Nama lain | Puli Hungary | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Anjing air Hungary | |||||||
Negara asal | Hungary | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Puli[a] ialah satu baka anjing gembala kecil-sederhana Hungary yang terkenal kerana lapis bulu panjang dan pintalnya. Bulu keritingnya kelihatan serupa dengan rambut pilin. Satu baka anjing serupa tetapi lebih besar yang juga merupakan anjing Hungary ialah komondor.
Perihal
Penampilan
Puli ialah anjing berwarna padu yang biasanya berwarna hitam. Warna lapis bulu kurang umum lain merupakan putih, kelabu, atau krim (putih pudar atau fakó dalam bahasa Hungary). Salah satu keragaman anjing berbulu krim mempunyai topeng hitam. Puli putih bukan albino dan tidak mempunyai mata biru. Ia pada umumnya mempunyai pigmen gelap, tapak kaki hitam, hidung hitam, dan pigmen hitam di bahagian dalam mulut. Gen putih adalah resesif terhadap gen hitam legam. Tinggi dalam piawaian baka untuk betina ialah kira-kira 16.5 inci (42 cm) pada paras kelasa dan 17 inci (43 cm) untuk jantan.[1] Betina berukuran seberat 23–25 paun (10–11 kg) dan jantan pula lebih berat sedikit. Lapis bulu bagi sesetengah puli dapat berbeza-beza sama ada dengan pintalan lebih nipis atau lebih tebal yang mungkin rata atau membulat bergantung pada tekstur lapis bulu dan keseimbangan lapis bulu bawah dengan lapis bulu luar.[1]
Lapis bulunya ialah hasil daripada proses pengusutan terkawal. Lapis bulu nipis berpintalan seperti tali diingini dan penjagaan bulu patut mengawal lapis bulu ke arah pembentukan tali-temali lebih nipis. Lapis bulu puli memerlukan penjagaan cukup untuk memastikan bahawa pintalannya bersih, kemas, dan menarik. Seiring dengan usia, lapis bulu dapat menjadi agak panjang, malah mencecah tanah.[1] Sebagai alternatif, lapis bulunya dapat dipendekkan dengan kerap untuk penyelenggaraan mudah walaupun lapis bulu berpintal ialah hal yang menarik ramai orang kepada baka ini. Bertentangan dengan sesetengah kepercayaan, lapis bulu puli sihat akan tumbuh lagi selepas pemendekan. Baka ini mempunyai sedikit salin bulu atau tiada langsung.[2]
Perangai
Sebagai anjing cerdas dan aktif, puli memerlukan pelatihan kepatuhan semasa masih muda.[3] Dengan senaman mencukupi, puli dapat hidup di bandar,[3] tetapi ia paling sesuai apabila tidak dibela sebagai haiwan peliharaan ruangan dalaman di dalam ruang sempit[4] kerana, tanpa senaman mencukupi untuk menghabiskan tenaganya, ia sama ada dapat menjadi pemalu atau terlebih aktif. Ia perlu mendapatkan jenis senaman yang sesuai dengan tujuan baka ini.[5] Puli paling sesuai dibela di dalam rumah dengan kebun.[6] Sebagai anjing yang agak selesa dan sangat mesra terutamanya terhadap kanak-kanak, ia sensitif dan cenderung kepada kegeraman.
Kegiatan
Walaupun penampilannya besar dan lapis bulunya sangat tebal, puli sangat pantas, tangkas, dan mampu mengubah arah dengan pantas.[1] Ia cukup patuh untuk dilatih untuk pertandingan olahraga. Puli sangat setia dan menjalin ikatan rapat dengan pemiliknya.[7]
Secara tradisional, baka anjing puli digunakan sebagai anjing gembala dan kadang-kadang juga sebagai anjing penjaga haiwan ternakan. Ia sangat sesuai sebagai anjing pengawal kerana ia sangat kuat melindungi tuan dan wilayahnya. Puli adalah sensitif, suka berseronok, berani, tetapi juga, kadang-kadang, tahan lasak dan keras kepala.[7]
Ia setia kepada pemiliknya dan curiga terhadap orang asing. Ia amat aktif dan mengekalkan tingkah laku suka bermain mirip anak anjing sepanjang hidupnya. Ia memerlukan banyak senaman dan ruang lapang, sebaik-baiknya di luar rumah. Ia dapat dilatih dan diajar untuk buang air di tempat betul, tetapi puli pada umumnya tidak begitu sesuai sebagai anjing peliharaan bandar atau ruang dalaman. Apabila terbatas kepada ruang tertutup selama jangka masa lama, ia menjadi gelisah dan mungkin melalui pembentukan trait-trait keperibadian yang tidak diingini, seperti menjadi hiperaktif atau, sebaliknya, semakin menyendiri dan malas.
