Jalan Persekutuan 3 merupakan sebatang jalan persekutuan utama di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia. Jalan persekutuan sepanjang 739 kilometer (459 bt) menghubungkan antara Rantau Panjang di Kelantan sehingga ke Johor Bahru di Johor.[3] Keseluruhan laluan FT3 telah diwartakan sebagai sebahagian daripada Rangkaian Lebuh Raya Asia laluan AH18.[4]
Jalan Persekutuan 3 memperoleh reputasi sebagai salah satu lebuh raya pantai terbaik di Malaysia dan Asia berikutan pemandangan yang menarik di sepanjang laluannya, sebagai mana yang diperakui oleh National Geographic Society dan Harian Metro. Jalan Persekutuan 3 dinamakan sebagai salah satu daripada 10 lebuh raya pantai terbaik di Asia oleh National Geographic Society,[5] sementara Harian Metro memperakui lebuh raya FT3 sebagai salah satu lebuh raya terbaik dan terindah di Malaysia.[6]
Latar belakang laluan
Jalan Persekutuan 3 merupakan salah satu daripada tiga jalan persekutuan tulang belakang utara-selatan di Semenanjung Malaysia; dua lagi laluan ialah Jalan Persekutuan 1 dan 5.[7] Secara amnya, Jalan Persekutuan 3 menyelusuri sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia.[8]
Lebuh raya FT3 bermula sebagai jalan raya kembar di Persimpangan Johor Bahru yang dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 1, jalan raya utama di bahagian tengah Semenanjung Malaysia, di kilometer pertamanya. Kemudian di Kota Tinggi, jalan FT3 berubah menjadi jalan super two sehingga ke Pekan. Namun, jalan FT3 masih belum merupakan jalan raya pantai; hanya setelah melalui Mersing barulah jalan FT3 berubah menjadi jalan raya pantai. Di Pekan, jalan FT3 menyeberangi Sungai Pahang melalui Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 dan terus ke Kuantan sebagai jalan raya kembar.[8]
Di Kuantan, FT3 bertindih dengan Jalan Gambang FT2 seketika dari Exit 254 Persimpangan Jalan Pekan sehinggalah ke Exit 253 Persimpangan Pandan sebelum FT3 dilencongkan ke Jalan Pintasan Kuantan FT3. Jalan Pintasan Kuantan FT3 berterusan sebagai Jalan Kuantan–Kuala Terengganu FT3 yang menyelusuri sepanjang garis pantai Terengganu. Di Kuala Terengganu, lebuh raya FT3 dilencongkan ke Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu FT3 yang menyelusuri sepanjang kawasan pedalaman utara Terengganu dan dataran utara Kelantan. Di Kota Bharu, FT3 menyeberangi Sungai Kelantan melalui Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 ke Wakaf Bharu sebelum menyelusuri sepanjang tebing barat Sungai Kelantan ke Pasir Mas. Di Pasir Mas, lebuh raya FT3 dilencongkan ke barat ke arah Rantau Panjang di sempadan Malaysia–Thailand. Di sempadan Malaysia–Thailand, jalan FT3 menyeberangi Sungai Golok melalui Jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok dan berterusan sebgai Jalan Sungai Padi (Laluan 4056) di Thailand.[8]
Sejarah
Jalan Persekutuan 3 bermula sebagai sebatang jalan raya pendek sepanjang 8 batu (13 km) dari Johor Bahru ke Sungai Pandan, yang membentuk jajaran Lebuhraya Tebrau FT3 sekarang. Ia dibina pada tahun 1866 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang (juga dikenali sebagai Dato' Bentara Luar).[1] Jalan raya ini kemudian dipanjangkan sehingga ke Kota Tinggi, yang siap pada tahun 1919.[9] Sementara itu, pada tahun 1915, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu FT3 dibina, siap pada tahun 1923.[10][11]
Pada tahun 1911, kerajaan negeri Johor bekerjasama dengan kerajaan penjajah British untuk membangunkan satu rangkaian jalan raya dari Johor Bahru ke Batu Pahat dan Muar.[12] Hasilnya, Jalan Batu Pahat–Kluang–Mersing siap pada tahun 1919,[9] di mana jajaran dari Jemaluang ke Mersing membentuk sebahagian daripada jajaran Jalan Persekutuan 3 sekarang.[1] Pada masa yang sama, satu lagi jajaran jalan raya dari Kota Tinggi ke Jemaluang dibina bagi menghubungkan antara Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi FT3 dengan Jalan Jemaluang–Mersing FT3.[9] Pada tahun 1939, Jalan Kuantan–Kuala Terengganu FT3 dan Jalan Kuantan–Pekan FT3 (sehingga ke Peramu di tebing utara Sungai Pahang) dibina.[11][13]
