Almarhum Ybm Dato' Muhammad Salleh bin Ym Daeng Perang SPMJ (1841 – 2 Julai 1915) dengan gelarannya Dato' Bentara Luar memegang jawatan penting dari tahun 1856 sehingga tahun 1912 dalam pentadbiran kerajaan Johor. Tugas utama beliau ialah merancang pembangunan negeri Johor dan Ybm Dato' Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang ini juga ialah seorang NEGARAWAN, ahli bahasa, perancang bandar, juru ukur, jeneral, ahli inovasi, pendakwah, sastrawan, juru bahasa, budayawan, negarawan dan seniman muzik (Ybm Dato' Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang Berketurunan Wangsa Diraja Bugis Luwu, Sulawesi).
Sumbangan
Ybm Dato’Mohd Salleh Bin Ym Daeng Perang ialah birokrat Johor yang bertanggungjawab dalam bidang pertanahan dan perladangan gambir dan lada hitam. Selaku ketua Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, beliau telah dapat membuat peta negeri yang lengkap serta bertulisan Jawi. Tindakan pertamanya ialah pelukisan sebuah peta pembangunan negeri Johor. Peta itu menunjukkan semua jalan dan bandar yang akan dimajukan atau dibina di seluruh negeri Johor. Ia juga menunjukkan bentuk muka bumi dan daerah-daerah di negeri itu. Inilah peta lengkap yang pertama sekali dilukis bagi sebuah negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
Beliau bertanggungjawab membangunkan pusat bandar seperti Bandar Maharani (1888) dan Bandar Penggaram (1893). Beliau juga menjadi Pesuruhjaya Kerajaan bagi dua wilayah Johor itu sebelum dipanggil semula bertugas di Johor Bahru. Dato’Bentara Luar merangkap Menteri Luar dapatlah dikatakan arkitek dan perancang pembangunan negeri Johor.
Kemahiran beliau berbahasa Cina dan tahu selok belok adat resam Cina membolehkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Sistem Kangchu Cina. Beliau mengiringi Sultan melawat negeri China dalam tahun 1880-an. Kerjaya beliau bermula dengan jawatan cikgu sekolah, jurutulis (kerani), juru ukur, pesuruhjaya tanah negeri, pesuruhjaya polis Negeri, perancang bandar, Dato’Bentara Luar (Menteri Luar) dan berakhir sebagai ahli Dewan Negeri,ahli Jumaah Diraja dan juga ahli Jumaah Menteri.
Membuka bandar Batu Pahat
Ketika itu, Batu Pahat merupakan sebuah petempatan kecil yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung. Batu Pahat yang terletak di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat dikenali ketika itu sebagai "Pulau Kundur".
Pada 4 November 1893, Ybm Dato’Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang yang tinggal di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Seminggu kemudian pada 11 November,Dymm Sultan Abu Bakar menitahkan beliau untuk membuka Batu Pahat. Namun beliau memulakan usaha bagi membangun bandar itu dan menyediakan kemudahan jalan serta pejabat-pejabat kerajaan, dengan sistem pentadbiran moden.
Pembukaan rasmi Batu Pahat diadakan pada 1 Januari 1894 oleh Ybm Dato’Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang sendiri dan dihadiri oleh Orang-orang Kaya, penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Bandar itu mula berkembang maju di bawah Ybm Dato’Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang yang menjadi wakil Dymm Raja memerintah Batu Pahat. Beliau kemudian menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, dan menggalakkan orang-orang kampung membuka kebun dan membuat parit tali air. Dalam masa yang sama, pelabur-pelabur asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Ybm Dato’Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang berbahasa Cina merupakan faktor yang menyebabkan beliau disukai oleh orang Cina serta faktor yang membawa kemajuan ekonomi dan harmoni kepada daerah ini. Kejayaan beliau dalam pentadbiran Batu Pahat diakui oleh Ym Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor, dalam rangka lawatan tugas Ym Ungku Sulaiman bin Daud di Batu Pahat pada 21 Disember 1896 dan Ybm Dato’Muhammad Salleh Bin Ym Daeng Perang juga yang membuka bandar muar,bandar batu pahat,bandar endau dan bandar yang lain serta membangunkan bandar Johor Bahru
Bersara
Apabila Dymm Sultan Abu Bakar mangkat, perubahan pemerintahan telah dirasai apabila Kerajaan British telah mula memperluas pengaruh mereka.
Pada 3 April 1909, Dato' Bentara Luar telah menerima surat daripada Yb Dato' Seri Amar DiRaja menyuruh beliau bersara daripada jawatannya kerana faktor usia umurnya.
Sepanjang hayat Dato' Bentara Luar, beliau telah membuktikan kesetiaannya kepada Raja dan telah membuktikan bahawa beliau mampu memperlihatkan hasil kerja yang terbaik dengan menggunakan daya usaha sendiri. Dato'Bentara Luar Akhirnya pada 21 Mei, 1912, Dato' Bentara Luar terus bersara dan usia beliau ketika itu ialah 71 tahun. Beliau digantikan oleh Ym Ungku Ahmad bin Ym Ungku Muhamad Khalid menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat. Di bawah Ym Ungku Ahmad, Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat British untuk menjalankan pentadbiran.
Meninggal dunia
Beliau telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 2 Julai 1915 (jam 6.15 petang) bersamaan dengan 18 Syaaban 1333 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru.
Rujukan
- Laman web Perpustakaan Negara Malaysia Diarkibkan 2008-06-22 di Wayback Machine
- Salasilah Diarkibkan 2015-02-11 di Wayback Machine
- Permata Johor Diarkibkan 2015-05-18 di Wayback Machine