Sebagai anjing pekerja, puli fokus dan bertekad apabila ditugasi. Sesetengah anjing digunakan sebagai anjing polis. Sebagai anjing penjaga haiwan ternakan, ia sangat kuat melindungi wilayah dan kawanannya, dan, walaupun saiznya agak kecil, tanpa rasa takut akan mencuba untuk menakutkan dan menghalau mana-mana penceroboh; walau bagaimanapun, ia jarang sekali mendatangkan sebarang kecederaan sebenar.
Puli dapat bersaing dalam ujian ketangkasan anjing, kepatuhan, rally obedience, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Puli yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[8]
Pelatihan
Puli dihargai kerana tenaga dan keazamannya yang merupakan hasil daripada sejarahnya sebagai anjing gembala. Setiap puli ialah gembala semula jadi dan secara naluri mengetahui cara untuk menggembala kawanan biri-biri atau haiwan ternakan walaupun telah dibesarkan sebagai anjing keluarga dan tidak pernah dilatih untuk melakukannya. Pelatihan puli dinasihatkan untuk dimulakan pada awal usia, terutamanya dalam kepatuhan. Ia sangat berdikari, kuat semangat, dan sukar dilatih pada usia dewasa.
Sejarah
Orang Magyar barang kali membawa puli ke Hungary[9][10] pada abad ke-9 semasa mereka menceroboh ke arah barat dari Siberia dan ia telah menjadi anjing gembala di dataran Hungary sejak itu.[10] Menurut Encyclopedia of the Dog, puli "hampir pasti" merupakan leluhur kepada pudel.[9] Baka ini pertama kali dikaji oleh Dr. Emil Raitsitz dari kolej veterinar di Hungary pada tahun 1920-an.[10]
Puli biasanya bekerjasama dengan komondor putih dan jauh lebih besar, iaitu baka Hungary yang semata-mata anjing penjaga haiwan ternakan. Komondor ialah anjing besar, dengan tubuh padu, kira-kira setinggi 30 inci (76 cm). Komondor berkenaan (lebih daripada seekor jika terdapat sejumlah besar ternakan) menjaga biri-biri atau lembu kebanyakannya pada waktu malam, manakala puli menggembala dan menjaga haiwan ternakan tersebut pada waktu siang.
Apabila serigala atau beruang menyerang haiwan ternakan, puli memberitahu kawanan itu dan komondor pula datang dan melawan penceroboh. Puli pandai melawan serigala, kerana lapis bulu tebalnya melindungi kulitnya daripada digigit. Komondor biasanya berehat pada waktu siang tetapi pada waktu malam berjalan di sekeliling kawanan ternakan, sentiasa bergerak-gerak, dan meronda kawasan.
Gembala nomad di dataran Hungary menghargai anjing gembala mereka sehingga membayar sebanyak gaji setahun untuk seekor puli.
Walaupun lapis bulunya mungkin kelihatan sedikit serupa, puli tidak pernah bekerja di dalam air dan lapis bulu puli tidak tumbuh secara berterusan dalam cara sama seperti lapis bulu berpintal pada pudel sebaik pintalan terbentuk.[11]
Mungkin leluhur puli merupakan anjing gembala purba Hungary. Para perantau membawa puli bersama dengan mereka ke lembangan Karpatos untuk membantu untuk mengatur kawanan ternakan dan menggembala kuda di kawasan itu. Komondor atau kuvasz besar digunakan untuk menjaga kawanan ternakan. Puli juga merupakan pengawal sesuai untuk perlindungan kawanan ternakan tetapi digunakan terutamanya untuk menggembala haiwan-haiwan itu. Pada sekitar awal abad ke-20, titik perubahan sebenar untuk baka ini tiba apabila ia ditemukan semula tetapi tidak lagi digunakan sebagai anjing gembala; penggembalaan meluas digantikan dengan pertanian intensif. Peranan puli dikurangkan dalam kehidupan kawanan ternakan. Walaupun tugas tradisionalnya dipelihara, ia mula memenuhi pekerjaan yang sesuai dalam kemampuan pemiliknya: iaitu menjadi anjing rumah. Selepas Perang Dunia Kedua, baka ini menjadi anjing peliharaan kurang popular; malah kini, baka ini belum dapat memulihkan kepopularan yang dinikmati sebelum ini.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat mengimport empat ekor puli baka tulen pada tahun 1935 ke Beltsville, Maryland sebagai sebahagian daripada uji kaji ketika mencuba untuk membantu petani Amerika yang bimbang dengan masalah anjing ggembala yang kadang-kadang membunuh haiwan ternakan setelah diamanahkan untuk menjaga haiwan ternakan tersebut. Puli dibiakbakakan sesama anggota baka dan disilangkan dengan anjing gembala Jerman, cau-cau, dan boleh jadi dengan dua ekor anjing gembala Turki yang ditempatkan di sana pada masa itu. Dalam ujian yang diberikan oleh para penyelidik di sana, puli mengumpulan markah, secara purata, antara 75 dengan 85, sementara baka-baka gembala lain, mendapat markah dalam julat 12 hingga 14. Oleh sebab ujian tersebut tidak menghasilkan keputusan, ujian ini tidak pernah diterbitkan. Apabila Perang Dunia Kedua meletus, puli dilelong kepada pembiak baka profesional, dan, menurut anggapan, daripada keempat-empat anjing ini dan keturunan anjing-anjing ini, sejarah puli di Amerika Syarikat bermula.[12]
