagi Kesultanan Johor dan segala jajahan takluknya dan baginda bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Walaupun begitu, baginda masih membenarkan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV untuk menetap di Johor tetapi Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV tiada kuasa memerintah dan kembali diangkat menjadi Bendahara Johor. Kemenangan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah adalah atas bantuan daripada para pembesar Johor sendiri kerana mereka yakin bahawa Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah ialah pewaris Sultan Mahmud Shah II.
Pada tahun 1719, cubaan untuk merampas semula kuasa oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan puteranya Raja Sulaiman dan Tun Abbas yang berkubu di Seluyut gagal lalu Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV terpaksa melarikan diri ke Kuala Pahang.
Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah telah berpindah ke Kepulauan Riau dan memerintah Johor dari Riau. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV berpindah dari Kuala Pahang ke Kuala Terengganu dan berpindah kembali ke Kuala Pahang pada tahun 1720. Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah telah menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam untuk pergi ke Kuala Pahang dan membunuh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV di sana. Raja Sulaiman dan Tun Abbas dibawa ke Riau tetapi mereka tidak mahu tunduk kepada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah lalu mereka berpakat dengan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara dan akhirnya mereka berjaya mengalahkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan menghalaunya kembali ke Siak pada 1723.
Perluasan kuasa dan kematian
Pada tahun 1724 hingga tahun 1726, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah melakukan perluasan wilayah Kesultanan Siak Sri Inderapura yang bermula dengan Rokan, membangunkan pertahanan armada laut di Bintan dan bahkan pada tahun 1740 hingga tahun 1745, baginda menakluk beberapa kawasan di Kedah. Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah mangkat pada tahun 1746 dan dimakamkan di Buantan, Siak. Baginda kemudian diberi gelaran "Marhum Buantan". Kemudian, baginda digantikan oleh puteranya, Sultan Mahmud Abdul Jalil Shah sebagai Sultan Siak Sri Inderapura ke-2.
Rujukan
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (1st ed., p. 102). Hawaii: University of Hawaii Press. Retrieved from https://books.google.com.my/books?id=w7AqZR1ZUZgC&pg=PA104&dq=sultan+of+Pagaruyung&hl=en&sa=X&ved=0CBwQ6AEwAGoVChMIyLeelM
- ^ Andaya, L.Y., (1971), The Kingdom of Johor, 1641-1728: a study of economic and political developments in the Straits of Malacca, s.n.
- ^ Andaya, L.Y. (1971). The Kingdom of Johor, 1641-1728: a study of economic and political developments in the Straits of Malacca. s.n.
- ^ Coolhaas, W.P. (1964). "Generale Missiven der V.O.C.". Journal of Southeast Asian History. 2 (7). doi:10.1017/S0217781100003318.
- ^ Robert Van Niel (1966). Review of W. PH. Coolhaas 'Generale Missiven der V.O.C.' Journal of Southeast Asian History, 7, pp 150-151. doi:10.1017/S0217781100003318.
- ^ SWK 1725 VOC 2013, ff. 107-14
- ^ SWK 1728 VOC 2074, f. 117
- ^ SWK 1731 VOC 2164, f. 345
Bacaan lanjutan
- Donald James Goudie, Phillip Lee Thomas, Tenas Effendy, (1989), Syair Perang Siak: a court poem presenting the state policy of a Minangkabau Malay royal family in exile, MBRAS.
- Christine E. Dobbin, (1983), Islamic revivalism in a changing peasant economy: central Sumatra, 1784-1847, Curzon Press, ISBN 0-7007-0155-9.
- Journal of Southeast Asian studies, Volume 17, McGraw-Hill Far Eastern Publishers, 1986.
Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah Tarikh keputeraan: 1699 Tarikh kemangkatan: 1746
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV Diangkat menjadi Sultan Johor pada tahun 1699 kerana Sultan Mahmud Shah II tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta Sultan Johor |
Sultan Johor-Pahang 21 Mac 1718 – 4 Oktober 1722 Diangkat menjadi Sultan Johor selepas mengalahkan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dan menawan pusat pemerintahan Kesultanan Johor pada ketika itu iaitu Panchor pada tahun 1718 |
Diikuti oleh: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Diangkat menjadi Sultan Johor selepas mengalahkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dengan bantuan Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara pada tahun 1722 |
Didahului oleh Tiada Kesultanan Siak Sri Inderapura ditubuhkan pada tahun 1722 selepas Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah kalah dalam peperangan melawan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah |
Sultan Siak Sri Inderapura 1722 – 1746 |
Diikuti oleh: Sultan Mahmud Abdul Jalil Shah |