Tidak seperti jalan-jalan utama di negeri-negeri pantai barat Tanah Melayu, tahap perkembangan pembinaan Jalan Persekutuan 3 sangat perlahan, berikutan kurangnya sumber ekonomi di negeri-negeri pantai timur Tanah Melayu. Akibatnya, wujud satu jurang antara Pekan dengan Endau berikutan populasi yang amat jarang serta muka bumi berpaya.[1] Untuk mengisi jurang tersebut, Menteri Kerja Raya pasca kemerdekaan pertama Malaysia, Tun V. T. Sambanthan, memohon kepada kerajaan persekutuan untuk memperuntukkan sejumlah besar wang untuk membiayai pembinaan jalan-jalan luar bandar baharu, di samping memulihkan semula jalan raya sedia ada. Pembinaan rangkaian jalan raya luar bandar baharu berkembang daripada 400 batu (644 km) pada tahun 1961 kepada 700 batu (1,127 km) pada tahun berikutnya. Antara jalan-jalan baharu tersebut, projek jalan raya terpanjang ialah Jalan Pekan–Kuala Rompin FT3 dan Jalan Endau–Kuala Rompin FT3, kedua-duanya siap pada tahun 1962.[2] Dengan siapnya kedua-dua jalan tersebut, maka lengkaplah sudah keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 3.[1]
Seperti pasangan pantai baratnya, pembinaan Jalan Persekutuan 3 memerlukan banyak jambatan yang lebih panjang. Hasilnya, beberapa buah jambatan utama seperti Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu dan Jambatan Sultan Abu Bakar di Pekan dibina sebagai jambatan tol bagi membiayai kos pembinaannya. Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 dibina pada tahun 1962 dan dibuka kepada lalu lintas pada 17 April 1965,[14] manakala Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 dibina pada tahun 1968 dan dibuka pada 28 Februari 1970.[15] Sementara itu, satu lagi jambatan utama di sepanjang FT3, Jambatan Pulau Rusa FT3 dekat Kuala Terengganu, dibina pada tahun 1960.[16]
Pada 1 September 1974, Lembaga Pelabuhan Kuantan ditubuhkan untuk membina Pelabuhan Kuantan. Pembinaan bermula tahun 1976 dan dibuka sepenuhnya pada tahun 1984.[17] Hasilnya, sebatang jalan raya baharu yang memintas Kuantan dibina bagi mengurangkan kesesakan di Kuantan di samping mengurangkan kerosakan jalan yang diakibatkan oleh kenderaan berat yang berulang-alik ke Pelabuhan Kuantan.[1] Jalan Pintasan Kuantan FT3 kemudian dinaik taraf menjadi jalan raya kembar pada tahun 2005, yang siap pada tahun 2007.[18]
Keseluruhan jajaran FT3 membentuk jajaran Malaysia bagi Lebuh Raya Asia Laluan AH18.[4] Hasilnya, jajaran di sepanjang Jalan Persekutuan 3 dinaik taraf secara berperingkat sama ada sebagai jalan super two ataupun jalan raya kembar.[1] Di samping itu, Jalan Persekutuan 3 terus popular sebagai jalan raya pantai di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia yang menyajikan pemandangan menarik dan langsung tidak terjejas daripada kewujudan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (ECE2) E8, memandangkan lebuh raya FT3 telah diiktiraf oleh National Geographic Society sebagai salah satu daripada 10 lebuh raya pantai terbaik di Asia.[5]
Senarai persimpangan
Berikut merupakan senarai daerah yang dilalui oleh sistem kod jalan raya ini:
- Kelantan
- Kota Bharu (Ibu Negeri)
- Bachok
- Pasir Puteh
- Terengganu
- Besut
- Setiu
- Kuala Terengganu (ibu negeri)
- Dungun
- Kemaman
- Pahang
- Johor
- Mersing
- Kota Tinggi
- Ulu Tiram
- Johor Bahru (ibu negeri)
Rujukan
- ^ a b c d e f g "FTRoadpedia Pantai Timur Part 3: Sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3". Blog Jalan Raya Malaysia. 2017-03-26. Dicapai pada 2017-03-26.
