![]() | |||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Belgium | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing lembu Ardenne[a] ialah satu baka anjing jarang dari Belgium. Dengan asal usul dari rantau Ardenne, anjing ini digunakan sebagai anjing penggiring, yang terutamanya menggembala dan melindungi lembu.[1][2][3] Kehilangan ladang di kawasan ini membawa kepada penurunan parah bagi bilangan anjing ini sehingga tahun 1985 apabila sesetengah pembiak baka menemukan beberapa ekor anjing dan menggunakan piawaian baka asli sebagai panduan mereka dalam memperkenalkan anjing ini semula.[1][2]
Sejarah
Anjing gembala telah didapati di Ardenne Belgium sejak sekurang-kurangnya abad ke-19. Dengan pembiakbakaan untuk mengharungi iklim melampau rantau itu, tugas berat, dan rupa bumi mencabar, hanya anjing paling tahan lasak dan rajin dipilih untuk tugas seperti penggembalaan lembu, biri-biri, babi, dan kuda. Semasa Perang Dunia, anjing ini digunakan sebagai anjing pemburu haram. Menjelang penghujung abad ke-19, anjing ini menyerupai anjing gembala biri-biri namun lebih besar, lebih kuat, dan lebih agresif. Pertunjukan anjing Belgium memperkenalkan kelas untuk anjing penggiring untuk mengasaskan jenis spesifiknya dan piawaian baka diterbitkan pada tahun 1923.[1][2][4] Anjing lembu Ardenne, yang direka untuk menjadi bersaiz pertengahan, diasaskan selepas tahun 1910 dengan menyilangkan anjing lembu Flandre dengan malinois Belgium dan mungkin anjing gembala Brie.[3][5] Pada abad ke-20, kemerosotan ladang di Ardenne dan pengurangan kawanan lembu tenusu dengan ketaranya mengurangkan bilangan anjing pekerja, termasuk anjing lembu Ardenne.[4] Anjing lembu Ardenne disangkakan telah pupus sehingga suatu populasi kecil ditemukan pada tahun 1985 dan, sejurus itu, usaha diwujudkan untuk mengasaskan baka ini semula.[5][1][2] Oleh sebab sejarah kepupusan hampir dan saiz populasi kecil, baka ini mempunyai darjah tinggi bagi pembiakbakaan dalam dan kepelbagaian genetik terkompromi.[6]
Penampilan
Anjing lembu Ardenne ialah anjing tegap bersaiz sederhana yang mengutamakan fungsi dan kekuatan berbanding dengan keanggunan. Ia mempunyai binaan pendek dan gempal dengan struktur tulang lebih berat berbanding dengan saiz cadangannya dan kepala berkuasa. Ia patut pendek, padat, dan cukup berotot. Lapis bulu kasar mirip dawai, sekali dengan misai dan janggut kecil, memberinya penampilan menggerunkan. Baka ini dihakimi dalam cara berdiri semula jadinya, tanpa sentuhan fizikal daripada pengendali dan baka ini tidak disusun dalam gelanggang pertunjukan. Anjing lembu Ardenne terdapat dengan sebarang warna kecuali putih.[1][2] Ia biasanya terdapat dalam keragaman brindle atau berlada. Ia mempunyai bulu dawai kasar sederhana panjang dengan "janggut" dan "kening". Anjing ini secara semula jadi dapat mempunyai ekor pendek atau ekor panjang, telinga tinggi, dan mata tajam.[4] Ketinggian unggul untuk jantan ialah 55–63 sentimeter (22–25 inci) dan 51–57 sentimeter (20–22 inci) untuk betina. Berat unggul ialah 28–35 kilogram (62–77 paun) untuk jantan dengan betina yang seberat 22–28 kilogram (49–62 paun).[1][2] Ekornya terpotong secara tradisional, namun telinganya pula tidak terpotong.[3]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ لمبو اردين; Perancis: bouvier des Ardennes; Belanda: Ardense koehond; bahasa Inggeris: Ardennes cattle dog
Rujukan
- ^ a b c d e f "Standard FCI N°171 BOUVIER DES ARDENNES" [Piawaian FCI No. 171 Anjing Lembu Ardenne] (pdf) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 13 Julai 2001. Dicapai pada 15 Januari 2024.
- ^ a b c d e f "FCI-Standard N° 171 BOUVIER DES ARDENNES" [Piawaian FCI No. 171 Anjing Lembu Ardenne] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Jeans-Brown, Pamela; Triquet, Raymond. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 22 Mac 2002. Dicapai pada 15 Januari 2024.
- ^ a b c Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 466. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
- ^ a b c "Bouvier des Ardennes" [Anjing Lembu Ardenne] (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Dicapai pada 28 Mac 2025.
- ^ a b Pollet, Robert (20 Mac 2012). Bouvier des Flandres: Special Limited Edition: A Comprehensive Owner's Guide [Anjing Lembu Flandre: Edisi Terhad Khas: Panduan Komprehensif Pemilik] (dalam bahasa Inggeris). Freehold, New Jersey, Amerika Syarikat: Kennel Club Books. ISBN 9781593787196. OCLC 797848776.
- ^ Wijnrocx, Katrien; François, Liesbeth; Stinckens, Anneleen; Janssens, Steven; Buys, Nadine (29 Februari 2016). "Half of 23 Belgian dog breeds has a compromised genetic diversity, as revealed by genealogical and molecular data analysis" [Separuh daripada 23 baka anjing Belgium mempunyai kepelbagaian genetik terkompromi, sebagaimana yang didedahkan oleh analisis data genealogi dan data molekul]. Journal of Animal Breeding and Genetics (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 133 (5): 375–383. doi:10.1111/jbg.12203. ISSN 1439-0388. PMID 26927793. S2CID 10782504.