Puli terkenal
Pada tahun 1978, seekor puli bernama Cinko Duda Csebi memenangi eksposisi sedunia yang dianjurkan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Anjing kelahiran Mexico itu dimiliki oleh pembiak baka Roberto Hernández Ávalos.[13]
Anjing yang dikenali sebagai "The Auditor" diandaikan sebagai seekor puli. Ia tinggal di lombong tembaga Berkeley Pit yang tercemar di Butte, Montana. Setelah menjadi terkenal sebagai salah satu daripada beberapa benda yang dapat hidup dan bertahan di tempat sedemikian, tiba masanya, ia menjadi sejenis maskot untuk pekan itu. Selepas The Auditor mati, beberapa buah tugu peringatan didirikan untuk meraikan kewujudannya.[14]
Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg mempunyai seekor puli putih bernama Beast.[15]
Pada tahun 1960-an, penulis Harlan Ellison mengadopsi seekor puli bernama Ahbhu dan menulis tentangnya dalam novelet "The Deathbird" yang memenangi Hugo tahun 1975 (sebahagian daripada koleksi tahun 1975 Deathbird Stories). Sebagai tambahan, Ahbhu muncul dalam cerpen tahun 1969 "A Boy and His Dog" sebagai pendahulu kepada anjing telepati milik watak utama Blood.
Novelis Amerika T. C. Boyle pernah memiliki beberapa ekor puli dan masih mempunyai seekor. Salah seekor, bernama "Kutya" (bahasa Hungary untuk "anjing"), diperingati dalam novel beliau The Harder They Come.[16][17]
Galeri
-
Puli hitam
-
Puli dalam pertunjukan anjing
-
Anak puli putih
-
Sesetengah pemilik memilih untuk mengklip lapis bulu puli untuk mengekalkan anjing sejuk pada cuaca panas
Lihat juga
Catatan
Rujukan
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Puli. |
- ^ a b c d "Puli Breed Standard" [Piawaian Baka Puli] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Ogos 2014. Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ "Go Pets America: Dogs that do not shed" [Go Pets America: Anjing yang tidak menggugurkan bulu] (dalam bahasa Inggeris). Go Pets America. Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ a b Gerstenfeld, Sheldon L.; Schultz, Jacque Lynn (September 1999). ASPCA Complete Guide to Dogs [Panduan Lengkap ASPCA untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). San Francisco, California, Amerika Syarikat: Chronicle Books. m/s. 178. ISBN 9780811819046. OCLC 40632797.
- ^ Sárkány, Pál; Ócsag, Imre (1987). Magyar kutyafajták [Baka Anjing Hungary] (dalam bahasa Hungary). Budapest, Hungary: Mezőgazdaságí Kiadó. ISBN 9789632322612. OCLC 17002503.
- ^ "Puli - Kutya" (dalam bahasa Hungary).
- ^ "Citydogs" (dalam bahasa Hungary). Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ a b "Puli" [Puli] (dalam bahasa Inggeris). Dogs in Depth. Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy [Selok-belok Anjing Ternakan] (dalam bahasa Inggeris). Crawford, Colorado, Amerika Syarikat: Alpine Publications. ISBN 9781577791065. OCLC 456420606.
- ^ a b Fogle, Bruce (2009). The Encyclopedia of the Dog [Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 206. ISBN 9780756660048. OCLC 697506545.
- ^ a b c Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 443–444. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
- ^ "kiállításra szánt Pulit, Komondort valóban nem szokás nyírni" [Puli and komondor yang diniatkan untuk pempameran sebenarnya tidak lazimnya diketam bulunya] (dalam bahasa Hungary).[pautan mati kekal]
- ^ "History of the Puli; By S. E. Szeremy" [Sejarah puli; oleh S. E. Szeremy] (PDF). Puli Club of America (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2 Februari 2017. Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ "Federacion Canofila Mexicana - FCM" (dalam bahasa Sepanyol). Federacion Canofila Mexicana. Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ Thad Kelling - The Montana Standard - 12/16/05 (16 Disember 2005). "Statue of Butte dog 'Auditor' unveiled" [Patung anjing Butte 'Auditor' didedahkan]. Helena Independent Record (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Januari 2024.
- ^ Smith, Catharine (7 Mac 2011). "Meet Mark Zuckerberg's Adorable New Puppy" [Kenali Anak Anjing Comel Baharu Mark Zuckerberg]. Huffington Post (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "News December 21, 2013". T. C. Boyle. 21 Disember 2013.
- ^ "News January 31, 2013". T. C. Boyle (dalam bahasa Inggeris). 31 Januari 2013.