- ^ a b Ummadevi, Suppiah (2003). "8". Tun V.T. Sambanthan : peranannya dalam politik dan kemajuan orang India di Malaysia (PDF) (Master). Universiti Malaya. m/s. 146-147. Dicapai pada 2017-03-26.
- ^ Senarai Jalan Persekutuan Utama - Jabatan Kerja Raya Malaysia. Dicapai pada 2012-06-02.
- ^ a b Pangkalan Data Lebuh Raya Asia: Rangkaian AH di Negara-negara Ahli Diarkibkan 2013-01-25 di Wayback Machine - Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik
- ^ a b Drives of a Lifetime: 500 of the World's Most Spectacular Trips (dalam bahasa Bahasa Inggeris). National Geographic. 2010-10-26. ISBN 978-1-4262-0677-1.
|access-date=
requires|url=
(bantuan)CS1 maint: unrecognized language (link) - ^ Suliati Asri (2013-11-07). "Wajib singgah Pasar Payang". Harian Metro (dalam bahasa Malay). Dicapai pada 2014-07-08.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "Kenali rangkaian laluan tulang belakang negara kita". Blog Jalan Raya Malaysia (dalam bahasa Malay). 2014-11-01. Dicapai pada 2015-11-18.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ a b c Inventori Rangkaian Jalan Utama Persekutuan Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya Malaysia. 2009. ISBN 978-983-44278-2-5.
- ^ a b c Abd. Hamid Abd. Majid (1980-05-01). "1.1 – Sejarah Perkembangan Jalanraya Sebelum Merdeka". Analisa Rangkaian Jalan Raya dan Kaitannya Dengan Pembangunan Ekonomi (PDF) (Diploma). Universiti Teknologi MARA. m/s. 8. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-03-04. Dicapai pada 2015-11-18.
- ^ Roads in Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya Malaysia. 2011. m/s. 16. ISBN 978-967-5399-17-6.
- ^ a b Abd. Hamid Abd. Majid (1980-05-01). "1.1 – Sejarah Perkembangan Jalanraya Sebelum Merdeka". Analisa Rangkaian Jalan Raya dan Kaitannya Dengan Pembangunan Ekonomi (PDF) (Diploma). Universiti Teknologi MARA. m/s. 12. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-03-04. Dicapai pada 2015-11-18.
- ^ Johore Annual Report 1911
- ^ Abd. Hamid Abd. Majid (1980-05-01). "1.1 – Sejarah Perkembangan Jalanraya Sebelum Merdeka". Analisa Rangkaian Jalan Raya dan Kaitannya Dengan Pembangunan Ekonomi (PDF) (Diploma). Universiti Teknologi MARA. m/s. 11. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-03-04. Dicapai pada 2015-11-18.
- ^ "Perasmian Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan". Hari Ini Dalam Sejarah. Arkib Negara Malaysia. 1965-04-17. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-08. Dicapai pada 2017-03-27.
- ^ "Jambatan Sultan Abu Bakar dirasmikan". Hari Ini Dalam Sejarah. Arkib Negara Malaysia. 1965-04-17. Dicapai pada 2017-03-27.
- ^ Ahmad Rabiul Zulkifli (2011-07-31). "Pulau hanya ada sebatang ru". Harian Metro.
|access-date=
requires|url=
(bantuan) - ^ "Lembaga Pelabuhan Kuantan – Sejarah". Kuantan Port Authority. Dicapai pada 2017-03-27.
- ^ Projek Pembangunan RMKe-9 Kementerian Kerja Raya – Kementerian Kerja Raya Malaysia. Dicapai pada 2017-03-27.